Selasa, 19 Oktober 2010

Hindari liberalisme moden

ARKIB : 27/05/2007

ZAMAN kian berubah mengikut pelbagai acuan pemikiran. Namun di sebalik pemikiran itu, terdapat kerencaman pemahaman yang amat mencengkam menuju ke arah saluran-saluran pemikiran-pemikiran yang bersifat liberal.

Apa yang dapat dilihat pada masa kini, pelbagai fragmen ideologi Barat menerjah sama ada dari segi ekonomi, politik, sosial, budaya, malah dijadikan sebagai satu anjakan paradigma daripada modenisme kepada pascamodenisme yang menjurus ke arah liberal.

Selepas kejatuhan Empayar Roman, pendapat dan pendukung liberal tidak cergas lagi di sepanjang Zaman Kelam di Eropah. Perjuangan untuk kebebasan mula dihidupkan kembali semasa zaman Renaissance di Itali. Ia mula tercetus apabila pertelingkahan berlaku di antara penyokong-penyokong bandar negeri yang bebas dan penyokong-penyokong Paus.

Pertelingkahan ini mengakibatkan perpecahan dari sudut liberalisme klasik, juga wujud beberapa pergerakan di dalam liberalisme. Liberalisme klasikal yang merupakan satu cabang falsafah liberalisme yang menekankan kerasionalan manusia, hak-hak harta peribadi, hak-hak semula jadi, kekangan perlembagaan ke atas kerajaan, perlindungan hak-hak sivil, pasaran bebas dan kebebasan peribadi. Disebabkan perpecahan itu, maka lahir beberapa aliran dan pergerakan liberalisme seperti neoliberalisme, liberalisme budaya, liberalisme klasikal, ordoliberalisme, liberalisme konservatif, paleoliberalisme, liberalisme sosial dan liberalisme ekonomi.

Berbanding dengan aliran lain, liberalisme budaya lebih mengunjurkan sistem pragmatik yang negatif dengan menekankan hak- hak peribadi yang berkaitan dengan cara hidup dan perasaan hati termasuk kebebasan seksual, kebebasan beragama, kebebasan pemahaman dan perlindungan daripada campur tangan kerajaan di dalam kehidupan peribadi.

*Ideologi

Secara ideologi Barat, liberalisme dapat diklasifikasikan sebagai satu fahaman, falsafah, dan tradisi politik yang meletakkan kebebasan sebagai nilai politik yang tertinggi. Liberalisme mula mengalami perubahan mendadak dengan membentuk pendapat yang menyatakan bahawa manusia bebas boleh membentuk asas masyarakat yang stabil.

Sememangnya hari ini reaksi kita perlu positif apabila berhadapan dengan dominasi Barat pada peringkat global, dan hipokrasi terhadap Barat secara diplomasi adalah penting. Tetapi tanpa sumbangan dan ideologi kita sendiri, kita akan dikecam sebagai defensif juga. Apa yang menghairankan, mereka tidak mempersoalkan isu-isu etnik, budaya dan politik di Eropah dan Amerika Syarikat yang bertentangan dengan demokrasi dan hak asasi manusia.

Pada era ini, Barat dapat diidentifikasikan menjadi dua jangka, waktu modenisme dan pascamodenisme. Modenisme mengheret pandangan hidup saintifik yang antropomorfisme (persamaan kejadian manusia dengan Tuhan), sekularisme, rasialisme, empirisisme, pemikiran dikotomi, pragmatik yang bersandarkan teori negatif, penafian kebenaran metafizik, kurangnya penerapan didaktisisme terutamanya dari segi moral dan etika kehidupan, seterusnya membina ideologi dan fahaman “liberalisme moden” yang dibawa oleh pendukung liberalisme moden. Kebanyakan fahaman baru ini menggugat akidah umat Islam kerana secara realistik ianya logik bagi akal.

Berbeza pula dengan pascamodenisme yang merupakan aliran mengkritik modenisme sehingga mendatangkan pelbagai kecelaruan minda. Hasilnya, wujud pemahaman-pemahaman baru yang disalahtafsirkan seperti relativisme, pluralisme, dan sebagainya.

Kini tidak dapat ditolak lagi dan amat menyedihkan apabila kesan refleksi pengaruh Barat telah mula mengalir dalam pemikiran sesetengah golongan umat Islam, dan ini dapat dilihat daripada arca pembaharuan pemikiran keagamaan Islam atau tajdid.

Pembaharuan sering diterjemahkan menjadi modenisasi, dan kini ke arah menjadi liberalisasi. Padahal tajdid berbeza daripada modenisasi ataupun liberalisasi, baik secara etimologi mahupun konsep. Malangnya, perbezaan ini tidak dicermati, dan konsep-konsep di dalamnya diterjah tanpa proses epistemologi Islam yang jelas.

Selain itu, upaya-upaya pembaharuan pemikiran atau tajdid sesetengah umat Islam kini ternyata masih bersifat spektisisme (keraguan), evasif, iaitu tidak didukung oleh komuniti yang spesifik dalam mengkaji, meneliti, menyelaraskan, dan mengembangkan pemikiran kefahaman Islam dari pelbagai sudut. Apa yang dikhuatiri konsep tajdid sering ditekankan oleh segelintir umat Islam yang bertunjangkan kepentingan kebendaan dan keduniaan yang mencakupi semangat dan bentuk-bentuk jahiliah sahaja.

*Kefahaman

Pembaharuan seperti itu tidak akan membawa kepada pencerahan minda, tetapi menimbulkan banyak keraguan dan konflik. Ini mengakibatkan kefahaman, idea, nilai, dan falsafah ilmu Barat moden dan pascamodenisme bercampur baur dalam pemikiran sesetengah umat Islam. Akhirnya, Muslim berbicara mengenai ilmu pengetahuan Islam, sejarah Islam, bahkan ajaran Islam dengan pemahaman, nilai, idea, serta pendekatan yang menyangkut dengan terminologi Barat. Di sini menimbulkan persoalan, mengapakah terjadi sedemikian rupa?

Apa yang diperlukan dalam pembaharuan pemikiran Islam adalah dengan menggali kembali khazanah ilmu pengetahuan Islam. Dengan keserasian yang bersandarkan epistemologi Islam khususnya kepada para ilmuan dan ulama Islam agar mereka berganding bahu bersama-sama berijtihad dan bertajdid serta melahirkan konsep-konsep Islam yang tersendiri yang bersesuaian dalam pelbagai bidang. Tajdid adalah usaha untuk menghidupkan semula Islam dalam bentuknya yang murni, serta menyusun semula corak hidup dan masyarakat dengan nilai dan prinsip-prinsip Islam.

Jika waktu modenisme dan pascamodenisme tidak dilihat dalam konteks Islam dan menjadikan ia “sesuatu prospek” yang bernilai dan bersesuaian di mata Islam, sudah tentunya ia akan menjadi ‘tusukan’ kepada nilai-nilai Islam yang sedia ada dan akhirnya umat Islam akan ketinggalan dalam serba- serbi di era global ini.

Sesungguhnya amat digeruni jika pemahaman dan ideologi “liberalisme moden” mengalirkan sifat-sifat negatif ke dalam dunia Islam, kerana pemahaman ini akan mendatangkan ‘suatu’ revolusi pada dunia Islam masa kini yang akhirnya menutupi Syariah Islam. Sudah masanya umat Islam bangkit menyedari dan membuka lembaran baru bersama konsep Islam yang teratur dan berada di ruang lingkup yang ditetapkan al-Quran dan sunah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan