Ahad, 17 Oktober 2010

Penyelewengan Martabat Tujuh

ARKIB : 06/06/2006

Ramai anggota masyarakat Melayu di Malaysia yang mahu menuntut ilmu agama dan ia dilakukan melalui pelbagai cara. Golongan biasa lebih suka mengikuti pengajian berkitab yang diajar sama ada di masjid atau surau. Namun, ada sesetengah individu yang mahu mempelajari ilmu agama lebih mendalam dengan cara mengikuti tarekat tertentu.

Bagaimanapun, dalam diam-diam, akhirnya mereka ini bukan mendalami ilmu Islam sebenar sebaliknya dipesongkan oleh syeikh mursyid mereka sehingga mempelajari ajaran sesat. Ikuti interviu wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN bersama jurufoto NAZERI ABU BAKAR dengan Profesor Usuluddin dan Falsafah, Jabatan Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Abdulfatah Haron Ibrahim yang membuat kajian mengenai ajaran sesat di negara ini sejak 1980.

Bolehkah anda jelaskan sejarah ajaran sesat di Malaysia?

DR. ABDULFATAH: Saya lebih suka menamakan ajaran sesat ini sebagai Gerakan Sulit Pemusnah Islam Sepanjang Zaman yang digerakkan oleh musuh-musuh Islam. Ia mula dikesan di Timur Laut Strasboug di Perancis pada kurun ke-18. Ketika itu pada tahun 1439, alat percetakan pertama menggunakan cetakan kayu diperkenalkan.

Sasaran gerakan ini ialah memusnahkan tauhid uluhiah yang berteraskan keEsaan Allah iaitu kalimah, La Ila Haillallah Muhammadur Rasulullah.

Selain itu, kepercayaan orang Melayu yang mengambil bulat-bulat kitab jawi lama atau lebih dikenali sebagai kitab kuning turut mempengaruhi keadaan ini. Keadaan ini disebabkan, pada peringkat awal penyebaran Islam yang melibatkan penterjemahan, mereka hanya menterjemah bulat-bulat apa yang terdapat di dalamnya dan tiada sebarang penapisan dibuat. Kesilapan ini pula berlaku berkurun-kurun lamanya disebabkan tidak ramai yang menyedarinya sehinggakan kini agar sukar untuk kita membetulkan keadaan.

Mengapa anda menggelarkan ia sebagai gerakan sedemikian?

Sebabnya, golongan ini kini menggunakan cara Batiniah melalui Martabat Tujuh yang dicampur dengan Wahdatul Wujud yang bertujuan mahu memusnahkan Islam. Saya ingin menjelaskan, Malaysia mengamalkan pegangan Ahli Sunah wal Jamaah. Ertinya yang paling ringkas, sunah ialah tarekat (cara) Nabi dan Jamaah ialah tarekat para sahabat. Ahli sunah ialah pengikut aliran Asy’ariah, Maturidiah dan Salaf. Mereka berpegang dengan al-Quran dan sunah serta menolak falsafah.

Wahdatul Wujud pula dari segi hurufiahnya ialah ‘satu ada’. Dari segi istilah, ‘Allah adalah segala-galanya’. Batiniah ini pula tidak perlu solat, puasa dan sebagainya. Cukup dengan niat sahaja. Sebabnya semua itu adalah kerja batin dan hanya diketahui oleh guru mursyid. Ajaran ini juga membuat takwilan dan tafsiran sendiri bertujuan merendah-rendahkan, menafikan, menghina serta menolak syariat. Idea Wahdatul Wujud ini sudah ada terlebih dahulu selepas itu dipaksa ayat-ayat dan ungkapan tertentu yang didakwa hadis untuk menyokong idea mereka. Ajaran ini ada di Kuala Lumpur, Kelang dan Pulau Pinang. Mempunyai pergerakan yang sistematik dan licin. Saya kira ia didalangi oleh sindiket sebab itu ia tidak hilang. Prinsip ajarannya antara lain ialah menjadikan setiap kalimah dan huruf kalimah itu ada ertinya mengikut yang mereka rekakan.

Bilakah ajaran Batiniah dan Wahdatul Wujud yang menekankan Martabat Tujuh ini mula diajar?

Batiniah bermula pada tahun 198 H bersamaan 833 M iaitu zaman pemerintahan Al-Makmum. Ia menekankan setiap zahir ada batin, setiap ayat al-Quran ada takwil. Martabat Tujuh atau Al-tuhfat Almursalah pula dipopularkan di nusantara oleh Muhammad Fadlullah al-Burhanpuri (1029 H-1619 M). Batiniah ini cepat tersebar dalam masyarakat Melayu kerana hampir keseluruhan kitab jawi menyebarkan ajaran Wahdatul Wujud –Martabat Tujuh termasuklah kitab Siaru Salikin (Perjalanan Orang-orang Yang Berjalan).

Apa sebenarnya ajaran Martabat Tujuh itu?

Martabat Tujuh ialah perbincangan mengenai asal mula kejadian alam semesta. Ia bererti lapisan tujuh iaitu Ahadiah, Wahdah, Wahidiah, Alam Arwah, Alam Mithal, Alam Ajsam dan Alam Insan. Ilmu atau akidah martabat ini bercanggah dengan Ahli Sunah. Mereka mengatakan Allah mengadakan semesta ini bukan daripada tiada kepada ada sebagaimana iktikad Ahli Sunah wal Jamaah sebaliknya daripada ada kepada ada.

Sebagai kesimpulan, Martabat Tujuh ditegakkan atas dasar hakikat Muhammad dan Nur Muhammad yang tidak ada asal dalam al-Quran dan hadis sahih. Sebab itu, dari segi akidah Islam, martabat ini adalah batil.

Apakah sebenarnya yang mahu dicapai oleh golongan yang mengepalai ajaran sesat ini?

Berdasarkan pemerhatian saya, orang yang bawa ajaran ini selalunya hidup senang seperti Jaringan Islam Liberal di Jawa, Indonesia yang mendapat pembiayaan dari negara Barat. Yang terlibat pula kebanyakannya ialah orang intelek tetapi bukan dalam disiplin agama sebaliknya dalam kejuruteraan, kesusasteraan Inggeris dan sebagainya.

Ada juga sebab seks. Sebab itu ada di antara adab-adab murid terhadap guru atau syeikh mereka seperti yang dijelaskan oleh Dr. Abd. Al-Fattah Ahmad al-fawi ialah jangan mengahwini wanita yang diminati oleh syeikh atau wanita yang diceraikannya sama ada perceraian hidup atau mati. Bab ini seolah-olah menjadikan martabat syeikh setaraf Nabi Muhammad kerana isteri Baginda tidak boleh dikahwini selepas kewafatannya.

Bagaimanakah cara mengelak daripada terjebak dalam ajaran sesat?

Apabila kita hendak menuntut ilmu agama atau dihampiri oleh golongan tertentu kita hendaklah bertanya beberapa soalan untuk memastikan kesahihan ilmu yang diajar. Pertamanya, ilmu ini diambil dari kitab mana. Ia perlulah dari kitab yang muktabar dan kalau tidak ada kitab atau ilmu laduni sesiapapun boleh merekanya. Kedua, siapa yang memakai ilmu ini kerana Ahli Sunah mempelajari tiga ilmu iaitu fekah, tauhid dan tasauf.

Apakah yang perlu dilakukan untuk menangani isu ini?

Orang yang mengatur gerakan ini adalah golongan terpelajar dan pandai dalam strategi. Kita tidak boleh underestimate mereka kerana jika tidak, ajaran ini tidak boleh kekal dan hidup lebih 1,200 tahun.

Perkara utama yang perlu dilakukan ialah tekankan kepada solat melalui penghayatan al-Fatihah secara sebenar-benarnya. Contohnya apabila membaca ihdinas siratal mustaqim hendaklah kita meminta dalam hati agar kita sentiasa mendapat hidayat Allah berada di jalan yang lurus dan benar. Begitu juga apabila membaca ayat seterusnya hendaklah kita memohon kepada Allah agar dipelihara daripada kesesatan dan menjadi golongan yang sentiasa mendapat nikmat.

Selain itu, kurikulum fardu ain di sekolah-sekolah terutama menengah perlu diperbaiki. Ia perlu mendidik pelajar sehingga boleh membezakan antara zat dengan sifat. Guru-gurunya juga perlukan latihan agar mampu menjalankan tugas dengan lebih berkesan.

Perlu diadakan juga perbincangan pakar-pakar akidah dengan golongan yang sesat ini untuk mengetahui di mana silap mereka kemudiannya membuat keputusan berdasarkan al-Quran dan sunah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan