Selasa, 19 Oktober 2010

Pemikiran Nurcholish cabar minda pembaca

ARKIB : 05/09/2005

Tarikh 29 Ogos yang lalu, Indonesia kehilangan seorang pemikir bangsa yang cukup berpengaruh iaitu Nurcholish Madjid (66) atau akrab dengan panggilan `Cak Nur' yang telah kembali ke rahmatullah akibat hepatitis kronik. Nurcholish Madjid adalah sebuah fenomena untuk konteks bangsa Indonesia. Sifat `fenomenal' ini dapat dilihat daripada kekuatan peribadi dan pemikirannya yang cukup berpengaruh sehingga mampu membawa perubahan-perubahan tertentu dalam kehidupan beragama di Indonesia.

Nurcholish tidak jemu-jemu melontar wacananya baik melalui karya-karyanya yang berjumlah lebih daripada 30 buah dan tulisan-tulisannya di kolum akhbar seperti Republika, Kompas dan Tekad.

Membaca pemikirannya akan terkesan kita dibawa kepada suatu alam pemikiran universal yang tampaknya menjadi cita-cita keindonesiaannya yang digalinya dari agama Islam. Gagasan-gagasan Nurcholish memang tidak dapat dipisahkan dari suatu dasar teologi al-Quran dan itu bererti mewujudkan suatu masyarakat Indonesia yang adil, terbuka dan demokratik, tiga kata kunci yang selalu ditemui dalam hampir setiap tulisan Nurcholish. Dan ini dapat dilihat dalam buku-bukunya seperti Islam, Kemodenan dan Keindonesiaan (1987), Islam Kerakyatan dan Keindonesiaan (1993) dan Cita-Cita Politik Islam Era Reformasi (1999) Dalam visi Nurcholish, berbicara tentang Indonesia adalah berbicara tentang Islam di Indonesia.Ini hanya kerana alasan statistik, demografi dan sosiologi sahaja. Umat Islam adalah majoriti di Indonesia.

Kerana itu, menurut Nurcholish, setiap visi tentang Indonesia, pada dasarnya adalah visi tentang Islam Indonesia. Itulah sebabnya sangatlah penting untuk melihat pemikiran Nurcholish tentang Islam di Indonesia sebagai latar belakang daripada pemikirannya mengenai keindonesiaan.

Namun begitu, pemikiran dan tulisannya tidak kurang juga mengundang kontroversi, dicaci, dimaki hamun bahkan dalam keadaan tertentu dituduh kafir. Beliau dikritik hebat oleh Prof. Dr. H.M. Rasjidi di atas fahamannya tentang sekular dan sekularisasi; dituduh sebagai penganjur faham Islam Liberal; pembawa fahaman pluralisme agama dan bermacam lagi. Bak kata pepatah, ``Kontroversi itu petanda kehebatan seseorang.''

Pemikir

Jika ditelusuri latar belakang pendidikan dan aktiviti intelektualnya, akan mudah difahami mengapa Nurcholish tampil menjadi pemikir yang independen dan lontaran pemikirannya selalu bernada menggugat kemapanan atau status quo. Selama enam tahun melalui pendidikannya di Pesantren Gontor Ponorogo, iklim pendidikan yang diterimanya mengajar untuk berfikir kritis, tidak memihak pada salah satu mazhab secara fanatik dan, lebih dari itu, kemampuan berbahasa Arab serta Inggeris sangat ditekankan agar para santri (pelajar agama) mampu melihat dan menyedari bahawa dunia ini begitu luas. Jika dibandingkan dengan pondok pesantren lainnya, salah satu ciri menonjol pada alumni pesantren Gontor Ponorogo adalah terlatih berfikir kritis, komparatif sehingga tidak mudah terjebak pada fanatisme mazhab.

Sikap independen Nurcholish ini diperkuat lagi apabila mengambil pengajian Sastera Arab dan sejarah Pemikiran Islam di Institut Agama Islam Negeri, (IAIN) Jakarta. Tesis sarjananya bertajuk Al-Quran dilihat dari segi bahasa lokal, tetapi dari segi makna bersifat universal. Ini telah menunjukkan kecenderungan Nurcholish untuk melakukan analisa falsafah dan inklusifistik terhadap ajaran dasar Islam. Faham inklusifisme ini semakin berkembang lantaran pergaulannya yang begitu dekat dengan almarhum Buya Hamka selama 5 tahun. Nurcholish memang mengagumi dan menghormati Buya Hamka yang dinilainya mampu mempertemukan pandangan kesufian, wawasan budaya dan semangat al-Quran sehingga dakwah dan faham keislaman yang ditawarkan Hamka sangat menyentuh dan berkesan untuk masyarakat Islam.

Kematangan intelektual Nurcholish semakin terserlah apabila selesai pengajian doktor falsafahnya di bawah bimbingan pemikir Islam terkenal, Almarhum Prof. Fazlur Rahman' Di sinilah Nurcholish terdedah pada tradisi pemikiran filsafat dan analisa kritis terhadap khazanah Islam klasik sehingga akhirnya melahirkan corak pemikiran Nurcholish yang `khas', yang memiliki akar keislaman klasik, wawasan kemodenan, dan sekali gus juga berusaha menjawab berbagai persoalan keindonesiaan. Nurcholish jika berbicara amat mengesankan tanpa emosi, kaya dengan ilustrasi dan rujukan kepustakaan dan kemampuannya menjelaskan gagasan dengan jernih, baik dalam tulisan mahu pembicaraan.

Jadi, mengapa gagasan Nurcholish selalu dijadikan sasaran kritik dan sekali gus pujian? Salah satu sebabnya, Nurcholish adalah jenis pemikir yang independen, yang tidak memiliki obsesi untuk memperoleh pengikut kecuali setia pada tradisi dan sikap keilmuan serta obsesi untuk selalu mendekati kebenaran meskipun kadangkala harus berbeza daripada pemahaman ulama umumnya yang telah diterima atau sesuatu yang sudah menjadi doktrin. Kalau Nurcholish berbicara tentang fikah, maka yang dilihatnya bukan produk akhir sebuah hukum, melainkan proses dan sebab musabab mengapa produk hukum jadi begitu. Jadi bagi Nurcholish, ilmu Usul Fiqh hendaknya didahulukan sebelum menerima produk fikah.Kaedah berfikir dekonstruktif seperti ini tentu akan menggoyah banyak pemahaman agama yang telah mapan. Dan ini tentu menjadi sensitif ketika pendekatan ini diterapkan pada persoalan akidah.

Ilmu

Bagi Nurcholish, iman dan akidah suatu hal yang berbeza. Iman menntut sikap rendah hati, selalu terbuka bagi semua informasi kebenaran, tetapi sekali gus juga dinamik untuk mengejar kebenaran tertinggi daripada sumbernya, iaitu Allah Yang Maha Benar itu sendiri. Adapun akidah adalah sebagai sebuah faham atau mazhab kalam yang merupakan produk sejarah yang oleh sebahagian umat Islam akidah itu dianggap telah selesai dan oleh kerananya telah tertutup dan tidak boleh dipersoalkan. Maka, tidak hairanlah pemikiran Nurcholish sentiasa dikritik, dikecam dan disalahfahami.

Membaca karya-karya dan tulisan Nurcholish memang mencabar intelektual pembaca. Beliau membahas tema-tema pokok ajaran Islam yang kadangkala sudah berkembang dan `terbungkus' oleh mitos-mitos yang diciptakan oleh umat Islam sendiri sehingga kehilangan daya pencerahannya. Dengan kata lain, seringkali kita dibuat sukar untuk membezakan antara nilai-nilai Islam yang bersifat fundamental dan doktrin dari ajaran yang sekunder dan terbuka untuk perubahan. Di sinilah Nurcholish menunjukkan konsistensinya sebagai pemikir yang menghargai dan memiliki akses intelektual terhadap khazanah Islam klasik sehingga mampu mem-beri interprestasi ajaran dasar Islam yang bebas daripada mitos dan ideologikal kerana kepentingan politik

Kerana itulah dalam tulisan Nurcholish, kita akan biasa temui kritik sejarah terhadap perilaku para sahabat yang dianggap `sakral' atau kritiknya terhadap hadis-hadis yang dianggap lemah sanadnya, namun begitu, Nurcholish tetap menghargainya kerana menurut Nurcholish, Islam tidak memiliki obsesi bagi terwujudnya sebuah masyarakat suci (sacred society), melainkan historical society, dengan segala sifat kemanusiaannya. Membaca karya-karya Nurcholish seolah-olah mengajak kita bersikap terbuka dan melihat kritik dan perbezaan pendapat itu merupakan rahmat dan ``hiburan intelektual'' yang mengasyikkan, dan, inilah warisan berharga yang ditinggalkan Nurcholish bukan sahaja untuk Indonesia bahkan dunia Islam yang mahu belajar tentang erti sebenar perbezaan pandangan, mazhab dan bukannya permusuhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan