Sabtu, 16 Oktober 2010

Islam bukan punca keganasan

ARKIB : 08/01/2008

Umat Islam akan menyambut tahun baru 1429 Hijrah, Khamis ini. Ia adalah peristiwa besar dalam takwim Islam yang menyaksikan penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah serta penyatuan kaum Muhajirin dan Ansar.

Bagaimanapun, bagi sesetengah masyarakat, Hijrah bermaksud cuti umum yang dikongsi bersama di mana pada hari tersebut beberapa orang akan dianugerahkan pengiktirafan sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi tahun tersebut. Sedangkan, Hijrah sepatutnya bermaksud perubahan kepada sesuatu yang lebih baik. Jika kita rasakan amalan kita amat kurang pada tahun sebelumnya, adalah lebih elok ia dipertingkatkan tahun ini.

Pensyarah Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Dr. Abdul Halim Mat Diah mengupas persoalan ini kepada wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. SHARIFUL HAFIZAL.

MEGA: Piagam Madinah menjadi bukti bagaimana Islamlah agama terawal memperakui hak-hak asasi setiap warga termasuklah kelompok minoriti yang mendiami Madinah. Namun, hari ini Islam sering dicop sebagai pengganas. Kenapa ini berlaku?

PROF. HALIM: Sebabnya kerana orde dunia dikuasai oleh Barat yang notabeni (sama) adalah musuh Islam secara terang-terangan atau berselubung. Musuh ini berkekalan sejak Perang Salib sehingga sekarang.

Oleh kerana orde dunia dikuasai Barat, media massa yang membentuk public opinion (pendapat umum) dikuasai oleh mereka. Malah banyak negara Islam turut mengambil berita daripada mereka. Walaupun ada sumber berita Islam seperti al-Jazeera tetapi ia dimusuhi oleh Barat, malah pejabatnya turut dibom.

Namun, keganasan yang berlaku bukan sahaja di kalangan umat Islam tetapi juga pada bukan Islam. Contohnya, kekacauan yang berlaku akibat protes terhadap keputusan pilihan raya Presiden di Kenya sejak minggu lalu.

Pembunuhan mantan Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto dan keganasan di republik itu pula bukanlah atas dasar Islam tetapi lebih kepada kepentingan politik.

Demikian juga pergolakan di Filipina. Ia bukan sahaja berlaku di selatan Mindanao di kawasan penduduk Islam tetapi juga berlaku di bawah kepimpinan Presiden Gloria Macapagal Arroyo. Berlaku pertentangan antara pihak berhaluan kanan dan kiri sehingga melibatkan pemberontakan dalam pasukan tentera negara itu.

Sebab itu, ada pihak yang mengatakan, keganasan adalah sesuatu pernyataan golongan yang merasa tertindas dan tiada cara lain untuk melawan keganasan yang lebih canggih. Pendek kata, ia tidak semestinya berkaitan dengan agama Islam.

Firman Allah dalam surah al-Rad: 11: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka nampaknya belum cukup menjadi pemangkin umat Islam berhijrah. Di mana silapnya?

PROF. HALIM: Asas utama dalam penghijrahan Rasulullah s.a.w ialah beriman kepada Allah dan rasulnya. Apabila berhijrah dari Mekah ke Madinah, baginda mengambil beberapa langkah.

Pertama, mendirikan masjid sebagai asas keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah.

Kedua, mempersaudarakan semua umat Islam terutama Muhajirin dan Ansar. Semangat erat dan kental ini bukan bertunjangkan material semata-mata. Malah, penduduk Ansar sanggup mengorbankan bukan sahaja harta dan wang ringgit tetapi turut menawarkan isteri mereka kepada kaum Muhajirin.

Ketiga, Rasulullah menggariskan hak pada bukan Islam untuk kebebasan beragama dengan imbalan mereka hendaklah memberi sokongan kepada kerajaan Islam Madinah.

Keempat, baginda menerapkan keadilan sosial bagi seluruh umat manusia. Ini diperkukuhkan dengan penekanan bahawa dalam Islam tidak ada perbezaan etnik, keturunan atau kasta. Sebaliknya, semua Muslim adalah sama dan bersaudara.

Daripada sini dibuat beberapa dasar untuk menjamin kesejahteraan sosial. Antaranya mewajibkan bayar zakat dan menggalakkan infak. Malah, jika masih tidak mencukupi, kerajaan boleh mengambil sebahagian harta orang berada untuk kepentingan ummah.

Pendek kata, pada ketika itu, tidak ada seorang pun anggota masyarakat yang terbiar kecuali mereka yang terlepas pandang oleh pemerintah.

Pada masa yang sama, masyarakat pun turut membantu orang yang tidak berada. Di Masjid Madinah misalnya, ada 50 orang ahli sufah iaitu mereka yang sentiasa berada di saf pertama semasa solat. Mereka ini tidak ada harta tetapi kehidupan mereka dibiayai oleh mereka yang berada.

Sebaliknya, masyarakat hari ini, mereka yang kaya asyik memupuk kekayaan tidak kira secara halal atau tidak. Sehinggakan ada yang sanggup memeras keringat orang miskin dan ada yang tidak membayar upah pun.

Apa yang menjadi asas Perlembagaan Madinah itu ialah contoh serta teladan oleh Rasulullah dan para sahabat. Mereka hidup cukup sederhana dan tidak ada protokol sehingga merenggangkan dengan orang awam.

Hakikatnya Islam telah gagal menghadapi zaman moden dan kini dikuasai oleh Barat pimpinan Amerika Syarikat (AS). Justeru, bagaimanakah masa depan Islam?

PROF. HALIM: Islam telah muncul berabad-abad lamanya dan pernah menguasai dunia malah sebahagian besar Eropah. Kemudian ia runtuh antara lain disebabkan persekongkolan antara sesetengah umat yang mengaku Islam dengan Barat.

Sebab kedua ialah kealpaan para khalifah di zaman Uthmaniah dalam mentadbir negara sehingga diselubungi oleh agen Barat seperti Kemal Attaturk di Turki. Tali barut seperti Kemal yang mendapat kepercayaan khalifah ini bukan sahaja menggulingkan khalifah tetapi turut menghancurkan sistem itu.

Sudah lumrah, sesuatu yang telah runtuh itu sukar untuk dikembalikan. Cuma, umat Islam sudah mula bangkit tetapi menghadapi cabaran yang terlalu hebat. Setiap apa usaha yang dibuat oleh pihak Islam, ia ‘dipukul’ oleh Barat atau tali barutnya.

Contoh di Mesir, Ikhwan Muslimin menguasai politik negara suatu masa dulu tetapi ia ditentang oleh Gamal Abdel Nasser yang idolanya ialah sosialisme.

Demikian juga di Indonesia di mana Presiden pertamanya dari parti Masyumi dipilih melalui pilihan raya yang akhirnya dikeroyok oleh golongan yang anti Islam. Ini termasuklah pihak nasionalis dan komunis. Akhirnya parti Islam ini diharamkan.

Mantan Presiden Indonesia, Allahyarham Soekarno juga adalah pengagum Kemal Attaturk sehinggakan beliau ‘bermusuh’ dengan Dr. Muhammad Natsir pemimpin parti Masyumi. Perbezaan pemikiran tentang Islam ini berakhir dengan pengharaman parti Masyumi oleh Soekarno.

Yang menjadi penghalang ialah umat Islam tidak memiliki kecanggihan senjata yang dapat mengimbangi kuasa Barat. Bukan sebab negara Islam tidak kaya kerana 14 daripada 17 Negara-negara Pengeluar Minyak (OPEC) adalah negara Islam. Tetapi semuanya terpaksa tunduk kepada tekanan senjata Barat.

Malah AS tanpa segan silu menyerang Iraq di mana motifnya seperti yang diketahui umum ialah minyak dan Kristianisasi.

Selagi umat itu kuat pegangan Islamnya dan Kristian belum bertapak sukar bagi Barat hendak menguasai negara tersebut.

Bagaimanapun, saya optimis umat Islam dapat bangkit semula. Syaratnya, kita kena ubah paradigma. Kena mengutamakan sains dan teknologi di samping ilmu Islam yang asas. Sains tanpa Islam tidak akan membahagiakan manusia.

Apa yang berlaku sekarang jelas sebagaimana hadis riwayat Abu Daud antara lain bermaksud, “Bilangan kamu pada ketika itu ramai tetapi seperti buih”. Bolehkah Prof. perincikannya?

PROF. HALIM: Diumpamakan seperti buih kerana umumnya orang kini mengejar kebendaan walaupun terpaksa melanggar hukum agama.

Bagaimana kuat sekalipun umat Islam dari sudut ekonomi, senjata dan lain-lain tetapi kalau tidak dilandasi oleh keimanan kepada Allah, kita tidak mendapat barakah. Ini paling penting.

Sebabnya, kalau yang dipentingkan itu semata-mata kebendaan ia boleh membawa kepada pekerjaan yang tidak ikhlas dan sebagainya.

Sebaliknya, jika beroleh keberkatan, jika Allah izinkan apa sahaja yang kita hajati akan tercapai dan apabila ini berlaku tiada siapa yang dapat menghalangnya.

Adakah kegagalan umat Islam kini ada kaitan dengan kegagalan membela agama Allah sebagaimana firman-Nya, Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah, nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Muhammad: 7)?

PROF. HALIM: Kenyataan itu memang benar. Ramai yang mengaku Islam hari ini tetapi bukan sepenuh hati. Ada yang hanya menjadikan Islam ini sebagai upacara.

Kita seharusnya kembali kepada Islam secara menyeluruh meliputi luaran dan dalaman. Firman Allah dalam surah al-Rad: 11 itu secara tepatnya perlu ditafsir sebagai “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu selagi mereka mengubah apa yang ada dalam jiwa mereka.”

Sebabnya, jiwa itu ibarat enjin yang menggerakkan semua pergerakan badan. Ia akan menguasai hati untuk mempengaruhi sebarang tindakan manusia. Umat Islam memang ramai tetapi secara ‘lahir’ sahaja. Sebab itu kalau orang menghina Islam, golongan ini tidak rasa apa-apa, tidak sensitif. Sebaliknya, orang yang membela Islam pula yang dicerca.

Demikian juga dengan gerakan yang memperjuangkan Islam liberal yang nyata tidak boleh dilakukan. Islam mesti ditafsir mengikut nas al-Quran dan hadis.

Islam mestilah berpegang kepada fundamentalnya. Yang boleh liberal adalah dari segi pendekatan. Umpamanya mencari metod yang canggih dan sesuai untuk menyebarkan Islam dalam keadaan sekarang.

Salah satu gerakan Islam liberal ialah melalui buku Sheikh Al-Bantani yang membicarakan tentang wanita. Ia banyak mengambil hadis daif dan ada sedikit yang sahih tetapi ia bertentangan dengan hak asasi manusia. Jadi, payung yang sebenarnya bukanlah Islam sebaliknya, hak asasi manusia yang diasaskan oleh Barat.

Semasa kita hidup dalam Islam tradisional, umat Islam berada dalam aman dan tenteram. Apabila datang modenisasi dan liberalisme, kita mula rasa cemas. Kita khuatir apa yang akan berlaku kepada anak-anak kita di masa depan.

Mereka yang tidak ada perasaan ini barangkali adalah golongan yang langsung tidak ada idealisme Islam.

Bagaimanakah seharusnya peradaban umat Islam selepas 50 tahun merdeka dan menyambut Maal Hijrah?

PROF. HALIM: Selepas mencapai 50 tahun merdeka banyak perkembangan Islam secara sistematik di negara kita.

Melalui pendekatan kerajaan, nampaknya bilangan orang bukan Islam yang fobia terhadap agama Allah ini semakin kurang. Orang bukan Islam sudah sanggup menyebut Islam Hadhari. Alangkah baik kalau kita dapat memanfaatkan pendekatan ini dalam menyebar Islam walaupun bukan dari segi akidah tetapi untuk keadilan dan kemakmuran masyarakat.

Oleh itu, kerajaan dan rakyat hendaklah meningkatkan pendekatan mereka terhadap Islam waima atas istilah apa pun. Contohnya, Islam Hadhari yang dipertikaikan oleh sebilangan orang adalah istilah bukan kandungannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan