Isnin, 18 Oktober 2010

Institusi pondok bendung gejala Islam Liberal

oleh: Rizal Tahir

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, hanya melalui pembelajaran di institusi pondok, masjid dan sekolah agama membolehkan masyarakat dan pelajar mendalami ilmu agama.

"Umat Islam kena berpegang kepada akidah Islam yang sebenar bagi mengelakkan terpesong sehingga terjerumus kepada ajaran Islam liberal dan plural," katanya ketika menyampaikan kuliah Maghrib di Pondok Diniah Al-Faliah, Kampung Dalam Huma, Dun Semerak dekat sini, baru-baru ini.

Menurutnya, instituasi pondok berperanan penting bagi menyebarkan ilmu agama sebagai kesinambungan ajaran yang disampaikan Rasulullah s.a.w ketika mula-mula berhijrah dari Makkah ke Madinah.

"Sewaktu Rasullulah s.a.w berhijrah dari Makkah ke Madinah didapati tempat untuk orang Islam berlajar ilmu agama tidak banyak sehingga baginda mendirikan masjid dan institusi pondok seperti yang ada sekarang.

"Maknanya usaha mewujudkan pusat pengajian pondok adalah menyambung kerja-kerja Nabi s.a.w bagi menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia," ujarnya.

Menteri Besar juga berkata, bagi mempertahankan pusat pengajian pondok terus kekal, kerajaan perlu memainkan peranannya bagi membantunya termasuk dari aspek kewangan.

Malangnya kata beliau juga ada sesetengah kerajaan negeri yang kononnya mahu mendaulatkan Islam, namun perkara-perkara mungkar masih dibiarkan berleluasa.

Beliau juga berkata, Islam adalah agama yang membawa kedamaian dan menolak perselisihan.

Lebih 500 hadir mendengar kuliah tersebut termasuk Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat, Penyelia Dun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim serta pengajar dan pelajar pondok terbabit.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan