Selasa, 19 Oktober 2010

Perjuangkan hak seiring tanggungjawab

Kebebasan mutlak tanpa ambil kira kepentingan lain bakal gugat ketenteraman sosial

ANTARA hak dan tanggungjawab, manakah lebih penting atau kedua-duanya sama penting? Mungkin ada yang menganggap persoalan ini klise dan tidak perlu dibincangkan. Namun, dalam konteks pemerintahan, undang-undang dan hak asasi, ia kekal menjadi isu sehingga hubung kait dan kepentingan kedua-duanya dapat difahami sepenuhnya.

Tiada sistem undang-undang yang sempurna jika tidak mengiktiraf hak dan tidak lengkap undang-undang sekiranya tidak meletakkan tanggungjawab. Oleh itu, sebarang sistem yang mempunyai prinsip kebebasan dan autonomi individu mutlak tidak akan berjaya menjaga kepentingan ramai kerana kebebasan mutlak yang diasaskan atas dasar individualism tidak dapat melaksanakan kedua-duanya (autonomi individu dan kepentingan umum) sekali gus.

Keseimbangan antaranya sukar dibentuk. Sistem yang sempurna harus menyeimbangkan antara tanggungjawab dan hak, sama ada tanggungjawab atau hak individu atau masyarakat.

Segala hak dan tanggungjawab perlu dilaksana secara bergandingan dan sentiasa berkait rapat dalam setiap bidang kehidupan. Individu yang menjalankan kewajipannya sudah menjalankan tanggungjawab dan seterusnya memberikan hak kepada individu. Memenuhi tanggungjawab adalah prasyarat kepada hak yang lain. Fungsi hak secara umumnya ialah menegakkan kebebasan, manakala tanggungjawab untuk merealisasikan kehormatan seseorang. Oleh itu, kedua-dua (hak dan tanggungjawab) sama penting dan tuntutan hak adalah tuntutan ke atas pihak lain untuk menjalankan tanggungjawabnya. Kebanyakan dokumen antarabangsa berkaitan hak asasi tidak menyenaraikan tanggungjawab individu secara harfiah. Apa yang wujud dalam dokumen berkenaan kebanyakannya hak yang dikumpulkan sebagai hak asasi atau kebebasan.

Saya tertarik dengan American Declaration of the Rights and Duties of Men yang meletakkan peruntukan mengenai tanggungjawab secara jelas dalam bab tersendiri. Deklarasi ini yang diterima pada 1948 mempunyai dua bab. Pertama mengiktiraf hak tertentu dan kedua meletakkan tanggungjawab individu terhadap negaranya. Antaranya termasuk tanggungjawab individu terhadap masyarakat, anak dan ibu bapa, menuntut ilmu, menghormati undang-undang dan mencari kehidupan baik serta tanggungjawab tidak terbabit dalam aktiviti politik di negara lain.

Walau apa pun amalannya di Amerika Syarikat atau sejarah dan kedudukan deklarasi ini, saya melihat kebaikannya iaitu sesuatu hak sentiasa disertai tanggungjawab. Antara kebaikan disumbang deklarasi ini ialah mengingatkan individu hak dan tanggungjawab tidak dapat dipisahkan.

Namun, deklarasi ini tidak menjelaskan tanggungjawab negara terhadap rakyatnya. Mungkin ia boleh difahami dengan melihat hak individu yang disenaraikan. Amat jelas, setiap rakyat boleh menuntut haknya daripada pemerintah atau pihak yang diberikan tanggungjawab. Namun, pada masa sama rakyat juga mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap negara. Kedua-duanya saling bersangkutan dan berkait rapat.

Teori hak dan tanggungjawab amat berbeza antara prinsip hak asasi dalam Islam dan Barat. Islam memperkenalkan timbang tara antara hak dan tanggungjawab dengan sistem Islam ialah kombinasi kedua-duanya. Sistem ini tidak memberi tumpuan kepada hak mutlak seseorang, tetapi hak terikat.

Ia untuk mengelak pertembungan hak antara individu. Sebagai contoh, seseorang mempunyai kebebasan bersuara, tetapi hak itu tidak membenarkannya menghina agama lain kerana hak kebebasan bersuara sudah bertembung dengan kebebasan beragama.

Ini meletakkan tanggungjawab kepada orang yang mempunyai hak kebebasan bersuara untuk menghormati orang lain yang mempunyai hak kebebasan beragama.

Sistem yang mementingkan individualisme tidak mengambil peduli terhadap kebebasan orang lain. Keadaan ini tidak menyumbang ke arah kebaikan masyarakat. Hak yang terikat dengan tanggungjawab menjadi mekanisme utama dalam membentuk masyarakat sempurna dari segi moral dan siviknya.

Hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap manusia mempunyai kewajipan dan setiap seseorang bertanggungjawab atas kewajipannya,” sesuai dijadikan panduan. Setiap individu mempunyai tanggungjawab yang menjadi hak orang lain dan individu yang menggalas tanggungjawab berkenaan perlu melaksanakannya sebaik mungkin.

Kita tidak dapat lari daripada hak dan tanggungjawab. Namun, kedua-duanya bergantung kepada status sosial diri. Semakin banyak kuasa seseorang, semakin banyak dan luas tanggungjawabnya. Secara lumrahnya, ramai pula yang berada di bawah pengawasannya. Dari segi teori, tuntutan hak terhadap orang yang berkuasa semakin meningkat jika tanggungjawab itu tidak dilaksanakan dengan baik.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan