Ahad, 17 Oktober 2010

Pembaharuan dunia Islam hanya di atas kertas

ARKIB : 09/10/2005

PEMBAHARUAN (at-tajdid), pencerahan (at-tanwir) dan sebagainya adalah antara beberapa istilah intelektual yang selalu diungkap para cerdik pandai Muslim, sama ada di negara ini mahupun di negara-negara lain. Banyak seminar dan persidangan telah diadakan sepanjang abad lalu dan kini perjumpaan ilmiah seperti itu masih diteruskan. Begitu juga banyak buku mengenai pembaharuan dan pencerahan telah dihasilkan pada abad lalu dan kini.

Tetapi bagaimana pula dengan pelaksanaan pembaharuan dan pencerahan yang dirumus dalam pelbagai seminar dan persidangan serta dicatat dalam bermacam-macam buku dalam jangka masa melebihi 100 tahun itu?

Jawapannya, pelaksanaan pembaharuan dan pencerahan tidak berlaku dengan sepatutnya dan seterusnya menyebabkan hasilnya tidak kelihatan kecuali sedikit sahaja dalam bidang pemikiran yang terkandung dalam buku-buku.

Pembaharuan dan pencerahan yang dimaksud di sini bukan sahaja terbatas dalam bidang agama, tetapi ia mencakupi semua aliran pemikiran yang pernah diguna pakai oleh umat Muslim untuk membangun dan memajukan negara termasuk aliran nasionalisme, aliran liberalisme, sosialisme dan lain-lain.

Bagaimanapun, kini pembaharuan dan pencerahan dalam maksud sempit dan terbatas dalam bidang agama kembali digerak orang Muslim selepas Amerika Syarikat (AS) melancar perang untuk menghapuskan keganasan yang dikaitkan dengan orang Muslim. Untuk tujuan itu AS menceroboh Afghanistan pada tahun 2001 bagi menghapuskan Taliban dan Al-Qaeda dan kemudian menceroboh pula Iraq untuk menjatuhkan Saddam Hussein.

Semua itu dilakukan oleh AS atas nama memerangi keganasan ekoran New York dan Washington D.C. diserang oleh puak pengganas pada 11 September 2001.

Walaupun begitulah motif AS jelas, tetapi pada waktu yang sama ia turut menggerakkan umat Muslim supaya membuat perubahan.

Faktor utama yang didakwa menyebabkan ada usaha ke arah pembaharuan dan pencerahan itu adalah kerana didorong dan ditekan oleh AS dan perkara ini lebih jelas berlaku dalam peringkat negara di sesetengah negara Islam yang berkiblat kepada Washington.

Tetapi dalam peringkat pergerakan Islam dan individu cerdik pandai Muslim, usaha ke arah itu dilihat sebagai penyesuaian diri dan perubahan taktik perjuangan yang sesuai dengan suasana baru di era perang ke atas keganasan yang sangat rancak dicanangkan kini.

Akibat itu berlaku kemerosotan pengaruh pergerakan Islam yang jelas di seluruh dunia Islam dan pada waktu yang sama peranan golongan agama semakin terpinggir. Malah ada negara Islam dengan terang-terang menolak pandangan dan fatwa golongan agama seperti yang berlaku di Arab Saudi. Sebagai contoh, Arab Saudi kini mula membenarkan wanita menghadiri seminar, forum dan persidangan di samping lelaki, mengizinkan mereka menjadi pekedai khas wanita, melantik mereka menjadi duta, menyambut hari kebangsaan buat pertama kali pada 23 September lalu dan lain-lain. Sebelum ini semua itu dianggap haram oleh para ulama Wahhabi kerana mereka mengkategorikan sebagai bidaah yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

Seperti telah dijelaskan di atas, pembaharuan dan pencerahan yang dimaksudkan di sini ialah pembaharuan dan pencerahan yang mencakupi semua aliran pemikiran dan dengan itu penyorotan kritis ini akan dibuat secara umum mencakupi semua aliran pemikiran tersebut.

Kemungkinan juga pembaharuan dan pencerahan kini menjadi semarak semula yang turut diwarnai nostalgia zaman silam ketika perjuangan kemerdekaan dipelopori para pejuang dari pelbagai aliran pemikiran itu. Tetapi pada pandangan penulis ada faktor utama lain yang turut menjadi penggerak ke arah itu. Antaranya cemas dan tidak bersetuju dengan penguasaan pemikiran dogmatis dan konservatif agama, politik dan sosial dalam masyarakat yang bertanggungjawab menjauhkan orang ramai daripada pemikiran terbuka, menjauhkan mereka daripada masa kini menuju ke masa lampau dan sebagainya.

Jika meneliti pembaharuan dan pencerahan dalam peringkat Malaysia, cuba kita tanya diri sendiri di manakah pemikiran pembaharuan dan pencerahan yang dibawa oleh Syed Syeikh al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin dan sebagainya?

Sudah tentu sukar untuk dicari di mana kesan pemikiran maju mereka kerana ia kalah dalam benturan dengan pemikiran konservatif dan jumud yang tersebar luas dalam masyarakat.

Jika berpindah ke peringkat dunia Islam, kita boleh tanya di manakah pemikiran pembaharuan Syeikh Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Abdul Rahman al-Kawakbi, Rashid Redha dan lain-lain? Semua mereka terlibat dalam pembaharuan pemikiran Islam.

Dalam pemikiran liberalisme pula di manakah pemikiran Rifa'at at-Tahtawi, Khairuddin at-Tunisi, Ahmad Lufti Sayyed dan Taha Hussein? Menyebut nama beberapa tokoh pemikiran liberalisme Arab ini dianggap menjadi pantang larang oleh ramai orang kecuali untuk mengutuk dan mengecam mereka. Tetapi jangan lupa bahawa mereka ini pada satu ketika dulu mempunyai sumbangan yang amat besar kepada umat Muslim.

Begitu juga di mana pembaharuan pemikiran ilmiah yang dibawa oleh pemikir seperti Shibli Shumail, Farah Antoine, Ya'akub Saruf dan lain-lain?

Bila dihalusi semua aktiviti pembaharuan pada masa lalu didapati al-Afghani telah melakarkan rancangan pembaharuan yang berpaksi Islam untuk berhadapan dengan kezaliman dari luar (penjajah) dan kezaliman dari dalam (pemerintah) sekali gus. Bagaimanapun, selepas kegagalan revolusi al-Orabiyya yang dilaksanakan berdasarkan ajaran al-Afghani pada tahun 1882, aktiviti pembaharuan susut separuh pada Abduh kerana beliau menolak pendekatan kudeta dan revolusi politik dan memilih pendekatan pendidikan. Kemudian aktiviti pembaharuan susut separuh lagi pada Rashid Redha yang mengubahnya menjadi fundamentalisme atau salafisme.

Syeik Hassan al-Banna, murid Rashid Redha menjadi penyambung aktiviti pembaharuan seterusnya. Beliau membawa kembali kehidupan kepada aktiviti pembaharuan Islam yang praktikal untuk berhadapan dengan kezaliman dari luar (penjajah) dan kezaliman dari dalam (pemerintah). Perjuangan al-Banna tidak banyak berbeza dengan perjuangan al-Afghani. Tetapi al-Banna mati dibunuh oleh istana pada tahun 1949 dan seterusnya al-Ikhwan al-Muslimun (al-Ikhwan) bertembung dengan revolusi (Gamal Abdul Nasser) serta disusuli kematian Abdul Qadir Awdah pada tahun 1949 dan Sayed Qutb pada tahun 1965. Sejak itu Islam yang diperjuangkan oleh para pejuang Islam di Mesir bertukar menjadi keras, radikal dan ekstremis. Pandangan dan fatwa yang keluar dari penjara-penjara Mesir ketika itu lebih didengari dan dipatuhi berbanding pandangan dan fatwa yang keluar dari Al-Azhar.

Itulah titik tolak kemunculan pelbagai puak pelampau agama termasuk Kumpul Takfir dan Hirjah, puak Jihad dan lain-lain. Semua pergerakan bawah tanah yang mengangkat senjata menentang kerajaan Mesir itu keluar dari perut al-Ikhwan belaka.

Al-Qaeda juga ada kaitan dengan puak-puak pelampau agama dan pembantu kanan Osama bin Laden, Aiman al-Zawahiri adalah daripada mereka.

Begitulah `beradu' dan berhentinya pembaharuan Islam dalam agenda-agenda politik. Usaha untuk kembali kepada pembaharuan Islam kini sepatutnya menjangkaui agenda-agenda politik seperti yang pernah dilakukan pada masa lalu walaupun ia dilaksanakan oleh kerajaan.

Perkara yang sama berlaku terhadap aliran liberalisme Arab yang diasaskan oleh Rifa'at at-Tahtawi di Mesir dan Khairuddin at-Tunisi di Tunisa. Perjuangan Islam liberal ini berdasarkan idea kebebasan (freedom), persaudaraan (brotherhood) dan kesaksamaan (equality) yang menuntut adanya Parlimen, multi parti, perlembagaan, kebebasan bersuara dan pendidikan wanita. Semua itu diterima dan dilaksanakan di kebanyakan negara Islam dan sebenarnya ditiru dan diambil dari Barat terutama Piagam Perancis, E.A. Charte. Tetapi ia dianggap tidak bercanggah dengan syariah Islam.

Dalam melaksanakan liberalisme yang cocok dengan syariah Islam itu dapat dilihat dalam usaha Ali Mubarak. Beliau berhasil melahirkan Fakulti Dar al-Ulum yang kini dalam Universiti Kaherah yang menyediakan kursus-kursus yang seimbang antara agama dan dunia. Dar al-Ulum ditubuh bagi menggantikan Universiti Al-Azhar yang ketika itu sangat jumud dan tertutup kerana menyediakan kursus-kursus agama sahaja. Ali Mubarak juga memperkenalkan sekolah tadika, perancangan negara dan percetakan Dar al-Misriah yang menjadi wadah untuk menyebar ilmu Islam liberal ke luar kampus universiti.

Seterusnya apabila tiba pada at-Tahtawi, beliau pula menggunakan pendekatan dualisme untuk menilai Islam melalui kaca mata Barat dan menilai Barat al-akhar melalui kaca mata Islam. Tetapi at-Tahtawi berbeza dengan Ali Mubarak. Tahtawi membuat pembaharuan berpandukan pengalaman Perancis, manakala Ali Mubarak berpandukan pengalaman Inggeris.

Bagaimanapun pembaharuan yang seimbang antara warisan Islam dengan ilmu moden Barat hilang begitu sahaja pada Lutfi Sayed kerana beliau menganggap kebebasan dan demokrasi itu bukan dari Islam, tetapi dari Greek. Berlaku perkara yang sama pada Taha Hussein apabila beliau menganggap kultur Mesir yang berteraskan Firaun itu sebahagian daripada kultur Barat dan bukan sama sekali kultur Islam dari Timur.

Cuma apabila muncul Mahmud Akkad, beliau memenangkan warisan Islam ke atas warisan pendatang termasuk dari Barat.

Kemudian liberalisme berubah menjadi parti politik, Parti Wafd di Mesir. Parti Wafd (Parti Delegasi) merupakan parti sekular seratus peratus. Ia pernah menjadi parti pemerintah pada masa lalu, tetapi kini ia merupakan sebuah parti pembangkang yang lemah dan tidak popular.

Turut berlaku perkara yang sama kepada aliran sekularisme Arab. Para pemikir seperti Shibli Shumail dan Farah Antoine yang menghubungkan sekularisme dengan Ibn Rushd (ahli falsafah dan ulama terkenal Andalusia).

Tetapi apabila datang Salamah Musa dan Ya'akub Saruf diubah haluan ke Barat seperti yang dilakukan oleh Salamah Musa dalam buku Ha-ula `Allamuni (Mereka Mengajarku) yang menyebut 23 orang pemikir Barat serta Mahatma Gandhi. Tiada seorang pun pemikir Timur yang merupakan Muslim dan Kristian dianggap menjadi guru Salamah Musa. Padahal jika diambil kira emosi Salamah Musa sebagai Kristian, beliau boleh mendapati terlalu ramai orang Kristian dulu dan sekarang yang boleh diambil contoh dan dijadi guru seperti Hunain bin Ishaq, Yahya bin Udai, Thabit bin Qurra, Matta bin Yunus, Qistna bin Luqa di kalangan pemikir Kristian lama dan Shibli Shumail, Ya'akub Saruf, Namr Faris, Jorji Zaindan di kalangan pemikir Kristian moden.

Pada tahun 1967 muncul Dr. Mustafa Mahmud yang menyeru kembali kepada Allah untuk mendapat kemenangan di dunia dan akhirat. Beliau yang merupakan doktor perubatan itu memperkenalkan program televisyen yang dikenali sebagai Ilmu Dan Imam di mana ilmu diambil dari Barat dan iman daripada Islam. Program televisyen beliau disiarkan di kebanyakan negara Arab.

Beliau berpendapat jika orang Muslim berjaya belajar atau mengambil ilmu dari Barat, bagi mereka dua markah atau pahala, iaitu satu markah atau pahala di dunia dan satu lagi markah di akhirat. Jika tidak berjaya, mereka dapat satu markah atau pahala. Tidak rugi sama sekali. Dengan itu beliau menuntut orang Muslim supaya terus berusaha belajar atau mengambil ilmu dari Barat kerana mesti dapat markah atau pahala, sama ada berjaya atau tidak berjaya.

Beliau tidak melihat Barat dengan pandangan negatif kerana menganggap Barat dengan segala kemajuan ilmu dan teknologi itu sebenarnya untuk orang Muslim juga kerana kita dapat belajar daripada mereka. Jika tiada Barat, kita tidak mungkin belajar dan menjadi maju.

Selain berlaku fenomena tersadung dan terbentuk dalam pergerakan pembaharuan dan pencerahan seperti yang telah disebut di atas, muncul pula fenomena kesudahan berbeza dengan permulaan atau fenomena terumbang-ambing dalam pemikiran melibatkan ramai cerdik pandai dan pemikir Muslim. Kadangkala seorang cerdik pandai dan pemikir Muslim bermula dengan satu aliran, kemudian dia berubah kepada pemikiran yang lain di akhir hidupnya. Ada pula yang berpindah kepada pemikiran yang bercanggah dengan pemikiran pertama yang pernah dimulainya.

Sebagai contoh Ismail Mazhar yang bermula dengan pemikiran sekularisme, tetapi dalam buku terbaru, Islam Abadan (Islam Selama-lamanya) membukti beliau telah bertaubat dengan sekularisme dan kembali kepada Islam.

Khalid Muhammad Khalid bermula sebagai reformis liberal dalam buku Min Huna Nabda' (Dari Sini Kita Bermula). Beliau dalam buku itu sama seperti Syeikh Ali Abdul Raziq di mana dia menganggap perlu memisahkan agama dari negara. Tetapi dalam salah satu buku yang dihasilkan sebelum meninggal dunia, a-Din wa ad-Daulah (Agama dan Negara), beliau menyeru kepada idea yang ditolaknya pada masa lalu.

Perubahan pemikiran ini berlaku kepada ramai pemikir termasuk Ali Abdul Raziq dan Qasim Amin. Didakwa mereka berdua juga menolak pandangan masing-masing yang terdapat dalam buku-buku lama mereka.

Khalid Muhammad Khalid, Ali Abdul Raziq dan Qasim Amin dianggap reformis liberal kerana mereka bermula dari agama menuju ke liberalisme. Manakala Muhammad Hussein Heikal dan Taha Hussein liberal reformis kerana mereka mengasaskan liberalisme dalam agama.

Terdapat reformis sekular seperti Dr. Zaki Najib Mahmud dan Dr. Fuad Zakaria. Setahu penulis Dr. Fuad Zakaria belum berubah.

Selain itu terdapat juga pemikiran yang mengumpul antara Islam dan nasionalisme seperti Dr. Muhamad Ahmad Khalfullah (telah meninggal dunia) dan Dr. Mohamad Amara.

Ada yang mencampuradukkan antara Islam dan sosialisme seperti Taha Hussein, Abdul Rahman al-Sharqawi dan lain-lain.

Itulah sedikit sebanyak sejarah pelbagai aliran pemikiran pembaharuan dan pencerahan di kalangan umat Muslim yang masih berada di atas kertas walaupun sudah bermula lebih seabad lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan