Memaparkan catatan dengan label Kebebasan Hak Asasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kebebasan Hak Asasi. Papar semua catatan

Jumaat, 22 Oktober 2010

Kewarasan akal tolak budaya gay, lesbian


Mohd Arif Juhani Abdul Rahman
Okt 13, 10 10:47am


Sebuah pepatah yang paling sesuai untuk menjelaskan mengenai hubungan songsang seperti gay atau lesbian ialah “Tuhan tidak menjadikan Steve untuk Adam tetapi menciptakan Eve (Hawa) untuk Adam”.

Demikianlah seringkas mungkin logik yang wajar untuk difikirkan mengapa mesti untuk kita menolak gejala songsang begini kerana 'Adam dan Eve' merupakan manusia pertama yang diciptakan Tuhan untuk mentadbir alam. Demikianlah contoh aturan pasangan manusia yang ditunjukkan oleh Tuhan untuk manusia.

Saya meneliti tulisan Pensyarah di Jabatan Kewartawanan, Edwin Michael dengan penuh tanda tanya. Ketika asyik bercakap mengenai akal yang waras beliau pula menerima sesuatu yang songsang.

Inilah masalah bila aliran pemikiran dan falsafah pascamodenisme mengukuh dalam minda masyarakat, semuanya akan dijadikan halal sehinggalah Micheal Foucault, salah seorang pemikir aliran ini, diangkat sebagai nabi untuk golongan gay di University of California setelah sekian lama disisihkan oleh masyarakat.

Persoalan yang timbul dalam benak saya ialah bagaimana beliau, Edwin, sebagai pendidik boleh dengan tenang hati menerima bahawa segala gejala songsang ini merupakan sesuatu yang normal dan sebahagian daripada sistem sosial masyarakat pada hari ini.

Saya tidak kisah jika ini negara Eropah yang liberal tetapi negara ini berada pada belahan timur yang masyarakatnya masih memegang teguh nilai-nilai yang suci.

Apabila beliau mengatakan seolah-olah PAS terhegeh-hegeh membantah kehadiran Lambert, sebenarnya beliau seorang yang buta dan dangkal untuk menuduh PAS dengan sedemikian rupa.

Sebenarnya PAS tidak baru bermula untuk membasmi dan menentang gejala songsang ini bahkan dalam beberapa siri bantahan yang sebelumnya sudah dinyatakan dengan dalam akhbar rasmi PAS, Harakah.

Siasatlah hal ini terlebih dahulu. Janganlah pula tunjuk buta mata dan akal dengan menafikan apa yang telah PAS perjuangkan dahulu. Sudahlah menjawat sebagai pensyarah bidang kewartawanan tetapi pada masa yang sama buta pula mengenai isu-isu yang selalu dimainkan oleh wartawan.

Saya fikir lebih baik beliau meletakkan jawatan tersebut justeru akan menambah beban pula nanti dengan diajarkan kepada para pelajar ilmu yang beliau sendiri jahil dan dangkal mengenainya.

Janganlah pula kerana mahu cuba menjadi liberal atau diiktiraf sebagai pejuang hak asasi manusia hinggakan sesuatu yang diluar batasan normal pun mahu dihalalkan. Islam sendiri sudah perjuangkan hak asasi manusia sekian lama dan itulah yang telah dan sedang diperjuangkan oleh PAS.

Hakikat ini jelas dalam Islam iaitu apabila terdapat nabi yang dihadirkan dalam banyak keadaan masyarakat pada ketika itu. Contohnya ketika masyarakat bergelumang dengan gejala songsang seperti gay, maka nabi yang diutuskan ialah nabi Lut manakala untuk menghapuskan sikap assabiyah atau bahasa politik sekarang disebut rasis maka Nabi Muhammad pula dihadirkan dalam bangsa Arab Quraisy.

Kehadiran para nabi ini bukan semata-mata untuk membetulkan masalah masyarakat bahkan juga untuk menunjukkan apakah penyelesaian yang tepat untuk setiap masalah yang berlaku dan bagaimana harus manusia mengamalkannya.

Landasan inilah yang menjadi sebab kenapa PAS terus memperjuangkan segala kefasadan ini. Bukan untuk mendapat undi politik semata-mata tetapi inilah perjuangan yang sudah dibawa oleh para nabi yang umat Islam beriman dengannya.

Kalau membunuh manusia dianggap satu jenayah yang besar, maka saya berani mengatakan bahawa sikap sambil lewa kita mengenai penyebaran budaya songsang ini juga merupakan satu kerelaaan untuk membenarkan sebuah tragedi kerosakan kemanusiaan yang dahsyat.

Kalau tidak melalui perkahwinan, bagaimana generasi akan datang mahu kita lahirkan dalam sebuah keluarga yang sihat dan memegang teguh nilai-nilai agama? Maka saya percaya bahawa jawapan pensyarah ini ialah berzina sahajalah!

Walhal dalam pengetahuan saya tidak ada agama yang membiarkan para penganutnya berzina apatah lagi meliwat.

Masalah yang berlaku dalam dunia ini adalah tanggungjawab kita untuk tangani nya bersama melalui landasan agama dan adat tata susila kita yang luhur dan bukannya dibiar bebaskan sehingga merosakkan masyarakat kita satu hari nanti.

Akhir kalam, sudah-sudahlah menjadikan pemimpin Umno sebagai rujukan bagi isu-isu tangani gejala sosial justeru merekalah juga juara dalam menghalalkan banyak perkara yang diharamkan dalam agama Islam. Bertanyalah kepada golongan yang ahli dalam bidang agama untuk memahami permasalahan ini.


Penulis adalah koordinator Angkatan Reformis-Liberatif (ARIF)

Selasa, 19 Oktober 2010

Perjuangkan hak seiring tanggungjawab

Kebebasan mutlak tanpa ambil kira kepentingan lain bakal gugat ketenteraman sosial

ANTARA hak dan tanggungjawab, manakah lebih penting atau kedua-duanya sama penting? Mungkin ada yang menganggap persoalan ini klise dan tidak perlu dibincangkan. Namun, dalam konteks pemerintahan, undang-undang dan hak asasi, ia kekal menjadi isu sehingga hubung kait dan kepentingan kedua-duanya dapat difahami sepenuhnya.

Tiada sistem undang-undang yang sempurna jika tidak mengiktiraf hak dan tidak lengkap undang-undang sekiranya tidak meletakkan tanggungjawab. Oleh itu, sebarang sistem yang mempunyai prinsip kebebasan dan autonomi individu mutlak tidak akan berjaya menjaga kepentingan ramai kerana kebebasan mutlak yang diasaskan atas dasar individualism tidak dapat melaksanakan kedua-duanya (autonomi individu dan kepentingan umum) sekali gus.

Keseimbangan antaranya sukar dibentuk. Sistem yang sempurna harus menyeimbangkan antara tanggungjawab dan hak, sama ada tanggungjawab atau hak individu atau masyarakat.

Segala hak dan tanggungjawab perlu dilaksana secara bergandingan dan sentiasa berkait rapat dalam setiap bidang kehidupan. Individu yang menjalankan kewajipannya sudah menjalankan tanggungjawab dan seterusnya memberikan hak kepada individu. Memenuhi tanggungjawab adalah prasyarat kepada hak yang lain. Fungsi hak secara umumnya ialah menegakkan kebebasan, manakala tanggungjawab untuk merealisasikan kehormatan seseorang. Oleh itu, kedua-dua (hak dan tanggungjawab) sama penting dan tuntutan hak adalah tuntutan ke atas pihak lain untuk menjalankan tanggungjawabnya. Kebanyakan dokumen antarabangsa berkaitan hak asasi tidak menyenaraikan tanggungjawab individu secara harfiah. Apa yang wujud dalam dokumen berkenaan kebanyakannya hak yang dikumpulkan sebagai hak asasi atau kebebasan.

Saya tertarik dengan American Declaration of the Rights and Duties of Men yang meletakkan peruntukan mengenai tanggungjawab secara jelas dalam bab tersendiri. Deklarasi ini yang diterima pada 1948 mempunyai dua bab. Pertama mengiktiraf hak tertentu dan kedua meletakkan tanggungjawab individu terhadap negaranya. Antaranya termasuk tanggungjawab individu terhadap masyarakat, anak dan ibu bapa, menuntut ilmu, menghormati undang-undang dan mencari kehidupan baik serta tanggungjawab tidak terbabit dalam aktiviti politik di negara lain.

Walau apa pun amalannya di Amerika Syarikat atau sejarah dan kedudukan deklarasi ini, saya melihat kebaikannya iaitu sesuatu hak sentiasa disertai tanggungjawab. Antara kebaikan disumbang deklarasi ini ialah mengingatkan individu hak dan tanggungjawab tidak dapat dipisahkan.

Namun, deklarasi ini tidak menjelaskan tanggungjawab negara terhadap rakyatnya. Mungkin ia boleh difahami dengan melihat hak individu yang disenaraikan. Amat jelas, setiap rakyat boleh menuntut haknya daripada pemerintah atau pihak yang diberikan tanggungjawab. Namun, pada masa sama rakyat juga mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap negara. Kedua-duanya saling bersangkutan dan berkait rapat.

Teori hak dan tanggungjawab amat berbeza antara prinsip hak asasi dalam Islam dan Barat. Islam memperkenalkan timbang tara antara hak dan tanggungjawab dengan sistem Islam ialah kombinasi kedua-duanya. Sistem ini tidak memberi tumpuan kepada hak mutlak seseorang, tetapi hak terikat.

Ia untuk mengelak pertembungan hak antara individu. Sebagai contoh, seseorang mempunyai kebebasan bersuara, tetapi hak itu tidak membenarkannya menghina agama lain kerana hak kebebasan bersuara sudah bertembung dengan kebebasan beragama.

Ini meletakkan tanggungjawab kepada orang yang mempunyai hak kebebasan bersuara untuk menghormati orang lain yang mempunyai hak kebebasan beragama.

Sistem yang mementingkan individualisme tidak mengambil peduli terhadap kebebasan orang lain. Keadaan ini tidak menyumbang ke arah kebaikan masyarakat. Hak yang terikat dengan tanggungjawab menjadi mekanisme utama dalam membentuk masyarakat sempurna dari segi moral dan siviknya.

Hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap manusia mempunyai kewajipan dan setiap seseorang bertanggungjawab atas kewajipannya,” sesuai dijadikan panduan. Setiap individu mempunyai tanggungjawab yang menjadi hak orang lain dan individu yang menggalas tanggungjawab berkenaan perlu melaksanakannya sebaik mungkin.

Kita tidak dapat lari daripada hak dan tanggungjawab. Namun, kedua-duanya bergantung kepada status sosial diri. Semakin banyak kuasa seseorang, semakin banyak dan luas tanggungjawabnya. Secara lumrahnya, ramai pula yang berada di bawah pengawasannya. Dari segi teori, tuntutan hak terhadap orang yang berkuasa semakin meningkat jika tanggungjawab itu tidak dilaksanakan dengan baik.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Perspektif al-Quran tentang dialog antara agama

ARKIB : 01/01/2006

PENTINGNYA dialog antara Islam dan Kristian, adalah untuk mencari titik temu antara kedua-dua agama wahyu ini, bukan saja menyangkut masalah akidah dan ibadah, bahkan ia juga melibatkan masalah peradaban, yang menjadi akar masalah dari kedua-dua agama tersebut.

Usaha mendapatkan titik temu ini sangat penting, apalagi ada keterangan di dalam al-Quran tentang adanya segolongan ahli kitab yang rajin mempelajari ayat-ayat Allah di tengah malam, sambil terus-menerus beribadah dengan beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta melakukan amar makruf nahi mungkar dan bersegera melakukan kebaikan (maksud surah A'-Li Imraan ayat 113-114).

Gambaran al-Quran yang positif dan simpati kepada kaum ahli kitab inilah yang sebenarnya mengajak kaum Muslimin untuk berdialog bagi memperoleh suatu keyakinan bersama tentang kebenaran yang mutlak.

Ini tidak boleh disamakan dengan anggapan bahawa dialog sebagai kaedah untuk menentukan agama mana yang paling benar. Kalau kata ``agama'' difahami secara konkrit, bukan secara metafizik, maka dialog antara agama bererti dialog antara orang yang beragama. Hal ini demikian kerana hanya di sinilah dialog mendapat tempat sebagai fungsi kritis yang tidak terlepas daripada kehendak setiap orang untuk mencari kebenaran terus-menerus.

Dialog ini bertujuan memperjuangkan masyarakat yang lebih adil, lebih merdeka, lebih manusiawi. Pada tahap ini umat antara iman dan agama bersama-sama mentransformasikan masyarakat agar menjadi lebih adil, lebih merdeka dan manusiawi, agar keutuhan ciptaan dan lingkungan hidup dapat dilestarikan.

Bentuk dialog yang dimaksudkan ini ialah dialog pengalaman keagamaan, agar peranan agama ditempatkan pada konteks persoalan global seperti persoalan alam sekitar, peperangan, moral, hak asasi manusia dan keadilan yang dihadapi bangsa manusia pada abad ke-21.

Dialog pengalaman keagamaan memberikan kesempatan kepada para peserta dialog membahagikan pengalaman keagamaan mereka. Pengabaian iman seseorang peserta dialog akan menutup kesempatan menemukan pengalaman dan pemahaman yang lebih mendalam, baik terhadap agamanya sendiri mahupun agama lawan di dalam dialog tadi.

Oleh itu, perwatakan dialog merupakan suatu percakapan antara dua pihak atau lebih, yang mengandungi unsur keterbukaan, sikap kritis dan keupayaan untuk saling mendengar, saling belajar dan memahami antara satu sama lain.

Peserta dialog mestilah mempunyai sikap keterbukaan, yakni bahawa kedua-dua belah pihak atau lebih yang terlibat dalam dialog tersebut mestilah bersedia untuk mendengar.

Keterbukaan dan kejujuran dalam dialog merupakan syarat yang amat penting. Perbezaan pendapat dalam dialog adalah wajar, malahan perbezaan itulah yang menimbulkan dialog. Tetapi perbezaan pendapat itu tidak boleh dianggap sebagai alasan untuk menempatkan suatu keputusan dan memberikan penilaian yang berat sebelah.

Dalam hal ini, dialog merupakan kesempatan untuk menggalang kerjasama antara agama untuk memecahkan masalah-masalah kemanusiaan dalam masyarakat. Keprihatinan agama-agama ini merupakan kekuatan baru bagi kemanusiaan untuk menghadapi pelbagai persoalan.

Tegasnya, dialog bertujuan menanggapi situasi tertentu yang menuntut orang untuk memilih bekerjasama daripada berkonfrontasi dan saling menyalahkan dan mengalahkan.

Di samping sikap pluralisme, sikap keterbukaan dan toleransi juga amat penting sebagai landasan dialog antara agama. Tanpa ketiga-tiga unsur ini, dialog yang bakal dilakukan sudah tentu tidak akan mencapai hasil yang baik.

Melalui dialog yang secara jujur dan kesediaan menerima kelemahan masing-masing merupakan langkah yang mampu menyelesaikan masalah antara Islam-Kristian.

Selama ini hubungan Islam-Kristian sering dipenuhi dengan prasangka dan konflik. Perbincangan tidak mungkin sampai kepada persoalan teologi kerana persoalan ini adalah ``daerah persengketaan'' yang tidak mungkin diselesaikan. Oleh itu dialog antara agama harus dibatasi pada persoalan-persoalan sosial dan kemanusiaan yang manfaatnya dapat dirasakan oleh umat manusia.

Secara intelektual dan moral masing-masing pihak berhak untuk menegakkan pandangan agama masing-masing tanpa menonjolkan diri bahawa agama merekalah yang lebih tinggi kedudukannya. Dalam pengertian, tidak ada unsur-unsur fanatik dalam memberi pandangan, dan masing-masing pihak perlu memiliki niat baik untuk saling mendengar.

Sikap yang lebih positif dengan pengetahuan yang tepat diperlukan dalam usaha mendekatkan hubungan kerjasama Islam-Kristian ini. Isu-isu silam seperti Perang Salib Islam-Kristian, gerakan kolonialisme, orientalisme dan gerakan misioneri Kristian yang menjadikan konflik berpanjangan antara kedua-dua agama ini, tidak harus dijadikan alasan untuk saling tidak bekerjasama dalam menangani masalah etika, moral, hak asasi, peperangan dan lain-lain lagi.

Sejarah mencatat bahawa Nabi Muhammad dan para penggantinya (Khalifah Al-Rasyidin) tidak pernah memaksa golongan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) meninggalkan agama mereka sebagai syarat hidup bersama kaum Muslim.

Al-Quran tidak pernah mengutuk agama Kristian melainkan berusaha membetulkan semula kesalahfahaman mereka bahawa ada tiga Tuhan yang berdiri sendiri (triteis).

Wahai ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar (maksud surah An-Nisaa ayat 171).

Islam-Kristian harus hidup sebagai satu masyarakat dan masing-masing pihak berhak mengamalkan kebebasan sosial dan agama mereka sendiri. Mereka harus saling menerima dan menghargai, tidak hanya terbatas pada interaksi sosial melainkan juga perdebatan intelektual dan teologi.

Daripada hakikat ini perbezaan dari segi doktrin kadang-kadang boleh menimbulkan pendebatan yang membawa kepada perseteruan, namun al-Quran memerintahkan untuk berlaku adil dalam pendebatan.

Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka): ``Kami beriman kepada al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah satu; dan kepada-Nyalah kami patuh dengan berserah diri'' (surah al-Ankaabut ayat 46).

Prinsip-printisp toleransi dari ajaran Islam inilah yang menjadi panduan dan kefahaman mereka di dalam menghadapi pihak Kristian yang kadang-kadang terlalu mudah untuk tercetusnya konflik.

Walau bagaimanapun permasalahan ini terletak kepada pentafsiran orang Muslim ke atas ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hubungan Muslim-Kristian. Apakah mereka akan mengambil ayat-ayat itu tadi secara literal atau terlepas dari konteksnya yang spesifik atau dengan menanggung risiko terjadinya kontradiksi terhadap prinsip-prinsip umum yang termaktub di dalam al-Quran.

Al-Quran mengajarkan bahawa umat Islam harus menghormati semua pengikut kitab suci (ahli kitab). Sama halnya dengan semua kelompok manusia termasuk umat Islam sendiri - di antara kaum pengikut kitab suci itu ada yang lurus (benar) dan ada yang tidak. Daripada mereka ada yang memusuhi kaum beriman, tetapi ada juga yang menunjukkan sikap persahabatan yang tulus.

Harapan tersebut di atas membuktikan bahawa perdamaian dunia merupakan sesuatu yang amat diperlukan dan tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Langkah awalnya ialah dengan menciptakan kesedaran secara kolektif tanpa mencurigai pihak mana pun di antara kita.

Dalam rangka mencipta kesedaran kolektif ini ada hal-hal yang harus dilakukan secara bersama, ada hal-hal yang tidak perlu dilakukan dan ada pula hal-hal yang harus dihormati. Adapun hal-hal yang harus dilakukan adalah seperti berikut:

Pertama; mewujudkan kemahuan bersama untuk menciptakan perdamaian dengan melahirkan satu kesedaran secara kolektif ke arah tersebut.

Kedua; duduk secara bersama merumuskan idea-idea terbaik untuk menciptakan perdamaian dengan meletakkan kepentingan bersama dari kepentingan kelompok.

Ketiga; bersama-sama menahan diri untuk tidak terlibat dalam konflik kepentingan yang boleh membawa kepada konfrontasi secara fizikal (peperangan).

Strategi-strategi lain yang boleh diambil oleh orang Islam dan bukan Islam antara lain ialah hendaklah dipatuhi sepenuhnya prinsip kebebasan beragama iaitu tiada paksaan dalam agama dan juga persetujuan untuk berbeza dalam agama yang amat ditekankan oleh al-Quran, seperti firman-Nya yang bermaksud: Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sudah nyata petunjuk kebenaran daripada kesesatan. Oleh itu sesiapa yang tidak mempercayai Taghut (yang menyesatkan) dan percaya akan Allah maka dia telah berpegang kepada tali yang teguh yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui (surah al-Baqarah ayat 256).

Demikian juga sikap ekstrem, fanatik, militan dan teroris, al-Quran jelas mengutuk dengan amat keras seperti dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang menjustifikasikan pembunuhan itu (seperti hukuman balasan bunuh atas kelakuannya membunuh orang lain) atau kesalahan melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia (surah Al-Maa'idah ayat 32).

Orang Islam, bukan Islam juga seharusnya sentiasa berdialog dan berinteraksi dengan pengamal agama dan budaya lain terutama sesama warga negara yang berbeza agama dan budaya. Islam sebagai sebuah peradaban sejak zaman generasi pertama lagi sentiasa mengamalkan sikap inklusif iaitu mengintegrasikan semua golongan agama dan budaya yang ada dalam negara sebagai satu komuniti atau ummah, bukan memencil dan memulaukan mereka itu. Juga dalam pelaksanaan segala hukum syariah dalam aspek mu'amalah (interaksi sosial), mu'asyarah (interaksi budaya) dan jenayah dalam masyarakat yang jamak budaya dan agama, sudah tentu akan menyentuh komuniti bukan Islam juga. Maka dalam hal yang demikian sesi dialog, penerangan dan perbincangan tentang pelaksanaan hukum syariah itu perlu dilakukan seluas-luasnya. Dalam sesi-sesi demikian beberapa etika dialog atau adab berbeza pendapat (adab al-ikhtilaf) harus dipatuhi, iaitu:

i) Menerima pluralisme agama dan menghormati perbezaan pendapat sebagai satu yang lumrah di kalangan manusia yang berbeza-beza latar belakang budaya, agama, suku bangsa dan puak-puaknya (seperti yang diakui sendiri oleh al-Quran surah al-Hujrat ayat 13).

ii) Mengelakkan cemuhan budaya dan agama yang lain (cultural and religious ridicule) dan menyerahkan kepada Tuhan untuk menentukan kebenaran yang muktamad, seperti juga yang dianjurkan oleh al-Quran: Anda tidak bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan, dan kami tidak bertanggungjawab tentang kesalahan yang anda lakukan. Katakanlah bahawa Tuhan akan menghimpunkan kita semua (pada hari kiamat), kemudian memutuskan perselisihan antara kita dengan kebenaran. Dan Dialah Tuhan Yang Maha Pengadil yang Maha Mengetahui (surah Saba'ayat 25-26).

iii) Bersopan santun dan berbudi bahasa yang baik dalam berdialog seperti dianjurkan oleh al-Quran, iaitu: Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik (surah an-Nahl ayat 25).

Maka hendaklah anda berkata kepadanya (para pendengar dengan kata-kata yang lemah lembut (layyina), semoga dengan demikian ia akan sedar dan insaf (surah Thaha ayat 24).

Hubungan antara pemeluk Islam dengan Kristian bukanlah suatu fenomena baru. Malahan ia merupakan suatu kenyataan kehidupan masa kini, seperti semenjak berpuluh-puluh tahun atau berabad-abad lalu. Hubungan kedua-dua agama telah berkembang dalam pelbagai dimensi, yang secara keseluruhannya telah mengubah perspektif masing-masing. Hal ini dipengaruhi oleh perkembangan pemikiran keagamaan di kalangan umat beragama itu sendiri.

Sejarah yang panjang mengenai hubungan Islam-Kristian menggambarkan bahawa Islam muncul sebagai agama penyelamat bagi suatu masyarakat yang sedang menuju kehancuran, sebagai obor yang menerangi setiap sudut pemikiran masyarakat. Islam juga sebagai suatu agama yang menganut prinsip toleransi (sasamuh) dan agama pemersatu manusia di bawah panji-panji al-Quran dan al-sunnah, yang diakui oleh penganut ahli kitab mahupun penganut agama wadi atau culture religion seperti agama Buddha, Hindu, Shinto, Tao dan seumpamanya.

Islam pernah bertindak sebagai pelindung kepada gereja-gereja dan memberikan kebebasan beragama kepada segala aliran atau mazhab Masihi yang ada di Iskandariyah, dengan tidak melebihkan yang satu daripada yang lainnya. Bahkan dapat dikatakan, yang menyelamatkan orang-orang Masihi Qibthi atau Masihi lama di Mesir, ialah agama Islam.

Sikap toleransi yang diamalkan oleh umat Muslimin menimbulkan perdamaian di dunia. Sekiranya umat Islam tidak mengamalkan toleransi beragama, nescaya penduduk bumi ini akan berada dalam kacau-bilau, sentiasa dalam percakaran dan pertumpahan darah, akibat perlakuan penganut agama lain kepada mereka.

Sikap dan pendekatan simpatik oleh umat Krisitian terhadap Islam yang tidak begitu menonjol pada abad-abad awal Islam, sudah mulai berubah. Banyak sarjana Kristian semasa, yang secara tulus berupaya memahami dan memperlihatkan rasa hormat kepada Islam dan penganutnya. Katolik tidak lagi memegang prinsip extra ecclesiam nulla salus (di luar gereja tiada keselamatan) dan extra acclesiam nullus propheta (di luar gereja tiada nabi).

Umat Islam diperingatkan oleh al-Quran untuk tidak mengejek atau menghina golongan lain, kerana boleh jadi orang yang dihina itu lebih baik daripada orang yang menghina. Sejak awal-awal lagi al-Quran menjangkakan akan munculnya bentuk pendakwaan kebenaran (truth claim) baik yang muncul dalam masyarakat satu agama, mahupun antara umat Islam dengan penganut agama lain.

Al-Quran menganjurkan umat Islam agar saling memperingatkan, saling menasihati dalam mencari kebenaran yang hakiki. Dengan demikian, dapat dikatakan bahawa al-Quran lebih dahulu berbicara mengenai etika, baik terhadap sesama umat Islam, terhadap penganut agama lain, dalam pergaulan mahupun dalam bermujadalah (dialog).

- MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Fahami keindahan syariah Islam

ARKIB : 12/02/2006

DEWASA ini, terdapat semacam trend yang dipegang oleh sebilangan besar sarjana moden yang cuba mengaitkan isu hukum Islam dengan pemodenan yang berlaku secara meluas di dalam masyarakat. Hal ini dibuat memandangkan sifat dan kemampuan hukum Islam itu yang dilihat secara teori dan praktiknya mampu berinteraksi dengan keperluan masyarakat dan pemodenan. Bagi mereka, berpandukan kepada teori asas ini, pelbagai eksperimen dilakukan bagi menilai sifat keterbukaan hukum Islam dengan pemodenan yang berlaku, dalam pelbagai latar belakang masyarakat, sama ada di Asia Barat, Indo-Pakistan, Iran, Indonesia, termasuklah Malaysia.

Hasilnya, kajian ini menyumbangkan penetapan teori hukum Islam yang baru yang lebih bersifat positif menggantikan paradigma orientalisme klasik yang rata-ratanya bersifat negatif dan bias kepada tamadun Barat. Namun begitu, tidak dapat dinafikan bagaimana masih terdapat sarjana Barat yang begitu fanatik dengan paradigma orientalisme klasik, berpunca antara lainnya kerana sifat fanatik terhadap ketinggian tamadun sekularisme Barat dan kepentingan dominasi ekonomi-politik kuasa-kuasa Barat.

Pendekatan ini tidak keterlaluan dikatakan bahawa seperti genre orientalisme klasik yang dijadikan alat utama untuk agenda kolonialisme Barat, genre orientalisme moden pun turut dijadikan alat dan suaka kepada pengukuhan kolonialisme kuasa Barat bentuk baru.

Bagi sesetengah sarjana Barat yang masih secara kuat berpegang dengan pendekatan yang negatif terhadap ajaran Islam, syariah Islam sering ditonjolkan sebagai sistem undang-undang yang barbar, kasar, kejam dan tidak berperikemanusiaan, khususnya kepada golongan bukan Islam. Pandangan negatif ini dengan bantuan media ICT moden, disebarkan ke seluruh dunia, yang sayangnya ditelan bulat-bulat oleh bukan Islam, termasuklah di Malaysia. (Md. Sidin Ahmad Ishak, Sekularisme Dalam Media Massa, dalam Jurnal Tasawwur Islam, v. 6, 2000, hlm. 91-101). Hal ini terbukti dengan tercetusnya peristiwa penganut bukan Islam mempersoalkan syariah Islam seperti dalam isu perkara 121 Perlembagaan Malaysia.

Pada hemat penulis, bagi menangani isu ini beberapa kupasan boleh diberikan; pertama, penegasan tentang sifat keunggulan yang dimiliki oleh syariah Islam. Hal ini diakui sarjana Islam, diabsahkan pula oleh sarjana Barat sendiri. Lebih jauh lagi, memang kedapatan sebahagian besar daripada sarjana Barat yang mengkaji syariah memeluk agama Islam didorong oleh keindahan syariah Islam. Contohnya, Martin Lingg, William Chittick, Maryam Jamelah, Sachiko Murata, Leonard Binder, Muhammad Asad dan Maurice Bucaille; termasuklah juga tokoh-tokoh yang bersimpati dengan ajaran Islam, seperti W. W. Smiths, Charles C. Adams, John Esposito, Wael Hallaq, Jacques Waardenburg, J. S. Nielsen, John O. Voll, Richard Bulliet, Leon T. Hadar, Fred R. Von Der Mehden dan Fawaz A. Gerges. (America and political Islam; Clash of cultures or clash of interest, Cambridge: Cambridge University Press, 1999).

Bagi kalangan sarjana Barat ini, keindahan syariah Islam boleh dirujuk kepada beberapa ciri dan prinsip:

1. Bersifat rabbani; berasal daripada Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang. Syariah Islam adalah anugerah Allah yang Maha Mengetahui segenap keperluan hidup manusia kerana Dia yang menjadi pencipta kepada manusia dan sekalian alam. Secara khususnya, kita boleh menganggap Islam sebagai manual yang disediakan oleh Allah bagi menangani produk yang bernama manusia;

2. Bersifat syumul (lengkap). Berbanding dengan agama-agama lain yang membataskan skop perbahasan agama kepada soal hubungan antara Tuhan dengan makhluk, ajaran Islam dalam ruang lingkupnya amat lengkap kerana mengajarkan kepada manusia kaedah untuk menjalinkan tiga bentuk hubungan dalam kehidupan, hubungan dengan Allah, makhluk dan alam sekitar;

3. Mengakui penggunaan akal yang terpimpin dalam menangani pelbagai masalah manusia yang tiada keterangannya di dalam sumber wahyu. Di samping sumber wahyu, keistimewaan syariah terserlah apabila ia turut mengakui peranan dan potensi akal manusia dalam menentukan persoalan hukum Islam berpandukan garis panduan di dalam sumber wahyu;

4. Mengakui segenap aspek keperluan asasi hidup manusia, sama ada di dunia ataupun akhirat. Konsep keperluan asasi manusia ini boleh dilihat di dalam konsep maslaha yang merupakan suatu sumber tambahan yang diakui autoritinya di dalam ilmu usul al-fiqh. Ia ditakrifkan sebagai manfaat yang ditujukan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya, demi memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Setiap perkara dan tindakan yang mengandungi jagaan dan kawalan terhadap lima perkara penting ini akan dianggap sebagai maslaha, dan sebarang perkara dan tindakan yang mencabul kelima-lima perkara ini akan dianggap sebagai mafsadah. (Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, Hak asasi manusia menurut pandangan Islam dan Barat, Kuala Lumpur: Penerbitan PTS, 2002, hlm. 35-47).

Malangnya, seperti dikatakan oleh S. Batumalai seorang sarjana Kristian di Malaysia, hal ini amat sedikit diketahui oleh penganut bukan Islam di Malaysia didorong oleh sifat-sifat sinikal yang tidak bertempat terhadap syariah Islam. Sifat ini, mengikut Wan Mohd. Nor Wan Daud merupakan suatu penyakit yang dikenali dengan xenophobia (sentiasa takut kepada unsur-unsur luar) dan bebalism (sifat rohani yang rendah dan enggan berubah walaupun diberikan maklumat yang betul).

Pendek kata, seandainya keindahan syariah Islam itu dikaji dan dipelajari secara objektif oleh penganut bukan Islam di Malaysia, nescaya kekeliruan seperti yang timbul baru-baru ini akan terhapus. Buktinya boleh dilihat daripada pengamatan secara langsung dituruti pula dengan komentar yang diberikan oleh Profesor Osman Bakar, Datuk Hassan Ahmad dan Gordon D. Newby; selepas peristiwa 11 September, masyarakat Barat telah berusaha mengkaji ajaran Islam daripada sumbernya yang betul, Quran dan sunah.

Hasilnya, sebahagian besar masyarakat Barat berasa hairan kerana sebahagian besar daripada ajaran Islam didapati penuh dengan sifat rahmah (nilai kemanusiaan) yang amat baik, kemuncaknya boleh dilihat dengan bertambah ramai masyarakat Barat yang telah memeluk agama Islam. (Gordon D. Newby, Muslim/non-Muslim relations: Lesson from the past for a better future, dalam (edit) Aidit Haji Ghazali, Development, Islamic, Malaysian and American perspectives, Kuala Lumpur: INMIND, 1996, hlm. 49-50).

Kedua, penganut bukan Islam perlu mengamalkan sifat tolak ansur yang tinggi menangani isu syariah Islam. Bagi Hassan Ahmad, sikap tolak ansur ini perlu difahami dan diamalkan secara dua hala, bukannya hanya tahu mendesak sehingga melukakan hati penganut Islam. Apa yang lebih penting, penganut bukan Islam selepas merdeka perlu menghormati kontrak sosial yang dimeterai semasa kemerdekaan - menyentuh isu ketuanan Melayu.

Mengikut Wan Mohd. Nor Wan Daud, prinsip ketuanan Melayu ini berpunca daripada tiga sebab utama; pertamanya, sifat awal dan ketinggian tamadun Tanah Melayu yang dibina oleh manusia Melayu berasaskan kepada pemahaman terhadap syariah Islam, keduanya; nisbah pengorbanan dan darah manusia Melayu yang banyak dicurahkan untuk mempertahankan Tanah Melayu menghadapi penjajahan kuasa luar dan ketiga, sifat toleransi dan kesudian manusia Melayu menerima bersama golongan bukan Melayu untuk menetap di Tanah Melayu.

Sehubungan dengan itu, bagi Ahmad Jelani Halimi (Perdagangan dan perkapalan Melayu di Selat Melaka Abad ke- 15 hingga ke-18, Kuala Lumpur: DBP, 2006) dan Hashim Musa, manusia Melayu mampu membina tamadun Alam Melayu yang berasaskan kepada perdagangan yang mengamalkan pendekatan mesra dan adil dengan penganut bukan Islam adalah berpunca daripada pengamalan syariah Islam itu sendiri.

Fakta sejarah ini perlu difahami secara mendalam oleh bukan Islam, yang diharapkan akan membentuk sifat tolak ansur yang tinggi.

Tanpa kesedaran ini, ia bakal menjemput sekali lagi isu perpecahan kaum ala 13 Mei. Sering kali terjadi pertumpahan darah yang berpunca daripada isu agama, walaupun ia membabitkan isu kecil semata-mata. Hal ini telah dijelaskan oleh Khoo Kay Kim; ``Majoriti orang Malaysia tidak memahami apakah ertinya agama kerana dalam mengamalkan agama, mereka hanya mengetahui tentang aspek-aspek ritual, jarang tentang ajaran-ajaran pokoknya. Oleh yang demikian mereka tidak dapat membandingkan satu agama dengan agama lain yang wujud di negara ini. Akibatnya, perbezaan dari segi ritual lebih diutamakan daripada ajaran asasnya.'' (Khoo Kay Kim, Kaum, Bangsa dan agama dalam peradaban Malaysia, dalam A. Aziz Deraman Globalisasi dalam peradaban di Malaysia, Kuala Lumpur: DBP, 2003).

Ketiga, bagi Profesor Mohd. Kamal Hassan, walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai dasar Islamisasi berasaskan kepada pemahaman yang holistic terhadap syariah Islam, dasar ini tidak pernah menyisihkan kepentingan dan sensitiviti bukan Islam di Malaysia. Hal ini ditegaskan secara langsung oleh sebilangan besar sarjana dalam dan luar negara, yang mengkaji secara emperikal dasar Islamization pihak kerajaan. Tokoh-tokoh ini antara lainnya Husin Mutalib, William Roff dan Donald Horowitz.

Sekiranya ada tuduhan yang mengatakan bahawa dasar Islamization kerajaan bertujuan memperkukuhkan kedudukan orang Melayu semata-mata dan menyisihkan golongan bukan Melayu, ia telah tertolak dengan beberapa fakta, seperti:

*. Penegasan Profesor Donald Horowitz bagaimana golongan bukan Islam turut mendapat manfaat daripada dasar Islamization ini, khususnya yang membabitkan sistem Perbankan Tanpa Faedah.

2. Selain daripada meningkatkan organisasi dan kecekapan Mahkamah Syariah, dasar Islamization turut memperkenalkan dasar pentadbiran kerajaan yang berteraskan sistem nilai keagamaan ketimuran, seperti terdapat di dalam ajaran Hindu, Buddha, Confucian, Sikh dan Kristian.

3. Konsep Islam Hadhari yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia secara terang-terangan turut mengambil kira prinsip pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, yang ditujukan khusus bagi membela kepentingan bukan Islam di Malaysia.

4. Sifat mesra penganut bukan Islam dan pendekatan pluralisme yang ditunjukkan oleh kalangan sarjana dan NGO Islam semasa di Malaysia. Hal ini boleh dijelaskan dengan beberapa pandangan yang diberikan oleh beberapa orang sarjana Melayu-Islam semasa, seperti:

*. Pandangan Dr. Alwi Shihab yang mengatakan Islam mengakui tentang elemen persamaan yang wujud di antara agama seluruh dunia, yang biasanya mempunyai;

* Penekanan kepada sistem moral yang baik

* Penekanan kepada hukuman terhadap sesuatu perbuatan yang buruk

* Sikap alami terhadap alam semesta

* Percaya kepada kuasa ketuhanan yang menguasai dan mempengaruhi kehidupan manusia dan alam

* Penekanan kepada soal penyucian diri untuk tujuan kebaikan

* Penekanan kepada budaya ilmu.

2. Pandangan Profesor Hashim Musa (Hashim Musa, Pemerkasaan tamadun Melayu Malaysia menghadapi globalisasi Barat, Kuala Lumpur: Penerbit UM, 2004) yang menekankan peri pentingnya semua penganut agama di Malaysia menjauhkan elemen antipluralisme dalam hubungan kemasyarakatan, yang diperincikan sebagai;

* Extremism; melampaui batas dan keseimbangan apabila mentafsir dan melaksanakan sesuatu peraturan ataupun hukum secara ekstrem.

* Chauvinism; taksub apabila menganggap fikiran atau kumpulan sendiri adalah yang terbaik, manakala fikiran atau kumpulan lain tidak benar dan mesti ditolak.

* Fanaticism; tindakan membuta tuli (menghampiri psikosis) dalam mengikuti dan melaksanakan sesuatu cara, pendapat dan pendekatan sendiri tanpa mempedulikan bahkan menolak sekeras-kerasnya pendapat orang lain.

* Kepentingan setiap penganut agama mengamalkan pendekatan yang berhati-hati apabila menyentuh isu agama lain. Ia dimaksudkan etika dialog agama yang bersifat positif, yang boleh diperincikan sebagai;

* Disertai oleh golongan pakar dan penganut yang komited

*. Mengenal pasti isu yang didialogkan untuk kepentingan bersama

* Diiringi dengan sifat yang baik dan ingin belajar yang tinggi

* Lebih memberikan penekanan kepada isu-isu persamaan tentang bagaimana agama boleh menyelesaikan masalah manusia

* Tidak mengandungi unsur perdebatan yang boleh menjatuhkan maruah puak yang lain

* Tidak bertujuan memperkecilkan dan mengubah sesuatu pegangan agama pihak yang lain

* Tidak mempertikaikan bahagian agama yang bersifat tetap dan tidak boleh berubah.

4. Bagi Muhammad Abu Bakar, penganut Islam perlu berusaha untuk memahami realiti kehidupan beragama masyarakat bukan Melayu di Malaysia. Interaksi dalam ruang-ruang yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam seharusnya dimaksimumkan. Sikap memencilkan diri hanya bakal menyebabkan penganut agama lain menjadi terus jahil mengenai Islam meskipun mereka sudah lama hidup bersama dengan penganut Islam (Muhammad Abu Bakar, Penghayatan sebuah ideal, Kuala Lumpur: DBP, 1987, hlm. 113-11).

5. Realiti wujudnya perpaduan semua agama besar di dunia untuk mengambil pendekatan pluralisme, sebagai respons terhadap serangan ganas yang dibawa oleh fahaman sekularisme. Lebih tepat lagi, telah timbul kesedaran tentang peri penting semua agama besar di dunia bersatu untuk menangani hegemoni fahaman sekularisme bentuk baru yang dibawakan oleh fenomena globalisasi. Hal ini telah melahirkan konsep pluralisme agama di kalangan penganut agama terbesar di dunia.

Contoh yang jelas bagi menunjukkan kesedaran ini boleh dilihat daripada pandangan gereja Katolik yang mengiktiraf semua penganut agama selain Kristian Katolik akan diterima di sisi Tuhan. Begitu juga halnya dengan tindakan gereja di England yang memohon maaf dan bersimpati dengan nasib umat Islam di Iraq yang diserang oleh kuasa besar NATO. (Rahminah Muharam, Hubungan Islam dan Kristian dalam konteks dokumen Vatican 11, dalam Pemikir, Oktober-Disember 2000).

Sebagai rumusan akhir, demi menjamin keharmonian kaum masyarakat majmuk di Malaysia, penganut bukan Islam perlu mengamalkan sikap terbuka dan berhati-hati dengan mengakui sensitiviti penganut Islam dalam menimbulkan sebarang isu agama Islam.

Sebaiknya, janganlah ditiru sepenuhnya pendekatan individualisme dan liberalisme ala Barat, yang dicanangkan kononnya lebih berjiwa moden tanpa ditapis dengan perkiraan ketimuran. Seperti ditegaskan oleh Profesor Osman Bakar, pergaduhan kaum yang kerap berlaku di Amerika dan Eropah membuktikan bahawa masyarakat Barat ketandusan formula yang tuntas untuk menangani isu perbezaan etnik dan agama, dan mereka sepatutnya belajar formula ini dengan masyarakat Malaysia.

Hindari liberalisme moden

ARKIB : 27/05/2007

ZAMAN kian berubah mengikut pelbagai acuan pemikiran. Namun di sebalik pemikiran itu, terdapat kerencaman pemahaman yang amat mencengkam menuju ke arah saluran-saluran pemikiran-pemikiran yang bersifat liberal.

Apa yang dapat dilihat pada masa kini, pelbagai fragmen ideologi Barat menerjah sama ada dari segi ekonomi, politik, sosial, budaya, malah dijadikan sebagai satu anjakan paradigma daripada modenisme kepada pascamodenisme yang menjurus ke arah liberal.

Selepas kejatuhan Empayar Roman, pendapat dan pendukung liberal tidak cergas lagi di sepanjang Zaman Kelam di Eropah. Perjuangan untuk kebebasan mula dihidupkan kembali semasa zaman Renaissance di Itali. Ia mula tercetus apabila pertelingkahan berlaku di antara penyokong-penyokong bandar negeri yang bebas dan penyokong-penyokong Paus.

Pertelingkahan ini mengakibatkan perpecahan dari sudut liberalisme klasik, juga wujud beberapa pergerakan di dalam liberalisme. Liberalisme klasikal yang merupakan satu cabang falsafah liberalisme yang menekankan kerasionalan manusia, hak-hak harta peribadi, hak-hak semula jadi, kekangan perlembagaan ke atas kerajaan, perlindungan hak-hak sivil, pasaran bebas dan kebebasan peribadi. Disebabkan perpecahan itu, maka lahir beberapa aliran dan pergerakan liberalisme seperti neoliberalisme, liberalisme budaya, liberalisme klasikal, ordoliberalisme, liberalisme konservatif, paleoliberalisme, liberalisme sosial dan liberalisme ekonomi.

Berbanding dengan aliran lain, liberalisme budaya lebih mengunjurkan sistem pragmatik yang negatif dengan menekankan hak- hak peribadi yang berkaitan dengan cara hidup dan perasaan hati termasuk kebebasan seksual, kebebasan beragama, kebebasan pemahaman dan perlindungan daripada campur tangan kerajaan di dalam kehidupan peribadi.

*Ideologi

Secara ideologi Barat, liberalisme dapat diklasifikasikan sebagai satu fahaman, falsafah, dan tradisi politik yang meletakkan kebebasan sebagai nilai politik yang tertinggi. Liberalisme mula mengalami perubahan mendadak dengan membentuk pendapat yang menyatakan bahawa manusia bebas boleh membentuk asas masyarakat yang stabil.

Sememangnya hari ini reaksi kita perlu positif apabila berhadapan dengan dominasi Barat pada peringkat global, dan hipokrasi terhadap Barat secara diplomasi adalah penting. Tetapi tanpa sumbangan dan ideologi kita sendiri, kita akan dikecam sebagai defensif juga. Apa yang menghairankan, mereka tidak mempersoalkan isu-isu etnik, budaya dan politik di Eropah dan Amerika Syarikat yang bertentangan dengan demokrasi dan hak asasi manusia.

Pada era ini, Barat dapat diidentifikasikan menjadi dua jangka, waktu modenisme dan pascamodenisme. Modenisme mengheret pandangan hidup saintifik yang antropomorfisme (persamaan kejadian manusia dengan Tuhan), sekularisme, rasialisme, empirisisme, pemikiran dikotomi, pragmatik yang bersandarkan teori negatif, penafian kebenaran metafizik, kurangnya penerapan didaktisisme terutamanya dari segi moral dan etika kehidupan, seterusnya membina ideologi dan fahaman “liberalisme moden” yang dibawa oleh pendukung liberalisme moden. Kebanyakan fahaman baru ini menggugat akidah umat Islam kerana secara realistik ianya logik bagi akal.

Berbeza pula dengan pascamodenisme yang merupakan aliran mengkritik modenisme sehingga mendatangkan pelbagai kecelaruan minda. Hasilnya, wujud pemahaman-pemahaman baru yang disalahtafsirkan seperti relativisme, pluralisme, dan sebagainya.

Kini tidak dapat ditolak lagi dan amat menyedihkan apabila kesan refleksi pengaruh Barat telah mula mengalir dalam pemikiran sesetengah golongan umat Islam, dan ini dapat dilihat daripada arca pembaharuan pemikiran keagamaan Islam atau tajdid.

Pembaharuan sering diterjemahkan menjadi modenisasi, dan kini ke arah menjadi liberalisasi. Padahal tajdid berbeza daripada modenisasi ataupun liberalisasi, baik secara etimologi mahupun konsep. Malangnya, perbezaan ini tidak dicermati, dan konsep-konsep di dalamnya diterjah tanpa proses epistemologi Islam yang jelas.

Selain itu, upaya-upaya pembaharuan pemikiran atau tajdid sesetengah umat Islam kini ternyata masih bersifat spektisisme (keraguan), evasif, iaitu tidak didukung oleh komuniti yang spesifik dalam mengkaji, meneliti, menyelaraskan, dan mengembangkan pemikiran kefahaman Islam dari pelbagai sudut. Apa yang dikhuatiri konsep tajdid sering ditekankan oleh segelintir umat Islam yang bertunjangkan kepentingan kebendaan dan keduniaan yang mencakupi semangat dan bentuk-bentuk jahiliah sahaja.

*Kefahaman

Pembaharuan seperti itu tidak akan membawa kepada pencerahan minda, tetapi menimbulkan banyak keraguan dan konflik. Ini mengakibatkan kefahaman, idea, nilai, dan falsafah ilmu Barat moden dan pascamodenisme bercampur baur dalam pemikiran sesetengah umat Islam. Akhirnya, Muslim berbicara mengenai ilmu pengetahuan Islam, sejarah Islam, bahkan ajaran Islam dengan pemahaman, nilai, idea, serta pendekatan yang menyangkut dengan terminologi Barat. Di sini menimbulkan persoalan, mengapakah terjadi sedemikian rupa?

Apa yang diperlukan dalam pembaharuan pemikiran Islam adalah dengan menggali kembali khazanah ilmu pengetahuan Islam. Dengan keserasian yang bersandarkan epistemologi Islam khususnya kepada para ilmuan dan ulama Islam agar mereka berganding bahu bersama-sama berijtihad dan bertajdid serta melahirkan konsep-konsep Islam yang tersendiri yang bersesuaian dalam pelbagai bidang. Tajdid adalah usaha untuk menghidupkan semula Islam dalam bentuknya yang murni, serta menyusun semula corak hidup dan masyarakat dengan nilai dan prinsip-prinsip Islam.

Jika waktu modenisme dan pascamodenisme tidak dilihat dalam konteks Islam dan menjadikan ia “sesuatu prospek” yang bernilai dan bersesuaian di mata Islam, sudah tentunya ia akan menjadi ‘tusukan’ kepada nilai-nilai Islam yang sedia ada dan akhirnya umat Islam akan ketinggalan dalam serba- serbi di era global ini.

Sesungguhnya amat digeruni jika pemahaman dan ideologi “liberalisme moden” mengalirkan sifat-sifat negatif ke dalam dunia Islam, kerana pemahaman ini akan mendatangkan ‘suatu’ revolusi pada dunia Islam masa kini yang akhirnya menutupi Syariah Islam. Sudah masanya umat Islam bangkit menyedari dan membuka lembaran baru bersama konsep Islam yang teratur dan berada di ruang lingkup yang ditetapkan al-Quran dan sunah.

Jangan biar fahaman liberalisme

ARKIB : 22/06/2010


Sebahagian peserta Konvensyen Pembangunan Saudara Kita di Kota Marudu, Sabah, baru-baru ini.


TUNTUTAN sebagai khalifah Allah bukanlah mudah. Ia memerlukan kefahaman yang jelas melaksanakan suatu amanah dan tanggungjawab yang sangat berat tapi mulia di sisi Allah SWT.

Antara cabaran besar yang perlu dihadapi dan perlu ditangani adalah bagaimana menanamkan rasa kehambaan, kesungguhan dalam menjiwai dan melaksanakan segala kewajipan kepada masyarakat yang diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Nasir Sakaran berkata, hal ini diburukkan lagi dengan penularan fahaman liberalisme dan pluralisme Barat yang memperjuangkan prinsip kebebasan dan rasional akal tanpa batasan.

"Fahaman yang tidak selari dengan prinsip-prinsip ajaran al-Quran dan sunnah ini amat berbahaya kerana ia berpotensi memecahbelahkan masyarakat di samping boleh memesongkan akidah umat Islam," katanya.

Nasir yang juga menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Negeri Sabah berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Pembangunan Saudara Kita Peringkat Negeri Sabah 1431/2010 di Kota Marudu, baru-baru ini.

Sempena majlis itu, turut diadakan ceramah agama yang disampaikan oleh pendakwah saudara Muslim, Mohd. Farhan Abdullah.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Amri Suratman dan Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu, Ajak Awang.

Menurut Nasir, fahaman liberalisme dan pluralisme ini jika tidak segera dibendung akan membantutkan usaha melakar kejayaan hidup di dunia.

Sebab itu, katanya, kini wujud pelbagai permasalahan dalam masyarakat seperti gejala pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah, hedonisme dan sebagainya yang telah mencemarkan nilai-nilai hidup beragama.

"Menyedari akan fenomena dan ancaman berkenaan, kita tidak boleh membiarkan segala bentuk fahaman dan perbuatan songsang berkembang dalam masyarakat.

"Setiap individu Muslim bertanggungjawab melaksanakan dakwah bagi menjernihkan akidah Islam dan membasmi gejala-gejala mungkar khususnya dalam kalangan umat Islam dan masyarakat seluruhnya," jelas beliau.

Ahad, 17 Oktober 2010

Masa depan negara terancam

ARKIB : 02/05/2009

IPOH 1 Mei - Masa depan umat Islam di negara ini kian terancam kerana wujudnya kumpulan tertentu yang secara terbuka membuat pelbagai desakan membelakangkan kepentingan agama atas nama hak asasi manusia.

Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Mohd. Zaidi Ramli berkata, antara tuntutan yang dibuat oleh kumpulan terbabit ialah melarang meletakkan agama anak yang dilahirkan sehingga mereka berumur 18 tahun dan membenarkan orang Islam berkahwin tanpa wali.

''Golongan ini terdiri daripada bukan Islam dan orang Islam liberal yang cuba menyamaratakan semua agama.

''Sekarang desakan daripada golongan ini cukup kuat dengan pelbagai tuntutan atas nama hak asasi manusia," katanya.

Perkara tersebut didedahkan beliau ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Isu Kalimah Allah dan Hukum Penggunaannya bagi Bukan Islam pada majlis Muzakarah Fatwa berkaitan isu akidah kontemporari di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini semalam.

Menurut Mohd. Zaidi, dalam keadaan sekarang, umat Islam tidak boleh lagi mengambil pendekatan terlalu mendiamkan diri tetapi perlu bersikap berani dalam berdakwah.

''Ibu bapa dan guru-guru perlu lebih bersungguh-sungguh kerana cabaran yang kita hadapi bukan daripada sesama kita sahaja tetapi dari golongan bukan Islam di seluruh dunia.

''Kita tidak boleh mengharapkan mufti yang ada tiga, empat orang ini sahaja tetapi perlu sama-sama bertanggungjawab mempertahankan," katanya.

Dalam pada itu, sesi soal jawab pembentangan kertas kerja Mohd. Zaidi bertukar menjadi 'panas' selepas beberapa peserta dilihat terbawa-bawa dengan fahaman politik dalam majlis itu.

Mereka bukan sekadar bertanya soalan tetapi juga mengemukakan pelbagai dalil dan hujah mempersoalkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam.

Bagaimanapun, Timbalan Mufti Negeri Sembilan itu bijak mengawal suasana dengan memberi jawapan secara berseloroh.

Walaupun mengatakan majlis itu bukan tempat sesuai untuk berbahas, beliau menjelaskan, Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan berdasarkan keadaan semasa bagi mengelakkan umat Islam keliru dan menjadi sesat.

Selain Mohd. Zaidi, seorang lagi pembentang kerja pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Majlis muzakarah anjuran Intim dengan kerjasama Infad itu dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Sheikh Mohd. Nor Mansor dan dihadiri kira-kira 500 peserta dari pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Sabtu, 16 Oktober 2010

Islam pada kelas tersendiri

ARKIB : 05/02/2008

MENGAPA timbul dakwaan dan fahaman bahawa semua agama sama? Apakah kerana kejahilan tentang agama atau kerana ada agenda dan kepentingan lain sehingga sanggup menyamaratakan semua konsep agama untuk kelangsungan hidup.

Memang zaman selalu berubah, begitu juga dengan budaya hidup dan cara berfikir manusia. Berkembang dan majunya akal fikiran menjadikan akidah manusia jadi keliru, lalu timbul fahaman semua agama adalah sama.

Walaupun manusia punya kebebasan hak kehormatan (maruah) dan beragama tetapi budaya hidup dengan suku kaum yang pelbagai adalah berbeza.

Apa lagi soal agama iaitu pegangan ketauhidan dan konsep akidah terhadap Allah s.w.t. dalam Islam. Ia tidak akan pernah sama dengan mana-mana agama.

Islam hanya satu-satunya agama diterima di sisi Allah s.w.t sebagaimana mafhum-Nya: Sesungguhnya din (agama) yang diredai di sisi Allah hanyalah Islam.... (Ali-Imran:19).

Sebaliknya kepelbagaian bangsa dan suku kaum serta warna kulit manusia itu adalah agar mereka saling mengenali dan berhubungan antara satu sama lain sebagaimana mafhum-Nya lagi: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku (berpuak-puak) supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (al-Hujuraat: 13)

Salah satu jalan ke arah mengenali dan merapatkan hubungan sukuan bangsa serta menjalin kesefahaman untuk saling menghormati dan hidup dalam keharmonian adalah melalui majlis dialog dan bermuzakarah.

Namun, Ketua Jabatan Undang-Undang Awam, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari menggesa jangan ada pihak yang menafikan apa yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan.

“Malaysia adalah negara Islam, jadi dasar keislaman harus jadi keutamaan oleh pemerintah dan ini harus difahami oleh golongan bukan Islam,” tegas beliau.

Menurut Abdul Aziz, kontrak sosial dibangkitkan kerana kefahaman yang cetek mengenai sejarah dan perlembagaan negara dan orang Islam terlalu bertolak ansur sehingga mengabaikan hak Islam sendiri.

“Akhirnya kita tidak tahu apa lagi yang ada untuk umat Islam,” katanya pada forum ‘Isu-isu tumpuan dalam dialog antara agama dan peradaban: Pengalaman semasa umat Islam’ dalam Muzakarah Ke Arah Pendisiplinan Dialog Antara Agama dan Peradaban, baru-baru ini.

Muzakarah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di dewan besar institusi berkenaan pada 22 Januari lalu itu dihadiri oleh kira-kira 100 peserta terdiri daripada ahli akademik dan ahli agama tempatan.

Abdul Aziz ialah antara tiga ahli panel yang membicarakan mengenai tajuk tersebut. Dua lagi ahli panel ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad dan pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM, Prof. Madya Dr. Kamar Oniah Kamaruzaman.

Kena tegas

Muzakarah sehari itu juga turut menampilkan empat pembahas daripada ahli akademik dan ilmuwan dalam perbahasan ‘Ke arah Pendisiplinan Dialog Antara Agama dan Peradaban’.

Menurut Abdul Aziz, timbul kekeliruan mengenai Islam juga disebabkan ada pihak yang tidak senang dengan kedudukan Islam dalam sejarah dan perlembagaan negara Malaysia.

“Sebab itu kita orang Islam sebagai peneraju dalam pemerintahan tidak boleh bertolak ansur lagi. Pemimpin dan Muslim kena tegas dan jangan jahil hukum-hukum syarak serta sentiasalah mengikuti perkembangannya,” tegas beliau.

Sementara itu, Mohd. Nakhaie pula mempersoalkan, apakah Islam perlu kepada dialog antara agama?

Ini kerana tegas beliau, penyertaan Islam dalam dialog antara agama tidak pernah terancang dan bukan mewakili Islam yang sebenar.

“Melalui dialog, Muslim sepatutnya mendakwahkan Islam, tetapi sebaliknya orang Islam yang ‘dilantik’ dalam dialog telah didakwahkan oleh penganjurnya (musuh Islam),” ujar beliau.

Kata Mohd. Nakhaie lagi, ini berlaku kerana orang Islam yang dijemput berdialog mengenai agama tidak memahami latar belakang peradaban dan sejarah Islam serta tidak peka pada muslihat di sebalik dialog antara agama yang diadakan.

Akibatnya, jelas beliau, dengan mudah Islam diperalatkan oleh golongan Islam liberal dan yang memusuhi Islam.

“Oleh itu keilmuan mengenai dialog mesti mantap, sebab belum ada dialog yang menguntungkan Islam, tetapi banyak beri kelebihan kepada musuh kerana kecekapan strategi mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah IKIM, Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas berkata, agama-agama lain tidak berhak mengguna istilah atau perkataan Allah kerana ia nama khas dalam Islam yang terkandung dalam kitab suci al-Quran.

“Dari sudut falsafah, tidak ada tasawwur kefahaman mengenai Allah dalam mana-mana agama lain kecuali Islam,” tegasnya semasa menyampaikan ucaptama dan merasmikan muzakarah itu.

Sedangkan kalimah Tuhan menurut beliau, adalah istilah umum yang turut merujuk kepada Tuhan-tuhan dalam agama penyembahan berhala dan makhluk.

Menjernihkan pemikiran Islam liberal

ARKIB : 22/08/2008

KEDANGKALAN ilmu terhadap pemikiran dan asas-asas ajaran Islam sering kali menjerumuskan umat Islam dalam pertelingkahan yang tidak kunjung padam. Adakalanya mereka tersepit antara amalan tradisi yang dianggap sebagai satu yang syarie.

Seperti bersumpah menjunjung al-Quran. Di satu pihak mempertahankannya bahawa itulah cara Islam, manakala ada pihak lain menganggap ia tiada dalam kamus Islam atau lebih menjengkelkan mendakwa ia adalah manipulasi politik.

Pertelingkahan juga muncul apabila pemikiran tradisi Islam bertembung dengan proses modenisasi yang disertakan dengan pelbagai konsepnya seperti demokrasi, globalisasi dan kebebasan hak asasi.

Sampai di sudut ini, maka mula kita bertanya di manakah Islam untuk mengambil peranannya lantas mendahului pemikiran dan memimpin tindakan. Dalam hal ini, Islam telah bersiap sedia untuk menghadapinya apabila setiap disiplin ilmu terdapat prinsip, kerangka dan metodologinya tersendiri yang bertunjang kepada nas syarie, al-Quran dan sunnah.

Para ulama meletakkan asas-asas metodologi penting, bagaimana berinteraksi dengan isu-isu pemikiran, aqidah, hukum, kemasyarakatan, maslahat dan sebagainya. Maka dari situ Islam berdiri teguh dengan hujah-hujah sama ada naqli atau aqli.

Datanglah apa saja cabaran, intelektual dan pendokong Islam tidak harus gentar kerana Islam tertegak dengan hujah. Cuma bersediakah mereka untuk menggalas cabaran itu termasuk berdepan dalam forum yang terbuka atau tertutup.

Ironinya, terdapat di kalangan umat Islam sekarang berusaha berbicara mengenai Islam tanpa asas kukuh dan tanpa metodologi yang mantap. Mereka berusaha membebaskan diri daripada dasaran hukum yang telah sedia terbina.

Bergantung semata-mata kepada maqasid al-syariah sehingga mengabaikan metodologi yang telah digariskan sehinggakan semua orang boleh bercakap tentang Islam tanpa mengira latar belakang keilmuannya.

Keadaan ini, sering kali dikaitkan dengan perkembangan atau pembudayaan pemikiran Islam liberal. Mungkin tidak dinamakan secara rasmi atau ada individu tertentu mengaku secara terbuka beliau adalah pendokong Islam liberal, namun pandangan-pandangan Islam liberal kian dirasai dewasa ini.

Misalnya, bolehkah kita menerima desakan-desakan kumpulan tertentu agar poligami diharamkan sedangkan ia jelas diharuskan oleh Islam. Ini kerana mempertahankan hukum tidak semestinya kita bersetuju untuk mengamalkannya.

Menyedari perkembangan ini, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) pada Mesyuarat Perwakilan Tahunannya yang ke-29 akan memberikan fokus kepada usaha menangani pemikiran Islam liberal pada esok dan Sabtu ini di Institut Latihan Islam (ILIM), Bangi, Selangor.

Menurut Setiausaha Agungnya, Dr. Roslan Mohd. Nor berkata, tahun ini PUM memberikan penekanan kepada Islam liberal kerana mahu menjernihkan pemikiran-pemikiran yang tidak selari dengan asas-asas pemikiran Islam.

"Liberal di sini maksudnya mereka yang ingin merungkaikan diri mereka daripada nas-nas yang telah sedia ada atau mengeluarkan pandangan yang bertentangan dengan nas.

"Tetapi ini bukan bermakna kita menentang pemikiran-pemikiran liberal atau kebebasan bersuara, yang kita mahu ialah jangan sampai mencabar nas," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, Islam liberal juga banyak dikaitkan dengan pemikiran pluralisme agama iaitu sehingga sampai peringkat menyama ratakan Islam dengan agamaagama lain.

Jelasnya, Islam tidak mempunyai masalah sekiranya pluralisme itu merujuk kepada kehidupan masyarakat majmuk dan mempunyai kepelbagaian.

Menghormati

Ini kerana sejak awal lagi, Islam mahu penganutnya menghormati agama-agama lain di samping mengiktiraf kepelbagaian keturunan, ras atau bangsa sebagaimana yang terpancar dengan masyarakat awal Islam di Madinah.

"Apa yang kita faham mengenai pluralisme ialah kepelbagaian agama dan budaya itu tidak ada masalah dan ia juga sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Tetapi sekiranya memahami Islam dengan cuba menyama ratakan semua agama, itu perlu dinilai," katanya.

Roslan berkata, bagi mengupas secara mendalam mengenai cabaran pemikiran Islam liberal, PUM dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan menganjurkan Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan 2008 yang bertemakan "Menangani Pemikiran Islam Liberal di Malaysia" pada di ILIM.

Seminar dua hari ini akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Seminar tersebut bertujuan bagi memperjelaskan asas-asas dalam pemikiran Islam dan mengenal pasti penyelewengan dan penyimpangan fahaman Islam liberal daripada ajaran Islam di samping mengenal pasti usaha yang perlu diambil bagi membendung fahaman itu.

Roslan berkata, Yang Dipertua PUM, Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir yang juga bekas Mufti Terengganu dijadual menyampaikan ucaptama bertema 'Kemelut Islam Liberal' antara lainnya mendedahkan kewujudan golongan yang cuba membebaskan diri mereka daripada penafsiran oleh para ulama dan cendekiawan Muslim yang sudah terbukti keilmuan mereka.

"Mereka ini seolah-olah tidak dapat membezakan ulasan-ulasan terhadap Islam, dari segi budaya dan perkara usul," katanya.

Pembentangan kertas-kertas kerja pada seminar tersebut akan membahaskan tentang Asas-Asas Utama Pemikiran Islam, Sejarah dan Metodologi Islam Liberal, Islam dan Liberalisme: Pandangan Tokoh Islam Liberal dan Fahaman Islam Liberal: Pengalaman Indonesia.

Ini termasuk menelusuri kemunculan Islam Liberal yang dikatakan bermula daripada liberalisme di Mesir dan Indonesia. Kertas-kertas yang dibentang bakal menelaah hasil kajian terhadap karya-karya tokoh liberalisme seperti Prof Dr. Hasan Hanafi dan Jamal al-Banna selain tokoh yang lebih lunak seperti Dr. Hamid Taher dan Dr. Hassan al-Mashat.

Seminar tersebut memberikan peluang kepada aktivis-aktivis Islam memenuhi dada dengan kefahaman yang mendalam terhadap Islam liberal bagi membolehkan mereka berada di gelanggang dengan penuh persediaan.

Kepada sesiapa yang berminat mengikuti seminar ini boleh menghubungi sekretariat seminar di talian 03-7955 4300 atau 019-384 2920 / 016-274 6550.