Isnin, 18 Oktober 2010

Perginya sang sufi berfikiran moden


M Jusof Taib



IA diberi nama oleh ayahnya sebagai Abdul Rahman Ad-Dakhil, tetapi lebih dikenali sebagai Kiyai Abdurrahman Wahid, dan lebih popular dengan panggilan Gus Dur.

Gus Dur seorang tok guru pondok yang dianggap ‘pendekar demokrasi’, seorang pemikir muslim moden, lontaran pemikirannya sering menimbulkan kontroversi. Sehingga ada yang menuduhnya sebagai ‘zionis’. Tapi oleh yang mendokongnya, beliau dianggap waliullah.

Gus Dur telah pulang ke rahmatullah pada petang 30 Disember lalu setelah menyempurnakan kegiatan agama, kecendekiawanan dan politik Indonesia. Merupakan seorang tokoh yang liat dan lincah membawa Nahdhatul Ulama (NU) ke kancan arus perdana politik Indonesia.

Beliau pergi dengan gelaran Mantan Presiden Indonesia. Namanya sangat disebut bersama peranannya dalam pergolakan politik mendemokrasikan Indonesia yang dilesukan dan dilumpuhkan oleh dua tokoh besar bangsa Indonesia – Sukarno dan Suharto.

Kita tidak tahu apakah Gus Dur merupakan tokoh satu-satunya yang merupakan kiyai atau tok guru pondok yang berjaya menjawat jawatan Presiden Indonesia? Saya rasakan tidak. Namun tentunya dari kalangan lebih cemerlang daripada Gus Dur buat masa akan datang.

Ada orang menganggap watak Gus Dur sinonim dengan Islam Liberal. Namun saya tidak berfikir begitu. Gus Dur adalah seorang ulama, pemikir dan watak politik praktis yang dipengaruhi pendekatan sufi seumpama para Wali Songo dalam menjayakan pengukuhan Islam dan umat Islam di Indonesia.

Contoh mudah, orang akan menganggap almarhum sebagai ‘mengecilkan perintah agama’ ketika beliau menyamakan ucapan ‘Assalaamualaikum’ dengan ‘selamat pagi’. Pernyataan beliau itu menghebohkan.

Walhal, bagi Gus Dur sebagai pendekatan berfikir secara sufi, apa bezanya jika salam hanyalah sekadar bunyi tanpa isi? Sedangkan salam adalah jiwa dan roh Islam seumpama ‘bismillah’ yang mengandungi erti penghayatan rohaniyah yang besar. Apa guna salam tanpa penghayatan yang menimbulkan kesejahteraan sosial dari muslim ke muslim atau dari muslim ke bukan muslim?

Ucapan yang seolah-olah menyelekehkan salam itu, sama seperti kiyai sufi yang muncul sebagai penyaer Indonesia, iaitu Kiyai Mustofa Bisri yang merupakan sahabat dekat Gus Dur. Ketika bersajak dengan jodol ‘Tuhan’, saja sebarisnya berbunyi

“Aku sedang sibuk”. Sajak dari kiai ini hanya menggambarkan keduniaan melampau umat Islam yang lebih sibuk dengan hal duniawi, sehingga seolah-olah mengatakan begitu kepada Tuhan.

Gua Dur dibesarkan dalam pesekitaran pendidikan pondok atau pesantren. Dididik oleh ulama sesepuih (tokoh ulama) NU, merupakan cucu kepada Hadaratus Syeikh K H Hasyim Asy’ari, tokoh negarawan Indonesia yang ikut menandatangani Piagam Jakarta.

Walau pun menikmati masa awalnya dalam lingkungan pondok, namun ketika masih belia bersekolah menengah, Gus Dur telah menelan buku Karl Marx dan Lenin. Mengenyang karya sastera Barat, sebelum ke Mesir dan Iraq untuk melayakkannya menjadi pemikir Islam dan ulama.

Ketika berhujah, beliau bukan sahaja menggunakan kitab-kitab moden, malah juga berhujah dengan kitab kuning (Kitab klasik Islam). Kadangkala menimbulkan kecaman dari ulama NU sendiri, namun pendekatan Gus Dus dengan para tokoh ulama NU amat rapat.

Apabila komennya menimbulkan kemarahan ulama sepuh NU, beliau bukan menjawab secara terbuka, sebaliknya beliau akan mengunjungi para ulama itu dan melakukan pendekatan peribadi.

Beliau bukan sahaja kerajinan melakukan kunjungan terhadap tokoh ulama yang hidup, malah kerajinan berziarah tokoh ulama besar yang telah meninggal. Beliau mengakui hubungan batin dengan para tokoh yang telah bersemadi di pusara.

Terobosan politik yang berani yang dilakukan Gus Dur ialah ikut mengakui Pancasila sebagai asas tunggal yang perlu didokong umat. Ini kerana beliau yakin dalam keadaan umat yang mengalami pluralisasi setelah dijajah beratus tahun dan merdeka dengan mengalami kesan penjajahan, adalah mustahil idealisme Islam yang ada pada teori berupaya dilaksanakan umat tanpa perhitungan realiti yang ada.

Konsep pemikiran Gus Dur dalam pelaksanaan Islam dan menjayakan politik umat dalam masyarakat yang sudah diasingkan dari idealisme Islam secara utuh itu, adalah bukan hal yang baharu. Malah itulah yang dilaksanakan juga oleh para Wali Songo ketika berdepan dengan masyarakat Indonesia yang menganut dan teguh dengan budaya hindu.

A. Ghaffar Karim dalam bukunya Metamorfosis NU dan Politisasi Islam Indonesia mengulas tentang watak pemikiran Gus Dur:

“Adalah karakteristik Gus Dur untuk selalu menghindarkan visinya dari titik ekstrem di antara dua kutub yang tarik menarik. Demikian pula pemikirannya tentang negara. Ia mengkritik penempatan negara sebagai sentrum, sama seperti ia menolak pemberian bobot yang berlebihan terhadap rakyat, dan lebih suka memilih titik moderat di antara keduanya. Itulah sebabnya jika di satu sisi ia menilai negara akan kehilangan maknanya jika terjadi pengabaian terhadap hak-hak individual rakyat, maka di sisi lain dari keping wang yang sama ia meyakini bahawa Negara memegang kunci penataan masyarakat.”

Gus Dur seorang yang sentiasa memikirkan persatuan dan perpaduan bangsa di antara keperluan membentuk umat beragama sempurna dengan keperluan membentuk perpaduan bangsa adalah sama-sama utama dan penting dalam matalamat politik:

“…agama saja tidak cukup untuk dapat membentuk negara. Pembentukan negara di samping faham keagamaan juga diperlukan ‘ashabiyah’ (perasaan keterikatan). Tujuannya membentuk keterikatan sosial-kemasyarakatan. Ini adalah faham kebangsaan oleh ibnu khaldun. Sebab, menurut Ibnu Khaldun, alasan berdirinya sebuah negara kerana adanya perasaan kebangsaan".


Kata-kata Gus Dur ini, mengingatkan kita tentang keadaan negara kita Malaysia yang sering tergugat kerana longgarnya ikatan kebangsaan yang dicelarukan oleh emosi perkauman yang dijadikan asas kepada permainan politik kepartian sejak merdeka sehingga kini.

Sudah tentu dalam hal kebangsaan ini, bukan dimaksudkan oleh Gus Dur sebagai fahaman nasionalisme Barat yang mewajibkan pemujaan bangsa sehingga mengatasi hak-hak kebenaran dan keadilan manusia sejagat, yang bertentangan dengan petunjuk Al-Quran dan panduan Sunnah Nabi saw.

Rasanya ada persamaan di antara Gus Dur dan Burhanuddin Al-Hilmy dalam soal ini. Burhanuddin Al-Hilmy juga merupakan politikus dan pemikir aliran sufi.

Gus Dur, dalam pemikiran kenegaraan Islam, nampaknya begitu liberal. Beliau nampaknya berkeyakinan bahawa keislaman sesebuah negara yang dikuasai oleh umat Islam, boleh dicapai melalui kekuatan nilai-nilai agama dalam masyarakat Islam itu sendiri sebagai titik tolaknya. Kekuatan umat sebagai paksi politik Islam inilah yang diperjuangkan Gus Dur.

A. Ghaffar ketika membicarakan pemikiran Gus Dur tentang konsep kenegaraan Islam dalam pemikiran Gus Dur, menjelaskan bahawa Gus Dur tidak yakin Islam memiliki konsep tegas tentang pemerintahan. Gus Dur memberikan alasan berdasarkan peristiwa politik zaman awal selepas kewafatan Rasulullah saw.

Menurut Gus Dur, para sahabat Nabi saw menerapkan tiga model perlantikan khalifah sebagai penguasa umat, iaitu : istikhlaf, bai’ah dan Ahlul Halli Wal Aqdi bagi mekanisme suksesi kekhalifahan.

Dalam makalahnya Beberapa Aspek Teoritis dari Pemikiran Politik dan Negara Islam, beliau menulis: “ Kalau memang Islam ada konsep, tidak akan demikian, apa lagi para sahabat itu adalah orang yang paling takut dengan Rasulullah. Islam memang sengaja tidak mengatur konsep kenegaraan, yang ada hanya ‘komuniti agama’ (kuntum khoiro ummatin ukhrijat linnas). Jadi khaira ummatin, bukan khaira daulatin atau khaira jumhuriyyatin apalagi khaira mamlakatin.”

Walau pun nampak liberal pemikiran beliau dalam kepolitikan Islam, kita harus sedar keseluruhan negara-negara umat Islam di luar bumi Arab begitu getir menghadapi cabaran melaksanakan politik Islam. Mereka berdepan dengan realiti yang mencabar kebijaksanaan merealisasikan konsep politik Islam yang ideal, berdasarkan teori.

Apatah lagi kebanyakan negara Arab sendiri masih tetap juga gagal penyempurnakan ideal politik Islam yang syumul yang dicita-citakan. Namun dengan hikmah dan kebijaksanaan, para pejuang dan gerakan Islam berupaya berusaha sedaya mungkin supaya cita-cita Islam merongkai zaman depan, selangkah ke selangkah. Asalnya istiqamah bersambungan.

Membaca pemikiran yang dilontarkan Gus Dur, kita perlu memikirkan bagaimana seorang pemikir Islam terpaksa mengambil tempat dalam kenyataan umat di negaranya sendiri, memperhitung tahap keupayaan umatnya, dan halangan-halangannya. Dia hanya seorang insan yang dihadkan oleh Tuhan demi perjuangan untuk masa dan zamannya.

Dan tentunya bagi mana-mana pejuang Islam, yang akan dipertimbangkan Allah, apabila pergi mengadapNya, yang akan diperhitungkan Allah ialah ada tidaknya “liya’budiLlaha mukhlishiina lahu ad-diin” . Inna lillahi wainna ilaihi raaji’uun !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan