Isnin, 18 Oktober 2010

Pemimpin lemah punca fahaman Islam liberal tersebar

oleh: Wajdi Mayusoh

Pengarah Pusat Kajian Modeniti dan Masyarakat Madani (CESMACS), Dr Muhammad Nur Manuty berkata, gerakan Islam liberal sebenarnya lebih bahaya berbanding orientalis kerana ia disebarkan orang Islam sendiri.

“Mereka sebenarnya golongan yang telah pun murtad tapi masih mengaku sebagai Islam. Penyebaran idea Islam liberal ini sebenarnya merupakan agenda Barat untuk merosakkan akidah umat Islam dan memurtadkan mereka dengan cara yang cukup halus dan terancang,” katanya di Wacana Hijratul Rasul di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, idea Islam liberal mula menular dalam negara akibat longgarnya undang-undang berkaitan menjaga kepentingan umat Islam. Menurutnya juga sejak akhir-akhir ini kumpulan tersebut berani bersuara dan mengeluarkan pandangan mempertikaikan undang-undang Islam.


“Malah ada yang secara terbuka berani mengkritik fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Keberanian mereka dalam mencampuri hal-hal berkaitan syariat Islam menunjukkan pemimpin negara hari ini begitu lemah,” ujarnya.

Wacana itu anjuran bersama antara Muafakat NGO Kelantan dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Kata Dr Muhammad idea Islam liberal sebenarnya telah memberikan implikasi yang cukup merbahaya terhadap umat Islam sehingga boleh mewujudkan perpecahan yang semakin parah.

Beliau berkata, pemikiran Islam liberal juga membuka ruang kepada orang bukan Islam untuk mencampuri perkara akidah dan syariat. Ini dapat dilihat dalam kes Muhammad Abdullah atau Moorthy,” katanya.

Selain itu, tambahnya lahirnya fahaman pluralisme agama-agama telah menyebabkan berlaku kecenderungan di kalangan pihak tertentu dalam kelas menengah Melayu mengambil pendirian liberal dalam hal berkaitan akidah dan syariat.


Katanya, hasil idea Islam liberal juga telah melahirkan gerakan feminisme atau gender di negara-negara Islam sekarang. Mereka antaranya Astora Jabat dan kumpulan menggelarkan diri sebagai Sister In Islam.

“Namun malangnya mereka diberi tempat oleh kerajaan untuk melontarkan idea dan pandangan sesat,” kata beliau. Oleh itu bagi menyelamatkan akidah golongan muda masa kini, beliau menyarankan semua pihak mesti berperanan dan mengambil bahagia bagi memberi kefahaman tentang Islam sebenar.

Beliau juga berharap NGO Islam supaya bersatu mengembeling tenaga untuk berdepan dan berhujah dengan kumpulan Islam liberal.
- /mj

Tiada ulasan:

Catat Ulasan