Memaparkan catatan dengan label Syariat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Syariat. Papar semua catatan

Selasa, 19 Oktober 2010

Perspektif al-Quran tentang dialog antara agama

ARKIB : 01/01/2006

PENTINGNYA dialog antara Islam dan Kristian, adalah untuk mencari titik temu antara kedua-dua agama wahyu ini, bukan saja menyangkut masalah akidah dan ibadah, bahkan ia juga melibatkan masalah peradaban, yang menjadi akar masalah dari kedua-dua agama tersebut.

Usaha mendapatkan titik temu ini sangat penting, apalagi ada keterangan di dalam al-Quran tentang adanya segolongan ahli kitab yang rajin mempelajari ayat-ayat Allah di tengah malam, sambil terus-menerus beribadah dengan beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta melakukan amar makruf nahi mungkar dan bersegera melakukan kebaikan (maksud surah A'-Li Imraan ayat 113-114).

Gambaran al-Quran yang positif dan simpati kepada kaum ahli kitab inilah yang sebenarnya mengajak kaum Muslimin untuk berdialog bagi memperoleh suatu keyakinan bersama tentang kebenaran yang mutlak.

Ini tidak boleh disamakan dengan anggapan bahawa dialog sebagai kaedah untuk menentukan agama mana yang paling benar. Kalau kata ``agama'' difahami secara konkrit, bukan secara metafizik, maka dialog antara agama bererti dialog antara orang yang beragama. Hal ini demikian kerana hanya di sinilah dialog mendapat tempat sebagai fungsi kritis yang tidak terlepas daripada kehendak setiap orang untuk mencari kebenaran terus-menerus.

Dialog ini bertujuan memperjuangkan masyarakat yang lebih adil, lebih merdeka, lebih manusiawi. Pada tahap ini umat antara iman dan agama bersama-sama mentransformasikan masyarakat agar menjadi lebih adil, lebih merdeka dan manusiawi, agar keutuhan ciptaan dan lingkungan hidup dapat dilestarikan.

Bentuk dialog yang dimaksudkan ini ialah dialog pengalaman keagamaan, agar peranan agama ditempatkan pada konteks persoalan global seperti persoalan alam sekitar, peperangan, moral, hak asasi manusia dan keadilan yang dihadapi bangsa manusia pada abad ke-21.

Dialog pengalaman keagamaan memberikan kesempatan kepada para peserta dialog membahagikan pengalaman keagamaan mereka. Pengabaian iman seseorang peserta dialog akan menutup kesempatan menemukan pengalaman dan pemahaman yang lebih mendalam, baik terhadap agamanya sendiri mahupun agama lawan di dalam dialog tadi.

Oleh itu, perwatakan dialog merupakan suatu percakapan antara dua pihak atau lebih, yang mengandungi unsur keterbukaan, sikap kritis dan keupayaan untuk saling mendengar, saling belajar dan memahami antara satu sama lain.

Peserta dialog mestilah mempunyai sikap keterbukaan, yakni bahawa kedua-dua belah pihak atau lebih yang terlibat dalam dialog tersebut mestilah bersedia untuk mendengar.

Keterbukaan dan kejujuran dalam dialog merupakan syarat yang amat penting. Perbezaan pendapat dalam dialog adalah wajar, malahan perbezaan itulah yang menimbulkan dialog. Tetapi perbezaan pendapat itu tidak boleh dianggap sebagai alasan untuk menempatkan suatu keputusan dan memberikan penilaian yang berat sebelah.

Dalam hal ini, dialog merupakan kesempatan untuk menggalang kerjasama antara agama untuk memecahkan masalah-masalah kemanusiaan dalam masyarakat. Keprihatinan agama-agama ini merupakan kekuatan baru bagi kemanusiaan untuk menghadapi pelbagai persoalan.

Tegasnya, dialog bertujuan menanggapi situasi tertentu yang menuntut orang untuk memilih bekerjasama daripada berkonfrontasi dan saling menyalahkan dan mengalahkan.

Di samping sikap pluralisme, sikap keterbukaan dan toleransi juga amat penting sebagai landasan dialog antara agama. Tanpa ketiga-tiga unsur ini, dialog yang bakal dilakukan sudah tentu tidak akan mencapai hasil yang baik.

Melalui dialog yang secara jujur dan kesediaan menerima kelemahan masing-masing merupakan langkah yang mampu menyelesaikan masalah antara Islam-Kristian.

Selama ini hubungan Islam-Kristian sering dipenuhi dengan prasangka dan konflik. Perbincangan tidak mungkin sampai kepada persoalan teologi kerana persoalan ini adalah ``daerah persengketaan'' yang tidak mungkin diselesaikan. Oleh itu dialog antara agama harus dibatasi pada persoalan-persoalan sosial dan kemanusiaan yang manfaatnya dapat dirasakan oleh umat manusia.

Secara intelektual dan moral masing-masing pihak berhak untuk menegakkan pandangan agama masing-masing tanpa menonjolkan diri bahawa agama merekalah yang lebih tinggi kedudukannya. Dalam pengertian, tidak ada unsur-unsur fanatik dalam memberi pandangan, dan masing-masing pihak perlu memiliki niat baik untuk saling mendengar.

Sikap yang lebih positif dengan pengetahuan yang tepat diperlukan dalam usaha mendekatkan hubungan kerjasama Islam-Kristian ini. Isu-isu silam seperti Perang Salib Islam-Kristian, gerakan kolonialisme, orientalisme dan gerakan misioneri Kristian yang menjadikan konflik berpanjangan antara kedua-dua agama ini, tidak harus dijadikan alasan untuk saling tidak bekerjasama dalam menangani masalah etika, moral, hak asasi, peperangan dan lain-lain lagi.

Sejarah mencatat bahawa Nabi Muhammad dan para penggantinya (Khalifah Al-Rasyidin) tidak pernah memaksa golongan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) meninggalkan agama mereka sebagai syarat hidup bersama kaum Muslim.

Al-Quran tidak pernah mengutuk agama Kristian melainkan berusaha membetulkan semula kesalahfahaman mereka bahawa ada tiga Tuhan yang berdiri sendiri (triteis).

Wahai ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar (maksud surah An-Nisaa ayat 171).

Islam-Kristian harus hidup sebagai satu masyarakat dan masing-masing pihak berhak mengamalkan kebebasan sosial dan agama mereka sendiri. Mereka harus saling menerima dan menghargai, tidak hanya terbatas pada interaksi sosial melainkan juga perdebatan intelektual dan teologi.

Daripada hakikat ini perbezaan dari segi doktrin kadang-kadang boleh menimbulkan pendebatan yang membawa kepada perseteruan, namun al-Quran memerintahkan untuk berlaku adil dalam pendebatan.

Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): ``Kami beriman kepada al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri'' (surah al-Ankaabut ayat 46).

Prinsip-printisp toleransi dari ajaran Islam inilah yang menjadi panduan dan kefahaman mereka di dalam menghadapi pihak Kristian yang kadang-kadang terlalu mudah untuk tercetusnya konflik.

Walau bagaimanapun permasalahan ini terletak kepada pentafsiran orang Muslim ke atas ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hubungan Muslim-Kristian. Apakah mereka akan mengambil ayat-ayat itu tadi secara literal atau terlepas dari konteksnya yang spesifik atau dengan menanggung risiko terjadinya kontradiksi terhadap prinsip-prinsip umum yang termaktub di dalam al-Quran.

Al-Quran mengajarkan bahawa umat Islam harus menghormati semua pengikut kitab suci (ahli kitab). Sama halnya dengan semua kelompok manusia termasuk umat Islam sendiri - di antara kaum pengikut kitab suci itu ada yang lurus (benar) dan ada yang tidak. Daripada mereka ada yang memusuhi kaum beriman, tetapi ada juga yang menunjukkan sikap persahabatan yang tulus.

Harapan tersebut di atas membuktikan bahawa perdamaian dunia merupakan sesuatu yang amat diperlukan dan tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Langkah awalnya ialah dengan menciptakan kesedaran secara kolektif tanpa mencurigai pihak mana pun di antara kita.

Dalam rangka mencipta kesedaran kolektif ini ada hal-hal yang harus dilakukan secara bersama, ada hal-hal yang tidak perlu dilakukan dan ada pula hal-hal yang harus dihormati. Adapun hal-hal yang harus dilakukan adalah seperti berikut:

Pertama; mewujudkan kemahuan bersama untuk menciptakan perdamaian dengan melahirkan satu kesedaran secara kolektif ke arah tersebut.

Kedua; duduk secara bersama merumuskan idea-idea terbaik untuk menciptakan perdamaian dengan meletakkan kepentingan bersama dari kepentingan kelompok.

Ketiga; bersama-sama menahan diri untuk tidak terlibat dalam konflik kepentingan yang boleh membawa kepada konfrontasi secara fizikal (peperangan).

Strategi-strategi lain yang boleh diambil oleh orang Islam dan bukan Islam antara lain ialah hendaklah dipatuhi sepenuhnya prinsip kebebasan beragama iaitu tiada paksaan dalam agama dan juga persetujuan untuk berbeza dalam agama yang amat ditekankan oleh al-Quran, seperti firman-Nya yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sudah nyata petunjuk kebenaran daripada kesesatan. Oleh itu sesiapa yang tidak mempercayai Taghut (yang menyesatkan) dan percaya akan Allah maka dia telah berpegang kepada tali yang teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui (surah al-Baqarah ayat 256).

Demikian juga sikap ekstrem, fanatik, militan dan teroris, al-Quran jelas mengutuk dengan amat keras seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang menjustifikasikan pembunuhan itu (seperti hukuman balasan bunuh atas kelakuannya membunuh orang lain) atau kesalahan melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia (surah Al-Maa'idah ayat 32).

Orang Islam, bukan Islam juga seharusnya sentiasa berdialog dan berinteraksi dengan pengamal agama dan budaya lain terutama sesama warga negara yang berbeza agama dan budaya. Islam sebagai sebuah peradaban sejak zaman generasi pertama lagi sentiasa mengamalkan sikap inklusif iaitu mengintegrasikan semua golongan agama dan budaya yang ada dalam negara sebagai satu komuniti atau ummah, bukan memencil dan memulaukan mereka itu. Juga dalam pelaksanaan segala hukum syariah dalam aspek mu'amalah (interaksi sosial), mu'asyarah (interaksi budaya) dan jenayah dalam masyarakat yang jamak budaya dan agama, sudah tentu akan menyentuh komuniti bukan Islam juga. Maka dalam hal yang demikian sesi dialog, penerangan dan perbincangan tentang pelaksanaan hukum syariah itu perlu dilakukan seluas-luasnya. Dalam sesi-sesi demikian beberapa etika dialog atau adab berbeza pendapat (adab al-ikhtilaf) harus dipatuhi, iaitu:

i) Menerima pluralisme agama dan menghormati perbezaan pendapat sebagai satu yang lumrah di kalangan manusia yang berbeza-beza latar belakang budaya, agama, suku bangsa dan puak-puaknya (seperti yang diakui sendiri oleh al-Quran surah al-Hujrat ayat 13).

ii) Mengelakkan cemuhan budaya dan agama yang lain (cultural and religious ridicule) dan menyerahkan kepada Tuhan untuk menentukan kebenaran yang muktamad, seperti juga yang dianjurkan oleh al-Quran: Anda tidak bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami tidak bertanggungjawab tentang kesalahan yang anda lakukan. Katakanlah bahawa Tuhan akan menghimpunkan kita semua (pada hari kiamat), kemudian memutuskan perselisihan antara kita dengan kebenaran. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Pengadil yang Maha Mengetahui (surah Saba'ayat 25-26).

iii) Bersopan santun dan berbudi bahasa yang baik dalam berdialog seperti dianjurkan oleh al-Quran, iaitu: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik (surah an-Nahl ayat 25).

Maka hendaklah anda berkata kepadanya (para pendengar dengan kata-kata yang lemah lembut (layyina), semoga dengan demikian ia akan sedar dan insaf (surah Thaha ayat 24).

Hubungan antara pemeluk Islam dengan Kristian bukanlah suatu fenomena baru. Malahan ia merupakan suatu kenyataan kehidupan masa kini, seperti semenjak berpuluh-puluh tahun atau berabad-abad lalu. Hubungan kedua-dua agama telah berkembang dalam pelbagai dimensi, yang secara keseluruhannya telah mengubah perspektif masing-masing. Hal ini dipengaruhi oleh perkembangan pemikiran keagamaan di kalangan umat beragama itu sendiri.

Sejarah yang panjang mengenai hubungan Islam-Kristian menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi suatu masyarakat yang sedang menuju kehancuran, sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat. Islam juga sebagai suatu agama yang menganut prinsip toleransi (sasamuh) dan agama pemersatu manusia di bawah panji-panji al-Quran dan al-sunnah, yang diakui oleh penganut ahli kitab mahupun penganut agama wadi atau culture religion seperti agama Buddha, Hindu, Shinto, Tao dan seumpamanya.

Islam pernah bertindak sebagai pelindung kepada gereja-gereja dan memberikan kebebasan beragama kepada segala aliran atau mazhab Masihi yang ada di Iskandariyah, dengan tidak melebihkan yang satu daripada yang lainnya. Bahkan dapat dikatakan, yang menyelamatkan orang-orang Masihi Qibthi atau Masihi lama di Mesir, ialah agama Islam.

Sikap toleransi yang diamalkan oleh umat Muslimin menimbulkan perdamaian di dunia. Sekiranya umat Islam tidak mengamalkan toleransi beragama, nescaya penduduk bumi ini akan berada dalam kacau-bilau, sentiasa dalam percakaran dan pertumpahan darah, akibat perlakuan penganut agama lain kepada mereka.

Sikap dan pendekatan simpatik oleh umat Krisitian terhadap Islam yang tidak begitu menonjol pada abad-abad awal Islam, sudah mulai berubah. Banyak sarjana Kristian semasa, yang secara tulus berupaya memahami dan memperlihatkan rasa hormat kepada Islam dan penganutnya. Katolik tidak lagi memegang prinsip extra ecclesiam nulla salus (di luar gereja tiada keselamatan) dan extra acclesiam nullus propheta (di luar gereja tiada nabi).

Umat Islam diperingatkan oleh al-Quran untuk tidak mengejek atau menghina golongan lain, kerana boleh jadi orang yang dihina itu lebih baik daripada orang yang menghina. Sejak awal-awal lagi al-Quran menjangkakan akan munculnya bentuk pendakwaan kebenaran (truth claim) baik yang muncul dalam masyarakat satu agama, mahupun antara umat Islam dengan penganut agama lain.

Al-Quran menganjurkan umat Islam agar saling memperingatkan, saling menasihati dalam mencari kebenaran yang hakiki. Dengan demikian, dapat dikatakan bahawa al-Quran lebih dahulu berbicara mengenai etika, baik terhadap sesama umat Islam, terhadap penganut agama lain, dalam pergaulan mahupun dalam bermujadalah (dialog).

- MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Fahami keindahan syariah Islam

ARKIB : 12/02/2006

DEWASA ini, terdapat semacam trend yang dipegang oleh sebilangan besar sarjana moden yang cuba mengaitkan isu hukum Islam dengan pemodenan yang berlaku secara meluas di dalam masyarakat. Hal ini dibuat memandangkan sifat dan kemampuan hukum Islam itu yang dilihat secara teori dan praktiknya mampu berinteraksi dengan keperluan masyarakat dan pemodenan. Bagi mereka, berpandukan kepada teori asas ini, pelbagai eksperimen dilakukan bagi menilai sifat keterbukaan hukum Islam dengan pemodenan yang berlaku, dalam pelbagai latar belakang masyarakat, sama ada di Asia Barat, Indo-Pakistan, Iran, Indonesia, termasuklah Malaysia.

Hasilnya, kajian ini menyumbangkan penetapan teori hukum Islam yang baru yang lebih bersifat positif menggantikan paradigma orientalisme klasik yang rata-ratanya bersifat negatif dan bias kepada tamadun Barat. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bagaimana masih terdapat sarjana Barat yang begitu fanatik dengan paradigma orientalisme klasik, berpunca antara lainnya kerana sifat fanatik terhadap ketinggian tamadun sekularisme Barat dan kepentingan dominasi ekonomi-politik kuasa-kuasa Barat.

Pendekatan ini tidak keterlaluan dikatakan bahawa seperti genre orientalisme klasik yang dijadikan alat utama untuk agenda kolonialisme Barat, genre orientalisme moden pun turut dijadikan alat dan suaka kepada pengukuhan kolonialisme kuasa Barat bentuk baru.

Bagi sesetengah sarjana Barat yang masih secara kuat berpegang dengan pendekatan yang negatif terhadap ajaran Islam, syariah Islam sering ditonjolkan sebagai sistem undang-undang yang barbar, kasar, kejam dan tidak berperikemanusiaan, khususnya kepada golongan bukan Islam. Pandangan negatif ini dengan bantuan media ICT moden, disebarkan ke seluruh dunia, yang sayangnya ditelan bulat-bulat oleh bukan Islam, termasuklah di Malaysia. (Md. Sidin Ahmad Ishak, Sekularisme Dalam Media Massa, dalam Jurnal Tasawwur Islam, v. 6, 2000, hlm. 91-101). Hal ini terbukti dengan tercetusnya peristiwa penganut bukan Islam mempersoalkan syariah Islam seperti dalam isu perkara 121 Perlembagaan Malaysia.

Pada hemat penulis, bagi menangani isu ini beberapa kupasan boleh diberikan; pertama, penegasan tentang sifat keunggulan yang dimiliki oleh syariah Islam. Hal ini diakui sarjana Islam, diabsahkan pula oleh sarjana Barat sendiri. Lebih jauh lagi, memang kedapatan sebahagian besar daripada sarjana Barat yang mengkaji syariah memeluk agama Islam didorong oleh keindahan syariah Islam. Contohnya, Martin Lingg, William Chittick, Maryam Jamelah, Sachiko Murata, Leonard Binder, Muhammad Asad dan Maurice Bucaille; termasuklah juga tokoh-tokoh yang bersimpati dengan ajaran Islam, seperti W. W. Smiths, Charles C. Adams, John Esposito, Wael Hallaq, Jacques Waardenburg, J. S. Nielsen, John O. Voll, Richard Bulliet, Leon T. Hadar, Fred R. Von Der Mehden dan Fawaz A. Gerges. (America and political Islam; Clash of cultures or clash of interest, Cambridge: Cambridge University Press, 1999).

Bagi kalangan sarjana Barat ini, keindahan syariah Islam boleh dirujuk kepada beberapa ciri dan prinsip:

1. Bersifat rabbani; berasal daripada Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Syariah Islam adalah anugerah Allah yang Maha Mengetahui segenap keperluan hidup manusia kerana Dia yang menjadi pencipta kepada manusia dan sekalian alam. Secara khususnya, kita boleh menganggap Islam sebagai manual yang disediakan oleh Allah bagi menangani produk yang bernama manusia;

2. Bersifat syumul (lengkap). Berbanding dengan agama-agama lain yang membataskan skop perbahasan agama kepada soal hubungan antara Tuhan dengan makhluk, ajaran Islam dalam ruang lingkupnya amat lengkap kerana mengajarkan kepada manusia kaedah untuk menjalinkan tiga bentuk hubungan dalam kehidupan, hubungan dengan Allah, makhluk dan alam sekitar;

3. Mengakui penggunaan akal yang terpimpin dalam menangani pelbagai masalah manusia yang tiada keterangannya di dalam sumber wahyu. Di samping sumber wahyu, keistimewaan syariah terserlah apabila ia turut mengakui peranan dan potensi akal manusia dalam menentukan persoalan hukum Islam berpandukan garis panduan di dalam sumber wahyu;

4. Mengakui segenap aspek keperluan asasi hidup manusia, sama ada di dunia ataupun akhirat. Konsep keperluan asasi manusia ini boleh dilihat di dalam konsep maslaha yang merupakan suatu sumber tambahan yang diakui autoritinya di dalam ilmu usul al-fiqh. Ia ditakrifkan sebagai manfaat yang ditujukan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya, demi memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Setiap perkara dan tindakan yang mengandungi jagaan dan kawalan terhadap lima perkara penting ini akan dianggap sebagai maslaha, dan sebarang perkara dan tindakan yang mencabul kelima-lima perkara ini akan dianggap sebagai mafsadah. (Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, Hak asasi manusia menurut pandangan Islam dan Barat, Kuala Lumpur: Penerbitan PTS, 2002, hlm. 35-47).

Malangnya, seperti dikatakan oleh S. Batumalai seorang sarjana Kristian di Malaysia, hal ini amat sedikit diketahui oleh penganut bukan Islam di Malaysia didorong oleh sifat-sifat sinikal yang tidak bertempat terhadap syariah Islam. Sifat ini, mengikut Wan Mohd. Nor Wan Daud merupakan suatu penyakit yang dikenali dengan xenophobia (sentiasa takut kepada unsur-unsur luar) dan bebalism (sifat rohani yang rendah dan enggan berubah walaupun diberikan maklumat yang betul).

Pendek kata, seandainya keindahan syariah Islam itu dikaji dan dipelajari secara objektif oleh penganut bukan Islam di Malaysia, nescaya kekeliruan seperti yang timbul baru-baru ini akan terhapus. Buktinya boleh dilihat daripada pengamatan secara langsung dituruti pula dengan komentar yang diberikan oleh Profesor Osman Bakar, Datuk Hassan Ahmad dan Gordon D. Newby; selepas peristiwa 11 September, masyarakat Barat telah berusaha mengkaji ajaran Islam daripada sumbernya yang betul, Quran dan sunah.

Hasilnya, sebahagian besar masyarakat Barat berasa hairan kerana sebahagian besar daripada ajaran Islam didapati penuh dengan sifat rahmah (nilai kemanusiaan) yang amat baik, kemuncaknya boleh dilihat dengan bertambah ramai masyarakat Barat yang telah memeluk agama Islam. (Gordon D. Newby, Muslim/non-Muslim relations: Lesson from the past for a better future, dalam (edit) Aidit Haji Ghazali, Development, Islamic, Malaysian and American perspectives, Kuala Lumpur: INMIND, 1996, hlm. 49-50).

Kedua, penganut bukan Islam perlu mengamalkan sifat tolak ansur yang tinggi menangani isu syariah Islam. Bagi Hassan Ahmad, sikap tolak ansur ini perlu difahami dan diamalkan secara dua hala, bukannya hanya tahu mendesak sehingga melukakan hati penganut Islam. Apa yang lebih penting, penganut bukan Islam selepas merdeka perlu menghormati kontrak sosial yang dimeterai semasa kemerdekaan - menyentuh isu ketuanan Melayu.

Mengikut Wan Mohd. Nor Wan Daud, prinsip ketuanan Melayu ini berpunca daripada tiga sebab utama; pertamanya, sifat awal dan ketinggian tamadun Tanah Melayu yang dibina oleh manusia Melayu berasaskan kepada pemahaman terhadap syariah Islam, keduanya; nisbah pengorbanan dan darah manusia Melayu yang banyak dicurahkan untuk mempertahankan Tanah Melayu menghadapi penjajahan kuasa luar dan ketiga, sifat toleransi dan kesudian manusia Melayu menerima bersama golongan bukan Melayu untuk menetap di Tanah Melayu.

Sehubungan dengan itu, bagi Ahmad Jelani Halimi (Perdagangan dan perkapalan Melayu di Selat Melaka Abad ke- 15 hingga ke-18, Kuala Lumpur: DBP, 2006) dan Hashim Musa, manusia Melayu mampu membina tamadun Alam Melayu yang berasaskan kepada perdagangan yang mengamalkan pendekatan mesra dan adil dengan penganut bukan Islam adalah berpunca daripada pengamalan syariah Islam itu sendiri.

Fakta sejarah ini perlu difahami secara mendalam oleh bukan Islam, yang diharapkan akan membentuk sifat tolak ansur yang tinggi.

Tanpa kesedaran ini, ia bakal menjemput sekali lagi isu perpecahan kaum ala 13 Mei. Sering kali terjadi pertumpahan darah yang berpunca daripada isu agama, walaupun ia membabitkan isu kecil semata-mata. Hal ini telah dijelaskan oleh Khoo Kay Kim; ``Majoriti orang Malaysia tidak memahami apakah ertinya agama kerana dalam mengamalkan agama, mereka hanya mengetahui tentang aspek-aspek ritual, jarang tentang ajaran-ajaran pokoknya. Oleh yang demikian mereka tidak dapat membandingkan satu agama dengan agama lain yang wujud di negara ini. Akibatnya, perbezaan dari segi ritual lebih diutamakan daripada ajaran asasnya.'' (Khoo Kay Kim, Kaum, Bangsa dan agama dalam peradaban Malaysia, dalam A. Aziz Deraman Globalisasi dalam peradaban di Malaysia, Kuala Lumpur: DBP, 2003).

Ketiga, bagi Profesor Mohd. Kamal Hassan, walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar Islamisasi berasaskan kepada pemahaman yang holistic terhadap syariah Islam, dasar ini tidak pernah menyisihkan kepentingan dan sensitiviti bukan Islam di Malaysia. Hal ini ditegaskan secara langsung oleh sebilangan besar sarjana dalam dan luar negara, yang mengkaji secara emperikal dasar Islamization pihak kerajaan. Tokoh-tokoh ini antara lainnya Husin Mutalib, William Roff dan Donald Horowitz.

Sekiranya ada tuduhan yang mengatakan bahawa dasar Islamization kerajaan bertujuan memperkukuhkan kedudukan orang Melayu semata-mata dan menyisihkan golongan bukan Melayu, ia telah tertolak dengan beberapa fakta, seperti:

*. Penegasan Profesor Donald Horowitz bagaimana golongan bukan Islam turut mendapat manfaat daripada dasar Islamization ini, khususnya yang membabitkan sistem Perbankan Tanpa Faedah.

2. Selain daripada meningkatkan organisasi dan kecekapan Mahkamah Syariah, dasar Islamization turut memperkenalkan dasar pentadbiran kerajaan yang berteraskan sistem nilai keagamaan ketimuran, seperti terdapat di dalam ajaran Hindu, Buddha, Confucian, Sikh dan Kristian.

3. Konsep Islam Hadhari yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia secara terang-terangan turut mengambil kira prinsip pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, yang ditujukan khusus bagi membela kepentingan bukan Islam di Malaysia.

4. Sifat mesra penganut bukan Islam dan pendekatan pluralisme yang ditunjukkan oleh kalangan sarjana dan NGO Islam semasa di Malaysia. Hal ini boleh dijelaskan dengan beberapa pandangan yang diberikan oleh beberapa orang sarjana Melayu-Islam semasa, seperti:

*. Pandangan Dr. Alwi Shihab yang mengatakan Islam mengakui tentang elemen persamaan yang wujud di antara agama seluruh dunia, yang biasanya mempunyai;

* Penekanan kepada sistem moral yang baik

* Penekanan kepada hukuman terhadap sesuatu perbuatan yang buruk

* Sikap alami terhadap alam semesta

* Percaya kepada kuasa ketuhanan yang menguasai dan mempengaruhi kehidupan manusia dan alam

* Penekanan kepada soal penyucian diri untuk tujuan kebaikan

* Penekanan kepada budaya ilmu.

2. Pandangan Profesor Hashim Musa (Hashim Musa, Pemerkasaan tamadun Melayu Malaysia menghadapi globalisasi Barat, Kuala Lumpur: Penerbit UM, 2004) yang menekankan peri pentingnya semua penganut agama di Malaysia menjauhkan elemen antipluralisme dalam hubungan kemasyarakatan, yang diperincikan sebagai;

* Extremism; melampaui batas dan keseimbangan apabila mentafsir dan melaksanakan sesuatu peraturan ataupun hukum secara ekstrem.

* Chauvinism; taksub apabila menganggap fikiran atau kumpulan sendiri adalah yang terbaik, manakala fikiran atau kumpulan lain tidak benar dan mesti ditolak.

* Fanaticism; tindakan membuta tuli (menghampiri psikosis) dalam mengikuti dan melaksanakan sesuatu cara, pendapat dan pendekatan sendiri tanpa mempedulikan bahkan menolak sekeras-kerasnya pendapat orang lain.

* Kepentingan setiap penganut agama mengamalkan pendekatan yang berhati-hati apabila menyentuh isu agama lain. Ia dimaksudkan etika dialog agama yang bersifat positif, yang boleh diperincikan sebagai;

* Disertai oleh golongan pakar dan penganut yang komited

*. Mengenal pasti isu yang didialogkan untuk kepentingan bersama

* Diiringi dengan sifat yang baik dan ingin belajar yang tinggi

* Lebih memberikan penekanan kepada isu-isu persamaan tentang bagaimana agama boleh menyelesaikan masalah manusia

* Tidak mengandungi unsur perdebatan yang boleh menjatuhkan maruah puak yang lain

* Tidak bertujuan memperkecilkan dan mengubah sesuatu pegangan agama pihak yang lain

* Tidak mempertikaikan bahagian agama yang bersifat tetap dan tidak boleh berubah.

4. Bagi Muhammad Abu Bakar, penganut Islam perlu berusaha untuk memahami realiti kehidupan beragama masyarakat bukan Melayu di Malaysia. Interaksi dalam ruang-ruang yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam seharusnya dimaksimumkan. Sikap memencilkan diri hanya bakal menyebabkan penganut agama lain menjadi terus jahil mengenai Islam meskipun mereka sudah lama hidup bersama dengan penganut Islam (Muhammad Abu Bakar, Penghayatan sebuah ideal, Kuala Lumpur: DBP, 1987, hlm. 113-11).

5. Realiti wujudnya perpaduan semua agama besar di dunia untuk mengambil pendekatan pluralisme, sebagai respons terhadap serangan ganas yang dibawa oleh fahaman sekularisme. Lebih tepat lagi, telah timbul kesedaran tentang peri penting semua agama besar di dunia bersatu untuk menangani hegemoni fahaman sekularisme bentuk baru yang dibawakan oleh fenomena globalisasi. Hal ini telah melahirkan konsep pluralisme agama di kalangan penganut agama terbesar di dunia.

Contoh yang jelas bagi menunjukkan kesedaran ini boleh dilihat daripada pandangan gereja Katolik yang mengiktiraf semua penganut agama selain Kristian Katolik akan diterima di sisi Tuhan. Begitu juga halnya dengan tindakan gereja di England yang memohon maaf dan bersimpati dengan nasib umat Islam di Iraq yang diserang oleh kuasa besar NATO. (Rahminah Muharam, Hubungan Islam dan Kristian dalam konteks dokumen Vatican 11, dalam Pemikir, Oktober-Disember 2000).

Sebagai rumusan akhir, demi menjamin keharmonian kaum masyarakat majmuk di Malaysia, penganut bukan Islam perlu mengamalkan sikap terbuka dan berhati-hati dengan mengakui sensitiviti penganut Islam dalam menimbulkan sebarang isu agama Islam.

Sebaiknya, janganlah ditiru sepenuhnya pendekatan individualisme dan liberalisme ala Barat, yang dicanangkan kononnya lebih berjiwa moden tanpa ditapis dengan perkiraan ketimuran. Seperti ditegaskan oleh Profesor Osman Bakar, pergaduhan kaum yang kerap berlaku di Amerika dan Eropah membuktikan bahawa masyarakat Barat ketandusan formula yang tuntas untuk menangani isu perbezaan etnik dan agama, dan mereka sepatutnya belajar formula ini dengan masyarakat Malaysia.

Hindari liberalisme moden

ARKIB : 27/05/2007

ZAMAN kian berubah mengikut pelbagai acuan pemikiran. Namun di sebalik pemikiran itu, terdapat kerencaman pemahaman yang amat mencengkam menuju ke arah saluran-saluran pemikiran-pemikiran yang bersifat liberal.

Apa yang dapat dilihat pada masa kini, pelbagai fragmen ideologi Barat menerjah sama ada dari segi ekonomi, politik, sosial, budaya, malah dijadikan sebagai satu anjakan paradigma daripada modenisme kepada pascamodenisme yang menjurus ke arah liberal.

Selepas kejatuhan Empayar Roman, pendapat dan pendukung liberal tidak cergas lagi di sepanjang Zaman Kelam di Eropah. Perjuangan untuk kebebasan mula dihidupkan kembali semasa zaman Renaissance di Itali. Ia mula tercetus apabila pertelingkahan berlaku di antara penyokong-penyokong bandar negeri yang bebas dan penyokong-penyokong Paus.

Pertelingkahan ini mengakibatkan perpecahan dari sudut liberalisme klasik, juga wujud beberapa pergerakan di dalam liberalisme. Liberalisme klasikal yang merupakan satu cabang falsafah liberalisme yang menekankan kerasionalan manusia, hak-hak harta peribadi, hak-hak semula jadi, kekangan perlembagaan ke atas kerajaan, perlindungan hak-hak sivil, pasaran bebas dan kebebasan peribadi. Disebabkan perpecahan itu, maka lahir beberapa aliran dan pergerakan liberalisme seperti neoliberalisme, liberalisme budaya, liberalisme klasikal, ordoliberalisme, liberalisme konservatif, paleoliberalisme, liberalisme sosial dan liberalisme ekonomi.

Berbanding dengan aliran lain, liberalisme budaya lebih mengunjurkan sistem pragmatik yang negatif dengan menekankan hak- hak peribadi yang berkaitan dengan cara hidup dan perasaan hati termasuk kebebasan seksual, kebebasan beragama, kebebasan pemahaman dan perlindungan daripada campur tangan kerajaan di dalam kehidupan peribadi.

*Ideologi

Secara ideologi Barat, liberalisme dapat diklasifikasikan sebagai satu fahaman, falsafah, dan tradisi politik yang meletakkan kebebasan sebagai nilai politik yang tertinggi. Liberalisme mula mengalami perubahan mendadak dengan membentuk pendapat yang menyatakan bahawa manusia bebas boleh membentuk asas masyarakat yang stabil.

Sememangnya hari ini reaksi kita perlu positif apabila berhadapan dengan dominasi Barat pada peringkat global, dan hipokrasi terhadap Barat secara diplomasi adalah penting. Tetapi tanpa sumbangan dan ideologi kita sendiri, kita akan dikecam sebagai defensif juga. Apa yang menghairankan, mereka tidak mempersoalkan isu-isu etnik, budaya dan politik di Eropah dan Amerika Syarikat yang bertentangan dengan demokrasi dan hak asasi manusia.

Pada era ini, Barat dapat diidentifikasikan menjadi dua jangka, waktu modenisme dan pascamodenisme. Modenisme mengheret pandangan hidup saintifik yang antropomorfisme (persamaan kejadian manusia dengan Tuhan), sekularisme, rasialisme, empirisisme, pemikiran dikotomi, pragmatik yang bersandarkan teori negatif, penafian kebenaran metafizik, kurangnya penerapan didaktisisme terutamanya dari segi moral dan etika kehidupan, seterusnya membina ideologi dan fahaman “liberalisme moden” yang dibawa oleh pendukung liberalisme moden. Kebanyakan fahaman baru ini menggugat akidah umat Islam kerana secara realistik ianya logik bagi akal.

Berbeza pula dengan pascamodenisme yang merupakan aliran mengkritik modenisme sehingga mendatangkan pelbagai kecelaruan minda. Hasilnya, wujud pemahaman-pemahaman baru yang disalahtafsirkan seperti relativisme, pluralisme, dan sebagainya.

Kini tidak dapat ditolak lagi dan amat menyedihkan apabila kesan refleksi pengaruh Barat telah mula mengalir dalam pemikiran sesetengah golongan umat Islam, dan ini dapat dilihat daripada arca pembaharuan pemikiran keagamaan Islam atau tajdid.

Pembaharuan sering diterjemahkan menjadi modenisasi, dan kini ke arah menjadi liberalisasi. Padahal tajdid berbeza daripada modenisasi ataupun liberalisasi, baik secara etimologi mahupun konsep. Malangnya, perbezaan ini tidak dicermati, dan konsep-konsep di dalamnya diterjah tanpa proses epistemologi Islam yang jelas.

Selain itu, upaya-upaya pembaharuan pemikiran atau tajdid sesetengah umat Islam kini ternyata masih bersifat spektisisme (keraguan), evasif, iaitu tidak didukung oleh komuniti yang spesifik dalam mengkaji, meneliti, menyelaraskan, dan mengembangkan pemikiran kefahaman Islam dari pelbagai sudut. Apa yang dikhuatiri konsep tajdid sering ditekankan oleh segelintir umat Islam yang bertunjangkan kepentingan kebendaan dan keduniaan yang mencakupi semangat dan bentuk-bentuk jahiliah sahaja.

*Kefahaman

Pembaharuan seperti itu tidak akan membawa kepada pencerahan minda, tetapi menimbulkan banyak keraguan dan konflik. Ini mengakibatkan kefahaman, idea, nilai, dan falsafah ilmu Barat moden dan pascamodenisme bercampur baur dalam pemikiran sesetengah umat Islam. Akhirnya, Muslim berbicara mengenai ilmu pengetahuan Islam, sejarah Islam, bahkan ajaran Islam dengan pemahaman, nilai, idea, serta pendekatan yang menyangkut dengan terminologi Barat. Di sini menimbulkan persoalan, mengapakah terjadi sedemikian rupa?

Apa yang diperlukan dalam pembaharuan pemikiran Islam adalah dengan menggali kembali khazanah ilmu pengetahuan Islam. Dengan keserasian yang bersandarkan epistemologi Islam khususnya kepada para ilmuan dan ulama Islam agar mereka berganding bahu bersama-sama berijtihad dan bertajdid serta melahirkan konsep-konsep Islam yang tersendiri yang bersesuaian dalam pelbagai bidang. Tajdid adalah usaha untuk menghidupkan semula Islam dalam bentuknya yang murni, serta menyusun semula corak hidup dan masyarakat dengan nilai dan prinsip-prinsip Islam.

Jika waktu modenisme dan pascamodenisme tidak dilihat dalam konteks Islam dan menjadikan ia “sesuatu prospek” yang bernilai dan bersesuaian di mata Islam, sudah tentunya ia akan menjadi ‘tusukan’ kepada nilai-nilai Islam yang sedia ada dan akhirnya umat Islam akan ketinggalan dalam serba- serbi di era global ini.

Sesungguhnya amat digeruni jika pemahaman dan ideologi “liberalisme moden” mengalirkan sifat-sifat negatif ke dalam dunia Islam, kerana pemahaman ini akan mendatangkan ‘suatu’ revolusi pada dunia Islam masa kini yang akhirnya menutupi Syariah Islam. Sudah masanya umat Islam bangkit menyedari dan membuka lembaran baru bersama konsep Islam yang teratur dan berada di ruang lingkup yang ditetapkan al-Quran dan sunah.

Musawah bahas kesaksamaan wanita

ARKIB : 24/02/2009


Sidang pleno selepas pelancaran Musawah oleh Prof.Yakin Erturk selaku wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Keganasan Terhadap Wanita.


Isu mengenai hak wanita diperdebatkan secara meluas di seluruh dunia lebih-lebih lagi dalam era globalisasi ini apabila kesaksamaan hak kaum hawa diangkat sama pentingnya dengan hak asasi manusia.

Di kebanyakan negara membangun termasuk Malaysia, berlaku perubahan positif yang memperkasakan peranan wanita. Dan, kaum lelaki turut mengiktiraf kedudukan mereka di peringkat atasan tidak ketinggalan dalam lapangan politik.

Namun, pada masa sama masih terdapat halangan dan kelemahan apabila menyentuh bab status, kedudukan serta hak seorang wanita Islam yang secara realitinya kini merupakan pencari nafkah dan pelindung keluarga.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Keganasan Terhadap Wanita, Prof. Yakin Erturk berkata, budaya dan agama tidak seharusnya disalah guna demi 'menghalalkan' penindasan terhadap wanita Islam.

Katanya, kesaksamaan dalam keluarga boleh dicapai menerusi rangka kerja yang konsisten dengan ajaran Islam, prinsip hak asasi manusia universal, jaminan hak asasi dan realiti kehidupan yang dijalani golongan lelaki serta wanita moden.

"Undang-undang dan amalan Islam harus mencerminkan keadilan iaitu objektif Syariah yang tidak boleh dinafikan.

"Ia perlu mendukung kesaksamaan yang merupakan bahagian paling penting dalam pemahaman keadilan masa kini.

"Perubahan boleh dilakukan mengikut realiti kehidupan yang berubah dari masa ke semasa, tempat dan tanggapan kontemporari keadilan,'' jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah Projek Musawah, Zainah Anwar menjelaskan, tanggapan mengenai wanita Islam sering ditindas, diskriminasi, dikunci mulut dan menjadi mangsa sama ada di dalam atau luar negara Islam perlu diperbetulkan menerusi usahasama berterusan.

Bagaimanapun sebagai aktivis, pihaknya sering berdepan halangan dan harus berani meluahkan pendapatan berlandaskan kebenaran bagi memperjuangkan kesaksamaan hak bagi wanita Islam tanpa mengira latar belakang etnik.

Jelas beliau, Musawah menyedari sistem kompleks sesebuah keluarga Islam dan kepelbagaian pengalaman masing-masing, namun hanya kesaksamaan dapat menjamin keadilan untuk semua pihak.

Justeru, amat penting semua pihak termasuk kerajaan, pemimpin politik dan agama serta institusi antarabangsa bekerjasama demi mencapai kesaksamaan, tiada diskriminasi, keadilan dan kehormatan sebagai asas perhubungan sesama insan.

Juga, hubungan perkahwinan dan kekeluargaan berasaskan prinsip kesaksamaan serta keadilan. Oleh itu, sejak berdekad lamanya aktivis wanita Islam dari segenap pelosok dunia termasuk komuniti minoriti bergabung tenaga bagi mendesak reformasi undang-undang bagi mengiktiraf kesaksamaan hak lelaki dan wanita.

Mendapat tentanga

"Perubahan (undang-undang) memang perkara yang sukar malah kami mendapat tentangan daripada pelbagai pihak mempergunakan agama serta undang-undang patriarki bagi mencapai objektif mereka,'' ujarnya.

Persidangan Global Musawah Mengenai Tuntutan Kesaksamaan dan Keadilan dalam Keluarga Islam (Musawah atau kesaksamaan dalam Bahasa Arab) bermula 13 hingga 17 Februari lalu.

Dilancarkan oleh Penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Sabtu lalu, Musawah dihadiri lebih 250 peserta termasuk aktivis, sarjana, penggubal polisi, ahli Parlimen, usahawan dan golongan profesional dari 47 buah negara.

Selain Zainah, Jawatankuasa Perancang Musawah terdiri daripada Rabea Naciri dari Morocco, Asma'u Joda (Nigeria); Zainah Anwar, Prof. Yakin Ertürk, Ziba Mir-Hosseini (Iran/United Kingdom) dan Kamala Chandrakirana (Indonesia).

Diadakan buat julung kalinya di Kuala Lumpur, Musawah bertujuan mengumpulkan para sarjana dan aktivis dalam rangka kerja holistik bagi memperjuangkan kesaksamaan wanita Islam dari segi perundangan, keluarga dan komuniti.

Musawah dibina selepas berdekad usaha memperbaharui undang-undang keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasi wanita dan menentang pindaan regresif atas desakan kumpulan konservatif dalam masyarakat.

Objektif persidangan global selama lima hari itu adalah:

- Memperkasakan wanita dan suara menuntut kesaksamaan dan keadilan dalam keluarga di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.

- Membangunkan analisis dan strategi yang menyatukan biasiswa serta pengalaman berhubung jurisprudens Islam, prinsip hak asasi manusia, jaminan hak asasi dan realiti keluarga hari ini.

- Menyediakan para penyokong dengan bantuan fizikal dan sumber termasuk rangka kerja tindakan.

- Mengangkat kejelasan inisiatif menyokong kesaksamaan dan keadilan dalam keluarga Islam.

Jelas Zainah, persepsi konservatif segelintir pihak juga mengekang kebebasan wanita Islam sebagai isteri dan anak serta memberikan undang-undang juga polisi yang memasungkan golongan berkenaan sebagai masyarakat dan Muslim kelas kedua.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Majlis Wanita Islam Kanada (CCMW), Alia Hogben berkata, sekitar 2003, sebuah organisasi digelar Islamic Institute of Civil Justice (Institut Keadilan Sivil Islam) ditubuhkan di Ontario sebagai badan penimbang tara bagi komuniti Islam.

Ia ditubuhkan untuk menggunakan prinsip undang-undang Islam untuk mengendalikan hal keluarga dan pewarisan harta untuk kegunaan umat Islam berbanding mahkamah sekular untuk menyelesaikan masalah.

Menurut beliau, CCMW membantah perlaksanaannya kerana ia dilihat tidak menganggap wanita setaraf dengan lelaki oleh itu tidak mampu berlaku adil dalam isu berkaitan penceraian, penjagaan anak atau pembahagian harta.

"Kami lebih rela memilih undang-undang yang sama rata untuk semua tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, etnik, budaya dan penggunaan undang-undang Syariah di Kanada boleh mendatangkan kesan negatif apabila tidak mempunyai asas prinsip kesaksamaan terhadap wanita.

"Setelah melakukan kajian dengan bantuan para sarjana, golongan akademik dan pakar agama di seluruh dunia di mana undang-undang keluarga Islam Syariah diamalkan kami dapati ia tidak sesuai diamalkan di Kanada,'' katanya.

Sabtu, 16 Oktober 2010

Selangor akan perhebat aktiviti sekat fahaman Islam liberal

ARKIB : 11/07/2008

SHAH ALAM 10 Julai - Selangor merancang memperhebatkan aktiviti kefahaman Islam bagi menyekat penyebaran fahaman Islam liberal yang didapati semakin menular di kalangan masyarakat khususnya generasi muda negeri ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu dan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali berkata, aktiviti sedemikian akan diperluaskan kerana fahaman tersebut jelas bercanggah dengan ajaran Islam tulen yang berlandaskan al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Ini kerana katanya, fahaman berkenaan dikatakan lebih kepada mempersoalkan pelbagai perkara dalam Islam seperti hadis dan sunah Rasulullah, amalan ibadat, wahyu termasuklah ketuhanan yang ditafsirkan menggunakan logik akal semata-mata.

Malah, fahaman yang dipercayai dibawa masuk dari Indonesia dan negara-negara Barat itu dikatakan semakin menular di negara ini termasuklah di Selangor. Selain itu, golongan itu dipercayai digerakkan secara terancang oleh individu-individu yang berfahaman sekular termasuklah mendapat pembiayaan daripada organisasi tertentu dari dalam dan luar negeri.

"Fahaman ini memasukkan pengaruh moden yang dicorakkan dengan pemahaman akal mereka sendiri tanpa mengambil kira wahyu dan sunah Rasulullah. Ini seolah-olah menggambarkan bahawa kedudukan akal mereka lebih tinggi daripada wahyu yang diturunkan Allah dan sunah nabi,".

"Fahaman seperti inilah yang kita perlu tangani kerana ia mengancam ketulenan ajaran Islam termasuklah menjejaskan akidah, syariat dan akhlak umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muzakarah Khas Sehari Bersama Ulama sempena ulang tahun ke-60 Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini semalam.

Muzakarah yang turut dihadiri oleh Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi itu diadakan bagi mendedahkan kepada peserta mengenai cabaran masa kini terhadap pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah selain memantapkan akidah serta silaturahim di kalangan pegawai-pegawai agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta swasta di negeri ini.

Dalam pada itu, Hassan turut memberitahu bahawa pihaknya akan terus melengkapkan pegawai-pegawai JAIS dengan ilmu keagamaan sebagai salah satu usaha membendung fahaman berkenaan.

Ini kerana, beliau difahamkan bahawa mereka yang terlibat dalam penyebaran fahaman sedemikian adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai pengetahuan tentang agama termasuklah daripada golongan terpelajar dan profesional.

"Sekiranya pegawai kita kurang ilmu ataupun kefahaman dalam sesuatu perkara, maka sudah tentu usaha ini sukar dilakukan.

"Oleh yang demikian, kita akan memperkuatkan JAIS sendiri supaya aktiviti membendung fahaman yang diadakan benar-benar dapat dilakukan secara menyeluruh," ujarnya.

Bahaya fahaman Islam liberal

ARKIB : 17/04/2009

Islam amat menitikberatkan soal akidah kerana ia merupakan tunjang kepada syariat yang telah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Malah jika disusuri sejarah, perkara pertama yang diberi tumpuan oleh Rasulullah ketika baginda berada di Kota Mekah selepas dilantik sebagai Nabi dan Rasul ketika berusia 40 tahun adalah untuk menanam akidah Islam di kalangan puak Arab Jahiliah pada masa itu.

Sepanjang tempoh 13 tahun baginda tidak pernah merasa jemu untuk mengajak puak Arab Jahiliah untuk mengakui keesaan Allah walaupun ada kalanya baginda disakiti, dicemuh dan dimaki khususnya di kalangan pemimpin-pemimpin mereka seperti Abu Lahab dan Abu Jahal.

Cabaran apa yang tidak pernah dirasai oleh Rasulullah. Daripada cubaan bunuh, disakiti secara fizikal, dicemuh dengan kata-kata kesat dan dihina, malah baginda serta sahabat-sahabatnya juga pernah diboikot oleh kaum Arab Jahiliah kerana usaha dakwah baginda.

Segala dugaan dan rintangan yang dihadapi tidak pernah mematahkan semangat Rasulullah kerana baginda tidak sanggup melihat kaumnya terus hidup dalam kesesatan.

Rasulullah mahu melihat kaum Arab Jahiliah yang pada masa itu menyembah berhala selain suka mengamalkan maksiat serta berbunuhan sesama sendiri, mengamalkan Islam dengan menyembah Allah yang maha Esa.

Berkat kesabaran Rasulullah perjuangan baginda dengan dibantu oleh para sahabatnya telah menampakkan kejayaan selepas berlaku peristiwa hijrah ke Madinah.

Dalam tempoh 10 tahun baginda di Madinah, syariat Islam yang sebelum ini hanya menyentuh soal akidah ketika Rasulullah berada Mekah telah dilengkapkan dengan menyentuh mengenai persoalan ibadat, undang-undang Islam, muamalat, peperangan, munakahat dan hubungan diplomatik.

Ringkasnya, selepas peristiwa hijrah, Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia dan lebih penting lagi Rasulullah telah membentuk negara mengikut syariat Allah.

Berbalik dalam soal akidah, Rasulullah tidak pernah berkompromi kerana ia merupakan tunggak atau ketentuan kepada keislaman seseorang.

Mereka yang telah memeluk Islam dilarang untuk kembali ke agama asal, malah jika itu yang berlaku hukuman bunuh boleh dikenakan sekiranya enggan bertaubat kembali.

Peruntukan itu adalah berdasarkan hadis Rasulullah dengan maksudnya; "Barang siapa yang menukar agamanya hendaklah kamu bunuh ia,".

Jelas, Rasulullah yang merupakan Nabi terakhir dan yang melengkapkan ajaran Islam tidak pernah bertolak ansur dalam soal pemeliharaan akidah.

Syariat telah menetapkan bahawa memelihara akidah adalah wajib ke atas semua umat Islam dan mereka juga wajib mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah.

Justeru, dalam konteks zaman moden ini tuntutan serta kewajipan memelihara akidah tetap tidak berubah.

Malah berdasarkan Perlembagaan Malaysia terdapat peruntukan khusus yang menyekat agama lain disebarkan kepada orang Islam dan tujuannya itu adalah untuk memelihara akidah umat Islam di Malaysia.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini telah muncul sekumpulan yang boleh digelarkan sebagai 'Muslim liberal' dan mereka terdiri daripada golongan profesional Islam.

Amat menakutkan sekali kumpulan itu cuba menyebarkan fahaman kebebasan beragama mengikut acuan Barat selain boleh berkompromi dalam soal murtad.

Fahaman yang cuba dibawa oleh kumpulan terbabit amat bertentangan dengan syariat Islam yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah SAW.

Berhubung dengan isu tersebut Penolong Profesor Kulliyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Kamal berpendapat keadaan itu amat berbahaya kerana fahaman tersebut boleh merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu beliau meminta masyarakat Islam supaya menolak fahaman seperti itu kerana ia boleh menjejaskan akidah.

Tegas beliau, tiada istilah kebebasan beragama dalam Islam kerana tiada agama lain yang sebaik dan semulia Islam malah hukuman paling keras perlu dikenakan ke atas golongan yang sengaja meninggalkan Islam.

Islam merupakan agama yang sejajar dengan fitrah manusia dan syariatnya adalah untuk semua manusia tidak kira kaum, warna kulit, tempat dan latar belakang.

Bagaimanapun Mohd. Hisham berkata, Islam memberi kebebasan kepada golongan bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing dan hak-hak tersebut sentiasa dilindungi.

"Mereka juga bebas untuk menyebarkan agama mereka kepada orang bukan Islam yang lain tetapi bukan untuk orang Islam. Larangan itu bertujuan untuk menjaga agama dan keimanan orang Islam," katanya.

Sebagai contoh, katanya, Khalifah Islam yang pertama Saidina Abu Bakar sentiasa mengingatkan tentera-tenteranya agar tidak merobohkan rumah-rumah ibadat atau menyerang mereka yang sedang ibadat setiap kali berlaku peperangan.

Justeru Mohd. Hisham mengingatkan walau sehebat mana ilmu seseorang itu, syariat telah menetapkan bahawa fahaman kebebasan beragama hanya boleh diamalkan di kalangan orang bukan Islam sahaja.

"Trend ini (kebebasan beragama) amat membimbangkan kita kerana kumpulan yang membawa fahaman ini terdiri daripada orang Islam sendiri. Kita khuatir akan ada orang Islam yang akan terpengaruh.

"Jika ini yang berlaku, ia sesuatu yang amat malang kerana Islam tidak berkompromi dalam soal pemeliharaan akidah. Malah berdasarkan hukum Islam, mereka yang keluar daripada agama Islam boleh dihukum bunuh," kata Mohd. Hisham lagi.

Paling menakutkan beliau ialah terdapat usaha di kalangan profesional Muslim melakukan apa saja termasuk menyalahtafsir ayat al-Quran untuk membenarkan kebebasan agama berlaku.

"Perkara ini telah pun dilakukan yang mana terdapat di kalangan mereka menyalah tafsir ayat ke 256 surah al-Baqarah (yang bermaksud): "Tidak ada paksaan untuk memasuki agama (Islam)," katanya.

Beliau berkata, mereka membuat tafsiran bahawa ayat itu membenarkan tindakan seorang pedagang Syam memurtadkan dua anak seorang Muslim daripada puak Ansar kerana Rasulullah tidak bertindak memburu mereka.

"Sebenarnya mereka salah faham. Keputusan Rasulullah tidak menghantar tentera memburu dua orang yang murtad itu sehingga ke Syam adalah kerana baginda menghormati kedaulatan wilayah Syam yang ketika itu dikuasai oleh kerajaan Rom.

"Apa yang dilakukan oleh Rasulullah berkait rapat dengan bidang kuasa dan undang-undang antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, pentafsiran golongan terbabit terhadap ayat tersebut amat mengelirukan dan ia juga membuka ruang kepada gerakan untuk memurtadkan umat Islam.

"Islam amat menitikberatkan pemeliharaan akidah dan Islam tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang cuba merosakkan akidah dan iman umat Islam. Ini perintah Allah dan Rasul-Nya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Hisham berkata, kecenderungan profesional Islam berkenaan berbuat demikian juga disebabkan mereka terpengaruh dengan pendapat Muslim liberal di luar negara.

"Kita wajib mempertahankan kesucian akidah Islam daripada tercemar dengan apa cara sekalipun.

"Jangan benarkan golongan ini mempengaruhi pemikiran umat Islam dengan pandangan mereka yang salah dan mengelirukan," tambahnya.