Selasa, 19 Oktober 2010

Perjuangan gender hapuskan diskriminasi

ARKIB : 22/02/2009


Zainah Anwar


BENARKAH berlakunya diskriminasi wanita kerana wujudnya undang-undang keluarga Islam yang sedia ada? Perlukah perubahan bagi memastikan wanita tidak lagi menjadi mangsa keadaan atau ditindas kerana halangan budaya dan agama?

Pengarah Projek Pergerakan Global Bagi Kesamaan dan Keadilan Dalam Keluarga Islam (Musawah), Zainah Anwar mengakui tindakan mengubah undang-undang bukan sesuatu yang mudah dilakukan, malah tentangan pasti datang bagi menggagalkan usaha itu termasuk daripada pihak berkaitan khususnya pemimpin agama.

Zainah menerangkan, undang-undang yang dibuat atas perintah Islam tidak boleh berunsur tidak adil dan mendiskriminasi sebab keadilan dan kesaksamaan adalah terkandung dalam agama. Tambahan lagi, peranan dan status wanita telah ditetapkan oleh angkatan konservatif dalam Islam.

"Mereka mendefinisikan makna perkataan Islam, cara menjadi seorang Islam, cara menjadi wanita, isteri dan anak perempuan Islam yang baik dan kemudian membuat undang-undang dan dasar yang membelenggu wanita sebagai orang Islam kelas kedua dan warganegara kelas kedua," katanya ketika dalam ucapan persidangan Musawah yang diadakan selama empat hari di Hotel Prince, Kuala Lumpur.

"Biasanya, apabila wanita Islam mahu menuntut keadilan atau inginkan perubahan undang-undang, mereka akan dimaklumkan bahawa ini semua adalah undang-undang Tuhan yang tidak boleh ditukar atau dibincangkan langsung.

Wanita yang mempersoalkan, mencabar atau mahukan perubahan kerana ketidakadilan itu akan dilihat sebagai individu yang menentang syariah atau lemah iman.

"Paling tidak pun, wanita itu akan dikatakan bersikap anti-Islam, kebaratan atau akidahnya jauh menyimpang, malah laporan akan dibuat kepada polis atau pertubuhan agama supaya kita ditangkap dan pertubuhan kita diharamkan kerana dikatakan menghina Islam," jelasnya.

Walaupun setiap masyarakat mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza, matlamat kita adalah sama, malah kita perlu mengetahui apa yang dibolehkan dalam Islam dan apa yang sebenarnya dilarang.

Zainah berkata, penganjuran Musawah tepat pada masanya kerana rangkaian wanita Islam antarabangsa perlu diwujudkan untuk memperjuangkan usaha supaya perubahan undang-undang dapat dilakukan.

Jika wanita mahukan perubahan mendalam berlaku dalam usaha mencapai hak kesaksamaan wanita dan keadilan dalam Islam, wanita mestilah mencipta institusi baru dan menuntut identiti agama mereka untuk diri mereka sendiri.

"Perubahan datang dari mereka yang menulis jalan cerita dan aktivis seperti kitalah yang mempengaruhi mereka di lapangan," kata Daisy Khan daripada Inisiatif Islam Wanita dalam Ketuhanan dan Kesaksamaan (WISE).

Khan juga berkata, jumlah yang besar menimbulkan kekuatan dan 750 juta wanita Islam di dunia iaitu satu per enam daripada penduduk dunia. Ini boleh memastikan supaya fokus terus tertumpu kepada isu-isu menekan. dia juga percaya bahawa satu kebangkitan semula agama oleh wanita sedang berlangsung, di mana semakin ramai wanita mendefinisikan diri mereka melalui agama.

Sementara itu, penceramah bersama Zarina Azizi daripada Wanita di bawah Naungan Undang-undang Islam (WLMUL) mempersoalkan jurang yang wujud antara kewangan Islam iaitu yang kaya dengan tafsiran dan menikmati interaksi yang dinamik antara fiqh dan pasaran kewangan dan cara undang-undang Islam dianggap kekal dan abadi apabila ia melibatkan wanita.

Zarina bukan hanya bimbang kesan undang-undang terhadap wanita Islam tetapi juga terhadap wanita bukan Islam.

"Interaksi undang-undang Islam membawa kesan terhadap kedua-dua orang Islam dan bukan Islam. Apabila sudah menjadi dasar awam, ia harus dibuka untuk perbahasan awam dan mereka yang terjejas seharusnya diberi hak untuk menyoal dan membincang undang-undang berkenaan."

Kita mengaitkan kumpulan-kumpulan setempat, serantau dan antarabangsa, wanita yang tinggal dimana islam adalah agama rasmi negara atau masyarakat yang diperintah oleh undang-undang agama dan mereka yang mengkategorikan diri mereka sebagai orang Islam.

"Menumpu perhatian kepada pemindaan prosedur, terutamanya adalah strategi yang berguna apabila suasana politik tidak membolehkan pembaharuan perundangan yang bermakna," jelas Cassandra Balchin daripada Jaringan Wanita Muslim yang berpangkalan di United Kingdom.

Balchin berkata, walaupun terdapat undang-undang dianggap sebagai melindungi wanita, sebenarnya sistem perundangan yang meneruskan diskriminasi negatif.

"Banyak daripada isu-isu sosial tidak semestinya mempunyai penyelesaian undang-undang. Ini bukannya soal pembaharuan tetapi sebaliknya merupakan persoalan mengubah sikap dan pemikiran," katanya.

Jika usaha untuk memperbaharui undang-undang kelihatan seperti tidak berjaya, mungkin mereka berjaya dari segi lain seperti menggabungkan wanita ke arah matlamat bersama dan meningkatkan kesedaran awam.

Sebab itu, Sisters In Islam (SIS) mengusulkan idea ini dan menjemput aktivis bekerjasama membincangkan perkara itu supaya ian dapat dilakukan di negara mereka. SIS mengambil contoh kejayaan mewujudkan undang-undang keganasan rumah tangga sebagai satu kesalahan jenayah di lebih 100 negara walaupun mengambil masa 25 tahun dan mungkin dalam tempoh 10 tahun lagi,

25 negara Islam boleh mencontohi Turki dan Maghribi yang mempunyai undang-undang mengiktiraf perkahwinan sebagai hubungan yang memberi hak sama rata kepada suami dan isteri dalam hal rumah tangga, perceraian danpenjagaan anak.

Oleh itu, hasil daripada kertas kerja yang dibincangkan sepanjang persidangan ini, Musawah akan terus melaungkan kesaksamaan yang dituntut sebagai hak asasi wanita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan