Ahad, 17 Oktober 2010

Bila pluralisme jadi isu

ARKIB : 16/06/2006

MUZAKARAH Ulama 2006 yang berlangsung Isnin lalu di Ipoh, Perak menyatakan keprihatinan mereka terhadap fahaman pluralisme dan liberalisme yang dianggap sebagai mengancam akidah umat Islam.

Umumnya bagi umat Islam yang mengikuti perkembangan mengenai gerakan pluralisme dan liberalisme di negara ini dapat memahami keprihatinan muzakarah itu.

Sikap ulama yang menyertai muzakarah itu berhubung dengan pluralisme dan liberalisme secara umumnya mencerminkan sikap masyarakat Islam di negara ini yang rata-rata konservatif dan tradisional.

Tetapi apabila isu ini sampai ke perhatian orang bukan Islam di negara ini, mereka tentu terkejut apabila ulama menolak pluralisme dan liberalisme.

Mereka pasti tertanya-tanya tidakkah negara ini mengamalkan pluralisme dan liberalisme? Ini kerana Malaysia sebagai negara didiami oleh rakyat berbilang agama dan kepercayaan dan sudah tentu menjamin ciri pluralisme masyarakat. Begitu juga dengan liberalisme.

Tidakkah Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi mengamalkan liberalisme? Malah disebut dalam Rukun Negara disebut perkataan liberal itu sendiri.

Jadi apabila dinyatakan bahawa ulama negara ini menentang pluralisme dan liberalisme, maka dilihat oleh orang bukan Islam bahawa sedang muncul pemikiran ekstremisme di kalangan orang Islam. Pastinya mereka berasa bimbang.

Apa yang menjadikan perkara ini sebagai isu dalam hubungan antara kaum dan agama di negara ini ialah istilah pluralisme dan liberalisme.

Perkataan ini menimbulkan salah faham dan kebimbangan yang tidak perlu.

Selama ini istilah pluralisme di negara ini lebih merujuk kepada kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, serta keperluan sikap toleransi terhadap keadaan ini. Seringkali disebut ungkapan, Malaysia adalah negara plural iaitu pengiktirafan terhadap kepelbagaian dan keharmonian melalui sikap toleransi.

Sementara liberalisme pula dikaitkan dengan demokrasi. Sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia mengamalkan sikap liberal terhadap cara hidup rakyatnya, baik terhadap budaya mahupun agama. Kebebasan memilih cara hidup dijamin dan diizinkan dalam negara, tidak berbeza dengan negaranegara Barat yang turut mengamalkan demokrasi liberal. Sudah tentu secara terperinci, terdapat perbezaan dari segi pelaksanaan dengan mengambil kira sensitiviti budaya dan agama. Tetapi umumnya Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dan moden menerima liberalisme sebagai cara hidup.

Terhadap ini umat Islam juga tidak mempunyai masalah. Ini kerana Islam menerima masyarakat majmuk dan tidak ada paksaan dalam agama. Pluralisme dan liberalisme dari segi ini tidak menjadi masalah. Lebih-lebih lagi dari segi ini, umat Islam bersikap toleran terhadap penganut agama lain.

Diprihatinkan

Bagaimanapun, apa yang diprihatinkan oleh muzakarah ulama itu bukanlah pluralisme dan liberalisme dalam hubungan hidup bernegara di antara penganut agama berbeza.

Pluralisme dan liberalisme yang dirujuk oleh muzakarah itu ialah mengenai satu fahaman yang baru timbul sejak akhir-akhir ini iaitu sekitar 10 tahun kebelakangan ini.

Ia berasal dari negara-negara Arab sendiri, khususnya Mesir dan Sudan kemudian tersebar ke Eropah, masuk ke Indonesia dan sampai di Malaysia. Di Indonesia, fahaman ini dikenali sebagai Islam Liberal dan organisasi yang membawanya ialah Jaringan Islam Liberal (JIL).

Tetapi Islam Liberal ini pula bukanlah satu bentuk saja. Ia muncul dalam banyak bentuk. Antara fahamannya mungkin boleh diterima sebagai penyegaran semula tafsiran terhadap Islam. Tetapi tidak kurang pula yang terang-terang bercanggah dengan akidah Islam, pastinya tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam di negara ini yang jelas fahamannya berdiri di atas mazhab Sunah Waljamaah menurut Imam Syafie seperti yang diajar oleh jabatan agama Islam di semua negeri kecuali Perlis.

Islam Liberal seperti yang ada di Indonesia mengajak umat Islam menafsirkan semula al-Quran mengikut konteks hari ini.

Ajakan untuk mentafsirkan semula alQuran menurut keadaan semasa mungkin boleh diterima sekiranya ia mengikut prosedur seperti apa yang telah ditetapkan oleh jumhur ulama muktabar dan pewaris-pewarisnya hari ini.

Apa yang menjadi masalah kumpulan Islam Liberal ini mahu al-Quran ditafsirkan semula dengan melihat kitab itu menurut konteks pada zaman Rasulullah s.a.w. Maknanya, al-Quran hendaklah dianggap sebagai teks yang tidak terlepas daripada konteks. Mereka menyifatkan tafsir tradisional sebagai literal dan tidak mengambil kira konteks. Sudah tentu anjuran Islam Liberal ini ditolak oleh ulama dan umat Islam pada keseluruhannya.

Liberalisme inilah yang ditentang oleh muzakarah ulama di Ipoh itu.

Pluralisme pula, juga timbul di Indonesia membawa hujah bahawa semua agama adalah sama dan setaraf. Maknanya bukan saja perlu ada kepelbagaian anutan agama, tetapi semua agama adalah setaraf dan perlu dilayan sama. Bukan itu saja, sikap pluralisme juga menuntut supaya dalam Islam, wajar muncul pelbagai fahaman dan tidak tertakluk kepada pengiktirafan institusi-institusi agama atau ulama.

Maka pegangan ini tidak dapat diterima oleh ulama dan orang Islam secara umumnya, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Bagi umat Islam Malaysia, toleransi terhadap kepelbagaian agama adalah wajar tetapi Islam adalah agama rasmi dan mempunyai kedudukan istimewa di negara ini. Bukan itu saja, bagi umat Islam Malaysia, agama Islam adalah satu-satunya agama benar sementara yang lain adalah salah. Fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah benar dan setaraf tidak boleh diterima oleh umat Islam di negara ini.

Sementara Islam di negara ini pula dianggap hanya dalam satu bentuk iaitu Sunah Waljamaah mazhab Imam Syafie dan tidak dibenarkan tafsiran lain dan di luar daripada fahaman ini.

Orang Islam boleh mempunyai pandangan peribadi daripada hasil pemikiran masing-masing tetapi di tengah-tengah masyarakat, mereka mesti menerima fahaman yang telah ditetapkan oleh jabatan agama negeri-negeri di Malaysia. Fahaman yang lain dianggap batil. Tidak ada pluralisme dan liberalisme dalam hal ini.

Bila melihat sebegini, maka keprihatinan ulama terhadap pluralisme dan liberalisme adalah suatu yang dapat difahami dan bukannya sikap ektsremisme.

Jadi orang bukan Islam tidak wajar gusar dengan sikap menentang pluralisme dan liberalisme oleh ulama dan umat Islam di negara ini. Mereka tetap menerima pluralisme dan liberalisme dalam erti kata kebebasan beragama dan amalan cara hidup individu masing-masing dengan toleransi terhadap kepelbagaian fahaman di negara ini.

Pluralisme dan liberalisme yang ditentang ulama adalah berhubung dengan agama Islam dan tidak berkaitan dengan kehidupan orang bukan Islam.

Namun begitu, masyarakat Islam di negara ini wajar juga melakukan persediaan mental bahawa pada satu masa kelak, mungkin muncul tafsiran-tafsiran berbeza mengenai Islam seperti mana yang pernah berlaku pada zaman-zaman lalu.

Dalam masyarakat dan dunia terbuka pada hari ini, lambat-laun pastinya muncul pemikiran-pemikiran baru yang mencabar kepercayaan hari ini, walaupun amat kita sayangi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan