Jumaat, 29 Oktober 2010

Nama Sisters in Islam: Mahkamah batal saman Pemuda Masjid

29/10/2010 2:07pm

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Sis Forum (Malaysia) membatalkan saman pemula difailkan oleh Dewan Pemuda Masjid Malaysia bagi melarang pertubuhan itu menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalan organisasi.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Sis Forum memberitahu pemberita bahawa Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof membenarkan permohonan responden itu di kamar beliau selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.

Menurut Malik, mahkamah membatalkan tindakan itu setelah berpendapat pemohon terbabit tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang).

Sekiranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mempunyai masalah mereka sepatutnya membangkitkannya kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kata peguam itu.

Sementara itu peguam Mohd. Ibrahim Mohd. dan Anas Fauzi yang mewakili responden berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan dan menunggu arahan lanjut daripada anak guam mereka.

Pada 22 Mac lalu, plaintif memfailkan saman pemula itu bagi menuntut satu perisytiharan bahawa nama organisasi tersebut yang sah di sisi undang-undang bukanlah Sisters In Islam.

Dalam saman itu pemohon memohon satu perintah bahawa responden tidak dibenarkan dan dilarang daripada menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalan yang menunjukkan identiti responden dalam mana-mana risalah, surat menyurat, penerbitan atau kenyataan responden sama ada di Internet, media cetak dan elektronik sehingga ia dibenarkan di sisi undang-undang.

Selain itu, pemohon turut memohon perintah memaksa responden mengeluarkan nama Sisters In Islam daripada papan tanda laman web responden, bahan-bahan cetak dan penerbitan responden.

Ia turut memohon supaya responden dihalang daripada mengedarkan bahan-bahan terbitan, cetakan dan siaran menggunakan nama tersebut sehingga responden dibenarkan secara sah di sisi undang-undang selain kos dan perintah lain yang perlu. - Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan