Ahad, 17 Oktober 2010

Hakikat mencintai Nabi Muhammad s.a.w.

ARKIB : 11/04/2006

Setiap tahun umat Islam di Malaysia menyambut kehadiran 12 Rabiulawal iaitu tarikh yang dikaitkan dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dalam suasana meriah.

Saban tahun juga polemik tentang sunah atau bidaahnya menyambut Maulidur Rasul akan muncul. Pihak yang menentang sambutan Maulidur Rasul menyatakan sambutan tersebut adalah bidaah kerana ia tidak pernah dilaksanakan pada zaman Nabi dan sahabatnya r.a serta zaman para salafussoleh.

Malah imam-imam mazhab yang empat juga tidak pernah menganjurkan sambutan Maulidur Rasul ini. Timbul persoalan adakah mereka semua ini tidak mencintai Nabi Muhammad sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan Maulidur Rasul?

Bagi pihak yang menyokong sambutan ini mereka beranggapan ia adalah bidaah yang baik (hasanah) dan hanya bertujuan untuk mengagungkan baginda dan mencerminkan kasih sayang kita kepada baginda.

Apa pun, tidak perlu dipanjangkan polemik ini yang akan sentiasa dibahaskan tanpa penghujungnya. Apa yang ingin kita bahaskan di sini adalah tentang tatacara untuk membuktikan kasih sayang serta pengagungan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Terdapat banyak dalil yang menunjukkan kewajipan mencintai baginda yang merupakan antara ciri-ciri golongan yang beriman. Rasulullah berhak meraih cinta tersebut kerana baginda adalah makhluk yang paling mulia di sisi Allah s.w.t., memiliki akhlak yang luhur, memberi petunjuk dan menyelamatkan umatnya dari neraka jahanam dan menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Mencintai Nabi Muhammad merupakan antara kesan kesaksian kita bahawa Muhammad itu utusan (Rasul) Allah yang merupakan sebahagian dari kalimah syahadah.

Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah memiliki ciri-ciri yang tertentu. Beberapa tanda dapat menggambarkan perasaan cinta kita kepada Rasulullah dengan hakikat yang sebenar:

1) Mentauhidkan Allah s.w.t.

Hikmah utama diutusnya para Rasul termasuk Nabi Muhammad adalah untuk menyerukan fahaman tauhid dan menentang syirik.

Maksud mentauhidkan Allah adalah beribadah hanyalah kepada Allah sahaja dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa jua pun. Inilah pengertian sebenar kalimah tauhid yang bermaksud Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah iaitu dengan memurnikan ibadah hanya kepada-Nya dan berlepas diri dari segala sesuatu selainnya.

Inilah misi utama Nabi Muhammad terhadap umatnya. Oleh itu untuk membuktikan kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad maka hendaklah kita menghindari amalan-amalan syirik.

Mentauhidkan Allah merupakan bukti yang paling kukuh menunjukkan kita mencintai Nabi Muhammad.

2) Menghargai al-Quran serta mengamalkan isu kandungannya

Antara tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad adalah dengan berpegang teguh kepada segala firman Allah yang terkandung di dalam al-Quran.

Misi utama Nabi Muhammad adalah untuk mengajar umat manusia tentang al-Quran serta mempraktikkannya supaya boleh dijadikan contoh teladan bagi umat pada masa hadapan.

Oleh itu sekiranya al-Quran tidak dihargai dengan mempelajari dan mempraktikkannya, ia sebenarnya menggambarkan sikap kita yang memperlekehkan tugas utama Rasulullah yang diutuskan kepada umatnya yakni menyampaikan al-Quran.

Mereka yang memperlekehkan baginda tidak selayaknya dikategorikan dalam golongan yang mencintainya.

3) Mentaati sunah Nabi s.a.w.

Di antara tanda-tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi Muhammad adalah dengan mengerjakan sunahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Pada dasarnya semua perbuatan dan ucapan Nabi wajib diikuti dan diteladani.

Mentaati Rasulullah juga adalah bukti yang menunjukkan kita mencintai Allah. Memperjuangkan sunah juga bermaksud menghindari amalan bidaah.

Oleh itu memerangi amalan bidaah merupakan satu bukti yang menunjukkan kecintaan kita kepada sunah Nabi dan mengamalkan amalan bidaah menggambarkan pengkhianatan kita kepada dakwah baginda.

4) Menyebarkan sunah Nabi

Mencintai Nabi bukan sekadar hanya taat kepada sunah baginda malah di antara tanda kesempurnaan perasaan cinta kepada baginda adalah dengan menyebarkan sunah-sunah tersebut kepada seluruh umat manusia.

Keinginan untuk menyebarkan sunah Nabi, menyampaikannya serta mengajarkannya adalah satu usaha untuk menyambung tugasan baginda setelah baginda wafat. Sekiranya kerja-kerja dakwah baginda tidak ada kesinambungan pasti sunahnya akan mati dan digantikan dengan amalan-amalan bidaah.

5) Sentiasa memuji dan mengingatinya

Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad maka seharusnya baginda senantiasa berada di hati kita. Kita sepatutnya senantiasa mengingati pengorbanan yang telah baginda lakukan demi menyelamat umatnya dari lembah kesesatan. Oleh itu hendaklah kita memperbanyakkan membaca serta mempelajari sejarah hidup baginda serta berusaha untuk menjadikan perjalanan hidup baginda sebagai cahaya yang menyuluh perjalanan kita.

Hendaklah kita hanya menyibukkan diri dengan sejarah baginda yang sahih dan menghindari cerita-cerita palsu dan lemah yang banyak tersebar dalam masyarakat.

6) Mencintai mereka yang dicintai Nabi

Antara tanda kecintaan seseorang kepada Nabi adalah mencintai mereka yang dicintai baginda seperti Ahlulbaitnya serta para sahabatnya serta membenci mereka yang memusuhi, membenci serta menentang dakwah baginda.

Secara logiknya sesiapa yang mencintai seseorang maka dia juga akan mencintai apa yang orang tersebut cintai. Hal ini dikuatkan dengan dalil dari sebuah hadis:

Bahawa sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia mencintai segala yang disukainya, yang serupa dengannya, dan segala yang bertalian dengannya. (Diriwayatkan oleh al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Baari)

7) Membela Nabi daripada serangan golongan munafik

Dewasa ini kita melihat institusi kenabian, hukum-hukum Allah serta sunah-sunah baginda s.a.w. sedang hebat diperlekehkan oleh kelompok-kelompok munafik seperti gerakan Islam Liberal, golongan antihadis, para orientalis dan lain-lain kelompok yang sesat.

Oleh itu, antara tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad adalah dengan membantah hujah-hujah golongan tersebut dan membela baginda dengan memberikan penjelasan kepada seluruh umat Islam terhadap isu-isu batil yang dibangkitkan oleh musuh-musuh Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan