Selasa, 19 Oktober 2010

Fahami keindahan syariah Islam

ARKIB : 12/02/2006

DEWASA ini, terdapat semacam trend yang dipegang oleh sebilangan besar sarjana moden yang cuba mengaitkan isu hukum Islam dengan pemodenan yang berlaku secara meluas di dalam masyarakat. Hal ini dibuat memandangkan sifat dan kemampuan hukum Islam itu yang dilihat secara teori dan praktiknya mampu berinteraksi dengan keperluan masyarakat dan pemodenan. Bagi mereka, berpandukan kepada teori asas ini, pelbagai eksperimen dilakukan bagi menilai sifat keterbukaan hukum Islam dengan pemodenan yang berlaku, dalam pelbagai latar belakang masyarakat, sama ada di Asia Barat, Indo-Pakistan, Iran, Indonesia, termasuklah Malaysia.

Hasilnya, kajian ini menyumbangkan penetapan teori hukum Islam yang baru yang lebih bersifat positif menggantikan paradigma orientalisme klasik yang rata-ratanya bersifat negatif dan bias kepada tamadun Barat. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bagaimana masih terdapat sarjana Barat yang begitu fanatik dengan paradigma orientalisme klasik, berpunca antara lainnya kerana sifat fanatik terhadap ketinggian tamadun sekularisme Barat dan kepentingan dominasi ekonomi-politik kuasa-kuasa Barat.

Pendekatan ini tidak keterlaluan dikatakan bahawa seperti genre orientalisme klasik yang dijadikan alat utama untuk agenda kolonialisme Barat, genre orientalisme moden pun turut dijadikan alat dan suaka kepada pengukuhan kolonialisme kuasa Barat bentuk baru.

Bagi sesetengah sarjana Barat yang masih secara kuat berpegang dengan pendekatan yang negatif terhadap ajaran Islam, syariah Islam sering ditonjolkan sebagai sistem undang-undang yang barbar, kasar, kejam dan tidak berperikemanusiaan, khususnya kepada golongan bukan Islam. Pandangan negatif ini dengan bantuan media ICT moden, disebarkan ke seluruh dunia, yang sayangnya ditelan bulat-bulat oleh bukan Islam, termasuklah di Malaysia. (Md. Sidin Ahmad Ishak, Sekularisme Dalam Media Massa, dalam Jurnal Tasawwur Islam, v. 6, 2000, hlm. 91-101). Hal ini terbukti dengan tercetusnya peristiwa penganut bukan Islam mempersoalkan syariah Islam seperti dalam isu perkara 121 Perlembagaan Malaysia.

Pada hemat penulis, bagi menangani isu ini beberapa kupasan boleh diberikan; pertama, penegasan tentang sifat keunggulan yang dimiliki oleh syariah Islam. Hal ini diakui sarjana Islam, diabsahkan pula oleh sarjana Barat sendiri. Lebih jauh lagi, memang kedapatan sebahagian besar daripada sarjana Barat yang mengkaji syariah memeluk agama Islam didorong oleh keindahan syariah Islam. Contohnya, Martin Lingg, William Chittick, Maryam Jamelah, Sachiko Murata, Leonard Binder, Muhammad Asad dan Maurice Bucaille; termasuklah juga tokoh-tokoh yang bersimpati dengan ajaran Islam, seperti W. W. Smiths, Charles C. Adams, John Esposito, Wael Hallaq, Jacques Waardenburg, J. S. Nielsen, John O. Voll, Richard Bulliet, Leon T. Hadar, Fred R. Von Der Mehden dan Fawaz A. Gerges. (America and political Islam; Clash of cultures or clash of interest, Cambridge: Cambridge University Press, 1999).

Bagi kalangan sarjana Barat ini, keindahan syariah Islam boleh dirujuk kepada beberapa ciri dan prinsip:

1. Bersifat rabbani; berasal daripada Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Syariah Islam adalah anugerah Allah yang Maha Mengetahui segenap keperluan hidup manusia kerana Dia yang menjadi pencipta kepada manusia dan sekalian alam. Secara khususnya, kita boleh menganggap Islam sebagai manual yang disediakan oleh Allah bagi menangani produk yang bernama manusia;

2. Bersifat syumul (lengkap). Berbanding dengan agama-agama lain yang membataskan skop perbahasan agama kepada soal hubungan antara Tuhan dengan makhluk, ajaran Islam dalam ruang lingkupnya amat lengkap kerana mengajarkan kepada manusia kaedah untuk menjalinkan tiga bentuk hubungan dalam kehidupan, hubungan dengan Allah, makhluk dan alam sekitar;

3. Mengakui penggunaan akal yang terpimpin dalam menangani pelbagai masalah manusia yang tiada keterangannya di dalam sumber wahyu. Di samping sumber wahyu, keistimewaan syariah terserlah apabila ia turut mengakui peranan dan potensi akal manusia dalam menentukan persoalan hukum Islam berpandukan garis panduan di dalam sumber wahyu;

4. Mengakui segenap aspek keperluan asasi hidup manusia, sama ada di dunia ataupun akhirat. Konsep keperluan asasi manusia ini boleh dilihat di dalam konsep maslaha yang merupakan suatu sumber tambahan yang diakui autoritinya di dalam ilmu usul al-fiqh. Ia ditakrifkan sebagai manfaat yang ditujukan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya, demi memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Setiap perkara dan tindakan yang mengandungi jagaan dan kawalan terhadap lima perkara penting ini akan dianggap sebagai maslaha, dan sebarang perkara dan tindakan yang mencabul kelima-lima perkara ini akan dianggap sebagai mafsadah. (Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, Hak asasi manusia menurut pandangan Islam dan Barat, Kuala Lumpur: Penerbitan PTS, 2002, hlm. 35-47).

Malangnya, seperti dikatakan oleh S. Batumalai seorang sarjana Kristian di Malaysia, hal ini amat sedikit diketahui oleh penganut bukan Islam di Malaysia didorong oleh sifat-sifat sinikal yang tidak bertempat terhadap syariah Islam. Sifat ini, mengikut Wan Mohd. Nor Wan Daud merupakan suatu penyakit yang dikenali dengan xenophobia (sentiasa takut kepada unsur-unsur luar) dan bebalism (sifat rohani yang rendah dan enggan berubah walaupun diberikan maklumat yang betul).

Pendek kata, seandainya keindahan syariah Islam itu dikaji dan dipelajari secara objektif oleh penganut bukan Islam di Malaysia, nescaya kekeliruan seperti yang timbul baru-baru ini akan terhapus. Buktinya boleh dilihat daripada pengamatan secara langsung dituruti pula dengan komentar yang diberikan oleh Profesor Osman Bakar, Datuk Hassan Ahmad dan Gordon D. Newby; selepas peristiwa 11 September, masyarakat Barat telah berusaha mengkaji ajaran Islam daripada sumbernya yang betul, Quran dan sunah.

Hasilnya, sebahagian besar masyarakat Barat berasa hairan kerana sebahagian besar daripada ajaran Islam didapati penuh dengan sifat rahmah (nilai kemanusiaan) yang amat baik, kemuncaknya boleh dilihat dengan bertambah ramai masyarakat Barat yang telah memeluk agama Islam. (Gordon D. Newby, Muslim/non-Muslim relations: Lesson from the past for a better future, dalam (edit) Aidit Haji Ghazali, Development, Islamic, Malaysian and American perspectives, Kuala Lumpur: INMIND, 1996, hlm. 49-50).

Kedua, penganut bukan Islam perlu mengamalkan sifat tolak ansur yang tinggi menangani isu syariah Islam. Bagi Hassan Ahmad, sikap tolak ansur ini perlu difahami dan diamalkan secara dua hala, bukannya hanya tahu mendesak sehingga melukakan hati penganut Islam. Apa yang lebih penting, penganut bukan Islam selepas merdeka perlu menghormati kontrak sosial yang dimeterai semasa kemerdekaan - menyentuh isu ketuanan Melayu.

Mengikut Wan Mohd. Nor Wan Daud, prinsip ketuanan Melayu ini berpunca daripada tiga sebab utama; pertamanya, sifat awal dan ketinggian tamadun Tanah Melayu yang dibina oleh manusia Melayu berasaskan kepada pemahaman terhadap syariah Islam, keduanya; nisbah pengorbanan dan darah manusia Melayu yang banyak dicurahkan untuk mempertahankan Tanah Melayu menghadapi penjajahan kuasa luar dan ketiga, sifat toleransi dan kesudian manusia Melayu menerima bersama golongan bukan Melayu untuk menetap di Tanah Melayu.

Sehubungan dengan itu, bagi Ahmad Jelani Halimi (Perdagangan dan perkapalan Melayu di Selat Melaka Abad ke- 15 hingga ke-18, Kuala Lumpur: DBP, 2006) dan Hashim Musa, manusia Melayu mampu membina tamadun Alam Melayu yang berasaskan kepada perdagangan yang mengamalkan pendekatan mesra dan adil dengan penganut bukan Islam adalah berpunca daripada pengamalan syariah Islam itu sendiri.

Fakta sejarah ini perlu difahami secara mendalam oleh bukan Islam, yang diharapkan akan membentuk sifat tolak ansur yang tinggi.

Tanpa kesedaran ini, ia bakal menjemput sekali lagi isu perpecahan kaum ala 13 Mei. Sering kali terjadi pertumpahan darah yang berpunca daripada isu agama, walaupun ia membabitkan isu kecil semata-mata. Hal ini telah dijelaskan oleh Khoo Kay Kim; ``Majoriti orang Malaysia tidak memahami apakah ertinya agama kerana dalam mengamalkan agama, mereka hanya mengetahui tentang aspek-aspek ritual, jarang tentang ajaran-ajaran pokoknya. Oleh yang demikian mereka tidak dapat membandingkan satu agama dengan agama lain yang wujud di negara ini. Akibatnya, perbezaan dari segi ritual lebih diutamakan daripada ajaran asasnya.'' (Khoo Kay Kim, Kaum, Bangsa dan agama dalam peradaban Malaysia, dalam A. Aziz Deraman Globalisasi dalam peradaban di Malaysia, Kuala Lumpur: DBP, 2003).

Ketiga, bagi Profesor Mohd. Kamal Hassan, walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar Islamisasi berasaskan kepada pemahaman yang holistic terhadap syariah Islam, dasar ini tidak pernah menyisihkan kepentingan dan sensitiviti bukan Islam di Malaysia. Hal ini ditegaskan secara langsung oleh sebilangan besar sarjana dalam dan luar negara, yang mengkaji secara emperikal dasar Islamization pihak kerajaan. Tokoh-tokoh ini antara lainnya Husin Mutalib, William Roff dan Donald Horowitz.

Sekiranya ada tuduhan yang mengatakan bahawa dasar Islamization kerajaan bertujuan memperkukuhkan kedudukan orang Melayu semata-mata dan menyisihkan golongan bukan Melayu, ia telah tertolak dengan beberapa fakta, seperti:

*. Penegasan Profesor Donald Horowitz bagaimana golongan bukan Islam turut mendapat manfaat daripada dasar Islamization ini, khususnya yang membabitkan sistem Perbankan Tanpa Faedah.

2. Selain daripada meningkatkan organisasi dan kecekapan Mahkamah Syariah, dasar Islamization turut memperkenalkan dasar pentadbiran kerajaan yang berteraskan sistem nilai keagamaan ketimuran, seperti terdapat di dalam ajaran Hindu, Buddha, Confucian, Sikh dan Kristian.

3. Konsep Islam Hadhari yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia secara terang-terangan turut mengambil kira prinsip pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, yang ditujukan khusus bagi membela kepentingan bukan Islam di Malaysia.

4. Sifat mesra penganut bukan Islam dan pendekatan pluralisme yang ditunjukkan oleh kalangan sarjana dan NGO Islam semasa di Malaysia. Hal ini boleh dijelaskan dengan beberapa pandangan yang diberikan oleh beberapa orang sarjana Melayu-Islam semasa, seperti:

*. Pandangan Dr. Alwi Shihab yang mengatakan Islam mengakui tentang elemen persamaan yang wujud di antara agama seluruh dunia, yang biasanya mempunyai;

* Penekanan kepada sistem moral yang baik

* Penekanan kepada hukuman terhadap sesuatu perbuatan yang buruk

* Sikap alami terhadap alam semesta

* Percaya kepada kuasa ketuhanan yang menguasai dan mempengaruhi kehidupan manusia dan alam

* Penekanan kepada soal penyucian diri untuk tujuan kebaikan

* Penekanan kepada budaya ilmu.

2. Pandangan Profesor Hashim Musa (Hashim Musa, Pemerkasaan tamadun Melayu Malaysia menghadapi globalisasi Barat, Kuala Lumpur: Penerbit UM, 2004) yang menekankan peri pentingnya semua penganut agama di Malaysia menjauhkan elemen antipluralisme dalam hubungan kemasyarakatan, yang diperincikan sebagai;

* Extremism; melampaui batas dan keseimbangan apabila mentafsir dan melaksanakan sesuatu peraturan ataupun hukum secara ekstrem.

* Chauvinism; taksub apabila menganggap fikiran atau kumpulan sendiri adalah yang terbaik, manakala fikiran atau kumpulan lain tidak benar dan mesti ditolak.

* Fanaticism; tindakan membuta tuli (menghampiri psikosis) dalam mengikuti dan melaksanakan sesuatu cara, pendapat dan pendekatan sendiri tanpa mempedulikan bahkan menolak sekeras-kerasnya pendapat orang lain.

* Kepentingan setiap penganut agama mengamalkan pendekatan yang berhati-hati apabila menyentuh isu agama lain. Ia dimaksudkan etika dialog agama yang bersifat positif, yang boleh diperincikan sebagai;

* Disertai oleh golongan pakar dan penganut yang komited

*. Mengenal pasti isu yang didialogkan untuk kepentingan bersama

* Diiringi dengan sifat yang baik dan ingin belajar yang tinggi

* Lebih memberikan penekanan kepada isu-isu persamaan tentang bagaimana agama boleh menyelesaikan masalah manusia

* Tidak mengandungi unsur perdebatan yang boleh menjatuhkan maruah puak yang lain

* Tidak bertujuan memperkecilkan dan mengubah sesuatu pegangan agama pihak yang lain

* Tidak mempertikaikan bahagian agama yang bersifat tetap dan tidak boleh berubah.

4. Bagi Muhammad Abu Bakar, penganut Islam perlu berusaha untuk memahami realiti kehidupan beragama masyarakat bukan Melayu di Malaysia. Interaksi dalam ruang-ruang yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam seharusnya dimaksimumkan. Sikap memencilkan diri hanya bakal menyebabkan penganut agama lain menjadi terus jahil mengenai Islam meskipun mereka sudah lama hidup bersama dengan penganut Islam (Muhammad Abu Bakar, Penghayatan sebuah ideal, Kuala Lumpur: DBP, 1987, hlm. 113-11).

5. Realiti wujudnya perpaduan semua agama besar di dunia untuk mengambil pendekatan pluralisme, sebagai respons terhadap serangan ganas yang dibawa oleh fahaman sekularisme. Lebih tepat lagi, telah timbul kesedaran tentang peri penting semua agama besar di dunia bersatu untuk menangani hegemoni fahaman sekularisme bentuk baru yang dibawakan oleh fenomena globalisasi. Hal ini telah melahirkan konsep pluralisme agama di kalangan penganut agama terbesar di dunia.

Contoh yang jelas bagi menunjukkan kesedaran ini boleh dilihat daripada pandangan gereja Katolik yang mengiktiraf semua penganut agama selain Kristian Katolik akan diterima di sisi Tuhan. Begitu juga halnya dengan tindakan gereja di England yang memohon maaf dan bersimpati dengan nasib umat Islam di Iraq yang diserang oleh kuasa besar NATO. (Rahminah Muharam, Hubungan Islam dan Kristian dalam konteks dokumen Vatican 11, dalam Pemikir, Oktober-Disember 2000).

Sebagai rumusan akhir, demi menjamin keharmonian kaum masyarakat majmuk di Malaysia, penganut bukan Islam perlu mengamalkan sikap terbuka dan berhati-hati dengan mengakui sensitiviti penganut Islam dalam menimbulkan sebarang isu agama Islam.

Sebaiknya, janganlah ditiru sepenuhnya pendekatan individualisme dan liberalisme ala Barat, yang dicanangkan kononnya lebih berjiwa moden tanpa ditapis dengan perkiraan ketimuran. Seperti ditegaskan oleh Profesor Osman Bakar, pergaduhan kaum yang kerap berlaku di Amerika dan Eropah membuktikan bahawa masyarakat Barat ketandusan formula yang tuntas untuk menangani isu perbezaan etnik dan agama, dan mereka sepatutnya belajar formula ini dengan masyarakat Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan