Sabtu, 16 Oktober 2010

Selangor akan perhebat aktiviti sekat fahaman Islam liberal

ARKIB : 11/07/2008

SHAH ALAM 10 Julai - Selangor merancang memperhebatkan aktiviti kefahaman Islam bagi menyekat penyebaran fahaman Islam liberal yang didapati semakin menular di kalangan masyarakat khususnya generasi muda negeri ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu dan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali berkata, aktiviti sedemikian akan diperluaskan kerana fahaman tersebut jelas bercanggah dengan ajaran Islam tulen yang berlandaskan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Ini kerana katanya, fahaman berkenaan dikatakan lebih kepada mempersoalkan pelbagai perkara dalam Islam seperti hadis dan sunah Rasulullah, amalan ibadat, wahyu termasuklah ketuhanan yang ditafsirkan menggunakan logik akal semata-mata.

Malah, fahaman yang dipercayai dibawa masuk dari Indonesia dan negara-negara Barat itu dikatakan semakin menular di negara ini termasuklah di Selangor. Selain itu, golongan itu dipercayai digerakkan secara terancang oleh individu-individu yang berfahaman sekular termasuklah mendapat pembiayaan daripada organisasi tertentu dari dalam dan luar negeri.

"Fahaman ini memasukkan pengaruh moden yang dicorakkan dengan pemahaman akal mereka sendiri tanpa mengambil kira wahyu dan sunah Rasulullah. Ini seolah-olah menggambarkan bahawa kedudukan akal mereka lebih tinggi daripada wahyu yang diturunkan Allah dan sunah nabi,".

"Fahaman seperti inilah yang kita perlu tangani kerana ia mengancam ketulenan ajaran Islam termasuklah menjejaskan akidah, syariat dan akhlak umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muzakarah Khas Sehari Bersama Ulama sempena ulang tahun ke-60 Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini semalam.

Muzakarah yang turut dihadiri oleh Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi itu diadakan bagi mendedahkan kepada peserta mengenai cabaran masa kini terhadap pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah selain memantapkan akidah serta silaturahim di kalangan pegawai-pegawai agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta swasta di negeri ini.

Dalam pada itu, Hassan turut memberitahu bahawa pihaknya akan terus melengkapkan pegawai-pegawai JAIS dengan ilmu keagamaan sebagai salah satu usaha membendung fahaman berkenaan.

Ini kerana, beliau difahamkan bahawa mereka yang terlibat dalam penyebaran fahaman sedemikian adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan tentang agama termasuklah daripada golongan terpelajar dan profesional.

"Sekiranya pegawai kita kurang ilmu ataupun kefahaman dalam sesuatu perkara, maka sudah tentu usaha ini sukar dilakukan.

"Oleh yang demikian, kita akan memperkuatkan JAIS sendiri supaya aktiviti membendung fahaman yang diadakan benar-benar dapat dilakukan secara menyeluruh," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan