Memaparkan catatan dengan label Liberalisme. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Liberalisme. Papar semua catatan

Selasa, 19 Oktober 2010

Demokrasi dan liberalisme

ARKIB : 03/12/1998

Oleh: MAKMOR TUMIN

DEMOKRASI sering dianggap sebagai preskripsi terhadap semua masalah politik dunia.

Oleh itu tidak hairanlah jika semua ideologi politik dunia mengaitkan fahaman mereka dengan demokrasi tersebut.

Justeru, kita dapati istilah demokrasi sering digandingkan dengan ideologi-ideologi seperti demokrasi liberal, demokrasi komunis, demokrasi sosialis, demokrasi terpimpin, demokrasi permuafakatan dan banyak lagi.

Malah ramai pemikir Islam juga mengaitkan istilah tersebut dengan ajaran politik Islam sehingga wujudnya istilah 'demokrasi Islam'. Penggunaan istilah demokrasi berakar umbi dari zaman Greek kuno. Istilah demokrasi berasal daripada perkataan demos (rakyat) dan kratia(perintah). Demikian itu, demokrasi dengan umumnya membawa maksud kerajaan yang diperintah oleh rakyat. Abraham Lincoln pernah menjelaskan maksud demokrasi sebagai, ''kerajaan rakyat, untuk rakyat, oleh rakyat''.

Kita dapati terdapat beribu-ribu takrif demokrasi yang diberi oleh beribu-ribu pemikir dan pengkaji. Disedari ataupun tidak, maksud demokrasi pada hari ini dipengaruhi oleh fahaman liberalisme. Meskipun konsep demokrasi oleh kerajaan rakyat itu boleh wujud di mana-mana negara yang menganut ideologi yang lain selain daripada fahaman liberalisme, disebabkan propaganda Barat, didapati hari ini sesebuah negara itu hanya dianggap demokrasi sekiranya ia menganut fahaman liberalisme.

Justeru, kita dapati istilah demokrasi liberal bukan sahaja mendapat liputan yang meluas malah dicanang sebagai sebuah sistem politik yang paling mustajab. Ada yang menerima demokrasi dengan menolak ideologi politik dan ajaran agama.

Pada hemat saya, kebaikan yang melampau-lampau mengenai demokrasi khususnya demokrasi liberal tidak lebih merupakan propaganda Barat terutamanya Amerika Syarikat. Demokrasi bukan sahaja sesuatu yang sudah bersifat konvensional dan tidak realistik tetapi juga menghalang pembangunan masyarakat dan tidak lagi relevan dalam era teknologi maklumat. Malah saya yakin pada alaf yang akan datang, demokrasi tidak lagi menjadi preskripsi bagi mengatasi masalah negara bahkan akan dikecam hebat disebabkan oleh kelemahan-kelemahannya.

Kelemahan demokrasi yang pertama adalah dari segi konsep dan amalannya. Persoalan yang sering timbul ialah bagaimanakah 'kerajaan rakyat, untuk rakyat, itu boleh diperintah 'oleh rakyat'? Oleh itu, demokrasi sering dibayangi oleh dua teori yang lain, iaitu pluralisme dan elitisme. Usaha untuk menjelaskan demokrasi dengan menggunakan dua teori ini menambahkan kekalutan konsep dan amalan demokrasi yang sedia ada. Dua teori tersebut sebenarnya tidak pun dapat menjelaskan dengan menyeluruh takrif demokrasi itu, malah menjemput pelbagai perdebatan yang semakin merumitkan.

Kelemahan demokrasi yang kedua ialah ideanya tidak mendorong ke arah pembangunan negara, khususnya negara-negara membangun itu sendiri. Hujah ini didasarkan pada ciri majoriti yang ada pada demokrasi itu.

Seperti yang kita ketahui, sesuatu pandangan dalam sebuah negara demokrasi hanya akan diterima sekiranya ia merupakan pandangan majoriti. Kita haruslah memahami bahawa dalam kebanyakan negara khususnya negara membangun, majoriti rakyatnya masih rendah dari segi pendidikan dan pendedahan mengenai politik.

Meskipun kita dapati kadar celik huruf telah meningkat, namun dalam beberapa penyelidikan didapati minat membaca masih tidak menggalakkan. Disebabkan masalah rendah dari segi pendidikan dan kurangnya minat membaca di kalangan majoriti rakyat, maka demokrasi yang berdasarkan pandangan majoriti rakyat dalam negara-negara seperti ini hanya akan menghalang pembangunan dan kemajuan negara keseluruhannya. Ini kerana keputusan yang hendak dibuat oleh seseorang pemimpin mestilah terlebih dahulu mendapat persetujuan golongan majoriti itu.

Ini tentunya diberatkan lagi oleh hakikat bahawa golongan cerdik pandai, berpengalaman, berkebolehan, berketerampilan dan sebagainya masih minoriti. Maka pandangan bernas mereka akan dengan mudah disingkirkan oleh pandangan majoriti. Kelemahan demokrasi yang ketiga, yang juga merupakan kelemahan terpenting adalah berkaitan dengan kesan teknologi maklumat terhadap proses pembuatan keputusan dalam sesebuah negara demokrasi. Kita mengetahui bahawa dalam sesebuah negara demokrasi, sesuatu keputusan itu sering tertunda disebabkan tidak menepati kehendak ciri-ciri demokrasinya. Negara-negara yang tidak mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen sering menghadapi kebuntuan dalam membuat sesuatu keputusan negara.

Kesannya, ahli-ahli politik lebih banyak 'bermain politik' daripada mengadakan tindakan-tindakan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Pada pandangan saya, dalam era teknologi maklumat, apabila sesuatu keputusan perlu dibuat dengan segera, sistem demokrasi tidak akan boleh berfungsi dengan berkesan. Keperluan untuk mendapat persetujuan majoriti rakyat bukan sahaja menyukarkan pembuatan keputusan yang boleh dibuat di 'hujung jari' itu malah akan menyebabkan pelbagai peluang pembangunan terlepas begitu sahaja.

Jika pemimpin sesebuah negara demokrasi perlu mendapat persetujuan majoriti rakyat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan negara, maka negara itu akan terus-terusan ketinggalan disebabkan terlepas pelbagai peluang dan habuan tersebut. Tidaklah keterlaluan kalau saya katakan kecanggihan yang ada pada teknologi maklumat tidak akan dapat dimanfaatkan dalam proses pembuatan keputusan politik jika sistem demokrasi ingin diteruskan.

Kelemahan demokrasi yang keempat pula adalah dari segi masalah fleksibiliti dan fluiditi dalam mengadakan pelbagai strategi seperti strategi politik, ekonomi, ketenteraan dan seumpamanya. Dalam konteks moden, lebih-lebih lagi pada abad yang akan datang, kemajuan dan pemodenan sesebuah negara itu tidak lagi ditentukan oleh usaha pemimpin dan rakyatnya dalam negara tersebut semata-mata.

Pemimpin sesebuah negara bukan sahaja memerlukan strategi bagi pembangunan negaranya tetapi haruslah juga mengetahui dan memahami dengan jelas strategi pembangunan negara-negara lain termasuklah jiran-jirannya.

Lalu, pelbagai teori dicipta seperti game theory yang boleh digunakan oleh pemimpin sesebuah negara untuk berhadapan dengan keadaan sedemikian. Jika pemimpin sesebuah negara masih terikat dengan kehendak-kehendak yang ada pada ciri-ciri demokrasi, bagaimanakah sesuatu strategi yang lebih berkesan akan dapat dilakukan?

Kesilapan cara pemikiran Murji’ah

ARKIB : 30/06/2006

DALAM suasana polemik Kongsi Raya, penulis agak bimbang akan kembalinya satu aliran pemikiran yang pernah wujud pada suatu masa dahulu dikenali dengan fahaman Murji’ah.

Fahaman ini dipelopori oleh Jaham bin Safwan yang beranggapan bahawa iman dan kufur itu letaknya di hati. Tidak sekali-kali boleh dinilai dengan perbuatan mahupun perkataan.

Oleh itu seorang Muslim yang menyembah berhala atau menyembah salib sekalipun, ia tidak boleh dihukum terkeluar Islam jika hatinya masih kekal dengan keimanan.

Sempena namanya, Murji’ah berasal dari kalimah arja’a yang antara lain bermaksud pengharapan. Dari maksud bahasa ini melahirkan makna istilahnya iaitu seseorang yang berdosa adalah tinggi harapannya untuk mendapat pengampunan dan kemaafan daripada Allah s.w.t.

Justeru jangan terlalu mudah menghukum mereka dengan perbuatan zahir semata-mata. Atas alasan yang diberikan oleh kumpulan ini, Imam Muhammad Abu Zuhrah pengarang kitab Mazahib Islamiyyah menyifatkan mereka sebenarnya tidak ubah seperti kumpulan ibahiyyah iaitu sebuah kumpulan yang berpegang kepada prinsip segala-galanya adalah harus. Tidak timbul soal haram dalam kamus pemikiran mereka.

Berbalik kepada kenyataan Perdana Menteri, keputusan tersebut bukanlah bermakna beliau menyokong mana-mana pandangan yang cenderung kepada fahaman liberalisme atau pluralisme agama.

Tetapi beliau melihat Kongsi Raya itu hanyalah satu gimik untuk menarik perhatian rakyat bagi mengadakan perhimpunan bersama demi untuk mengeratkan lagi tali perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Namun tidak dinafikan memang berlaku perselisihan (khilaf) di kalangan ulama berkenaan mengucapkan tahniah kepada bukan Islam termasuk menerima hadiah pada hari perayaan mereka.

Menurut fatwa Jawatankuasa Kajian dan Fatwa Eropah para ulama telah bersepakat bahawa menyambut perayaan keagamaan bukan Islam itu adalah ditegah. Ia berbeza sekali dalam masalah memberi ucapan tahniah di atas perayaan mereka kerana ia menunjukkan penghormatan kita terhadap kewujudan mereka sebagai sebahagian daripada anggota masyarakat.

Sebaliknya untuk menyambut perayaan keagamaan bukan Islam seumpama menyambut Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, maka di sinilah punca larangan ulama yang sebenar. Ini sebagaimana ditegaskan oleh ulama; ‘bagi kita perayaan kita dan bagi mereka perayaan mereka.’

Di sinilah persoalan yang sepatutnya kita selesaikan bersama. Adakah istilah Kongsi Raya yang dimaksudkan itu menjurus kepada berkongsi menyambut perayaan keagamaan bukan Islam dalam konteks sebagaimana kita menyambut perayaan-perayaan keagamaan dalam Islam?

Atau hanya sekadar menunjukkan penghormatan kita terhadap kewujudan mereka dalam negara ini sebagai umat manusia yang mempunyai tradisi, budaya dan kepercayaan?

Dalam hal ini, amat penting sekali kita memahami apakah sebenarnya kehendak daripada perayaan dalam satu-satu agama itu. Adakah ia hanya sekadar direka-reka atau sememangnya menjadi tuntutan agama tersebut yang mesti dilaksanakan oleh penganutnya.

Jika diteliti, sukar dinafikan bahawa semua agama menganjurkan perayaan dengan falsafah-falsafah tersendiri dan ia sememangnya menjadi syiar atau lambang kepada agama tersebut.

Hampir tiada suatu pun agama yang wujud di dunia ini tanpa mempunyai perayaan keagamaan tertentu. Ini menunjukkan bahawa perayaan keagamaan bagi satu-satu agama amat penting dan ia adalah lambang kepercayaan serta keabsahan agama masing-masing.

Manakala menyambut, merayakan atau dalam bahasa Arab ihtifal membawa maksud mengambil berat, menganjurkan atau membesarkan. Ihtifal inilah yang dilarang oleh para ulama Islam untuk dilakukan oleh umat Islam terhadap perayaan keagamaan bukan Islam.

Inilah sebenarnya punca sebenar masalah sehingga pihak tertentu memohon kerajaan supaya mengkaji semula konsep Kongsi Raya yang diamalkan kini.

Sekilas pandang ungkapan Kongsi Raya seakan-akan seiras dengan ucapan kongsi agama. Jika begitu, sudah tentulah para ulama akan mempersoalkan lantaran itu sememangnya kebatilan yang jelas.

Bagaimanapun ada baiknya jika kerajaan menilai semula istilah tersebut di samping mengkaji semula cara sambutan tersebut diadakan. Istilah Kongsi Raya sememangnya sesuatu yang agak kurang mesra dengan sentimen ahli agama di negara ini kerana ia tetap mengundang seribu kegusaran dan kebimbangan.

Selain itu acara sambutan yang diadakan juga mungkin tidak perlu menggunakan sebarang simbol agama atau atas nama mana-mana agama selain Islam. Bagi Islam ia sesuai dengan status agama rasmi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Oleh itu ungkapan-ungkapan seperti Rumah Terbuka Krismas dan sebagainya elok ditukar kepada Rumah Terbuka Malaysia sahaja.

Acara yang diadakan juga hendaklah tidak memaparkan apa-apa amalan ritual, ucapan-ucapan khusus agama serta lambang atau simbol agama-agama tersebut.

Perlu diingat ini semua menjadi perbahasan hanya kiranya acara itu dianjurkan dengan kehadiran umat Islam. Sekiranya tidak, umat bukan Islam adalah bebas dengan apa-apa acara yang mengikut tradisi kepercayaan mereka.

Jakim perlu berani kritik gerakan liberalisme – Mufti

ARKIB : 07/07/2006

IPOH 6 Julai - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria secara terbuka mengkritik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan meminta badan itu membuat ulasan dan kajian mengenai tindakan pihak tertentu mencabar perlembagaan negara yang menyatakan dengan jelas Islam sebagai agama rasmi.

‘‘Jakim sepatutnya menjadi penasihat kepada kerajaan dan berani mengeluarkan kritikan terhadap gerakan liberalisme yang semakin berleluasa,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Dermasiswa Fisabilillah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak di Institut Tadbiran Islam (Intim) di sini hari ini.

Liberalisme ialah fahaman mengenai kebebasan berfikir dan mengurangkan pengaruh keagamaan dalam masyarakat.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila Jakim memaklumkan lima isu serius membabitkan kepentingan Islam yang sebelum ini dibawa ke Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu tidak perlu dibincangkan.

‘‘Majlis Raja-Raja Melayu merupakan tempat terakhir untuk saya sebagai mufti menyelamatkan Islam kerana agama terletak di bawah kelolaan majlis,'' katanya.

Selain liberalisme, empat isu lain ialah sekularisme, fahaman hedonisme, pluralisme dan khilafiah.

Dalam ucapan itu, beliau meminta anak-anak Melayu yang masih belajar di pelbagai peringkat mempertahankan al-Quran dan Islam.

Hindari liberalisme moden

ARKIB : 27/05/2007

ZAMAN kian berubah mengikut pelbagai acuan pemikiran. Namun di sebalik pemikiran itu, terdapat kerencaman pemahaman yang amat mencengkam menuju ke arah saluran-saluran pemikiran-pemikiran yang bersifat liberal.

Apa yang dapat dilihat pada masa kini, pelbagai fragmen ideologi Barat menerjah sama ada dari segi ekonomi, politik, sosial, budaya, malah dijadikan sebagai satu anjakan paradigma daripada modenisme kepada pascamodenisme yang menjurus ke arah liberal.

Selepas kejatuhan Empayar Roman, pendapat dan pendukung liberal tidak cergas lagi di sepanjang Zaman Kelam di Eropah. Perjuangan untuk kebebasan mula dihidupkan kembali semasa zaman Renaissance di Itali. Ia mula tercetus apabila pertelingkahan berlaku di antara penyokong-penyokong bandar negeri yang bebas dan penyokong-penyokong Paus.

Pertelingkahan ini mengakibatkan perpecahan dari sudut liberalisme klasik, juga wujud beberapa pergerakan di dalam liberalisme. Liberalisme klasikal yang merupakan satu cabang falsafah liberalisme yang menekankan kerasionalan manusia, hak-hak harta peribadi, hak-hak semula jadi, kekangan perlembagaan ke atas kerajaan, perlindungan hak-hak sivil, pasaran bebas dan kebebasan peribadi. Disebabkan perpecahan itu, maka lahir beberapa aliran dan pergerakan liberalisme seperti neoliberalisme, liberalisme budaya, liberalisme klasikal, ordoliberalisme, liberalisme konservatif, paleoliberalisme, liberalisme sosial dan liberalisme ekonomi.

Berbanding dengan aliran lain, liberalisme budaya lebih mengunjurkan sistem pragmatik yang negatif dengan menekankan hak- hak peribadi yang berkaitan dengan cara hidup dan perasaan hati termasuk kebebasan seksual, kebebasan beragama, kebebasan pemahaman dan perlindungan daripada campur tangan kerajaan di dalam kehidupan peribadi.

*Ideologi

Secara ideologi Barat, liberalisme dapat diklasifikasikan sebagai satu fahaman, falsafah, dan tradisi politik yang meletakkan kebebasan sebagai nilai politik yang tertinggi. Liberalisme mula mengalami perubahan mendadak dengan membentuk pendapat yang menyatakan bahawa manusia bebas boleh membentuk asas masyarakat yang stabil.

Sememangnya hari ini reaksi kita perlu positif apabila berhadapan dengan dominasi Barat pada peringkat global, dan hipokrasi terhadap Barat secara diplomasi adalah penting. Tetapi tanpa sumbangan dan ideologi kita sendiri, kita akan dikecam sebagai defensif juga. Apa yang menghairankan, mereka tidak mempersoalkan isu-isu etnik, budaya dan politik di Eropah dan Amerika Syarikat yang bertentangan dengan demokrasi dan hak asasi manusia.

Pada era ini, Barat dapat diidentifikasikan menjadi dua jangka, waktu modenisme dan pascamodenisme. Modenisme mengheret pandangan hidup saintifik yang antropomorfisme (persamaan kejadian manusia dengan Tuhan), sekularisme, rasialisme, empirisisme, pemikiran dikotomi, pragmatik yang bersandarkan teori negatif, penafian kebenaran metafizik, kurangnya penerapan didaktisisme terutamanya dari segi moral dan etika kehidupan, seterusnya membina ideologi dan fahaman “liberalisme moden” yang dibawa oleh pendukung liberalisme moden. Kebanyakan fahaman baru ini menggugat akidah umat Islam kerana secara realistik ianya logik bagi akal.

Berbeza pula dengan pascamodenisme yang merupakan aliran mengkritik modenisme sehingga mendatangkan pelbagai kecelaruan minda. Hasilnya, wujud pemahaman-pemahaman baru yang disalahtafsirkan seperti relativisme, pluralisme, dan sebagainya.

Kini tidak dapat ditolak lagi dan amat menyedihkan apabila kesan refleksi pengaruh Barat telah mula mengalir dalam pemikiran sesetengah golongan umat Islam, dan ini dapat dilihat daripada arca pembaharuan pemikiran keagamaan Islam atau tajdid.

Pembaharuan sering diterjemahkan menjadi modenisasi, dan kini ke arah menjadi liberalisasi. Padahal tajdid berbeza daripada modenisasi ataupun liberalisasi, baik secara etimologi mahupun konsep. Malangnya, perbezaan ini tidak dicermati, dan konsep-konsep di dalamnya diterjah tanpa proses epistemologi Islam yang jelas.

Selain itu, upaya-upaya pembaharuan pemikiran atau tajdid sesetengah umat Islam kini ternyata masih bersifat spektisisme (keraguan), evasif, iaitu tidak didukung oleh komuniti yang spesifik dalam mengkaji, meneliti, menyelaraskan, dan mengembangkan pemikiran kefahaman Islam dari pelbagai sudut. Apa yang dikhuatiri konsep tajdid sering ditekankan oleh segelintir umat Islam yang bertunjangkan kepentingan kebendaan dan keduniaan yang mencakupi semangat dan bentuk-bentuk jahiliah sahaja.

*Kefahaman

Pembaharuan seperti itu tidak akan membawa kepada pencerahan minda, tetapi menimbulkan banyak keraguan dan konflik. Ini mengakibatkan kefahaman, idea, nilai, dan falsafah ilmu Barat moden dan pascamodenisme bercampur baur dalam pemikiran sesetengah umat Islam. Akhirnya, Muslim berbicara mengenai ilmu pengetahuan Islam, sejarah Islam, bahkan ajaran Islam dengan pemahaman, nilai, idea, serta pendekatan yang menyangkut dengan terminologi Barat. Di sini menimbulkan persoalan, mengapakah terjadi sedemikian rupa?

Apa yang diperlukan dalam pembaharuan pemikiran Islam adalah dengan menggali kembali khazanah ilmu pengetahuan Islam. Dengan keserasian yang bersandarkan epistemologi Islam khususnya kepada para ilmuan dan ulama Islam agar mereka berganding bahu bersama-sama berijtihad dan bertajdid serta melahirkan konsep-konsep Islam yang tersendiri yang bersesuaian dalam pelbagai bidang. Tajdid adalah usaha untuk menghidupkan semula Islam dalam bentuknya yang murni, serta menyusun semula corak hidup dan masyarakat dengan nilai dan prinsip-prinsip Islam.

Jika waktu modenisme dan pascamodenisme tidak dilihat dalam konteks Islam dan menjadikan ia “sesuatu prospek” yang bernilai dan bersesuaian di mata Islam, sudah tentunya ia akan menjadi ‘tusukan’ kepada nilai-nilai Islam yang sedia ada dan akhirnya umat Islam akan ketinggalan dalam serba- serbi di era global ini.

Sesungguhnya amat digeruni jika pemahaman dan ideologi “liberalisme moden” mengalirkan sifat-sifat negatif ke dalam dunia Islam, kerana pemahaman ini akan mendatangkan ‘suatu’ revolusi pada dunia Islam masa kini yang akhirnya menutupi Syariah Islam. Sudah masanya umat Islam bangkit menyedari dan membuka lembaran baru bersama konsep Islam yang teratur dan berada di ruang lingkup yang ditetapkan al-Quran dan sunah.

Persatuan Ulama P. Pinang bimbang

ARKIB : 12/04/2008

PULAU PINANG 11 April – Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) meminta kerajaan negeri berhati-hati dengan cadangan penubuhan Majlis Silaturahim Antara Agama (IRGC) bagi mengelakkan kontroversi.

Yang Dipertua PUMPP, Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, penubuhan itu dilihat sebagai menyerupai cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak sebelum ini.

Walaupun pembentukan IRGC bertujuan untuk memberi keadilan pada semua agama, katanya, takrifan keadilan agama daripada perspektif agama-agama yang berlainan adalah berbeza.

“Penubuhan majlis antara agama bukan jalan terbaik untuk mengurangkan perbezaan pandangan, salah faham dan menyelesaikan masalah dalam pelaksanaan undang-undang berkaitan pengamalan atau pelanggaran agama.

“Sebaliknya masalah-masalah tersebut dapat diselesaikan dengan memperbanyakkan dialog antara agama selain pemilihan perwakilan yang tepat dan dipilih daripada kumpulan agama yang utama,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas Pulau Pinang baru-baru ini mencadangkan penubuhan majlis itu bagi meningkatkan kerjasama, perhubungan serta persefahaman di kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, majlis itu akan dianggotai oleh pakar dalam bidang agama yang dilantik oleh kerajaan negeri.

Menurut Dr. Wan Salim, sebarang dialog yang diadakan biarlah memberi faedah kepada semua pihak namun ia tidak seharusnya menghalalkan falsafah liberal dan pluralisme agama seperti yang dipopularkan oleh Barat.

“Sebagai contoh, dialog antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim dan penganjur forum yang dilaksanakan selepas kejadian bantahan Forum Artikel 11 di Hotel Cititel pada Mei 2006 serba sedikit meredakan ketegangan,” ujarnya.

Justeru, katanya, PUMPP mengingatkan kerajaan negeri bahawa dialog dan sikap menghormati kebebasan beragama masing-masing adalah jalan terbaik dalam menyelesaikan ketegangan agama yang kini dirasai sebahagian masyarakat termasuk di Pulau Pinang.

“Semua agama bebas melaksanakan ibadah masing-masing selagi tidak mengganggu amalan penganut agama lain.

“Namun fahaman kebebasan dan toleransi beragama tidak sama dengan fahaman pluralisme agama yang diterima pakai di peringkat antarabangsa,” katanya.

Memperkukuh pegangan ASWJ

ARKIB : 12/02/2010

GOLONGAN ulama mempunyai kedudukan tinggi dalam agama Islam. Justeru, mereka sentiasa dihormati oleh masyarakat. Dengan perkembangan semasa yang semakin mencabar dalam dunia Islam dan pembangunan ummah, tanggungjawab mereka kini semakin berat dalam menyuluh lampu hidayah kepada umat.

Lebih-lebih lagi hari ini, kita melihat cabaran umat sangat kritikal sifatnya sama ada dalam bentuk fizikal iaitu politik, sosial, ekonomi dan sebagainya, mahupun dalam bentuk pencemaran pemikiran seperti fahaman sekularisme, liberalisme, pluralisme dan aliran yang tidak selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Bukan sahaja hambatan ini akan merugikan dan memundurkan umat tetapi juga menyebabkan perpecahan daripada pelbagai sudut jika tidak ditangani sewajarnya.

Justeru, ulama dan ilmuan Islam perlu menggerakkan usaha menangani permasalahan ini ke arah kekuatan dan kesatuan ummah.

Dengan itu, penganjuran Multaqa Ulama dan Ilmuan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) Johor, Majlis Agama Islam Johor dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru pada 4 Februari lalu amat signifikan bagi merungkai permasalahan dan menggariskan tindakan ulama dan ilmuan bagi meningkat dan memartabatkan lagi Islam dan ummah di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan multaqa berkenaan menyifatkannya sebagai satu wadah penting bagi memperkasa kesatuan ummah.

Beliau kemudian membacakan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud:

"Dan demikianlah pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) 'umat pertengahan' (umat yang adil dalam erti kata, pertengahan pembawanya, tidak melampau dan tidak keterlaluan dalam menganuti kepercayaan, demikian juga akhlak dan amalannya, sama-sama dipandang dan dikenal pasti, dipelajari dan diusaha laksanakan meliputi hal ehwal dunia dan akhirat atau duniawi) supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan supaya Rasulullah SAW pula akan menjadi orang yang menerangkan perbuatan kamu..."

Dalam konteks penyatuan umat Melayu, Muhyiddin berpendapat, ia berteraskan kekuatan akal dan rohani agar kefahaman dipandu oleh pandangan luhur, hikmah dan sederhana sebagaimana ditekankan oleh ulama silam seperti Nuruddin al-Raniri, Hamzah Fansuri dan Syeikh Daud al-Fatani yang mencetus perubahan hidup dalam masyarakat yang berpaksikan akidah Islam sebenar.

Selain memperkukuhkan perpaduan umat, beliau berkata, antara cabaran semasa yang perlu didepani oleh para ulama dan ilmuan Islam ialah menangani isu-isu semasa seperti kalimah Allah dan memupuk keharmonian kaum serta agama dalam masyarakat majmuk negara ini.

Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr. Uthman El Muhammady ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Perpecahan Menghakis Pengaruh Kekuatan Islam', berkata, perpecahan akan turut menghakis pengaruh umat dan sebab itu penting pegangan ASWJ dipertahankan untuk menyatupadukan umat hari ini.

Ia selaras dengan firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:

"Berpegang teguhlah semua kamu kepada tali agama Allah dan jangan bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu sewaktu kamu bermusuh-musuhan antara sesama kamu kemudian Ia menyatukan hati kamu maka dengan nikmat Allah, jadilah kamu bersaudara; kamu berada di jurang neraka, kemudian Allah selamatkan kamu daripadanya; demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu supaya kamu mendapat hidayat."

Dr. Uthman berkata, umat Islam di negara ini berpegang teguh kepada ASWJ sejak dahulu dan mereka memahami ajaran Islam dengan akidah, fiqh, akhlak dan sejarah secara seragam dan menjadi unsur penyatuan yang kuat.

Disebabkan itu, pegangan akidahnya adalah akidah ulama tauhid, Imam Abu Hassan al-Asy'ari (324H) manakala pegangan fiqh dan usul fiqh adalah mengikut mazhab Imam Shafie manakala tasawuf dan akhlak pula mengikut Imam al-Ghazali.

Syeikh Imam Nawawi dalam kitab fiqhnya, Nihayah al-Zain menyimpulkan bahawa pegangan ASWJ adalah dalam mengikuti imam-imam tersebut, kata Dr. Uthman.

Dalam konteks dunia Melayu dan nusantara, keseragaman fahaman ini turut diperjelaskan dalam kitab al-Mustafid oleh Syeikh Abd. al-Rauf al-Fansuri, kitab Mir al-Tullab terjemahan Fath al-Wahhab, kitab Sabil al-Muhtadin oleh Syeikh Arsyad al-Banjari, kitab Kashf al-Litham oleh Zain al-Abidin al-Fatani, kitab Furu' al-Masail oleh Syeikh Daud al-Fatani dan seterusnya.

Begitu juga dalam bidang akidah, ia dijelaskan dalam kitab Bidayah al-Hidayah, kitab al-Durr al-Thamin oleh Syeikh Daud al-Fatani, kitab Aqidah al-Najin oleh Syeikh Zain al-Abidin al-Fatani, kitab Hidayah al-Mutafakkirin oleh Tuan Guru Hussein Kedah dan seterusnya.

Selain itu, bidang tasawuf pula diterangkan dalam kitab Hidayah al-Salikin oleh Syeikh Abd. al-Samad al-Falimbani, kitab Sayr al-Salikinnya, kitab Minhaj al-Abidin oleh Syeikh Daud al-Fatani, kitab Kanz Minan Syarah Hikam Abu Madyan oleh Syeikh Daud al-Fatani dan Hikam huraian Tok Pulau Manis.

Pegangan ASWJ ini mengukuhkan perpaduan dan terjauh daripada unsur bantah membantah sebagaimana yang dilarang oleh Allah SWT dalam surah al-Anfal, ayat 46 yang bermaksud:

"Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu gentar dan hilang kekuatan, dan bersabarlah, sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar."

Dr. Uthman berkata, elemen-elemen yang merosakkan persepaduan ilmu dalam Ahli Sunnah itu akan hilang jika berlaku bantah membantah dalam fahaman agama dengan memasukkan ke dalam kalangan kita unsur pecah belah seperti tuduh menuduh bidaah akibat terpengaruh dengan aliran Wahhabiah yang kononnya atas nama salaf, yang turut menuduh serong terhadap sahabat-sahabat Nabi dan imam-imam ahli Sunnah.

"Jalan orang-orang mukminin ini mengikut apa yang diterangkan oleh Imam Shafie adalah jalan ijmak, sebagaimana misalnya yang dinyatakan dalam tafsir al-Baidawi dan al-Qurtubi dan lainnya itu diterima oleh ulama kemudian dalam ASWJ," jelas beliau.

Sebab itu, katanya, ahli sunnah dilarang mengeluarkan pandangan yang menyalahi ijma ulama atas alasan mahu mencari 'alternatif' dalam pendekatan. Dan ahli ilmu pula diwajibkan mengetahui ijmak supaya ia tidak melanggarnya dalam huraian keilmuannya.

Dalam menghadapi ancaman fahaman sekularisme, liberalisme dan pluralisme yang berakar dari Barat pula, Profesor Dr. Sidek Baba berkata, dakyah-dakyah fahaman itu boleh ditepis apabila umat Islam mendapat ilmu dan kefahaman Islam sebenar.

Sebagai contoh, katanya, pengaruh gerakan antihadis dan fahaman Islam Aminah Wadut kini semakin lemah dan tidak dapat pergi ke mana.

Apapun, pembentangan kertas kerja Pengerusi Majlis Amal Islami Malaysia, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad yang membentangkan tajuk 'Ke Arah Memperkasakan Kesatuan Ummah di Malaysia: Peranan Ulama ASWJ' adalah cukup menarik.

Kertas kerja beliau dibahagikan kepada tajuk kecil iaitu (1) Siapa al-Salafu al-Soleh, (2) Kemunculan Muktazilah, (3) Lahirnya mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah, (4) Fitnah Wahabiyyah dan (5) Ulasan pendapat ulama, Sheikh Yusuf al-Qaradawi.

Bagi beliau, berdasarkan sejarah dan perkembangan umat Islam dari zaman ke zaman, kemunculan fahaman tersasar daripada arus perdana ASWJ akibat daripada sikap ekstrem, melampau dan tiada kesederhanaan.Antaranya, golongan Khawarij, Qadariyyah, Jabariyyah, Muktazilah, fahaman tasybih, zindiq, jahmiyyah, mesyubbihah dan mu'attilah yang sebahagian fahaman itu dipengaruhi ilmu kalam falsafah Yunani, Rumawi dan Parsi.

Namun, Mohd. Nakhaie berkata, aliran tersebut khususnya Muktalizah menjadi lemah dengan peranan besar ulama tauhid Imam Abu Hassan al-Asy'ari (bermazhab Imam Shafie) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (bermazhab Imam Hanafi).

Dengan sumbangan dua ulama tersebut maka berakhir ajaran Muktazilah lalu membawa kelahiran ASWJ yang merupakan manhaj bagi memahami pegangan akidah, syariah, kerohanian salafusolehin iaitu tiga kurun pertama setelah kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Namun, pada masa yang sama, terdapat juga aliran serpihan di luar arus perdana yang membentuk fahaman Wahabiyyah yang pada asalnya bertujuan menghapuskan amalan-amalan khurafat dan bidaah di kawasan tertentu tetapi bertukar ekstrem, mengelirukan dan menimbulkan perpecahan.

Fahaman itu kononnya mahu dikenali sebagai salafi, namun sebenarnya sifat fahaman itu lebih gemar membicarakan tentang ayat-ayat mutasyabihat, cepat menghukum bidaah dan sesat, menolak sebahagian ilmu tasawuf dan sebagainya.

Antara fitnah yang dilakukan Wahabiyyah adalah menggunakan nama ulama-ulama besar seperti Imam Shafie, Imam Abu Hanifah dan Abu Hassan al-Asya'ri sebagai orang yang berfahaman seperti mereka.

"Lebih dahsyat lagi mereka meminda dan menokok tambah kitab-kitab lama yang diulang cetak oleh mereka dan disesuaikan dengan kefahaman mereka. Ini terjadi kepada kitab al-Ibanah fi usul al-Dinayah karangan Abu Hassan al-Asya'ri," katanya.

Malah, Mohd Nakhaie berkata, telah disahkan oleh ulama seperti al-Muhadith al-Musnid Mahmud Sa'id Mahdud dalam kitab Raf'ul Minarah bahawa sebahagian kitab al-Azkar karangan Imam Nawawi telah dipadamkan manakala terdapat hadis-hadis diselewengkan atas nama hendak memelihara kesucian Islam dan mencegah bida'ah.

Apapun, seruan ulama tersohor, Yusuf al-Qaradawi boleh dijadikan kesimpulan iaitu umat Islam di negara ini disaran mempertahankan jati diri keislamannya dengan berpaksikan mazhab Shafie dan berakidahkan mazhab al-Asy'ariyyah bagi menghalang kemasukan pemikiran asing dari luar yang boleh memecahbelahkan perpaduan.

Jangan biar fahaman liberalisme

ARKIB : 22/06/2010


Sebahagian peserta Konvensyen Pembangunan Saudara Kita di Kota Marudu, Sabah, baru-baru ini.


TUNTUTAN sebagai khalifah Allah bukanlah mudah. Ia memerlukan kefahaman yang jelas melaksanakan suatu amanah dan tanggungjawab yang sangat berat tapi mulia di sisi Allah SWT.

Antara cabaran besar yang perlu dihadapi dan perlu ditangani adalah bagaimana menanamkan rasa kehambaan, kesungguhan dalam menjiwai dan melaksanakan segala kewajipan kepada masyarakat yang diperintahkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Nasir Sakaran berkata, hal ini diburukkan lagi dengan penularan fahaman liberalisme dan pluralisme Barat yang memperjuangkan prinsip kebebasan dan rasional akal tanpa batasan.

"Fahaman yang tidak selari dengan prinsip-prinsip ajaran al-Quran dan sunnah ini amat berbahaya kerana ia berpotensi memecahbelahkan masyarakat di samping boleh memesongkan akidah umat Islam," katanya.

Nasir yang juga menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Negeri Sabah berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Pembangunan Saudara Kita Peringkat Negeri Sabah 1431/2010 di Kota Marudu, baru-baru ini.

Sempena majlis itu, turut diadakan ceramah agama yang disampaikan oleh pendakwah saudara Muslim, Mohd. Farhan Abdullah.

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Amri Suratman dan Penolong Pegawai Daerah Kota Marudu, Ajak Awang.

Menurut Nasir, fahaman liberalisme dan pluralisme ini jika tidak segera dibendung akan membantutkan usaha melakar kejayaan hidup di dunia.

Sebab itu, katanya, kini wujud pelbagai permasalahan dalam masyarakat seperti gejala pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah, hedonisme dan sebagainya yang telah mencemarkan nilai-nilai hidup beragama.

"Menyedari akan fenomena dan ancaman berkenaan, kita tidak boleh membiarkan segala bentuk fahaman dan perbuatan songsang berkembang dalam masyarakat.

"Setiap individu Muslim bertanggungjawab melaksanakan dakwah bagi menjernihkan akidah Islam dan membasmi gejala-gejala mungkar khususnya dalam kalangan umat Islam dan masyarakat seluruhnya," jelas beliau.

Pelopor kesederhanaan beragama

ARKIB : 30/08/2005

PELBAGAI label diberikan kepada seorang warga Indonesia yang dilahirkan sebagai bernama Nurcholis Majid ini.

Ada yang menganggap beliau sebagai seorang cendekiawan, melabelkannya sebagai ulama, pemikir dan tidak ketinggalan juga mengangkat individu berkenaan seorang intelek.

Itu menjadikannya berada sebaris dengan beberapa cendekiawan tersohor lain di Indonesia seperti Hamka dan sebagainya.

Dianggap sebagai individu yang berfikiran liberal dan pernah cuba terjun ke dunia politik, Nurcholis meninggal dunia semalam pada usia 66 tahun.

Orang yang lebih dikenali sebagai Cak Nur berbanding namanya sendiri itu menyahut panggilan Ilahi disebabkan oleh penyakit barah hati yang ditanggungnya sejak setahun lalu.

Di dalam kehidupannya, beliau tidak jemu-jemu menyeru kepada kesederhanaan dalam segala hal terutamanya agama di Indonesia, negara yang paling ramai penduduknya beragama Islam itu.

Sebagai seorang yang dianggap mempelopori aliran liberal dalam agama, beliau sudah pasti tidak disenangi oleh sesetengah pihak tertentu lebih-lebih lagi golongan konservatif.

Dilahirkan di timur Jawa dalam sebuah keluarga pendakwah pada tahun 1939, Cak Nur banyak menghabiskan masa kecil dengan menceduk ilmu di sekolah-sekolah asrama yang beraliran agama.

Pada tahun 1984, beliau menerima Ph.D dalam bidang pengajian agama dari Universiti Chicago sebelum kembali ke tanah air untuk mengajar di beberapa buah institut Islam Indonesia.

Sepanjang hayatnya, Cak Nur, yang pernah mencuri perhatian kerana slogannya `Islam ya, parti politik tidak' giat menjual jenama Islam yang mementingkan keharmonian masyarakat majmuk selain menekankan betapa penting toleransi dengan agama lain.

``Cak Nur adalah orangnya yang membawa `cahaya' kepada pengajaran Islam di Indonesia,'' kata Ulil Abshor Abdala, Pengerusi Rangkaian Islam Liberal (ILN).

Ia adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Indonesia yang kuat menyokong soal toleransi dalam beragama.

Pengerusi ILN itu seterusnya memuji Cak Nur dengan berkata: ``Beliau mewujudkan satu asas kukuh untuk menyemarakkan keharmonian dalam semua agama.''

Ketika pandangan serta pemikirannya yang liberal itu mendapat kecaman dan kritikan daripada kumpulan konservatif, beliau sebenarnya amat disenangi lagi dihormati oleh sekumpulan lain di Indonesia.

Beliau diterima baik oleh para intelek dan elit agama serta politik di Indonesia, bahkan tidak keterlaluan di dunia Islam lain.

Beberapa parti politik sebelum ini cuba `memikat' Cak Nur sebagai calon presiden pada pilihan raya Indonesia setahun yang lalu.

Beliau secara awalnya menyatakan `ya' kepada Parti Golkar, bekas jentera politik pimpinan Jeneral Suharto.

Tetapi beliau kemudiannya menarik diri selepas membuat `kesimpulan' bahawa parti itu masih korup sebagaimana ia berada di bawah teraju Suharto, bekas presiden diktator Indonesia.

Sebelum ini Cak Nur enggan memasuki dunia politik dalam masa 32 tahun rejim Order Baru dan dalam masa pilihan raya selepas jatuhnya Presiden Suharto.

Cak Nur, Rektor di Universiti Paramadina Mulya di Jakarta, amat fasih dalam bahasa Inggeris, Belanda dan Arab.

Semasa beliau disebut-sebut menjadi calon presiden dalam pilihan raya Indonesia tahun lalu, sebuah jurnal di Indonesia melabelkan Cak Nur sebagai seorang yang ``bijak, bersih, moden dan punya visi yang cemerlang tentang masa depan bangsanya.''

Beliau disahkan menderita penyakit barah hati tahun lalu dan terbang ke China dan Singapura untuk tujuan rawatan.

Cak Nur ditempatkan di unit rawatan rapi di hospital Jakarta sejak dua minggu lalu sebelum meninggal dunia. - AP/Reuters

Isnin, 18 Oktober 2010

Pemuda MCA, Gerakan diajak cegah gejala songsang

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengajak Ketua Pemuda MCA dan Ketua Pemuda Gerakan Kedah untuk turun bergandingan dan bekerjasama membimbing dan menyelamatkan generasi muda dari terus terjebak dalam cara dan gaya hidup yang songsang dan tidak bermoral.

“Apakah kalian mahu membiarkan budaya songsang dan tidak bermoral ini menular di dalam negara kita tanpa dibendung?” tanya Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan At-Tantawi dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Ini ekoran kritikan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong ekoran tindakan Pemuda PAS membantah penganjuran Konsert artis homoseksual, Adam Lambert di Stadium Putra Bukit Jalil, baru-baru ini.

Beliau turut mempersoalkan apakah sebenarnya matlamat perjuangan Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan.

Katanya, DPPP tidak fikir mereka mahu terdedah kepada budaya kuning dari barat itu menular masuk ke dalam negara ini.

“Marilah kita selamatkan negara dan generasi mudanya dari budaya kotor seperti seks bebas dan homoseksual ini,” ujarnya.

Tambahnya, DPPP mengajak mereka untuk bersama berjuang menjadikan Malaysia sebagai zon bebas dari budaya hidup yang songsang dan tidak sihat lantara implikasinya adalah sangat buruk buat pertumbuhan sosial negara ini.

Berikut jawapan balas terhadap kenyataan Ka Siong dan Keng Liang.

Pertama Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengucap terima kasih atas kritikan biarpun keras dari Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang dan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong ekoran tindakan kami membantah penganjuran Konsert Artis Gay Adam Lambert di Stadium Putra Bukit Jalil baru - baru ini . (merujuk kepada kenyataan Tan Keng Liang yang disiarkan dalam laman web Free Malaysia Today, 15 Oktober 2010, manakala kenyataan Wee Ka Siong dalam The Star Online, 16 Oktober 2010. Kedua-dua pemimpin pemuda tersebut membidas sikap DPPP dalam membantah konsert Adam Lambert yang didakwanya sebagai berfikiran sempit, ekstrem dan tindakan untuk mendiskriminasikan komuniti gay di Malaysia)

Kedua, mereka harus memahami bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang majoriti ummat Islam dan mempunyai lunas perlembagaan serta undang-undang yang tersendiri. Adalah tidak manis sekiranya Malaysia menjemput seorang artis yang mempopularkan budaya homoseksual yang jelas bertentangan dengan imej, budaya dan agama di Malaysia. Malah, perbuatan tersebut disifatkan sebagai satu kesalahan dalam undang-undang di Malaysia. Ini menunjukkan sikap tidak sensitif kerajaan dalam membenarkan penganjuran konsert tersebut di negara ini.

Ketiga, DPPP menginginkan sebuah negara maju yang tidak meruntuhkan naluri kemanusiaan dan kemuliaan seorang manusia. Apakah maknanya sebuah negara maju sekiranya perbuatan songsang dianggap sebagai satu kebiasaan, trend masa kini dan adakah ia memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia? Jika benar dakwaan Tan Keng Liang bahawa terdapat satu komuniti gay di Malaysia, inilah masanya untuk kita sama-sama bimbing dan membentuk mereka ke arah perbuatan yang betul dan bukannya membantu untuk menyuburkan budaya tersebut.

Keempat, DPPP juga khuatir sekiranya artis luar negara, Adam Lambert akan melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan garis panduan persembahan artis luar negara yang telah ditetapkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia iaitu mengenai gerak laku semasa persembahan. Pihak DPPP tidak mahu sekiranya Adam Lambert akan mengulangi tindakan yang pernah dilakukan di American Musics Award sebelum ini di Malaysia pula.

Kelima, suka DPPP mengajak Ketua Pemuda MCA dan Ketua Pemuda Gerakan Kedah untuk turun bergandingan dan berkerjasama dengan Pemuda PAS membimbing dan menyelamatkan generasi muda dari terus terjebak dalam cara dan gaya hidup yang songsang dan tidak bermoral.

Keenam, atau apakah kalian mahu membiarkan budaya songsang dan tidak bermoral ini menular di dalam negara kita tanpa dibendung ? Apakah sebenarnya matlamat perjuangan Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan ? DPPP tidak fikir kalian mahu negara ini terdedah kepada budaya kuning dari barat itu menular masuk ke dalam negara kita . Marilah kita selamatkan negara dan generasi mudanya dari budaya kotor seperti seks bebas dan homoseksual ini. DPPP mengajak kalian untuk bersama berjuang menjadikan Malaysia negara kita sebagai zon bebas dari budaya hidup yang songsang dan tidak sihat ini lantara implikasinya adalah sangat buruk buat pertumbuhan sosial negara kita.

Ketujuh , [sebagai contoh] andainya gejala songsang dan homoseksual ini berlaku dalam MCA dan Gerakan, apakah kalian mahu membiarkan ia menular lantas kalian membela dan mempertahankan cara hidup mereka? Mudahnya , jika itulah sikap yang diambil oleh kalian, DPPP percaya suatu masa nanti Pemuda MCA dan pemuda Gerakan akan pupus ketiadaan waris yang meneruskan perjuangan kalian justeru homoseksual tidak akan melahirkan waris .

Kelapan, DPPP ingin menekankan bahawa PAS tidak anti hiburan. Namun, corak persembahan, lirik lagu, budaya dan peribadi artis yang diundang mestilah diambil kira kerana ia boleh mempengaruhi sikap individu terutamanya golongan muda. Malah, kami menyeru agar semua pihak bersama-sama membentuk rakyat agar memiliki jati diri yang teguh, mengamalkan corak hidup yang sihat dan bertamadun ke arah menuju sebuah negara yang maju.

Kesembilan, DPPP bukanlah ekstrim sebagaimana yang didakwa. Justeru ekstrim itu ialah mereka yang degil untuk melakukan maksiat dan mungkar biarpun mereka menyedari ia adalah terlarang. Ekstrim ialah mereka yang degil melakukan perbuatan yang merosakkan moral dan akhlak biarpun mereka mengetahui implikasinya membinasakan pertumbuhan sosial negara. Sementara mereka yang berjuang untuk kebenaran dan menyelamatkan generasi dari terjebak dalam pengaruh mungkar serta kerosakan moral ini pula ialah golongan yang berprinsip bukan ekstrim.

Kesepuluh, DPPP mengharapkan kalian tidak salah faham apalagi buat-buat tidak faham, kenapa Pemuda PAS bangkit membantah budaya seperti ini. Tidak cukup lagikah kebejadan yang berlaku menimpa negara hari ini akibat berleluasanya pengaruh cara hidup barat dalam negara dan generasi muda kita? Kalian tentu tidak mahu rosaknya peradaban dan tamadun negara kita sebagaimana rendah dan runtuhnya moral dan tamadun kemanusiaan di barat hari ini.

Ahad, 17 Oktober 2010

Bila pluralisme jadi isu

ARKIB : 16/06/2006

MUZAKARAH Ulama 2006 yang berlangsung Isnin lalu di Ipoh, Perak menyatakan keprihatinan mereka terhadap fahaman pluralisme dan liberalisme yang dianggap sebagai mengancam akidah umat Islam.

Umumnya bagi umat Islam yang mengikuti perkembangan mengenai gerakan pluralisme dan liberalisme di negara ini dapat memahami keprihatinan muzakarah itu.

Sikap ulama yang menyertai muzakarah itu berhubung dengan pluralisme dan liberalisme secara umumnya mencerminkan sikap masyarakat Islam di negara ini yang rata-rata konservatif dan tradisional.

Tetapi apabila isu ini sampai ke perhatian orang bukan Islam di negara ini, mereka tentu terkejut apabila ulama menolak pluralisme dan liberalisme.

Mereka pasti tertanya-tanya tidakkah negara ini mengamalkan pluralisme dan liberalisme? Ini kerana Malaysia sebagai negara didiami oleh rakyat berbilang agama dan kepercayaan dan sudah tentu menjamin ciri pluralisme masyarakat. Begitu juga dengan liberalisme.

Tidakkah Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi mengamalkan liberalisme? Malah disebut dalam Rukun Negara disebut perkataan liberal itu sendiri.

Jadi apabila dinyatakan bahawa ulama negara ini menentang pluralisme dan liberalisme, maka dilihat oleh orang bukan Islam bahawa sedang muncul pemikiran ekstremisme di kalangan orang Islam. Pastinya mereka berasa bimbang.

Apa yang menjadikan perkara ini sebagai isu dalam hubungan antara kaum dan agama di negara ini ialah istilah pluralisme dan liberalisme.

Perkataan ini menimbulkan salah faham dan kebimbangan yang tidak perlu.

Selama ini istilah pluralisme di negara ini lebih merujuk kepada kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, serta keperluan sikap toleransi terhadap keadaan ini. Seringkali disebut ungkapan, Malaysia adalah negara plural iaitu pengiktirafan terhadap kepelbagaian dan keharmonian melalui sikap toleransi.

Sementara liberalisme pula dikaitkan dengan demokrasi. Sebagai sebuah negara demokrasi, Malaysia mengamalkan sikap liberal terhadap cara hidup rakyatnya, baik terhadap budaya mahupun agama. Kebebasan memilih cara hidup dijamin dan diizinkan dalam negara, tidak berbeza dengan negaranegara Barat yang turut mengamalkan demokrasi liberal. Sudah tentu secara terperinci, terdapat perbezaan dari segi pelaksanaan dengan mengambil kira sensitiviti budaya dan agama. Tetapi umumnya Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi dan moden menerima liberalisme sebagai cara hidup.

Terhadap ini umat Islam juga tidak mempunyai masalah. Ini kerana Islam menerima masyarakat majmuk dan tidak ada paksaan dalam agama. Pluralisme dan liberalisme dari segi ini tidak menjadi masalah. Lebih-lebih lagi dari segi ini, umat Islam bersikap toleran terhadap penganut agama lain.

Diprihatinkan

Bagaimanapun, apa yang diprihatinkan oleh muzakarah ulama itu bukanlah pluralisme dan liberalisme dalam hubungan hidup bernegara di antara penganut agama berbeza.

Pluralisme dan liberalisme yang dirujuk oleh muzakarah itu ialah mengenai satu fahaman yang baru timbul sejak akhir-akhir ini iaitu sekitar 10 tahun kebelakangan ini.

Ia berasal dari negara-negara Arab sendiri, khususnya Mesir dan Sudan kemudian tersebar ke Eropah, masuk ke Indonesia dan sampai di Malaysia. Di Indonesia, fahaman ini dikenali sebagai Islam Liberal dan organisasi yang membawanya ialah Jaringan Islam Liberal (JIL).

Tetapi Islam Liberal ini pula bukanlah satu bentuk saja. Ia muncul dalam banyak bentuk. Antara fahamannya mungkin boleh diterima sebagai penyegaran semula tafsiran terhadap Islam. Tetapi tidak kurang pula yang terang-terang bercanggah dengan akidah Islam, pastinya tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam di negara ini yang jelas fahamannya berdiri di atas mazhab Sunah Waljamaah menurut Imam Syafie seperti yang diajar oleh jabatan agama Islam di semua negeri kecuali Perlis.

Islam Liberal seperti yang ada di Indonesia mengajak umat Islam menafsirkan semula al-Quran mengikut konteks hari ini.

Ajakan untuk mentafsirkan semula alQuran menurut keadaan semasa mungkin boleh diterima sekiranya ia mengikut prosedur seperti apa yang telah ditetapkan oleh jumhur ulama muktabar dan pewaris-pewarisnya hari ini.

Apa yang menjadi masalah kumpulan Islam Liberal ini mahu al-Quran ditafsirkan semula dengan melihat kitab itu menurut konteks pada zaman Rasulullah s.a.w. Maknanya, al-Quran hendaklah dianggap sebagai teks yang tidak terlepas daripada konteks. Mereka menyifatkan tafsir tradisional sebagai literal dan tidak mengambil kira konteks. Sudah tentu anjuran Islam Liberal ini ditolak oleh ulama dan umat Islam pada keseluruhannya.

Liberalisme inilah yang ditentang oleh muzakarah ulama di Ipoh itu.

Pluralisme pula, juga timbul di Indonesia membawa hujah bahawa semua agama adalah sama dan setaraf. Maknanya bukan saja perlu ada kepelbagaian anutan agama, tetapi semua agama adalah setaraf dan perlu dilayan sama. Bukan itu saja, sikap pluralisme juga menuntut supaya dalam Islam, wajar muncul pelbagai fahaman dan tidak tertakluk kepada pengiktirafan institusi-institusi agama atau ulama.

Maka pegangan ini tidak dapat diterima oleh ulama dan orang Islam secara umumnya, lebih-lebih lagi di Malaysia.

Bagi umat Islam Malaysia, toleransi terhadap kepelbagaian agama adalah wajar tetapi Islam adalah agama rasmi dan mempunyai kedudukan istimewa di negara ini. Bukan itu saja, bagi umat Islam Malaysia, agama Islam adalah satu-satunya agama benar sementara yang lain adalah salah. Fahaman yang menyatakan bahawa semua agama adalah benar dan setaraf tidak boleh diterima oleh umat Islam di negara ini.

Sementara Islam di negara ini pula dianggap hanya dalam satu bentuk iaitu Sunah Waljamaah mazhab Imam Syafie dan tidak dibenarkan tafsiran lain dan di luar daripada fahaman ini.

Orang Islam boleh mempunyai pandangan peribadi daripada hasil pemikiran masing-masing tetapi di tengah-tengah masyarakat, mereka mesti menerima fahaman yang telah ditetapkan oleh jabatan agama negeri-negeri di Malaysia. Fahaman yang lain dianggap batil. Tidak ada pluralisme dan liberalisme dalam hal ini.

Bila melihat sebegini, maka keprihatinan ulama terhadap pluralisme dan liberalisme adalah suatu yang dapat difahami dan bukannya sikap ektsremisme.

Jadi orang bukan Islam tidak wajar gusar dengan sikap menentang pluralisme dan liberalisme oleh ulama dan umat Islam di negara ini. Mereka tetap menerima pluralisme dan liberalisme dalam erti kata kebebasan beragama dan amalan cara hidup individu masing-masing dengan toleransi terhadap kepelbagaian fahaman di negara ini.

Pluralisme dan liberalisme yang ditentang ulama adalah berhubung dengan agama Islam dan tidak berkaitan dengan kehidupan orang bukan Islam.

Namun begitu, masyarakat Islam di negara ini wajar juga melakukan persediaan mental bahawa pada satu masa kelak, mungkin muncul tafsiran-tafsiran berbeza mengenai Islam seperti mana yang pernah berlaku pada zaman-zaman lalu.

Dalam masyarakat dan dunia terbuka pada hari ini, lambat-laun pastinya muncul pemikiran-pemikiran baru yang mencabar kepercayaan hari ini, walaupun amat kita sayangi.

Fahaman pluralisme mula menular kalangan golongan terpelajar - Mufti

ARKIB : 13/06/2006

IPOH 12 Jun - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria berkata, bibit-bibit fahaman pluralisme iaitu melihat semua agama adalah sama kini mula menular di kalangan golongan terpelajar di negara ini.

Menurutnya, fahaman itu ada kaitannya dengan fahaman liberalisme yang memberi kebebasan tanpa sekatan kepada individu dalam ekonomi, politik, perundangan dan sosial.

Beliau bimbang sekiranya perkara itu tidak diberi perhatian sewajarnya, ia akan membarah dan merosakkan hidup umat Islam.

‘‘Masyarakat dari segenap peringkat, daripada penggubal dasar sehingga rakyat jelata perlu faham dan mengetahui bahawa gagasan Islam liberal dan pluralisme ini sebenarnya sangat asing daripada kesejatian ajaran Islam itu sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Muzakarah Ulama 2006 di Dewan Bankuet, Bangunan Darul Rizwan di sini hari ini.

Muzakarah yang diadakan sempena ulang tahun keputeraan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang ke-78 dirasmikan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Harussani berkata, isu poligami, ketentuan sistem faraid, gagasan agar al-Quran dinilai dan diolah semula, penubuhan Suruhanjaya Antara Agama serta tuntutannya dan desakan menggugurkan Artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan merupakan antara isu yang boleh dikaitkan dengan kedua-dua fahaman itu.

Menurutnya, dua tokoh yang amat berpengalaman menghadapi isu kedua-dua fahaman itu mengakui apa yang berlaku hari ini di Malaysia merupakan fenomena yang telah berlaku di Indonesia 30 tahun dahulu.

‘‘Jika ia tidak dikekang nescaya akan merebak dan sukar dikawal lagi. Terjahan serangan pemikiran ini mesti dihadapi dengan berani, berhikmah dan penuh strategi,” katanya.

Para peserta muzakarah yang dijemput terdiri daripada para penggubal dasar dari Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Perak, mufti seluruh Malaysia, pegawai agama dari Jabatan Agama Islam seluruh negara, ahli Majlis Agama seluruh Malaysia, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ulama mahu amalan kongsi raya dikaji semula

ARKIB : 14/06/2006

IPOH 13 Jun - Para ulama yang menghadiri satu muzakarah di sini meminta kerajaan mengkaji semula beberapa amalan seperti perayaan kongsi raya dan rumah terbuka bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Muzakarah Ulama 2006 Datuk Seri Harussani Zakaria berkata kajian semula itu perlu kerana Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan bahawa meraikan perayaan agama lain merosakkan akidah dan boleh menjurus kepada perbuatan syirik.

“Perkara ini (keputusan Jawatankuasa Fatwa) bagaimanapun masih dalam bentuk penulisan dan belum lagi diserahkan kepada kerajaan untuk tindakan," katanya pada majlis penutupan muzakarah berkenaan di sini hari ini.

Muzakarah itu turut merumuskan 22 resolusi lain yang akan diserahkan kepada Sultan Perak, kerajaan negeri, kerajaan pusat serta Majlis Raja-raja.

Harussani, yang juga Mufti Perak, berkata antara resolusi yang diluluskan ialah meminta semua Majlis Fatwa negeri menubuhkan jawatankuasa bertindak khusus bagi menangkis sebarang hujah penganut fahaman liberalisme dan pluralisme yang menyerang akidah umat Islam.

Kerajaan juga diminta menubuhkan badan pemantau dianggotai ahli akademik dan ulama bagi menyekat penyebaran fahaman Islam liberal terutama menerusi Internet.

“Saya juga difahamkan pengikut fahaman Islam liberal sedang menunggu resolusi ini supaya mereka dapat merangka strategi baru bagi menyerang balik keputusan ini,” kata Harussani.

Muzakarah itu juga mencadangkan dialog diadakan melibatkan pelbagai pihak termasuk pengikut aliran Islam liberal dan agama lain untuk membetulkan salah tafsiran mengenai agama Islam serta memahami pandangan penganut agama lain.– Bernama

Perkim Wilayah anjur wacana ilmiah

ARKIB : 10/02/2010


Peserta tekun mendengarkan ceramah bertajuk, 'Gerakan Islam Liberal di Indonesia' yang berlangsung di Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


WACANA Ilmiah adalah satu kaedah untuk berhujah seperti berdebat dan muzakarah. Ia lebih kepada satu mekanisme untuk mempertemukan dua pihak dan saling berhujah secara terbuka untuk mencari kebenaran bersandarkan al-Quran dan hadis berkenaan dengan isu-isu semasa.

Dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Perkim Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menganjurkan Program Wacana Ilmiah yang bertajuk, "Akidah dan Syariah" bertempat di Bangunan Perkim, Jalan Ipoh dekat sini pada 30 Januari, baru-baru ini.

Program tersebut menghimpunkan seramai 80 peserta yang terdiri daripada pimpinan Perkim cawangan Wilayah Persekutuan, saudara Muslim dan penduduk setempat.

Pengarah Program merangkap Pegawai Dakwah Perkim Wilayah Persekutuan, Mohd. Jogi Maruli berkata, program berkala tersebut memberi pendedahan ilmu kepada peserta untuk memahami konsep akidah dan syariah berlandaskan fahaman dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kehidupan umat Islam kini.

Menurutnya, program tersebut menjelaskan kepada peserta akan keraguan dan kekeliruan yang timbul pada sesetengah masyarakat Islam berkenaan pengertian sesuatu ayat al-Quran yang difahami secara tidak tepat, perbuatan dan sunnah Rasulullah SAW.

"Sebagai agama yang suci, usaha berterusan masih dilakukan untuk menyelamatkan akidah ummah dan menjamin keselamatan negara dengan mengadakan program seperti ini. Malah, tindakan penyebar dan pengikut Islam Liberal ini, sangat membimbangkan dan mendatangkan kesan yang sangat buruk.

"Segelintir masyarakat Islam kini masih keliru dengan ajaran Islam yang jelas, terang, lagi nyata. Ini adalah kerana mereka merasakan layak untuk menafsir nas-nas al-Quran dan hadis sesuka hati demi kepentingan peribadi dan sesuatu perkara yang lain, " kata Jogi.

Katanya lagi, ajaran baru yang lahir selepas kemunculan ajaran Islam oleh Nabi Muhammad yang muncul tanpa selari dengan hikmah syariah Islamiah yang asal adalah dikira sesat dan terbatal. Pengikut pada ajaran baru itu boleh dianggap kafir dan murtad keimanannya.

"Selalunya ajaran Islam Liberal ini terjadi pada kalangan orang Muslim sendiri tetapi telah keluar daripada Islam (murtad) kerana cetek akan keilmuan dan keimanannya kepada Allah seterusnya mencipta ajaran baru yang mempunyai saduran daripada ajaran Islam serta ditokok tambah, diperbaharui dan dipermudahkan hukum pelaksanaannya," jelasnya lagi.

Allah telah berfirman yang bermaksud: Iaitu jalan orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula jalan orang yang sesat. (al-Fatihah: 7)

Slot pertama bertajuk 'Sumber Ajaran Akidah dan Syariah' telah disampaikan oleh Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad selaku Ahli Majlis Kebangsaan Perkim merangkap Pengerusi Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan.

'Gerakan Islam Liberal di Indonesia' pula menjadi tajuk slot kedua yang disampaikan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Penerangan yang terperinci dijelaskan dalam 'proses penghancuran akidah', 'pluralisme agama', 'liberalisme agama' dan 'sekularisme agama'.

Majlis diakhiri dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan.

Turut hadir, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa dan Pengerusi Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan, Datuk Abdul Rashid Omar.

Sabtu, 16 Oktober 2010

Gubra mengangkat aliran pemikiran liberalisme

ARKIB : 15/08/2006

PENGARAH Yasmin Ahmad yang dikatakan sudah bosan dengan kecaman terhadap Sepet dan tak mahu lagi menyertai sebarang pesta filem di negara ini telah menang lagi melalui filem Gubra di Pesta Filem Malaysia Sabtu lalu.

Kemenangan Gubra telah mengesahkan mirip pemikiran golongan dunia seni hiburan, khasnya dunia perfileman Melayu bahawa unsur-unsur kemanusiaan atau humanisme dan liberalisme mestilah mengatasi lunas-lunas Islam.

Pendek kata apa yang hendak diperjuangkan oleh Yasmin dan rakan-rakannya ialah dalam usaha mewujudkan satu bangsa Malaysia, soal agama adalah soal peribadi, soal rohaniah yang tidak ada hubung kait dengan cara hidup sekarang di mana orang Islam hanya merupakan salah satu daripada kaum-kaum yang mendiami bumi Malaysia ini.

Soal ketuanan Melayu dan keagungan Islam bukan menjadi perhitungan Yasmin.

Sedikit sebanyak kemenangan Gubra selarilah dengan rumusan seminar tentang hala tuju di Finas minggu lalu iaitu filem-filem Melayu sekarang mestilah memaparkan aspek-aspek kemanusiaan. Soal-soal murtad di kalangan umat Islam sekarang adalah soal remeh-temeh yang tidak ada kaitan dengan soal cinta. Justeru dalam soal cinta, wanita Islam diajak mengikut kehendak hati sanubarinya tidak kira dengan siapa sekalipun walaupun suasana sekarang memerlukan jejaka itu kena masuk Islam.

Jadi menerusi Sepet dan Gubra mengajak wanita Melayu Islam supaya (sepertinya) meneroka percintaan dengan bukan Islam kerana kalau dilihat kepada suami Orkid dalam Gubra, lelaki Melayu memang tidak guna satu sen, sentiasa bersikap curang.

Apabila sudah kahwin terpulanglah kepada masing-masing memenuhi atau tidak memenuhi kehendak agama. Ini kan soal peribadi apatah lagi kehendak fardu kifayah. Sebab itulah dalam Gubra, Yasmin memaparkan seorang bilal memegang anjing pada waktu subuh (yang pastinya dibasahi embun) dalam perjalanannya ke surau. Bilal itu dan isterinya juga bersikap liberal dalam hubungan mereka dengan jiran, dua orang pelacur wanita Melayu.

Bukan sahaja tidak memberikan nasihat di segi agama, malah bilal dan isterinya juga tidak pernah menasihati mereka di segi kesihatan diri dan bahaya orang jahat yang sentiasa wujud dalam dunia pelacuran. Akhirnya yang seorang itu dijangkiti AIDS dan seorang lagi dibunuh lelaki dadah.

Dalam Gubra juga Yasmin memperjuangkan ‘hak sama isteri Islam’ di mana Orkid memaki-hamun dan menyepak terajang suaminya yang didapati curang. Soalnya, Orkid terjumpa dengan suaminya dengan teman wanitanya di satu kafe sedang dia (dengan rambut mengerbang dan berpakaian seperti perempuan sundal) keluar berjalan dengan lelaki bukan Islam dan bukan mahram (abang teman lelaki Cina dalam Sepet yang mati dalam kemalangan).

Apakah hukum dalam Islam seseorang isteri itu keluar rumah tanpa izin suaminya. Tetapi ini Islam liberal yang sedang diperjuangkan oleh Yasmin dan beberapa NGO.

Dalam filemnya yang akan datang Yasmin akan memaparkan kisah cinta dua orang kanak-kanak yang pasti akan menimbulkan kontroversi lagi dan inilah yang disukai oleh Yasmin.

– BAKI MINUDDIN,

Ampang.

Fahaman Islam liberal dipantau

ARKIB : 16/08/2009

BANGI 15 Ogos - Kerajaan sedang memantau penyusupan fahaman liberalisme untuk mewujudkan golongan Islam liberal yang mungkin akan merosakkan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom memberitahu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga sedang memantau gerakan yang berfahaman bahawa semua agama di negara ini adalah sama.

''Sekiranya penyusupan fahaman liberalisme yang ingin mewujudkan Islam liberal dan gerakan untuk menyamaratakan semua agama di negara ini tidak dipantau, ia akan menyebabkan generasi muda umat Islam terjebak dan sekali gus akan lari daripada ajaran Islam yang sebenar,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Dunia Islam Kontemporari anjuran Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan TNB Integrated Learning Solution Sdn. Bhd. (Ilsas) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Dipertua PUM, Datuk Abdul Halim Abd. Kadir; Naib Presiden Kanan Tenaga Nasional Berhad, Datuk Abd. Razak Abdul Hamid dan Pengarah Urusan Ilsas, Khalidah Haron.

Jamil Khir memberitahu, Jakim sedang berusaha memastikan fahaman itu tidak menular di Malaysia dan amat memerlukan kerjasama PUM untuk menangani perkara tersebut.

Sementara itu katanya, golongan ulama semakin berkurangan di negara ini kerana tidak ramai lagi ustaz di sesebuah kampung ataupun daerah untuk memberi pengajaran dan petunjuk kepada umat Islam.

Jelasnya, pada masa ini untuk mencari seseorang yang mempunyai diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah adalah mudah tetapi untuk mencari seorang ustaz amat sukar sekali.

''Sekiranya usaha untuk mewujudkan lebih ramai ustaz gagal maka golongan remaja di negara ini tidak akan dapat diberikan pedoman dan tunjuk ajar bagi menghayati agama Islam sebenar.

''Sehubungan itu adalah menjadi tugas PUM bagi membangkitkan syiar Islam di negara ini bagi memastikan golongan remaja mendapat petunjuk dan hala tuju sebenar mengenai Islam pada masa depan,'' katanya.

Jamil Khir memberitahu, PUM juga perlu menerajui usaha untuk memperkukuhkan kembali keilmuan dan memperkasakan jaringan media Islam.

Katanya, jika ulama yang memulakan usaha untuk memperkukuhkan keilmuan dan memperkasakan jaringan media Islam, ia akan lebih cepat tercapai kerana berkat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

''Di tangan ulama terletaknya acuan ummah dan menyelamatkan mereka daripada terkapai-kapai dalam kelemasan arus banjir kerosakan,'' katanya.

Beliau memberitahu, institusi ulama perlu dimaksimumkan untuk meningkatkan syiar Islam dan kerjasama ulama dengan pemimpin akan memastikan umat Islam berjaya dalam dunia kontemporari.