Selasa, 19 Oktober 2010

Demokrasi dan liberalisme

ARKIB : 03/12/1998

Oleh: MAKMOR TUMIN

DEMOKRASI sering dianggap sebagai preskripsi terhadap semua masalah politik dunia.

Oleh itu tidak hairanlah jika semua ideologi politik dunia mengaitkan fahaman mereka dengan demokrasi tersebut.

Justeru, kita dapati istilah demokrasi sering digandingkan dengan ideologi-ideologi seperti demokrasi liberal, demokrasi komunis, demokrasi sosialis, demokrasi terpimpin, demokrasi permuafakatan dan banyak lagi.

Malah ramai pemikir Islam juga mengaitkan istilah tersebut dengan ajaran politik Islam sehingga wujudnya istilah 'demokrasi Islam'. Penggunaan istilah demokrasi berakar umbi dari zaman Greek kuno. Istilah demokrasi berasal daripada perkataan demos (rakyat) dan kratia(perintah). Demikian itu, demokrasi dengan umumnya membawa maksud kerajaan yang diperintah oleh rakyat. Abraham Lincoln pernah menjelaskan maksud demokrasi sebagai, ''kerajaan rakyat, untuk rakyat, oleh rakyat''.

Kita dapati terdapat beribu-ribu takrif demokrasi yang diberi oleh beribu-ribu pemikir dan pengkaji. Disedari ataupun tidak, maksud demokrasi pada hari ini dipengaruhi oleh fahaman liberalisme. Meskipun konsep demokrasi oleh kerajaan rakyat itu boleh wujud di mana-mana negara yang menganut ideologi yang lain selain daripada fahaman liberalisme, disebabkan propaganda Barat, didapati hari ini sesebuah negara itu hanya dianggap demokrasi sekiranya ia menganut fahaman liberalisme.

Justeru, kita dapati istilah demokrasi liberal bukan sahaja mendapat liputan yang meluas malah dicanang sebagai sebuah sistem politik yang paling mustajab. Ada yang menerima demokrasi dengan menolak ideologi politik dan ajaran agama.

Pada hemat saya, kebaikan yang melampau-lampau mengenai demokrasi khususnya demokrasi liberal tidak lebih merupakan propaganda Barat terutamanya Amerika Syarikat. Demokrasi bukan sahaja sesuatu yang sudah bersifat konvensional dan tidak realistik tetapi juga menghalang pembangunan masyarakat dan tidak lagi relevan dalam era teknologi maklumat. Malah saya yakin pada alaf yang akan datang, demokrasi tidak lagi menjadi preskripsi bagi mengatasi masalah negara bahkan akan dikecam hebat disebabkan oleh kelemahan-kelemahannya.

Kelemahan demokrasi yang pertama adalah dari segi konsep dan amalannya. Persoalan yang sering timbul ialah bagaimanakah 'kerajaan rakyat, untuk rakyat, itu boleh diperintah 'oleh rakyat'? Oleh itu, demokrasi sering dibayangi oleh dua teori yang lain, iaitu pluralisme dan elitisme. Usaha untuk menjelaskan demokrasi dengan menggunakan dua teori ini menambahkan kekalutan konsep dan amalan demokrasi yang sedia ada. Dua teori tersebut sebenarnya tidak pun dapat menjelaskan dengan menyeluruh takrif demokrasi itu, malah menjemput pelbagai perdebatan yang semakin merumitkan.

Kelemahan demokrasi yang kedua ialah ideanya tidak mendorong ke arah pembangunan negara, khususnya negara-negara membangun itu sendiri. Hujah ini didasarkan pada ciri majoriti yang ada pada demokrasi itu.

Seperti yang kita ketahui, sesuatu pandangan dalam sebuah negara demokrasi hanya akan diterima sekiranya ia merupakan pandangan majoriti. Kita haruslah memahami bahawa dalam kebanyakan negara khususnya negara membangun, majoriti rakyatnya masih rendah dari segi pendidikan dan pendedahan mengenai politik.

Meskipun kita dapati kadar celik huruf telah meningkat, namun dalam beberapa penyelidikan didapati minat membaca masih tidak menggalakkan. Disebabkan masalah rendah dari segi pendidikan dan kurangnya minat membaca di kalangan majoriti rakyat, maka demokrasi yang berdasarkan pandangan majoriti rakyat dalam negara-negara seperti ini hanya akan menghalang pembangunan dan kemajuan negara keseluruhannya. Ini kerana keputusan yang hendak dibuat oleh seseorang pemimpin mestilah terlebih dahulu mendapat persetujuan golongan majoriti itu.

Ini tentunya diberatkan lagi oleh hakikat bahawa golongan cerdik pandai, berpengalaman, berkebolehan, berketerampilan dan sebagainya masih minoriti. Maka pandangan bernas mereka akan dengan mudah disingkirkan oleh pandangan majoriti. Kelemahan demokrasi yang ketiga, yang juga merupakan kelemahan terpenting adalah berkaitan dengan kesan teknologi maklumat terhadap proses pembuatan keputusan dalam sesebuah negara demokrasi. Kita mengetahui bahawa dalam sesebuah negara demokrasi, sesuatu keputusan itu sering tertunda disebabkan tidak menepati kehendak ciri-ciri demokrasinya. Negara-negara yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen sering menghadapi kebuntuan dalam membuat sesuatu keputusan negara.

Kesannya, ahli-ahli politik lebih banyak 'bermain politik' daripada mengadakan tindakan-tindakan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Pada pandangan saya, dalam era teknologi maklumat, apabila sesuatu keputusan perlu dibuat dengan segera, sistem demokrasi tidak akan boleh berfungsi dengan berkesan. Keperluan untuk mendapat persetujuan majoriti rakyat bukan sahaja menyukarkan pembuatan keputusan yang boleh dibuat di 'hujung jari' itu malah akan menyebabkan pelbagai peluang pembangunan terlepas begitu sahaja.

Jika pemimpin sesebuah negara demokrasi perlu mendapat persetujuan majoriti rakyat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan negara, maka negara itu akan terus-terusan ketinggalan disebabkan terlepas pelbagai peluang dan habuan tersebut. Tidaklah keterlaluan kalau saya katakan kecanggihan yang ada pada teknologi maklumat tidak akan dapat dimanfaatkan dalam proses pembuatan keputusan politik jika sistem demokrasi ingin diteruskan.

Kelemahan demokrasi yang keempat pula adalah dari segi masalah fleksibiliti dan fluiditi dalam mengadakan pelbagai strategi seperti strategi politik, ekonomi, ketenteraan dan seumpamanya. Dalam konteks moden, lebih-lebih lagi pada abad yang akan datang, kemajuan dan pemodenan sesebuah negara itu tidak lagi ditentukan oleh usaha pemimpin dan rakyatnya dalam negara tersebut semata-mata.

Pemimpin sesebuah negara bukan sahaja memerlukan strategi bagi pembangunan negaranya tetapi haruslah juga mengetahui dan memahami dengan jelas strategi pembangunan negara-negara lain termasuklah jiran-jirannya.

Lalu, pelbagai teori dicipta seperti game theory yang boleh digunakan oleh pemimpin sesebuah negara untuk berhadapan dengan keadaan sedemikian. Jika pemimpin sesebuah negara masih terikat dengan kehendak-kehendak yang ada pada ciri-ciri demokrasi, bagaimanakah sesuatu strategi yang lebih berkesan akan dapat dilakukan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan