Memaparkan catatan dengan label IFC. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label IFC. Papar semua catatan

Selasa, 19 Oktober 2010

Persatuan Ulama P. Pinang bimbang

ARKIB : 12/04/2008

PULAU PINANG 11 April – Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) meminta kerajaan negeri berhati-hati dengan cadangan penubuhan Majlis Silaturahim Antara Agama (IRGC) bagi mengelakkan kontroversi.

Yang Dipertua PUMPP, Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, penubuhan itu dilihat sebagai menyerupai cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak sebelum ini.

Walaupun pembentukan IRGC bertujuan untuk memberi keadilan pada semua agama, katanya, takrifan keadilan agama daripada perspektif agama-agama yang berlainan adalah berbeza.

“Penubuhan majlis antara agama bukan jalan terbaik untuk mengurangkan perbezaan pandangan, salah faham dan menyelesaikan masalah dalam pelaksanaan undang-undang berkaitan pengamalan atau pelanggaran agama.

“Sebaliknya masalah-masalah tersebut dapat diselesaikan dengan memperbanyakkan dialog antara agama selain pemilihan perwakilan yang tepat dan dipilih daripada kumpulan agama yang utama,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Pulau Pinang baru-baru ini mencadangkan penubuhan majlis itu bagi meningkatkan kerjasama, perhubungan serta persefahaman di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, majlis itu akan dianggotai oleh pakar dalam bidang agama yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Menurut Dr. Wan Salim, sebarang dialog yang diadakan biarlah memberi faedah kepada semua pihak namun ia tidak seharusnya menghalalkan falsafah liberal dan pluralisme agama seperti yang dipopularkan oleh Barat.

“Sebagai contoh, dialog antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim dan penganjur forum yang dilaksanakan selepas kejadian bantahan Forum Artikel 11 di Hotel Cititel pada Mei 2006 serba sedikit meredakan ketegangan,” ujarnya.

Justeru, katanya, PUMPP mengingatkan kerajaan negeri bahawa dialog dan sikap menghormati kebebasan beragama masing-masing adalah jalan terbaik dalam menyelesaikan ketegangan agama yang kini dirasai sebahagian masyarakat termasuk di Pulau Pinang.

“Semua agama bebas melaksanakan ibadah masing-masing selagi tidak mengganggu amalan penganut agama lain.

“Namun fahaman kebebasan dan toleransi beragama tidak sama dengan fahaman pluralisme agama yang diterima pakai di peringkat antarabangsa,” katanya.

Isnin, 18 Oktober 2010

Sikap kerajaan punca Islam liberal berkembang

Oleh: Maslan Yusoh

Dr Mohd Nur Manuty dari Pusat Kajian Modeniti dan Masyarakat Madani Kuala Lumpur berkata, ancaman Islam liberal terus berlangsung kerana sikap kerajaan sendiri membiarkan ideologi memesongkan itu berkembang.

"Perjuangan yang diasaskan kumpulan Inter Religious Council (IFC) tidak akan berhenti sehinggalah agama Islam tidak lagi dijadikan agama rasmi Malaysia," katanya ketika membentang kertas kerja pada seminar Ancaman Islam Liberal di Balai Islam, kelmarin.

Seminar sehari itu dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan dengan kerjasama Gabung Profesional Kelantan. Ribuan mengikuti seminar terbabit.

Turut membentang kertas kerja pada seminar tersebut, Dr Ugi Suharto dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Ahmad Bazli Shafie dari Universiti Sains Teknologi Malaysia dan Adian Husaini (Institute For The Study Of Islamic Thought and Cilivization, Jakarta).

Perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Teks ucapannya dibaca anggota Exco, Ustaz Hassan Mohamood.

Oleh itu, Dr Mohd Nur berharap Majlis Raja-Raja Melayu menolak cadangan menolak penubuhan IFC kerana ia cukup merbahaya kepada masa depan agama Islam di negara ini.

Menurutnya, kewujudan IFC secara tidak langsung akan menjejaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

IFC digagaskan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh melalui memorandum kepada Majlis Peguam bertarikh 21 Ogos 2001.

Antara tuntutannya kepada kerajaan iaitu seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya terus menjadi orang Islam.

Bagaimanapun kata bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia itu, perjuangan IFC turut mendapat sokongan daripada 50 anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu.

Menurutnya, aliran pemikiran Islam liberal sudah berani mencemuh ulama -ulama dan dengan jelas mereka mahu melebarkan fahaman pluralisme agama.

"Golongan ini telah diraikan dengan begitu hebat sekali di Barat sehingga ceramah mereka bagi satu jam dibayar sehingga 10,000 Euro dan mendapat tiket penerbangan kelas pertama," katanya.

Dr Ugi berpendapat hanya melalui dua kaedah sahaja dapat mengelakkan orang Islam terjebak dengan fahaman Islam liberal iaitu mendalami ilmu agama dan belajar secara berguru.

Manakala Dr Ahmad Bazli pula mengulas panjang lebar mengenai hermeneutik iaitu satu kaedah baru memahami al Quran. - mks.