Selasa, 19 Oktober 2010

Gus Dur bapa pluralisme Indonesia

ARKIB : 31/12/2009 5:16pm

JAKARTA 31 Dis — Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah memberi gelaran Bapa Pluralisme kepada bekas Presiden Indonesia Abdurrahman Wahid atau Gus Dur.

"Gus Dur menyatukan masyarakat majmuk daripada pelbagai etnik, daerah dan agama. Sesungguhnya dia adalah bapa pluralisme dan multi-kulturalisme.

"Selama masa kepemimpinannya pada 1999-2001, Gus Dur meletakkan kebijakan yang bukan saja mengakhiri diskriminasi tapi juga memuliakan pelbagai bentuk kemajmukan itu,” kata Susilo dalam ucapan pada akhir upacara pengebumian negara untuk Gus Dur di Pondok Pesantren Tebu Ireng, Jombang, Jawa Timur hari ini.

Gus Dur terkenal sebagai pemimpin yang tidak pernah membezakan golongan dan menjadi pejuang kaum minoriti dan semasa kepemimpinannya, beliau telah menyamakan kaum Tionghua di Indonesia dengan kaum pribumi dan Tahun Baru Cina telah dijadikan cuti umum.

Susilo menegaskan bahawa Gus Dur juga banyak memberi teladan mengenai Islam sebagai sumber perdamaian dan toleransi sehingga menginspirasi banyak tokoh sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.

"Beliau juga tercatat sebagai peletak dasar dan perkembangan demokrasi di Indonesia. Pada awal tahun 90-an, Gus Dur bersama tokoh-tokoh lain mendirikan Forum Demokrasi yang menyemaikan gagasan-gagasan strategik bagi demokrasi dan pembangunan,” katanya.

- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan