Selasa, 19 Oktober 2010

Perspektif al-Quran tentang dialog antara agama

ARKIB : 01/01/2006

PENTINGNYA dialog antara Islam dan Kristian, adalah untuk mencari titik temu antara kedua-dua agama wahyu ini, bukan saja menyangkut masalah akidah dan ibadah, bahkan ia juga melibatkan masalah peradaban, yang menjadi akar masalah dari kedua-dua agama tersebut.

Usaha mendapatkan titik temu ini sangat penting, apalagi ada keterangan di dalam al-Quran tentang adanya segolongan ahli kitab yang rajin mempelajari ayat-ayat Allah di tengah malam, sambil terus-menerus beribadah dengan beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta melakukan amar makruf nahi mungkar dan bersegera melakukan kebaikan (maksud surah A'-Li Imraan ayat 113-114).

Gambaran al-Quran yang positif dan simpati kepada kaum ahli kitab inilah yang sebenarnya mengajak kaum Muslimin untuk berdialog bagi memperoleh suatu keyakinan bersama tentang kebenaran yang mutlak.

Ini tidak boleh disamakan dengan anggapan bahawa dialog sebagai kaedah untuk menentukan agama mana yang paling benar. Kalau kata ``agama'' difahami secara konkrit, bukan secara metafizik, maka dialog antara agama bererti dialog antara orang yang beragama. Hal ini demikian kerana hanya di sinilah dialog mendapat tempat sebagai fungsi kritis yang tidak terlepas daripada kehendak setiap orang untuk mencari kebenaran terus-menerus.

Dialog ini bertujuan memperjuangkan masyarakat yang lebih adil, lebih merdeka, lebih manusiawi. Pada tahap ini umat antara iman dan agama bersama-sama mentransformasikan masyarakat agar menjadi lebih adil, lebih merdeka dan manusiawi, agar keutuhan ciptaan dan lingkungan hidup dapat dilestarikan.

Bentuk dialog yang dimaksudkan ini ialah dialog pengalaman keagamaan, agar peranan agama ditempatkan pada konteks persoalan global seperti persoalan alam sekitar, peperangan, moral, hak asasi manusia dan keadilan yang dihadapi bangsa manusia pada abad ke-21.

Dialog pengalaman keagamaan memberikan kesempatan kepada para peserta dialog membahagikan pengalaman keagamaan mereka. Pengabaian iman seseorang peserta dialog akan menutup kesempatan menemukan pengalaman dan pemahaman yang lebih mendalam, baik terhadap agamanya sendiri mahupun agama lawan di dalam dialog tadi.

Oleh itu, perwatakan dialog merupakan suatu percakapan antara dua pihak atau lebih, yang mengandungi unsur keterbukaan, sikap kritis dan keupayaan untuk saling mendengar, saling belajar dan memahami antara satu sama lain.

Peserta dialog mestilah mempunyai sikap keterbukaan, yakni bahawa kedua-dua belah pihak atau lebih yang terlibat dalam dialog tersebut mestilah bersedia untuk mendengar.

Keterbukaan dan kejujuran dalam dialog merupakan syarat yang amat penting. Perbezaan pendapat dalam dialog adalah wajar, malahan perbezaan itulah yang menimbulkan dialog. Tetapi perbezaan pendapat itu tidak boleh dianggap sebagai alasan untuk menempatkan suatu keputusan dan memberikan penilaian yang berat sebelah.

Dalam hal ini, dialog merupakan kesempatan untuk menggalang kerjasama antara agama untuk memecahkan masalah-masalah kemanusiaan dalam masyarakat. Keprihatinan agama-agama ini merupakan kekuatan baru bagi kemanusiaan untuk menghadapi pelbagai persoalan.

Tegasnya, dialog bertujuan menanggapi situasi tertentu yang menuntut orang untuk memilih bekerjasama daripada berkonfrontasi dan saling menyalahkan dan mengalahkan.

Di samping sikap pluralisme, sikap keterbukaan dan toleransi juga amat penting sebagai landasan dialog antara agama. Tanpa ketiga-tiga unsur ini, dialog yang bakal dilakukan sudah tentu tidak akan mencapai hasil yang baik.

Melalui dialog yang secara jujur dan kesediaan menerima kelemahan masing-masing merupakan langkah yang mampu menyelesaikan masalah antara Islam-Kristian.

Selama ini hubungan Islam-Kristian sering dipenuhi dengan prasangka dan konflik. Perbincangan tidak mungkin sampai kepada persoalan teologi kerana persoalan ini adalah ``daerah persengketaan'' yang tidak mungkin diselesaikan. Oleh itu dialog antara agama harus dibatasi pada persoalan-persoalan sosial dan kemanusiaan yang manfaatnya dapat dirasakan oleh umat manusia.

Secara intelektual dan moral masing-masing pihak berhak untuk menegakkan pandangan agama masing-masing tanpa menonjolkan diri bahawa agama merekalah yang lebih tinggi kedudukannya. Dalam pengertian, tidak ada unsur-unsur fanatik dalam memberi pandangan, dan masing-masing pihak perlu memiliki niat baik untuk saling mendengar.

Sikap yang lebih positif dengan pengetahuan yang tepat diperlukan dalam usaha mendekatkan hubungan kerjasama Islam-Kristian ini. Isu-isu silam seperti Perang Salib Islam-Kristian, gerakan kolonialisme, orientalisme dan gerakan misioneri Kristian yang menjadikan konflik berpanjangan antara kedua-dua agama ini, tidak harus dijadikan alasan untuk saling tidak bekerjasama dalam menangani masalah etika, moral, hak asasi, peperangan dan lain-lain lagi.

Sejarah mencatat bahawa Nabi Muhammad dan para penggantinya (Khalifah Al-Rasyidin) tidak pernah memaksa golongan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) meninggalkan agama mereka sebagai syarat hidup bersama kaum Muslim.

Al-Quran tidak pernah mengutuk agama Kristian melainkan berusaha membetulkan semula kesalahfahaman mereka bahawa ada tiga Tuhan yang berdiri sendiri (triteis).

Wahai ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar (maksud surah An-Nisaa ayat 171).

Islam-Kristian harus hidup sebagai satu masyarakat dan masing-masing pihak berhak mengamalkan kebebasan sosial dan agama mereka sendiri. Mereka harus saling menerima dan menghargai, tidak hanya terbatas pada interaksi sosial melainkan juga perdebatan intelektual dan teologi.

Daripada hakikat ini perbezaan dari segi doktrin kadang-kadang boleh menimbulkan pendebatan yang membawa kepada perseteruan, namun al-Quran memerintahkan untuk berlaku adil dalam pendebatan.

Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): ``Kami beriman kepada al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri'' (surah al-Ankaabut ayat 46).

Prinsip-printisp toleransi dari ajaran Islam inilah yang menjadi panduan dan kefahaman mereka di dalam menghadapi pihak Kristian yang kadang-kadang terlalu mudah untuk tercetusnya konflik.

Walau bagaimanapun permasalahan ini terletak kepada pentafsiran orang Muslim ke atas ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hubungan Muslim-Kristian. Apakah mereka akan mengambil ayat-ayat itu tadi secara literal atau terlepas dari konteksnya yang spesifik atau dengan menanggung risiko terjadinya kontradiksi terhadap prinsip-prinsip umum yang termaktub di dalam al-Quran.

Al-Quran mengajarkan bahawa umat Islam harus menghormati semua pengikut kitab suci (ahli kitab). Sama halnya dengan semua kelompok manusia termasuk umat Islam sendiri - di antara kaum pengikut kitab suci itu ada yang lurus (benar) dan ada yang tidak. Daripada mereka ada yang memusuhi kaum beriman, tetapi ada juga yang menunjukkan sikap persahabatan yang tulus.

Harapan tersebut di atas membuktikan bahawa perdamaian dunia merupakan sesuatu yang amat diperlukan dan tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Langkah awalnya ialah dengan menciptakan kesedaran secara kolektif tanpa mencurigai pihak mana pun di antara kita.

Dalam rangka mencipta kesedaran kolektif ini ada hal-hal yang harus dilakukan secara bersama, ada hal-hal yang tidak perlu dilakukan dan ada pula hal-hal yang harus dihormati. Adapun hal-hal yang harus dilakukan adalah seperti berikut:

Pertama; mewujudkan kemahuan bersama untuk menciptakan perdamaian dengan melahirkan satu kesedaran secara kolektif ke arah tersebut.

Kedua; duduk secara bersama merumuskan idea-idea terbaik untuk menciptakan perdamaian dengan meletakkan kepentingan bersama dari kepentingan kelompok.

Ketiga; bersama-sama menahan diri untuk tidak terlibat dalam konflik kepentingan yang boleh membawa kepada konfrontasi secara fizikal (peperangan).

Strategi-strategi lain yang boleh diambil oleh orang Islam dan bukan Islam antara lain ialah hendaklah dipatuhi sepenuhnya prinsip kebebasan beragama iaitu tiada paksaan dalam agama dan juga persetujuan untuk berbeza dalam agama yang amat ditekankan oleh al-Quran, seperti firman-Nya yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sudah nyata petunjuk kebenaran daripada kesesatan. Oleh itu sesiapa yang tidak mempercayai Taghut (yang menyesatkan) dan percaya akan Allah maka dia telah berpegang kepada tali yang teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui (surah al-Baqarah ayat 256).

Demikian juga sikap ekstrem, fanatik, militan dan teroris, al-Quran jelas mengutuk dengan amat keras seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang menjustifikasikan pembunuhan itu (seperti hukuman balasan bunuh atas kelakuannya membunuh orang lain) atau kesalahan melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia (surah Al-Maa'idah ayat 32).

Orang Islam, bukan Islam juga seharusnya sentiasa berdialog dan berinteraksi dengan pengamal agama dan budaya lain terutama sesama warga negara yang berbeza agama dan budaya. Islam sebagai sebuah peradaban sejak zaman generasi pertama lagi sentiasa mengamalkan sikap inklusif iaitu mengintegrasikan semua golongan agama dan budaya yang ada dalam negara sebagai satu komuniti atau ummah, bukan memencil dan memulaukan mereka itu. Juga dalam pelaksanaan segala hukum syariah dalam aspek mu'amalah (interaksi sosial), mu'asyarah (interaksi budaya) dan jenayah dalam masyarakat yang jamak budaya dan agama, sudah tentu akan menyentuh komuniti bukan Islam juga. Maka dalam hal yang demikian sesi dialog, penerangan dan perbincangan tentang pelaksanaan hukum syariah itu perlu dilakukan seluas-luasnya. Dalam sesi-sesi demikian beberapa etika dialog atau adab berbeza pendapat (adab al-ikhtilaf) harus dipatuhi, iaitu:

i) Menerima pluralisme agama dan menghormati perbezaan pendapat sebagai satu yang lumrah di kalangan manusia yang berbeza-beza latar belakang budaya, agama, suku bangsa dan puak-puaknya (seperti yang diakui sendiri oleh al-Quran surah al-Hujrat ayat 13).

ii) Mengelakkan cemuhan budaya dan agama yang lain (cultural and religious ridicule) dan menyerahkan kepada Tuhan untuk menentukan kebenaran yang muktamad, seperti juga yang dianjurkan oleh al-Quran: Anda tidak bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami tidak bertanggungjawab tentang kesalahan yang anda lakukan. Katakanlah bahawa Tuhan akan menghimpunkan kita semua (pada hari kiamat), kemudian memutuskan perselisihan antara kita dengan kebenaran. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Pengadil yang Maha Mengetahui (surah Saba'ayat 25-26).

iii) Bersopan santun dan berbudi bahasa yang baik dalam berdialog seperti dianjurkan oleh al-Quran, iaitu: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik (surah an-Nahl ayat 25).

Maka hendaklah anda berkata kepadanya (para pendengar dengan kata-kata yang lemah lembut (layyina), semoga dengan demikian ia akan sedar dan insaf (surah Thaha ayat 24).

Hubungan antara pemeluk Islam dengan Kristian bukanlah suatu fenomena baru. Malahan ia merupakan suatu kenyataan kehidupan masa kini, seperti semenjak berpuluh-puluh tahun atau berabad-abad lalu. Hubungan kedua-dua agama telah berkembang dalam pelbagai dimensi, yang secara keseluruhannya telah mengubah perspektif masing-masing. Hal ini dipengaruhi oleh perkembangan pemikiran keagamaan di kalangan umat beragama itu sendiri.

Sejarah yang panjang mengenai hubungan Islam-Kristian menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi suatu masyarakat yang sedang menuju kehancuran, sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat. Islam juga sebagai suatu agama yang menganut prinsip toleransi (sasamuh) dan agama pemersatu manusia di bawah panji-panji al-Quran dan al-sunnah, yang diakui oleh penganut ahli kitab mahupun penganut agama wadi atau culture religion seperti agama Buddha, Hindu, Shinto, Tao dan seumpamanya.

Islam pernah bertindak sebagai pelindung kepada gereja-gereja dan memberikan kebebasan beragama kepada segala aliran atau mazhab Masihi yang ada di Iskandariyah, dengan tidak melebihkan yang satu daripada yang lainnya. Bahkan dapat dikatakan, yang menyelamatkan orang-orang Masihi Qibthi atau Masihi lama di Mesir, ialah agama Islam.

Sikap toleransi yang diamalkan oleh umat Muslimin menimbulkan perdamaian di dunia. Sekiranya umat Islam tidak mengamalkan toleransi beragama, nescaya penduduk bumi ini akan berada dalam kacau-bilau, sentiasa dalam percakaran dan pertumpahan darah, akibat perlakuan penganut agama lain kepada mereka.

Sikap dan pendekatan simpatik oleh umat Krisitian terhadap Islam yang tidak begitu menonjol pada abad-abad awal Islam, sudah mulai berubah. Banyak sarjana Kristian semasa, yang secara tulus berupaya memahami dan memperlihatkan rasa hormat kepada Islam dan penganutnya. Katolik tidak lagi memegang prinsip extra ecclesiam nulla salus (di luar gereja tiada keselamatan) dan extra acclesiam nullus propheta (di luar gereja tiada nabi).

Umat Islam diperingatkan oleh al-Quran untuk tidak mengejek atau menghina golongan lain, kerana boleh jadi orang yang dihina itu lebih baik daripada orang yang menghina. Sejak awal-awal lagi al-Quran menjangkakan akan munculnya bentuk pendakwaan kebenaran (truth claim) baik yang muncul dalam masyarakat satu agama, mahupun antara umat Islam dengan penganut agama lain.

Al-Quran menganjurkan umat Islam agar saling memperingatkan, saling menasihati dalam mencari kebenaran yang hakiki. Dengan demikian, dapat dikatakan bahawa al-Quran lebih dahulu berbicara mengenai etika, baik terhadap sesama umat Islam, terhadap penganut agama lain, dalam pergaulan mahupun dalam bermujadalah (dialog).

- MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan