Khamis, 21 Oktober 2010

Hamburg iktiraf Islam

21 Oktober 2010

HAMBURG 20 Okt. - Hamburg dijangka menjadi bandar raya pertama di Jerman yang mengiktiraf masyarakat Islam secara rasmi sebagai sebuah komuniti agama dan memberi penduduk Islam hak-hak yang sama di sisi undang-undang seperti yang diberikan kepada penganut Kristian dan Yahudi semasa berurusan dengan kerajaan tempatan.

Rundingan tanpa publisiti selama empat tahun mengenai pembinaan masjid, pembukaan tanah perkuburan Islam dan pengajaran agama Islam di sekolah kerajaan semakin hampir ke penghujungnya.

Perkembangan itu berlaku ketika rakyat Jerman terlibat dalam perbahasan hangat mengenai Islam dan integrasi pendatang beragama Islam yang kebanyakannya dari Turki.

Perjanjian mengenai pengiktirafan tersebut dipercayai akan dicapai tidak lama lagi tetapi perbahasan di peringkat kebangsaan mengenai Islam dan arus perubahan politik tempatan boleh menyebabkan kelulusannya menjadi lebih sukar daripada yang dijangka, kata ahli politik dan pemimpin Islam.

"Penting bagi kami bahawa perjanjian ini menegaskan kami adalah sebahagian daripada masyarakat Jerman," kata Pengerusi DITIB cawangan Hamburg, Zekeriya Altug.

DITIB ialah sebuah rangkaian masjid Turki Jerman yang merupakan antara pertubuhan Islam terbesar di negara ini. - Reuters

Tiada ulasan:

Catat Ulasan