Memaparkan catatan dengan label ASWJ. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label ASWJ. Papar semua catatan

Selasa, 19 Oktober 2010

Memperkukuh pegangan ASWJ

ARKIB : 12/02/2010

GOLONGAN ulama mempunyai kedudukan tinggi dalam agama Islam. Justeru, mereka sentiasa dihormati oleh masyarakat. Dengan perkembangan semasa yang semakin mencabar dalam dunia Islam dan pembangunan ummah, tanggungjawab mereka kini semakin berat dalam menyuluh lampu hidayah kepada umat.

Lebih-lebih lagi hari ini, kita melihat cabaran umat sangat kritikal sifatnya sama ada dalam bentuk fizikal iaitu politik, sosial, ekonomi dan sebagainya, mahupun dalam bentuk pencemaran pemikiran seperti fahaman sekularisme, liberalisme, pluralisme dan aliran yang tidak selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Bukan sahaja hambatan ini akan merugikan dan memundurkan umat tetapi juga menyebabkan perpecahan daripada pelbagai sudut jika tidak ditangani sewajarnya.

Justeru, ulama dan ilmuan Islam perlu menggerakkan usaha menangani permasalahan ini ke arah kekuatan dan kesatuan ummah.

Dengan itu, penganjuran Multaqa Ulama dan Ilmuan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) Johor, Majlis Agama Islam Johor dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru pada 4 Februari lalu amat signifikan bagi merungkai permasalahan dan menggariskan tindakan ulama dan ilmuan bagi meningkat dan memartabatkan lagi Islam dan ummah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan multaqa berkenaan menyifatkannya sebagai satu wadah penting bagi memperkasa kesatuan ummah.

Beliau kemudian membacakan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud:

"Dan demikianlah pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) 'umat pertengahan' (umat yang adil dalam erti kata, pertengahan pembawanya, tidak melampau dan tidak keterlaluan dalam menganuti kepercayaan, demikian juga akhlak dan amalannya, sama-sama dipandang dan dikenal pasti, dipelajari dan diusaha laksanakan meliputi hal ehwal dunia dan akhirat atau duniawi) supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan supaya Rasulullah SAW pula akan menjadi orang yang menerangkan perbuatan kamu..."

Dalam konteks penyatuan umat Melayu, Muhyiddin berpendapat, ia berteraskan kekuatan akal dan rohani agar kefahaman dipandu oleh pandangan luhur, hikmah dan sederhana sebagaimana ditekankan oleh ulama silam seperti Nuruddin al-Raniri, Hamzah Fansuri dan Syeikh Daud al-Fatani yang mencetus perubahan hidup dalam masyarakat yang berpaksikan akidah Islam sebenar.

Selain memperkukuhkan perpaduan umat, beliau berkata, antara cabaran semasa yang perlu didepani oleh para ulama dan ilmuan Islam ialah menangani isu-isu semasa seperti kalimah Allah dan memupuk keharmonian kaum serta agama dalam masyarakat majmuk negara ini.

Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr. Uthman El Muhammady ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Perpecahan Menghakis Pengaruh Kekuatan Islam', berkata, perpecahan akan turut menghakis pengaruh umat dan sebab itu penting pegangan ASWJ dipertahankan untuk menyatupadukan umat hari ini.

Ia selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:

"Berpegang teguhlah semua kamu kepada tali agama Allah dan jangan bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu sewaktu kamu bermusuh-musuhan antara sesama kamu kemudian Ia menyatukan hati kamu maka dengan nikmat Allah, jadilah kamu bersaudara; kamu berada di jurang neraka, kemudian Allah selamatkan kamu daripadanya; demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu supaya kamu mendapat hidayat."

Dr. Uthman berkata, umat Islam di negara ini berpegang teguh kepada ASWJ sejak dahulu dan mereka memahami ajaran Islam dengan akidah, fiqh, akhlak dan sejarah secara seragam dan menjadi unsur penyatuan yang kuat.

Disebabkan itu, pegangan akidahnya adalah akidah ulama tauhid, Imam Abu Hassan al-Asy'ari (324H) manakala pegangan fiqh dan usul fiqh adalah mengikut mazhab Imam Shafie manakala tasawuf dan akhlak pula mengikut Imam al-Ghazali.

Syeikh Imam Nawawi dalam kitab fiqhnya, Nihayah al-Zain menyimpulkan bahawa pegangan ASWJ adalah dalam mengikuti imam-imam tersebut, kata Dr. Uthman.

Dalam konteks dunia Melayu dan nusantara, keseragaman fahaman ini turut diperjelaskan dalam kitab al-Mustafid oleh Syeikh Abd. al-Rauf al-Fansuri, kitab Mir al-Tullab terjemahan Fath al-Wahhab, kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Arsyad al-Banjari, kitab Kashf al-Litham oleh Zain al-Abidin al-Fatani, kitab Furu' al-Masail oleh Syeikh Daud al-Fatani dan seterusnya.

Begitu juga dalam bidang akidah, ia dijelaskan dalam kitab Bidayah al-Hidayah, kitab al-Durr al-Thamin oleh Syeikh Daud al-Fatani, kitab Aqidah al-Najin oleh Syeikh Zain al-Abidin al-Fatani, kitab Hidayah al-Mutafakkirin oleh Tuan Guru Hussein Kedah dan seterusnya.

Selain itu, bidang tasawuf pula diterangkan dalam kitab Hidayah al-Salikin oleh Syeikh Abd. al-Samad al-Falimbani, kitab Sayr al-Salikinnya, kitab Minhaj al-Abidin oleh Syeikh Daud al-Fatani, kitab Kanz Minan Syarah Hikam Abu Madyan oleh Syeikh Daud al-Fatani dan Hikam huraian Tok Pulau Manis.

Pegangan ASWJ ini mengukuhkan perpaduan dan terjauh daripada unsur bantah membantah sebagaimana yang dilarang oleh Allah SWT dalam surah al-Anfal, ayat 46 yang bermaksud:

"Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu gentar dan hilang kekuatan, dan bersabarlah, sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar."

Dr. Uthman berkata, elemen-elemen yang merosakkan persepaduan ilmu dalam Ahli Sunnah itu akan hilang jika berlaku bantah membantah dalam fahaman agama dengan memasukkan ke dalam kalangan kita unsur pecah belah seperti tuduh menuduh bidaah akibat terpengaruh dengan aliran Wahhabiah yang kononnya atas nama salaf, yang turut menuduh serong terhadap sahabat-sahabat Nabi dan imam-imam ahli Sunnah.

"Jalan orang-orang mukminin ini mengikut apa yang diterangkan oleh Imam Shafie adalah jalan ijmak, sebagaimana misalnya yang dinyatakan dalam tafsir al-Baidawi dan al-Qurtubi dan lainnya itu diterima oleh ulama kemudian dalam ASWJ," jelas beliau.

Sebab itu, katanya, ahli sunnah dilarang mengeluarkan pandangan yang menyalahi ijma ulama atas alasan mahu mencari 'alternatif' dalam pendekatan. Dan ahli ilmu pula diwajibkan mengetahui ijmak supaya ia tidak melanggarnya dalam huraian keilmuannya.

Dalam menghadapi ancaman fahaman sekularisme, liberalisme dan pluralisme yang berakar dari Barat pula, Profesor Dr. Sidek Baba berkata, dakyah-dakyah fahaman itu boleh ditepis apabila umat Islam mendapat ilmu dan kefahaman Islam sebenar.

Sebagai contoh, katanya, pengaruh gerakan antihadis dan fahaman Islam Aminah Wadut kini semakin lemah dan tidak dapat pergi ke mana.

Apapun, pembentangan kertas kerja Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad yang membentangkan tajuk 'Ke Arah Memperkasakan Kesatuan Ummah di Malaysia: Peranan Ulama ASWJ' adalah cukup menarik.

Kertas kerja beliau dibahagikan kepada tajuk kecil iaitu (1) Siapa al-Salafu al-Soleh, (2) Kemunculan Muktazilah, (3) Lahirnya mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, (4) Fitnah Wahabiyyah dan (5) Ulasan pendapat ulama, Sheikh Yusuf al-Qaradawi.

Bagi beliau, berdasarkan sejarah dan perkembangan umat Islam dari zaman ke zaman, kemunculan fahaman tersasar daripada arus perdana ASWJ akibat daripada sikap ekstrem, melampau dan tiada kesederhanaan.Antaranya, golongan Khawarij, Qadariyyah, Jabariyyah, Muktazilah, fahaman tasybih, zindiq, jahmiyyah, mesyubbihah dan mu'attilah yang sebahagian fahaman itu dipengaruhi ilmu kalam falsafah Yunani, Rumawi dan Parsi.

Namun, Mohd. Nakhaie berkata, aliran tersebut khususnya Muktalizah menjadi lemah dengan peranan besar ulama tauhid Imam Abu Hassan al-Asy'ari (bermazhab Imam Shafie) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (bermazhab Imam Hanafi).

Dengan sumbangan dua ulama tersebut maka berakhir ajaran Muktazilah lalu membawa kelahiran ASWJ yang merupakan manhaj bagi memahami pegangan akidah, syariah, kerohanian salafusolehin iaitu tiga kurun pertama setelah kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Namun, pada masa yang sama, terdapat juga aliran serpihan di luar arus perdana yang membentuk fahaman Wahabiyyah yang pada asalnya bertujuan menghapuskan amalan-amalan khurafat dan bidaah di kawasan tertentu tetapi bertukar ekstrem, mengelirukan dan menimbulkan perpecahan.

Fahaman itu kononnya mahu dikenali sebagai salafi, namun sebenarnya sifat fahaman itu lebih gemar membicarakan tentang ayat-ayat mutasyabihat, cepat menghukum bidaah dan sesat, menolak sebahagian ilmu tasawuf dan sebagainya.

Antara fitnah yang dilakukan Wahabiyyah adalah menggunakan nama ulama-ulama besar seperti Imam Shafie, Imam Abu Hanifah dan Abu Hassan al-Asya'ri sebagai orang yang berfahaman seperti mereka.

"Lebih dahsyat lagi mereka meminda dan menokok tambah kitab-kitab lama yang diulang cetak oleh mereka dan disesuaikan dengan kefahaman mereka. Ini terjadi kepada kitab al-Ibanah fi usul al-Dinayah karangan Abu Hassan al-Asya'ri," katanya.

Malah, Mohd Nakhaie berkata, telah disahkan oleh ulama seperti al-Muhadith al-Musnid Mahmud Sa'id Mahdud dalam kitab Raf'ul Minarah bahawa sebahagian kitab al-Azkar karangan Imam Nawawi telah dipadamkan manakala terdapat hadis-hadis diselewengkan atas nama hendak memelihara kesucian Islam dan mencegah bida'ah.

Apapun, seruan ulama tersohor, Yusuf al-Qaradawi boleh dijadikan kesimpulan iaitu umat Islam di negara ini disaran mempertahankan jati diri keislamannya dengan berpaksikan mazhab Shafie dan berakidahkan mazhab al-Asy'ariyyah bagi menghalang kemasukan pemikiran asing dari luar yang boleh memecahbelahkan perpaduan.

Ahad, 17 Oktober 2010

Bila pluralisme jadi isu

ARKIB : 16/06/2006

MUZAKARAH Ulama 2006 yang berlangsung Isnin lalu di Ipoh, Perak menyatakan keprihatinan mereka terhadap fahaman pluralisme dan liberalisme yang dianggap sebagai mengancam akidah umat Islam.

Umumnya bagi umat Islam yang mengikuti perkembangan mengenai gerakan pluralisme dan liberalisme di negara ini dapat memahami keprihatinan muzakarah itu.

Sikap ulama yang menyertai muzakarah itu berhubung dengan pluralisme dan liberalisme secara umumnya mencerminkan sikap masyarakat Islam di negara ini yang rata-rata konservatif dan tradisional.

Tetapi apabila isu ini sampai ke perhatian orang bukan Islam di negara ini, mereka tentu terkejut apabila ulama menolak pluralisme dan liberalisme.

Mereka pasti tertanya-tanya tidakkah negara ini mengamalkan pluralisme dan liberalisme? Ini kerana Malaysia sebagai negara didiami oleh rakyat berbilang agama dan kepercayaan dan sudah tentu menjamin ciri pluralisme masyarakat. Begitu juga dengan liberalisme.

Tidakkah Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi mengamalkan liberalisme? Malah disebut dalam Rukun Negara disebut perkataan liberal itu sendiri.

Jadi apabila dinyatakan bahawa ulama negara ini menentang pluralisme dan liberalisme, maka dilihat oleh orang bukan Islam bahawa sedang muncul pemikiran ekstremisme di kalangan orang Islam. Pastinya mereka berasa bimbang.

Apa yang menjadikan perkara ini sebagai isu dalam hubungan antara kaum dan agama di negara ini ialah istilah pluralisme dan liberalisme.

Perkataan ini menimbulkan salah faham dan kebimbangan yang tidak perlu.

Selama ini istilah pluralisme di negara ini lebih merujuk kepada kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, serta keperluan sikap toleransi terhadap keadaan ini. Seringkali disebut ungkapan, Malaysia adalah negara plural iaitu pengiktirafan terhadap kepelbagaian dan keharmonian melalui sikap toleransi.

Sementara liberalisme pula dikaitkan dengan demokrasi. Sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia mengamalkan sikap liberal terhadap cara hidup rakyatnya, baik terhadap budaya mahupun agama. Kebebasan memilih cara hidup dijamin dan diizinkan dalam negara, tidak berbeza dengan negaranegara Barat yang turut mengamalkan demokrasi liberal. Sudah tentu secara terperinci, terdapat perbezaan dari segi pelaksanaan dengan mengambil kira sensitiviti budaya dan agama. Tetapi umumnya Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dan moden menerima liberalisme sebagai cara hidup.

Terhadap ini umat Islam juga tidak mempunyai masalah. Ini kerana Islam menerima masyarakat majmuk dan tidak ada paksaan dalam agama. Pluralisme dan liberalisme dari segi ini tidak menjadi masalah. Lebih-lebih lagi dari segi ini, umat Islam bersikap toleran terhadap penganut agama lain.

Diprihatinkan

Bagaimanapun, apa yang diprihatinkan oleh muzakarah ulama itu bukanlah pluralisme dan liberalisme dalam hubungan hidup bernegara di antara penganut agama berbeza.

Pluralisme dan liberalisme yang dirujuk oleh muzakarah itu ialah mengenai satu fahaman yang baru timbul sejak akhir-akhir ini iaitu sekitar 10 tahun kebelakangan ini.

Ia berasal dari negara-negara Arab sendiri, khususnya Mesir dan Sudan kemudian tersebar ke Eropah, masuk ke Indonesia dan sampai di Malaysia. Di Indonesia, fahaman ini dikenali sebagai Islam Liberal dan organisasi yang membawanya ialah Jaringan Islam Liberal (JIL).

Tetapi Islam Liberal ini pula bukanlah satu bentuk saja. Ia muncul dalam banyak bentuk. Antara fahamannya mungkin boleh diterima sebagai penyegaran semula tafsiran terhadap Islam. Tetapi tidak kurang pula yang terang-terang bercanggah dengan akidah Islam, pastinya tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam di negara ini yang jelas fahamannya berdiri di atas mazhab Sunah Waljamaah menurut Imam Syafie seperti yang diajar oleh jabatan agama Islam di semua negeri kecuali Perlis.

Islam Liberal seperti yang ada di Indonesia mengajak umat Islam menafsirkan semula al-Quran mengikut konteks hari ini.

Ajakan untuk mentafsirkan semula alQuran menurut keadaan semasa mungkin boleh diterima sekiranya ia mengikut prosedur seperti apa yang telah ditetapkan oleh jumhur ulama muktabar dan pewaris-pewarisnya hari ini.

Apa yang menjadi masalah kumpulan Islam Liberal ini mahu al-Quran ditafsirkan semula dengan melihat kitab itu menurut konteks pada zaman Rasulullah s.a.w. Maknanya, al-Quran hendaklah dianggap sebagai teks yang tidak terlepas daripada konteks. Mereka menyifatkan tafsir tradisional sebagai literal dan tidak mengambil kira konteks. Sudah tentu anjuran Islam Liberal ini ditolak oleh ulama dan umat Islam pada keseluruhannya.

Liberalisme inilah yang ditentang oleh muzakarah ulama di Ipoh itu.

Pluralisme pula, juga timbul di Indonesia membawa hujah bahawa semua agama adalah sama dan setaraf. Maknanya bukan saja perlu ada kepelbagaian anutan agama, tetapi semua agama adalah setaraf dan perlu dilayan sama. Bukan itu saja, sikap pluralisme juga menuntut supaya dalam Islam, wajar muncul pelbagai fahaman dan tidak tertakluk kepada pengiktirafan institusi-institusi agama atau ulama.

Maka pegangan ini tidak dapat diterima oleh ulama dan orang Islam secara umumnya, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Bagi umat Islam Malaysia, toleransi terhadap kepelbagaian agama adalah wajar tetapi Islam adalah agama rasmi dan mempunyai kedudukan istimewa di negara ini. Bukan itu saja, bagi umat Islam Malaysia, agama Islam adalah satu-satunya agama benar sementara yang lain adalah salah. Fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah benar dan setaraf tidak boleh diterima oleh umat Islam di negara ini.

Sementara Islam di negara ini pula dianggap hanya dalam satu bentuk iaitu Sunah Waljamaah mazhab Imam Syafie dan tidak dibenarkan tafsiran lain dan di luar daripada fahaman ini.

Orang Islam boleh mempunyai pandangan peribadi daripada hasil pemikiran masing-masing tetapi di tengah-tengah masyarakat, mereka mesti menerima fahaman yang telah ditetapkan oleh jabatan agama negeri-negeri di Malaysia. Fahaman yang lain dianggap batil. Tidak ada pluralisme dan liberalisme dalam hal ini.

Bila melihat sebegini, maka keprihatinan ulama terhadap pluralisme dan liberalisme adalah suatu yang dapat difahami dan bukannya sikap ektsremisme.

Jadi orang bukan Islam tidak wajar gusar dengan sikap menentang pluralisme dan liberalisme oleh ulama dan umat Islam di negara ini. Mereka tetap menerima pluralisme dan liberalisme dalam erti kata kebebasan beragama dan amalan cara hidup individu masing-masing dengan toleransi terhadap kepelbagaian fahaman di negara ini.

Pluralisme dan liberalisme yang ditentang ulama adalah berhubung dengan agama Islam dan tidak berkaitan dengan kehidupan orang bukan Islam.

Namun begitu, masyarakat Islam di negara ini wajar juga melakukan persediaan mental bahawa pada satu masa kelak, mungkin muncul tafsiran-tafsiran berbeza mengenai Islam seperti mana yang pernah berlaku pada zaman-zaman lalu.

Dalam masyarakat dan dunia terbuka pada hari ini, lambat-laun pastinya muncul pemikiran-pemikiran baru yang mencabar kepercayaan hari ini, walaupun amat kita sayangi.

Perkim Wilayah anjur wacana ilmiah

ARKIB : 10/02/2010


Peserta tekun mendengarkan ceramah bertajuk, 'Gerakan Islam Liberal di Indonesia' yang berlangsung di Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


WACANA Ilmiah adalah satu kaedah untuk berhujah seperti berdebat dan muzakarah. Ia lebih kepada satu mekanisme untuk mempertemukan dua pihak dan saling berhujah secara terbuka untuk mencari kebenaran bersandarkan al-Quran dan hadis berkenaan dengan isu-isu semasa.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perkim Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Program Wacana Ilmiah yang bertajuk, "Akidah dan Syariah" bertempat di Bangunan Perkim, Jalan Ipoh dekat sini pada 30 Januari, baru-baru ini.

Program tersebut menghimpunkan seramai 80 peserta yang terdiri daripada pimpinan Perkim cawangan Wilayah Persekutuan, saudara Muslim dan penduduk setempat.

Pengarah Program merangkap Pegawai Dakwah Perkim Wilayah Persekutuan, Mohd. Jogi Maruli berkata, program berkala tersebut memberi pendedahan ilmu kepada peserta untuk memahami konsep akidah dan syariah berlandaskan fahaman dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kehidupan umat Islam kini.

Menurutnya, program tersebut menjelaskan kepada peserta akan keraguan dan kekeliruan yang timbul pada sesetengah masyarakat Islam berkenaan pengertian sesuatu ayat al-Quran yang difahami secara tidak tepat, perbuatan dan sunnah Rasulullah SAW.

"Sebagai agama yang suci, usaha berterusan masih dilakukan untuk menyelamatkan akidah ummah dan menjamin keselamatan negara dengan mengadakan program seperti ini. Malah, tindakan penyebar dan pengikut Islam Liberal ini, sangat membimbangkan dan mendatangkan kesan yang sangat buruk.

"Segelintir masyarakat Islam kini masih keliru dengan ajaran Islam yang jelas, terang, lagi nyata. Ini adalah kerana mereka merasakan layak untuk menafsir nas-nas al-Quran dan hadis sesuka hati demi kepentingan peribadi dan sesuatu perkara yang lain, " kata Jogi.

Katanya lagi, ajaran baru yang lahir selepas kemunculan ajaran Islam oleh Nabi Muhammad yang muncul tanpa selari dengan hikmah syariah Islamiah yang asal adalah dikira sesat dan terbatal. Pengikut pada ajaran baru itu boleh dianggap kafir dan murtad keimanannya.

"Selalunya ajaran Islam Liberal ini terjadi pada kalangan orang Muslim sendiri tetapi telah keluar daripada Islam (murtad) kerana cetek akan keilmuan dan keimanannya kepada Allah seterusnya mencipta ajaran baru yang mempunyai saduran daripada ajaran Islam serta ditokok tambah, diperbaharui dan dipermudahkan hukum pelaksanaannya," jelasnya lagi.

Allah telah berfirman yang bermaksud: Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat. (al-Fatihah: 7)

Slot pertama bertajuk 'Sumber Ajaran Akidah dan Syariah' telah disampaikan oleh Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad selaku Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Pengerusi Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan.

'Gerakan Islam Liberal di Indonesia' pula menjadi tajuk slot kedua yang disampaikan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Penerangan yang terperinci dijelaskan dalam 'proses penghancuran akidah', 'pluralisme agama', 'liberalisme agama' dan 'sekularisme agama'.

Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan.

Turut hadir, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa dan Pengerusi Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Abdul Rashid Omar.

Sabtu, 16 Oktober 2010

Hindari terpengaruh fahaman JIL

ARKIB : 22/09/2006

JOHOR BAHRU 21 Sept. – Umat Islam diseru supaya menghindari daripada terpengaruh dengan ajaran Islam liberal yang dinamakan ‘Jaringan Islam Liberal’ (JIL) yang kini mula menular ke negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa, Hal Ehwal Agama Johor, Zainal Abidin Osman berkata, JIL yang berasal dari negara jiran itu sejak Mac 2001 merupakan sebuah gerakan pemikiran yang amat berbahaya kerana ia menyeleweng dan bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, fahaman dan idea-idea pemikiran mereka sederhana dan pendekatan yang digunakan bercampur aduk sehingga sukar diklasifikasikan antara yang benar dan salah.

‘‘Citra pemikiran modenisme dan fahaman liberal tersebut kini menular di kalangan kelompok Islam dan berkembang sebagai gerakan intelektual dan kebudayaan dengan kepercayaan bahawa masyarakat hendaklah dibebaskan daripada tradisinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pengukuhan Aqidah anjuran Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) di Kompleks Pusat Islam di sini hari ini.

Seramai kira-kira 2,000 peserta terdiri daripada guru-guru agama, pegawai-pegawai agensi kerajaan dan swasta menghadiri seminar sehari itu.

Menurut Zainal Abidin, ajaran yang sedemikian seharusnya ditolak kerana hakikatnya Islam bergerak selari dengan pembangunan fizikal, intelektual dan spiritual dengan mengiktiraf sebarang bentuk pembangunan dan pemodenan manusiawi sesuai dengan kehendak syariat.

Beliau berkata, Islam juga menggesa agar sentiasa berlumba-lumba mencapai kejayaan dalam kerangka ubudiyah dan melaksanakan fungsi khalifah di atas buka bumi ini.

‘‘Aqidah merupakan aset terpenting kepada setiap insan bagi menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat,” ujarnya.

Waspada ancaman fahaman baru - Mufti

ARKIB : 19/12/2009

JOHOR BAHRU 18 Dis. - Umat Islam di negara ini diingatkan agar berwaspada dengan ancaman daripada fahaman baru termasuk Islam liberal dan pluralisme yang dikesan menular di negara ini.

Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsuddin berkata, kedua-dua fahaman berkenaan perlu dijauhi kerana bercanggah dengan ajaran Islam.

"Islam liberal ini sebenarnya adalah Islam solekan sahaja kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

"Contohnya, mereka membenarkan perkahwinan sejenis, merosakkan hukum feqah seperti wanita menjadi imam dan menentang keharusan poligami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Johor 1431 Hijrah di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman, Pengarah Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Abdul Rahman Jaffar dan Penasihat MAIJ, Datuk Nooh Gadut.

Tahrir berkata, Islam liberal juga mempertikaikan hukum pembahagian harta pusaka antara penerima lelaki dan wanita.

Fahaman pluralisme pula, katanya, menganggap semua agama adalah sama sehingga sanggup meletakkan Islam setaraf dengan agama lain.

Beliau berkata, pluralisme juga menghalalkan pernikahan orang Islam dengan pasangannya bukan Islam yang terus tidak memeluk Islam.

Selain itu, Tahrir berkata, umat Islam juga perlu peka dengan isu-isu semasa termasuk kemunculan pihak tertentu yang mempertikaikan amalan seperti membaca surah Yassin dan majlis tahlil sebagai bidaah.

Beliau berkata, fahaman yang mempertikaikan amalan dalam mazhab Syafie boleh memecahbelahkan umat Islam di negara ini yang berpegang kepada fahaman Sunah Wal Jemaah.

Katanya, antara isu semasa lain yang perlu diberi perhatian adalah penggunaan nama Allah oleh penerbitan Kristian, pertikaian peruntukan pembinaan masjid dan tuntutan lain yang mencabar Perlembagaan negara.

Sudut pandangan politik Islam

ARKIB : 06/08/2010


Pertumbuhan wilayah kekuasaan Islam terus berkembang selepas era khulafah ar-Rasyidin sehingga merentasi sempadan India dan China. Gambar menunjukkan umat Islam menunaikan solat di Masjid Shahi di luar Taj Mahal, Agra, India.


ADA pelbagai pendapat mengenai politik Islam. Pertama, kelompok yang berpendapat politik dan agama tidak dapat dipisahkan. Hujah mereka adalah Islam merupakan agama sempurna dan serba lengkap yang mengatur segala aspek kehidupan. Justeru, ia merangkumi persoalan mengenai politik dan pentadbiran negara. Bagi golongan ini, hukum-hakam Islam hanya dapat ditegakkan dengan adanya kuasa politik.

Kedua, kelompok yang berpandangan bahawa politik bukannya juzuk atau ajaran dalam Islam. Aliran ini berpendapat bahawa al-Quran tidak mengatur masalah politik atau ketatanegaraan. Misalnya, Ali Abdul Raziq (1888-1966), ulama abad ke-20, lulusan Universiti Al-Azhar menyebut bahawa al-Islam al-Siyasi sebagai Islam bentuk baru yang diadakan oleh kaum fundamentalis.

Beliau menulis pandangannya itu di dalam bukunya, Islam wa usul al-hukm. Pandangannya yang kontroversi itu menyebabkan Universiti Al-Azhar menghukumnya sebagai sesat dan menarik kembali ijazah yang diberikan kepadanya.

Kelompok Islam Liberal juga berpendirian tidak ada politik dalam Islam. Negara hanyalah urusan keduniaan yang bergantung sepenuhnya kepada kewujudan masyarakat. Pandangan tersebut pernah disuarakan oleh pelopor Islam Liberal Indonesia, Nurcholish Madjid dalam tulisannya The Necessity of Renewing Islamic Thought and Reinvigorating Religious Understanding. Tulisannya itu terkandung di dalam buku Liberal Islam (Oxford University Press,1998).

Kelompok ketiga pula berpendirian bahawa al-Quran tidak menyebut secara qatie atau tidak ada nas yang jelas tentang politik dan sistem kenegaraan. Al-Quran tidak menetapkan model atau sistem politik tertentu yang harus diikuti.

Namun, kelompok ini tidak menolak urusan politik dalam Islam tetapi lebih menekankan tata nilai dan etika politik serta kehidupan bernegara seperti yang disebut pemikir Islam Mesir, Husain Haikal bahawa negara hanyalah instrumen politik untuk menegakkan etika Islam bersifat universal.

Jelaslah bahawa kelompok terbabit bersifat anjal (fleksibel) dalam menentukan bentuk politik Islam yang harus dipegang oleh umat Islam. Bagi kelompok ini, urusan pentadbiran adalah mengikut kebijaksanaan pemerintah selagi mana ia tidak melanggar prinsip dan asas-asas syariah. Pendapat ini merupakan pandangan pertengahan yang banyak diterima oleh para sarjana Muslim. Pendapat ketiga ini juga sesuai dengan situasi politik kontemporari hari ini.

Situasi politik hari ini memerlukan kita berfikir secara mendalam, kritis dan rasional tentang hubungan agama dan politik. Fakta utama yang perlu difahami ialah pembentukan pemerintahan dan kenegaraan mengambil kira pertumbuhan dan perkembangan masyarakat itu sendiri.

Dalam konteks ini, fasa-fasa pertumbuhan pemikiran politik Islam harus difahami. Ketika era nubuwah (kenabian), Rasulullah SAW telah menunjukkan kaedah-kaedah pokok Islam dalam membina dan mengatur sebuah negara.

Kemudian muncul pula era di mana kehidupan masyarakat dan negara terus berkembang dengan pesatnya. Pertumbuhan wilayah kekuasaan Islam terus berkembang selepas era khulafah ar-Rasyidin. Ia adalah era di mana muncul dan tertegaknya pelbagai kerajaan Islam di serata pelosok dunia. Dari semasa ke semasa, pergolakan politik berlaku dalam kerajaan-kerajaan Islam itu. Kebanyakannya berlaku hasil daripada perebutan kuasa yang dicetuskan oleh kelompok dan puak yang berkepentingan. Setiap puak itu pula mempunyai dukungan kelompok ulama mereka tersendiri.

Pertelingkahan pelbagai puak dan aliran ini telah melahirkan pelbagai pemikiran politik mengikut kelompok-kelompok terbabit. Kemudian muncul pula era penjajah kuasa Barat ke atas dunia Islam yang membawa masuk pelbagai pembaharuan sama ada dari segi pemikiran, ideologi dan teknologi baru ke dunia Islam. Apabila negara-negara umat Islam itu merdeka, masing-masing muncul sebuah negara bangsa (nation state) dan majoritinya menerima pakai sistem demokrasi dalam politik dan pentadbiran.

Dalam masa yang sama, wujud kelompok ulama dan sarjana Muslim yang memperjuangkan sistem teokrasi. Mereka berupaya menarik sokongan dan ada di kalangan mereka memimpin jemaah atau parti politik yang memperjuangkan negara Islam. Mereka menyeru pemerintah di negara-negara umat Islam supaya menegakkan negara Islam. Situasi ini telah mencetuskan perdebatan mengenai konsep negara Islam yang melahirkan beberapa pandangan tertentu.

Misalnya, tokoh-tokoh seperti Abul A'la al-Maududi dan Sayyid Qutb telah melahirkan gagasan mengenai sistem pemerintahan teokrasi sebagai bentuk pemerintahan Islam. Golongan sederhana seperti Dr.Yusuf al-Qaradawi dan Fathi Osman pula menerima demokrasi dengan syarat ia disesuaikan dengan syariat Islam.

Bagi Husain Haikal, mereka yang berusaha menegakkan negara berdasarkan syariat Islam melalui instrumen demokrasi dianggap golongan yang berusaha menegakkan negara 'teo-demokratik' iaitu konsep politik yang memberikan kekuasaan kepada rakyat, tetapi kekuasaan itu dibatasi oleh norma-norma daripada Tuhan.

Dalam dunia Islam, hanya wujud beberapa negara Islam yang dianggap mengamalkan sistem pemerintahan Islam seperti Iran dan Arab Saudi. Sungguhpun begitu, sistem pemerintahan republik Islam Iran adalah berasaskan model negara Islam versi Syiah. Arab Saudi pula dikuasai oleh aliran Wahabi.

Bagaimana pula dengan kedudukan negara kita? Apakah ia negara Islam atau sekular? Pada September 2001, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika Perdana Menteri Malaysia telah mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Menurut Dr. Mahathir, Malaysia diakui sebagai sebuah negara Islam yang berpegang kepada ahli Sunnah wal Jamaah.

Bagi menyokong kenyataan tersebut, beliau merujuk kepada kenyataan Syeikh al-Azhar Syeikh Sayyid Muhammad al-Tantawi yang menyebut Malaysia adalah sebuah negara Islam contoh (Utusan Malaysia, 11 Julai 2003). Kenyataannya itu telah menyemarakkan kembali ruang perbicaraan tentang negara Islam sehingga parti Pas mengeluarkan buku Dokumen Negara Islam yang dilancarkan pada 12 November 2003.

Meneliti pendapat pelbagai aliran pemikiran politik Islam, maka penulis berpendapat bahawa setakat ini pendekatan politik UMNO berjaya mengambil jalan tengah dan sederhana dengan memberi penekanan kepada nilai dan etika Islam bersifat universal.

Sejak menerajui negara ini, UMNO telah membuktikan keupayaannya menegakkan syiar Islam di samping dapat menerapkan kehidupan bertoleransi bersama masyarakat bukan Islam serta memberikan hak-hak yang sewajarnya kepada mereka selari dengan semangat perlembagaan negara.

Peliknya, Pas yang suatu ketika dahulu beria-ia mahu menegakkan negara Islam dan hukum hudud telah bertukar 'melodi' . Setelah bergabung dalam pakatan yang rapuh bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas kini terpaksa melupakan prinsip perjuangannya. Kerjasama Pas dengan DAP juga bercanggah dengan fatwa yang pernah dikeluarkannya bahawa haram bekerjasama dengan parti bukan Islam.

Malah, setelah bergabung, parti itu sanggup mempertahankan DAP yang jelas menentang kewujudan negara Islam dan memperlekehkan kedudukan dan hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, Pas gagal memahami atau tidak mahu mengakui bahawa ia telah terperangkap dan sedang diperkudakan oleh kedua-dua parti tersebut sehingga Pas menjadi parti yang tidak konsisten dalam perjuangan politiknya. Justeru, apa lagi alasan Pas untuk memperlekeh dan menolak saranan kerjasama dan perpaduan UMNO-Pas supaya perpaduan Melayu menjadi lebih kuat?

Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan

Surat untuk SIS, WAO dan JAG

ARKIB : 06/10/2009

PADA akhir zaman ini terdapat banyak gerakan Islam liberal (juga disebut sebagai Islam progresif). Ajaran ini didasarkan oleh beberapa Muslim yang cuba menafsirkan semula al-Quran dan as-Sunnah dari sudut pandangan peribadi mereka tanpa merujukkan kepada sumber tradisional seperti mana yang telah diperakui oleh jumhur ulama Ahli Sunnah wal Jamaah.

Sepertimana tindakan SIS, WAO dan JAG melalui memorandum kepada Perdana Menteri bertajuk Justice For Kartika (Keadilan untuk Kartina) bertarikh 25 Ogos 2009 bagi mendesak Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memansuhkan undang-undang jenayah syariah yang sedang berkuat kuasa di negara ini jelas memperlihatkan kebiadaban mereka terhadap agama Islam.

Saya ingin bertanya kepada mereka ini, siapa kalian untuk mempertikaikan undang-undang Allah? Siapa kalian untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang jenayah syariah? Apa dalil yang kalian gunakan untuk bercakap tentang undang-undang syariah? Sejujurnya, tindak-tanduk kalian jelas memperlihatkan betapa dangkalnya pemahaman kalian terhadap undang-undang syariah.

Tidakkah kalian sedar tindakan kalian hanya akan menimbulkan implikasi negatif kepada negara kerana menceroboh kedaulatan agama Islam sebagai agama negara dan agama negeri serta perundangan syariah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu (sebagaimana termaktub dalam Kanun Undang-Undang Negeri-Negeri Melayu)?

Kalian juga telah menyentuh dan menjejaskan kedudukan raja Melayu sebagai ketua agama Islam bagi negeri, bercanggah dengan prinsip dalam Perkara 3 (2) Perlembagaan Persekutuan, menghina hukum syarak yang sedang berkuat kuasa melalui enakmen-enakmen negeri, dan pastinya kalian mengguris perasaan dan umat Islam yang lain.

Kalaupun kalian ingin mencari populariti murahan, gunakanlah cara lain tetapi bukan dengan mempertikaikan undang-undang syariah yang kalian sendiri tidak arif tentangnya. Sememangnya penghancur agama Islam seperti ini akan terus mencari ruang dan peluang untuk memesong dan menyelewengkan serta menggugat kepercayaan dan keimanan umat Islam.

Anasir jahat ini datang kepada kita sama ada secara sedar atau tanpa disedari oleh kita semua. Gejala atau anasir jahat ini bukan sahaja menjadikan golongan awam yang tidak berpendidikan tinggi sebagai mangsa, malahan ia juga mendekati golongan terpelajar atau profesional.

Oleh yang demikian, umat Islam harus berhati-hati, agar tidak terpesong daripada ajaran Islam sebenar berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Selain kebimbangan terhadap ancaman musuh Islam dari luar yang memang jelas penampilannya, kita juga perlu berhati-hati terhadap musuh dari dalam yang bertopengkan Islam yang mendakwa bahawa merekalah penyelamat dan pendokong Islam sebenar.

Kewujudan golongan berfikiran dangkal dan liberal dan anasir yang jahat seperti ini, bukan sahaja memesong keimanan malah ia juga akan menggugat kestabilan masyarakat dan keselamatan negara.

Justeru, kerajaan perlu bertegas kepada golongan seperti ini. Ambil tindakan setegas mungkin terhadap pertubuhan picisan seperti ini seperti membatalkan langsung pendaftaran mereka. Tidak ada gunanya kewujudan NGO seperti ini di negara ini.

ALFONSO MIN

Kuala Lumpur

Waspada Jaringan Islam Liberal

ARKIB : 31/05/2010

BESUT 30 Mei – Umat Islam di negara ini diminta lebih berwaspada dengan gerakan Jaringan Islam Liberal (JIL) yang boleh mengancam pendekatan sederhana yang diamalkan selama ini.

Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Abdullah Md. Zin berkata, gerakan itu yang sudah bertapak dan berkembang di beberapa negara telah membawa banyak masalah kepada orang Islam.

‘‘Paling ketara pendekatan itu mewujudkan sifat ekstrem dan umat Islam pula bersikap sambil lewa terhadap pelaksanaan Islam sehingga ia menjadi satu cabaran besar kepada mereka,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) negeri Terengganu di sini hari ini.

Menurutnya, pendekatan sederhana atau wasatiyyah yang dilaksanakan oleh kerajaan telah dijelaskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu dialog dengan ulama sebelum ini.

‘‘Pendekatan wasatiyyah ini tidak ekstrem dan tidak juga terlalu longgar,” katanya.

Sebanyak lapan guru KAFA menerima anugerah kecemerlangan pada majlis itu yang dianjurkan oleh Persatuan Guru-guru KAFA Negeri Terengganu (Perkat) dan turut dihadiri oleh lebih 1,000 guru Kafa di negeri ini.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, pendekatan sederhana itu dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah diharap dapat membendung JIL dan mampu membawa kemajuan kepada umat Islam dan negara.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, komitmen guru-guru KAFA seharusnya dipuji kerana walaupun menerima elaun yang kecil, mereka masih terus menyumbangkan khidmat tanpa jemu.