Memaparkan catatan dengan label Kebebasan Beragama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kebebasan Beragama. Papar semua catatan

Selasa, 19 Oktober 2010

Perjuangkan hak seiring tanggungjawab

Kebebasan mutlak tanpa ambil kira kepentingan lain bakal gugat ketenteraman sosial

ANTARA hak dan tanggungjawab, manakah lebih penting atau kedua-duanya sama penting? Mungkin ada yang menganggap persoalan ini klise dan tidak perlu dibincangkan. Namun, dalam konteks pemerintahan, undang-undang dan hak asasi, ia kekal menjadi isu sehingga hubung kait dan kepentingan kedua-duanya dapat difahami sepenuhnya.

Tiada sistem undang-undang yang sempurna jika tidak mengiktiraf hak dan tidak lengkap undang-undang sekiranya tidak meletakkan tanggungjawab. Oleh itu, sebarang sistem yang mempunyai prinsip kebebasan dan autonomi individu mutlak tidak akan berjaya menjaga kepentingan ramai kerana kebebasan mutlak yang diasaskan atas dasar individualism tidak dapat melaksanakan kedua-duanya (autonomi individu dan kepentingan umum) sekali gus.

Keseimbangan antaranya sukar dibentuk. Sistem yang sempurna harus menyeimbangkan antara tanggungjawab dan hak, sama ada tanggungjawab atau hak individu atau masyarakat.

Segala hak dan tanggungjawab perlu dilaksana secara bergandingan dan sentiasa berkait rapat dalam setiap bidang kehidupan. Individu yang menjalankan kewajipannya sudah menjalankan tanggungjawab dan seterusnya memberikan hak kepada individu. Memenuhi tanggungjawab adalah prasyarat kepada hak yang lain. Fungsi hak secara umumnya ialah menegakkan kebebasan, manakala tanggungjawab untuk merealisasikan kehormatan seseorang. Oleh itu, kedua-dua (hak dan tanggungjawab) sama penting dan tuntutan hak adalah tuntutan ke atas pihak lain untuk menjalankan tanggungjawabnya. Kebanyakan dokumen antarabangsa berkaitan hak asasi tidak menyenaraikan tanggungjawab individu secara harfiah. Apa yang wujud dalam dokumen berkenaan kebanyakannya hak yang dikumpulkan sebagai hak asasi atau kebebasan.

Saya tertarik dengan American Declaration of the Rights and Duties of Men yang meletakkan peruntukan mengenai tanggungjawab secara jelas dalam bab tersendiri. Deklarasi ini yang diterima pada 1948 mempunyai dua bab. Pertama mengiktiraf hak tertentu dan kedua meletakkan tanggungjawab individu terhadap negaranya. Antaranya termasuk tanggungjawab individu terhadap masyarakat, anak dan ibu bapa, menuntut ilmu, menghormati undang-undang dan mencari kehidupan baik serta tanggungjawab tidak terbabit dalam aktiviti politik di negara lain.

Walau apa pun amalannya di Amerika Syarikat atau sejarah dan kedudukan deklarasi ini, saya melihat kebaikannya iaitu sesuatu hak sentiasa disertai tanggungjawab. Antara kebaikan disumbang deklarasi ini ialah mengingatkan individu hak dan tanggungjawab tidak dapat dipisahkan.

Namun, deklarasi ini tidak menjelaskan tanggungjawab negara terhadap rakyatnya. Mungkin ia boleh difahami dengan melihat hak individu yang disenaraikan. Amat jelas, setiap rakyat boleh menuntut haknya daripada pemerintah atau pihak yang diberikan tanggungjawab. Namun, pada masa sama rakyat juga mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap negara. Kedua-duanya saling bersangkutan dan berkait rapat.

Teori hak dan tanggungjawab amat berbeza antara prinsip hak asasi dalam Islam dan Barat. Islam memperkenalkan timbang tara antara hak dan tanggungjawab dengan sistem Islam ialah kombinasi kedua-duanya. Sistem ini tidak memberi tumpuan kepada hak mutlak seseorang, tetapi hak terikat.

Ia untuk mengelak pertembungan hak antara individu. Sebagai contoh, seseorang mempunyai kebebasan bersuara, tetapi hak itu tidak membenarkannya menghina agama lain kerana hak kebebasan bersuara sudah bertembung dengan kebebasan beragama.

Ini meletakkan tanggungjawab kepada orang yang mempunyai hak kebebasan bersuara untuk menghormati orang lain yang mempunyai hak kebebasan beragama.

Sistem yang mementingkan individualisme tidak mengambil peduli terhadap kebebasan orang lain. Keadaan ini tidak menyumbang ke arah kebaikan masyarakat. Hak yang terikat dengan tanggungjawab menjadi mekanisme utama dalam membentuk masyarakat sempurna dari segi moral dan siviknya.

Hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap manusia mempunyai kewajipan dan setiap seseorang bertanggungjawab atas kewajipannya,” sesuai dijadikan panduan. Setiap individu mempunyai tanggungjawab yang menjadi hak orang lain dan individu yang menggalas tanggungjawab berkenaan perlu melaksanakannya sebaik mungkin.

Kita tidak dapat lari daripada hak dan tanggungjawab. Namun, kedua-duanya bergantung kepada status sosial diri. Semakin banyak kuasa seseorang, semakin banyak dan luas tanggungjawabnya. Secara lumrahnya, ramai pula yang berada di bawah pengawasannya. Dari segi teori, tuntutan hak terhadap orang yang berkuasa semakin meningkat jika tanggungjawab itu tidak dilaksanakan dengan baik.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Desak haramkan Ahmadiyyah

ARKIB : 05/08/2008

JAKARTA 4 Ogos - Ribuan penduduk Islam hari ini berarak di tengah bandar raya ini bagi menuntut kerajaan mengharamkan Ahmadiyyah, sebuah pergerakan yang didakwa mengamalkan ajaran sesat.

Ulama terkenal Indonesia, Abu Bakar Bashir adalah antara tokoh agama yang mengetuai tunjuk perasaan yang disertai oleh wakil daripada pelbagai pergerakan Islam di negara ini.

Penunjuk perasaan berarak membawa sepanduk dan kain rentang yang bertulis pelbagai desakan agar Ahmadiyyah diharamkan sambil mereka melaungkan "Allahu Akbar".

Kumpulan berkenaan menyekat sebatang jalan di depan kediaman rasmi Susilo Bambang Yudhoyono untuk mendesak Presiden itu mengeluarkan dikri mengharamkan pergerakan ajaran sesat berkenaan.

Abu Bakar yang sebelum ini pernah dipenjarakan setelah disabitkan kesalahan berkonspirasi dalam serangan bom Bali 2002, memberitahu orang ramai menerusi pembesar suara bahawa "ajaran sesat adalah musuh terbesar Islam".

"Oleh itu, Ahmadiyyah adalah musuh Islam. Mereka juga kafir kerana cuba memusnahkan agama ini, bukan dengan keganasan tetapi menerusi prinsip yang salah.

"Ahmadiyyah mesti diharamkan kerana ia lebih berbahaya daripada fahaman komunisme," tegas Abu Bakar.

Kontroversi mengenai ajaran ini telah menimbulkan persoalan mengenai sikap tolak ansur dan pluralisme di sebuah negara yang paling ramai penganut Islam di dunia ini.

Mengikut Perlembagaan Indonesia, kebebasan beragama adalah hak setiap rakyat.

Kerajaan telah didesak sejak Jun lalu untuk mengharamkan Ahmadiyyah yang bertapak di negara ini sejak 1920-an.

Mengikut ajaran yang diamalkan oleh kumpulan itu, Nabi Muhammad bukanlah nabi terakhir umat manusia, sebaliknya pengasas ajaran tersebut, Mirza Ghulam Ahmad dianggap sebagai nabi terakhir.

- AFP

Contohi Nabi dialog antara agama

ARKIB : 15/01/2010

ISLAM merupakan agama yang sangat menganjurkan persefahaman kerana melalui persefahaman itulah akhirnya ia membentuk sebuah penyatuan. Islam yang ditegakkan melalui dakwah Nabi Muhammad SAW amat menekankan agar manusia mempunyai sifat hormat menghormati sesama manusia, dan tidak melihat manusia sebagai kesatuan etnik, agama dan batasan fizikal. Islam disatukan melalui prinsip ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT. Dan kerana itulah Nabi Muhammad SAW turut dianggap sebagai Nabi bagi seluruh umat, kerana membawa mesej perdamaian seluruh manusia.

Islam tidak membezakan suku bangsa dan warna kulit manusia kerana semuanya ialah hamba Allah, bahkan perbezaan bangsa dan warna kulit itu juga adalah suatu rahmat kepada hamba-Nya, agar mereka dapat saling kenal mengenal dan bantu-membantu dalam menempuh kehidupan.

Selain menghormati sesama manusia tanpa mengambil kira sempadan keturunan, bangsa dan budaya, Islam menganjurkan agar penganutnya memelihara hubungan dengan penganut agama lain, selagi mereka tidak memusuhi Islam.

Islam tidak melarang umatnya untuk bergaul secara baik serta bersikap jujur terhadap penganut agama lain, sama ada mereka penganut agama Samawi (Kristian, Yahudi, Nasrani) mahupun agama wadi atau agama yang timbul daripada hasil percikan pemikiran budaya manusia, selama mereka tidak memerangi Islam.

Umat Islam juga harus belajar menghormati agama lain dan dalam masa yang sama patuh ke atas agama yang dianuti. Kalau boleh kita usahakan dialog etika dan kerjasama sosial, mencari kesamaan nilai hidup bermasyarakat, seperti mengembangkan kod etika yang dapat diterima oleh semua ahli masyarakat dan bersifat universal.

Kerjasama antara umat manusia tanpa melihat latar belakang agama, etnisiti dan kelompok dianjurkan oleh Islam bagi membolehkan setiap individu ataupun kelompok berusaha melakukan kebajikan, memakmurkan kehidupan dan menjalin persaudaraan secara harmoni.

Saranan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom (Utusan Malaysia 13 Januari 2010) supaya diadakan dialog antara agama bagi membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini lebih memahami kepercayaan agama yang dianuti masing-masing amat dialu-alukan. Contohnya, dialog dua peradaban terkemuka Islam-Kristian amat penting dalam menentukan bentuk hubungan kedua-duanya serta manusia sejagat.

Sejarah panjang umat Islam melahirkan teladan bagi memahami faktor kemajmukan dan kebebasan beragama, selain masalah-masalah yang timbul. Kebebasan beragama juga diterapkan dalam Perlembagaan Madinah (Mitsaq Al-Madinah) dalam ruang dan waktu ketika itu. Pada dataran struktural dan politik, Nabi Muhammad SAW berusaha mencari titik pertemuan dengan pelbagai golongan di Madinah dengan terlebih dahulu mengakui hak eksistensi masing-masing kelompok dalam dokumen ini, meskipun kemudian ada pelanggaran-pelanggarannya.

Nabi sendiri memberi contoh untuk golongan sekular ketika baginda bersabda: "Aku hanyalah seorang manusia, jika aku perintahkan sesuatu yang bersangkut dengan agama, taatilah, dan jika kuperintahkan sesuatu dari pendapatku sendiri, pertimbangkanlah dengan mengingatkan kepada aku hanyalah manusia." Atau ketika baginda bersabda: "Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu."

Ajaran Islam, sama ada secara teologi atau sejarah, jelas tidak dapat dipisahkan daripada kewujudan agama lain di sisi mereka. Umat Islam sejak Nabi Muhammad SAW dan semasa Khalifah ar-Rashidin hingga sekarang memahami kenyataan adanya pluralisme dan perbezaan dalam keyakinan terhadap agama masing-masing. Pandangan inilah yang mempertemukan umat Islam dengan umat agama lain untuk berinteraksi melalui dialog bagi tujuan saling memahami pandangan masing-masing.

Dialog ini menjadi agenda yang semakin penting dalam situasi dunia kini yang terancam dengan keganasan dan kemusnahan akibat salah faham terhadap perbezaan pegangan agama.

Dialog ini dengan sendirinya akan memperkayakan wawasan kedua-dua pihak dalam rangka mencari persamaan yang dapat dijadikan landasan hidup yang damai dalam suatu masyarakat.

Apa-apa yang menjadi fokus utama dalam setiap dialog tersebut adalah untuk mencari titik temu berkaitan persoalan-persoalan kemanusiaan sejagat serta bersama-sama berusaha menyebarkan nilai-nilai luhur dan dituntut oleh semua agama.

Islam sering menganjurkan prinsip toleransi, saling berhubung dan mementingkan moral serta kehidupan bermasyarakat. Islam menghormati dan tidak menakutkan penganut agama lain.

Dalam hal ini adalah relevan untuk kita mengingat kembali bahawa Islam memiliki pengalaman sejarah berkaitan dengan persoalan pluralisme dan telah menemukan cara untuk menjawabnya secara kreatif.

Lembaran sejarah peradaban yang mengagumkan dari dua masyarakat Muslim menunjukkan betapa tingginya pluralisme yang diamalkan iaitu Moor di Sepanyol dan Moghul di India. Juga sikap toleransi yang begitu tinggi yang ditunjukkan oleh Dinasti Fatimiyah di Maghribi ke atas orang Kristian.

Demikian juga toleransi agama yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga agama besar seperti Islam, Yahudi dan Kristian ketika kegemilangan tamadun Islam Sepanyol. Begitu juga kerjasama positif umat Islam dan Yahudi di Baghdad sejak kehadiran mereka dari abad yang kesembilan lagi.

Di bawah kekuasaan Islam selama 500 tahun, Sepanyol muncul sebagai pusat interaksi antara agama besar sedunia iaitu Islam, Yahudi dan Kristian. Mereka secara damai berinteraksi dan berdialog serta masing-masing menyumbang ke arah mencipta peradaban yang cemerlang.

Sikap pluralisme yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad ke atas orang Yahudi Madinah bukan sekadar dengan memberi kebebasan beragama, malah lebih daripada itu. Rasulullah banyak bersabar dengan kerenah-kerenah yang ditimbulkan oleh orang-orang Yahudi.

Demikian juga sikap hormat Nabi ke atas rombongan 60 orang delegasi Kristian Nestorian yang datang menemuinya. Mereka diterima Nabi di Masjid Madinah dan dibenarkan menginap di Masjid Nabawi serta sebahagiannya di rumah sahabat Nabi. Mereka tinggal beberapa hari dan sempat melakukan ibadah cara mereka di Masjid Nabawi walaupun sebelum ini mereka meminta izin untuk beribadat di luar masjid. Selama di Madinah terjadi dialog antara Nabi dan pimpinan delegasi tersebut.

Sikap Nabi Muhammad SAW terhadap umat Kristian ini diteruskan oleh pemimpin Islam selepasnya. Khalifah Abu Bakar pernah berpesan kepada tentera Muslim agar tidak mengganggu kebebasan dan menodai kesucian agama lain. Demikian juga Khalifah Umar al-Khattab yang pernah membuat perjanjian dengan umat Kristian Kota Aelia (sekarang Jerusalem).

Baitul Hikmah, pusat ilmu pengetahuan yang didirikan ketika pemerintahan al-Makmun pernah dipimpin oleh sarjana Kristian, Hunain bin Ishak. Sikap toleransi juga ditunjukkan oleh penguasa Islam di seluruh Afrika Utara, Mesir dan Turki di mana umat Yahudi dapat menikmati kebebasan beragama dan ekonomi yang hampir sempurna selama beberapa abad.

Ini membuktikan bahawa sistem masyarakat dalam Islam adalah amat terbuka dan dapat diterima oleh semua bangsa dan agama, kerana Islam juga tidak pernah memaksa penganut lain untuk menganuti agamanya. Bahkan Islam juga tidak secara terperinci dan kritis menghalang agama lain dengan prinsip dan etika tertentu.

Islam sering menganjurkan prinsip toleransi, saling berhubung dan mementingkan moral serta kehidupan bermasyarakat. Islam tidak mengunjurkan perilaku negatif dan melancarkan tindakan ganas seperti membakar pusat-pusat ibadah agama lain, malah Islam menghormati agama lain dan tidak menakutkan penganut agama lain. Islam mementingkan perdamaian dan inti dasar Islam sebenarnya membentuk perilaku manusia yang baik, luhur, berbudi tinggi dan menghormati setiap makhluk sebagaimana tujuan sebenar manusia memerlukan agama.

Penulis ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia

Sabtu, 16 Oktober 2010

Bahaya fahaman Islam liberal

ARKIB : 17/04/2009

Islam amat menitikberatkan soal akidah kerana ia merupakan tunjang kepada syariat yang telah dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Malah jika disusuri sejarah, perkara pertama yang diberi tumpuan oleh Rasulullah ketika baginda berada di Kota Mekah selepas dilantik sebagai Nabi dan Rasul ketika berusia 40 tahun adalah untuk menanam akidah Islam di kalangan puak Arab Jahiliah pada masa itu.

Sepanjang tempoh 13 tahun baginda tidak pernah merasa jemu untuk mengajak puak Arab Jahiliah untuk mengakui keesaan Allah walaupun ada kalanya baginda disakiti, dicemuh dan dimaki khususnya di kalangan pemimpin-pemimpin mereka seperti Abu Lahab dan Abu Jahal.

Cabaran apa yang tidak pernah dirasai oleh Rasulullah. Daripada cubaan bunuh, disakiti secara fizikal, dicemuh dengan kata-kata kesat dan dihina, malah baginda serta sahabat-sahabatnya juga pernah diboikot oleh kaum Arab Jahiliah kerana usaha dakwah baginda.

Segala dugaan dan rintangan yang dihadapi tidak pernah mematahkan semangat Rasulullah kerana baginda tidak sanggup melihat kaumnya terus hidup dalam kesesatan.

Rasulullah mahu melihat kaum Arab Jahiliah yang pada masa itu menyembah berhala selain suka mengamalkan maksiat serta berbunuhan sesama sendiri, mengamalkan Islam dengan menyembah Allah yang maha Esa.

Berkat kesabaran Rasulullah perjuangan baginda dengan dibantu oleh para sahabatnya telah menampakkan kejayaan selepas berlaku peristiwa hijrah ke Madinah.

Dalam tempoh 10 tahun baginda di Madinah, syariat Islam yang sebelum ini hanya menyentuh soal akidah ketika Rasulullah berada Mekah telah dilengkapkan dengan menyentuh mengenai persoalan ibadat, undang-undang Islam, muamalat, peperangan, munakahat dan hubungan diplomatik.

Ringkasnya, selepas peristiwa hijrah, Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia dan lebih penting lagi Rasulullah telah membentuk negara mengikut syariat Allah.

Berbalik dalam soal akidah, Rasulullah tidak pernah berkompromi kerana ia merupakan tunggak atau ketentuan kepada keislaman seseorang.

Mereka yang telah memeluk Islam dilarang untuk kembali ke agama asal, malah jika itu yang berlaku hukuman bunuh boleh dikenakan sekiranya enggan bertaubat kembali.

Peruntukan itu adalah berdasarkan hadis Rasulullah dengan maksudnya; "Barang siapa yang menukar agamanya hendaklah kamu bunuh ia,".

Jelas, Rasulullah yang merupakan Nabi terakhir dan yang melengkapkan ajaran Islam tidak pernah bertolak ansur dalam soal pemeliharaan akidah.

Syariat telah menetapkan bahawa memelihara akidah adalah wajib ke atas semua umat Islam dan mereka juga wajib mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah.

Justeru, dalam konteks zaman moden ini tuntutan serta kewajipan memelihara akidah tetap tidak berubah.

Malah berdasarkan Perlembagaan Malaysia terdapat peruntukan khusus yang menyekat agama lain disebarkan kepada orang Islam dan tujuannya itu adalah untuk memelihara akidah umat Islam di Malaysia.

Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini telah muncul sekumpulan yang boleh digelarkan sebagai 'Muslim liberal' dan mereka terdiri daripada golongan profesional Islam.

Amat menakutkan sekali kumpulan itu cuba menyebarkan fahaman kebebasan beragama mengikut acuan Barat selain boleh berkompromi dalam soal murtad.

Fahaman yang cuba dibawa oleh kumpulan terbabit amat bertentangan dengan syariat Islam yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah SAW.

Berhubung dengan isu tersebut Penolong Profesor Kulliyah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Kamal berpendapat keadaan itu amat berbahaya kerana fahaman tersebut boleh merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Sehubungan itu beliau meminta masyarakat Islam supaya menolak fahaman seperti itu kerana ia boleh menjejaskan akidah.

Tegas beliau, tiada istilah kebebasan beragama dalam Islam kerana tiada agama lain yang sebaik dan semulia Islam malah hukuman paling keras perlu dikenakan ke atas golongan yang sengaja meninggalkan Islam.

Islam merupakan agama yang sejajar dengan fitrah manusia dan syariatnya adalah untuk semua manusia tidak kira kaum, warna kulit, tempat dan latar belakang.

Bagaimanapun Mohd. Hisham berkata, Islam memberi kebebasan kepada golongan bukan Islam untuk mengamalkan agama masing-masing dan hak-hak tersebut sentiasa dilindungi.

"Mereka juga bebas untuk menyebarkan agama mereka kepada orang bukan Islam yang lain tetapi bukan untuk orang Islam. Larangan itu bertujuan untuk menjaga agama dan keimanan orang Islam," katanya.

Sebagai contoh, katanya, Khalifah Islam yang pertama Saidina Abu Bakar sentiasa mengingatkan tentera-tenteranya agar tidak merobohkan rumah-rumah ibadat atau menyerang mereka yang sedang ibadat setiap kali berlaku peperangan.

Justeru Mohd. Hisham mengingatkan walau sehebat mana ilmu seseorang itu, syariat telah menetapkan bahawa fahaman kebebasan beragama hanya boleh diamalkan di kalangan orang bukan Islam sahaja.

"Trend ini (kebebasan beragama) amat membimbangkan kita kerana kumpulan yang membawa fahaman ini terdiri daripada orang Islam sendiri. Kita khuatir akan ada orang Islam yang akan terpengaruh.

"Jika ini yang berlaku, ia sesuatu yang amat malang kerana Islam tidak berkompromi dalam soal pemeliharaan akidah. Malah berdasarkan hukum Islam, mereka yang keluar daripada agama Islam boleh dihukum bunuh," kata Mohd. Hisham lagi.

Paling menakutkan beliau ialah terdapat usaha di kalangan profesional Muslim melakukan apa saja termasuk menyalahtafsir ayat al-Quran untuk membenarkan kebebasan agama berlaku.

"Perkara ini telah pun dilakukan yang mana terdapat di kalangan mereka menyalah tafsir ayat ke 256 surah al-Baqarah (yang bermaksud): "Tidak ada paksaan untuk memasuki agama (Islam)," katanya.

Beliau berkata, mereka membuat tafsiran bahawa ayat itu membenarkan tindakan seorang pedagang Syam memurtadkan dua anak seorang Muslim daripada puak Ansar kerana Rasulullah tidak bertindak memburu mereka.

"Sebenarnya mereka salah faham. Keputusan Rasulullah tidak menghantar tentera memburu dua orang yang murtad itu sehingga ke Syam adalah kerana baginda menghormati kedaulatan wilayah Syam yang ketika itu dikuasai oleh kerajaan Rom.

"Apa yang dilakukan oleh Rasulullah berkait rapat dengan bidang kuasa dan undang-undang antarabangsa," katanya.

Beliau berkata, pentafsiran golongan terbabit terhadap ayat tersebut amat mengelirukan dan ia juga membuka ruang kepada gerakan untuk memurtadkan umat Islam.

"Islam amat menitikberatkan pemeliharaan akidah dan Islam tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang cuba merosakkan akidah dan iman umat Islam. Ini perintah Allah dan Rasul-Nya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Hisham berkata, kecenderungan profesional Islam berkenaan berbuat demikian juga disebabkan mereka terpengaruh dengan pendapat Muslim liberal di luar negara.

"Kita wajib mempertahankan kesucian akidah Islam daripada tercemar dengan apa cara sekalipun.

"Jangan benarkan golongan ini mempengaruhi pemikiran umat Islam dengan pandangan mereka yang salah dan mengelirukan," tambahnya.