Selasa, 16 November 2010

Ibu bapa guna mahkamah syariah 'rampas' anak


Susan Loone
Nov 16, 10
7:02pm


Trend 'merampas' kanak-kanak bagi membolehkan seseorang yang menukar agama mereka kepada Islam mendapatkan anak mereka semula setelah bercerai dengan pasangan bukan Islam dengan bantuan beberapa agensi didakwa semakin membimbangkan.

Naib Ketua Pemuda PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung yang membuat dakwaan itu berkata lebih menakutkan apabila kanak-kanak itu pula kemudiannya diislamkan sehingga menimbulkan kekalutan berhubung tafsiran undang-undang.

"Ibu atau bapa yang beragama Islam itu boleh berbuat demikian kerana berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Syariah yang mencabuli hak perlembagaan dan hak awam ibu atau bapa yang bukan beragama Islam berhubung anak mereka,” kata Gooi.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan masalah perlembagaan kerana hak ibu atau bapa bukan Islam seringkali 'diketepikan' oleh Mahkamah Syariah.

'Kekalutan' itu, tambahnya, akan memaksa ibu atau bapa bukan Islam merujuk ke Mahkamah Syariah sedangkan kuasanya sepatutnya hanya terhad kepada mereka yang beragama Islam.

Menurut Gooi, kejadian merampas kanak-kanak seringkali dibantu oleh institusi lain seperti polis dan majlis agama negeri.

"Apa yang kami cuba perkatakan ialah, jika sesuatu perkahwinan itu dimeterai mengikut undang-undang sivil, sebarang pertelingkahan rumah tangga, termasuk hak penjagaan kanak-kanak sepatutnya diputuskan oleh mahkamah sivil,” katanya.

"Mahkamah Syariah tidak sepatutnya campur tangan dan mencerobohi bidang kuasa mahkamah sivil.

"Ini adalah trend yang membimbangkan kerana ada perkembangan di mana Mahkamah syariah terus mencabar bidang kuasa mahkamah sivil,” katanya.

Gooi, yang seorang peguam merujuk kepada kes di mana seorang mualaf Fatimah Fong, 28, baru-baru ini 'melarikan' anaknya yang berusia tujuh tahun dari sekolah.

Anak itu , Tan Yi Min, telah menetap dengan bapanya, Tan Cheow Hong, 36, sejak 2007, apabila pasangan itu bercerai.

Sepanjang tempoh berkenaan, ibunya didakwa jarang melawat anaknya dan Yi Min telah dipelihara oleh ayahnya, ibu dan kakak Tan yang menetap di Buuerworth manakala Fatimah pula tinggal di Kuala Lumpur.

Gooi berkata guru dan pengetua sekolah Yi Min cuba menghalang kanak-kanak itu daripada 'dilarikan' tetapi gagal kerana ibunya mempunyai perintah daripada Mahkamah syariah.

"Ibu kanak-kanak itu datang dengan membawa perintah Mahkamah Syariah Shah Alam dan diiringi serta dibantu oleh perwakilan daripada majlis agama dan polis,” katanya.

"Bapanya tidak pernah dimaklumkan oleh prosiding Mahkamah Syariah dan tidak ada sebab bagi isterinya bertindak sedemikian dengan penuh kerahsiaan dan tergesa-gesa dalam mengambil kanak-kanak itu,” katanya.

Jumaat, 29 Oktober 2010

Nama Sisters in Islam: Mahkamah batal saman Pemuda Masjid

29/10/2010 2:07pm

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Sis Forum (Malaysia) membatalkan saman pemula difailkan oleh Dewan Pemuda Masjid Malaysia bagi melarang pertubuhan itu menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalan organisasi.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Sis Forum memberitahu pemberita bahawa Hakim Datin Zabariah Mohd. Yusof membenarkan permohonan responden itu di kamar beliau selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.

Menurut Malik, mahkamah membatalkan tindakan itu setelah berpendapat pemohon terbabit tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang).

Sekiranya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mempunyai masalah mereka sepatutnya membangkitkannya kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), kata peguam itu.

Sementara itu peguam Mohd. Ibrahim Mohd. dan Anas Fauzi yang mewakili responden berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan dan menunggu arahan lanjut daripada anak guam mereka.

Pada 22 Mac lalu, plaintif memfailkan saman pemula itu bagi menuntut satu perisytiharan bahawa nama organisasi tersebut yang sah di sisi undang-undang bukanlah Sisters In Islam.

Dalam saman itu pemohon memohon satu perintah bahawa responden tidak dibenarkan dan dilarang daripada menggunakan nama Sisters In Islam sebagai nama dan pengenalan yang menunjukkan identiti responden dalam mana-mana risalah, surat menyurat, penerbitan atau kenyataan responden sama ada di Internet, media cetak dan elektronik sehingga ia dibenarkan di sisi undang-undang.

Selain itu, pemohon turut memohon perintah memaksa responden mengeluarkan nama Sisters In Islam daripada papan tanda laman web responden, bahan-bahan cetak dan penerbitan responden.

Ia turut memohon supaya responden dihalang daripada mengedarkan bahan-bahan terbitan, cetakan dan siaran menggunakan nama tersebut sehingga responden dibenarkan secara sah di sisi undang-undang selain kos dan perintah lain yang perlu. - Utusan

Jumaat, 22 Oktober 2010

Kewarasan akal tolak budaya gay, lesbian


Mohd Arif Juhani Abdul Rahman
Okt 13, 10 10:47am


Sebuah pepatah yang paling sesuai untuk menjelaskan mengenai hubungan songsang seperti gay atau lesbian ialah “Tuhan tidak menjadikan Steve untuk Adam tetapi menciptakan Eve (Hawa) untuk Adam”.

Demikianlah seringkas mungkin logik yang wajar untuk difikirkan mengapa mesti untuk kita menolak gejala songsang begini kerana 'Adam dan Eve' merupakan manusia pertama yang diciptakan Tuhan untuk mentadbir alam. Demikianlah contoh aturan pasangan manusia yang ditunjukkan oleh Tuhan untuk manusia.

Saya meneliti tulisan Pensyarah di Jabatan Kewartawanan, Edwin Michael dengan penuh tanda tanya. Ketika asyik bercakap mengenai akal yang waras beliau pula menerima sesuatu yang songsang.

Inilah masalah bila aliran pemikiran dan falsafah pascamodenisme mengukuh dalam minda masyarakat, semuanya akan dijadikan halal sehinggalah Micheal Foucault, salah seorang pemikir aliran ini, diangkat sebagai nabi untuk golongan gay di University of California setelah sekian lama disisihkan oleh masyarakat.

Persoalan yang timbul dalam benak saya ialah bagaimana beliau, Edwin, sebagai pendidik boleh dengan tenang hati menerima bahawa segala gejala songsang ini merupakan sesuatu yang normal dan sebahagian daripada sistem sosial masyarakat pada hari ini.

Saya tidak kisah jika ini negara Eropah yang liberal tetapi negara ini berada pada belahan timur yang masyarakatnya masih memegang teguh nilai-nilai yang suci.

Apabila beliau mengatakan seolah-olah PAS terhegeh-hegeh membantah kehadiran Lambert, sebenarnya beliau seorang yang buta dan dangkal untuk menuduh PAS dengan sedemikian rupa.

Sebenarnya PAS tidak baru bermula untuk membasmi dan menentang gejala songsang ini bahkan dalam beberapa siri bantahan yang sebelumnya sudah dinyatakan dengan dalam akhbar rasmi PAS, Harakah.

Siasatlah hal ini terlebih dahulu. Janganlah pula tunjuk buta mata dan akal dengan menafikan apa yang telah PAS perjuangkan dahulu. Sudahlah menjawat sebagai pensyarah bidang kewartawanan tetapi pada masa yang sama buta pula mengenai isu-isu yang selalu dimainkan oleh wartawan.

Saya fikir lebih baik beliau meletakkan jawatan tersebut justeru akan menambah beban pula nanti dengan diajarkan kepada para pelajar ilmu yang beliau sendiri jahil dan dangkal mengenainya.

Janganlah pula kerana mahu cuba menjadi liberal atau diiktiraf sebagai pejuang hak asasi manusia hinggakan sesuatu yang diluar batasan normal pun mahu dihalalkan. Islam sendiri sudah perjuangkan hak asasi manusia sekian lama dan itulah yang telah dan sedang diperjuangkan oleh PAS.

Hakikat ini jelas dalam Islam iaitu apabila terdapat nabi yang dihadirkan dalam banyak keadaan masyarakat pada ketika itu. Contohnya ketika masyarakat bergelumang dengan gejala songsang seperti gay, maka nabi yang diutuskan ialah nabi Lut manakala untuk menghapuskan sikap assabiyah atau bahasa politik sekarang disebut rasis maka Nabi Muhammad pula dihadirkan dalam bangsa Arab Quraisy.

Kehadiran para nabi ini bukan semata-mata untuk membetulkan masalah masyarakat bahkan juga untuk menunjukkan apakah penyelesaian yang tepat untuk setiap masalah yang berlaku dan bagaimana harus manusia mengamalkannya.

Landasan inilah yang menjadi sebab kenapa PAS terus memperjuangkan segala kefasadan ini. Bukan untuk mendapat undi politik semata-mata tetapi inilah perjuangan yang sudah dibawa oleh para nabi yang umat Islam beriman dengannya.

Kalau membunuh manusia dianggap satu jenayah yang besar, maka saya berani mengatakan bahawa sikap sambil lewa kita mengenai penyebaran budaya songsang ini juga merupakan satu kerelaaan untuk membenarkan sebuah tragedi kerosakan kemanusiaan yang dahsyat.

Kalau tidak melalui perkahwinan, bagaimana generasi akan datang mahu kita lahirkan dalam sebuah keluarga yang sihat dan memegang teguh nilai-nilai agama? Maka saya percaya bahawa jawapan pensyarah ini ialah berzina sahajalah!

Walhal dalam pengetahuan saya tidak ada agama yang membiarkan para penganutnya berzina apatah lagi meliwat.

Masalah yang berlaku dalam dunia ini adalah tanggungjawab kita untuk tangani nya bersama melalui landasan agama dan adat tata susila kita yang luhur dan bukannya dibiar bebaskan sehingga merosakkan masyarakat kita satu hari nanti.

Akhir kalam, sudah-sudahlah menjadikan pemimpin Umno sebagai rujukan bagi isu-isu tangani gejala sosial justeru merekalah juga juara dalam menghalalkan banyak perkara yang diharamkan dalam agama Islam. Bertanyalah kepada golongan yang ahli dalam bidang agama untuk memahami permasalahan ini.


Penulis adalah koordinator Angkatan Reformis-Liberatif (ARIF)

Santa 'Pak Haji': TV3 didenda RM50,000


S Pathmawathy
Okt 21, 10
1:06pm


Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) telah dikenakan denda maksimum RM50,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana menyiarkan iklan kontroversinya berhubung sambutan Aidilfitri yang lalu.

Iklan yang disiarkan oleh stesen televisyen swasta pertama itu didakwa menyentuh sensitiviti umat Islam.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari, siasatan SKMM mendapati iklan berkenaan “menghina dan mengapi-apikan”.

Penjelasan itu sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh ahli parlimen bebas yang mewakili Kulim Bandar Baru, Zulkifli Noordin yang ingin tahu mengenai tindakan kerajaan ke atas TV3 kerana menyiarkan iklan “Sinari Lebran”.

Zulkifli dalam soalannya mendakwa iklan tersebut “menghina dan menjatuhkan martabat Islam”.

“Sinari Lebaran oleh TV3, disiasat oleh Akta SKMM 1998 mengikut Seksyen 206 (3) yang memperuntukkan kompaun maksimum RM50,000 yang dikenakan kepada TV3,” kata Salang.

TV3 semasa bulan Ramadan lalu menyiarkan iklan yang menggambarkan seorang lelaki tua dan kanak-kanak menaiki beca ajaib ala kereta salju Santa Claus sehingga melintasi bulan.

Ia dilihat seperti menyamakan Aidil Fitri dengan unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memasukkan elemen beca terbang, bunga teratai dan pelita.

Kos penerbitan iklan itu dikatakan mencecah RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).

Sementara itu, berhubung soalan Zulkifli mengenai usaha pemantauan dan penguatkuasaan berhubung penularan “fitnah perkauman dan agama” menerusi media siber dan elektronik, Salang berkata mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta SKMM ia tidak terhad kepada artikel yang dimuatnaik dalam laman berkenaan tetapi juga membabitkan interaksi serta komen yang dianggap memfitnah mana-mana agama ataupun kaum.

“Bagi kesilapan yang lebih serius, sebagai contoh menghina Islam dan agama lain yang boleh mencetuskan ketegangan kaum serta mengancam keselamatan negara, kita boleh rujuk kepada Akta Hasutan 1948 dan akta Keselamaatn Dalam Negara,” katanya.

Festival busana: NGO, pelajar Islam kecam Rosmah


Okt 22, 10 10:07am

Semakin ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik dan juga orang perseorangan tampil membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW pada penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu.

Antaranya, bahagian hal ehwal wanita, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah vital jika masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen Islam.

“Justeru, HELWA ABIM merasa sangat kecewa dan terkilan dengan interpretasi fesyen Islam yang gagal dihayati dan difahami secara keseluruhannya, khususnya menyentuh isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya.

“Malah apa yang dipotretkan kepada masyarakat sewaktu penganjuran Islamic Fashion Festival ini nyata jauh tersasar dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah serta merupakan unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas,” kata naib presiden Helwa, Fadhlina Siddiq dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam dan ia bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan serta bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih Islamik.

Dipesta-pestakan

“Andai wanita Islam jelas tentang konsep dan anjuran syariat tentang kewajipan menutup aurat, tidak timbul soal fesyen Islam yang berterusan mahu dipesta-pestakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan syariat dan sama sekali terpesong dari fahaman esensi kepentingan menutup aurat yang sebenar,” katanya lagi.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) juga menyatakan rasa kesal dengan penganjuran Festival Busana Muslim yang didakwanya jelas menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, pemikiran sempit itu semakin mencelarukan kefahaman muda-mudi terhadap Islam itu sendiri sehinggakan terdapat pemikiran Islam ala pemerintah Malaysia sekarang dan yang dituntut di dalam Al-Quran sendiri.

"GAMIS mengecam sekeras kerasnya tindakan Rosmah Mansor yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad SAW apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

"Sangat mendukacitakan jika rakyat Malaysia khususnya umat Islam masih tidak tersedar dan sensitif akan isu ini. Dulu umat Islam sangat sensitif terhadap isu murtad, kita juga berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark.

"Kita juga tidak terlepas menyertai perarakkan Maulidur Rasul, menyatakan sayangnya kita kepada Rasulullah, tetapi ini juga satu bentuk penghinaan terhadap Rasulullah, dan kita perlu bantah serta bertegas dengan mereka yang menganjurkannya" katanya.

Turut membidas penganjuran Festival Busana Muslim itu adalah Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak yang menyatakan ia tidak wajar dilaksanakan kerana unsur dan konsep fesyen Islam yang dianjurkan oleh Rosmah tidak diperhalusi setiap tindakan yang dibuat.

Nasihat mufti?

“Adakah pesta ini telah dirujuk atau mendapat nasihat daripada mufti-mufti atau penasihat agama?

“Persoalan yang timbul seterusnya pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan pesta ini turut serta atau tidak dalam memastikan pesta yang dianjurkan ini benar-benar mengikut landasan yang digariskan oleh syarak,” kata presidennya Mohd Syahid Mohd Zaini.

Menurut beliau, pesta fesyen yang secara zahirnya yang dianggap nampak Islamik tetapi fesyen pakaian yang dikenakan oleh isteri perdana menteri tidak mengikut cara Islam semasa merasmikan IFF tersebut.

“Kami di peringkat mahasiswa menuntut penjelasan daripada isteri perdana menteri berkenaan perkara ini dan sehubungan itu pihak NGO Islam juga mesti selidik secara terperinci akan hal ini,” kata mmahasiswa Universiti Malaya itu

Semalam, dewan pemuda PAS pusat mengumumkan akan berhimpun secara aman di masijid-masid tertentu di seluruh negara, hari ini selepas solat Jumaat sebagai membantah tindakan Rosmah didakwa menghina syariat Islamitu.

"Saya akan mengetuai bantahan terhadap Rosmah di Masjid Sultan Ahmad Shah di Kuantan manakala di Masjid kampung Baru (di KualaLumpur) akan diketuai oleh Kamaruzaman Mohamad (exco pemuda PAS)," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Menurut beliau, tindakan Rosmah selaku penganjur majlis itu sesuatu yang keterlaluan.

Pada festival itu, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik didakwa diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

Khamis, 21 Oktober 2010

Hamburg iktiraf Islam

21 Oktober 2010

HAMBURG 20 Okt. - Hamburg dijangka menjadi bandar raya pertama di Jerman yang mengiktiraf masyarakat Islam secara rasmi sebagai sebuah komuniti agama dan memberi penduduk Islam hak-hak yang sama di sisi undang-undang seperti yang diberikan kepada penganut Kristian dan Yahudi semasa berurusan dengan kerajaan tempatan.

Rundingan tanpa publisiti selama empat tahun mengenai pembinaan masjid, pembukaan tanah perkuburan Islam dan pengajaran agama Islam di sekolah kerajaan semakin hampir ke penghujungnya.

Perkembangan itu berlaku ketika rakyat Jerman terlibat dalam perbahasan hangat mengenai Islam dan integrasi pendatang beragama Islam yang kebanyakannya dari Turki.

Perjanjian mengenai pengiktirafan tersebut dipercayai akan dicapai tidak lama lagi tetapi perbahasan di peringkat kebangsaan mengenai Islam dan arus perubahan politik tempatan boleh menyebabkan kelulusannya menjadi lebih sukar daripada yang dijangka, kata ahli politik dan pemimpin Islam.

"Penting bagi kami bahawa perjanjian ini menegaskan kami adalah sebahagian daripada masyarakat Jerman," kata Pengerusi DITIB cawangan Hamburg, Zekeriya Altug.

DITIB ialah sebuah rangkaian masjid Turki Jerman yang merupakan antara pertubuhan Islam terbesar di negara ini. - Reuters

Selasa, 19 Oktober 2010

Perjuangkan hak seiring tanggungjawab

Kebebasan mutlak tanpa ambil kira kepentingan lain bakal gugat ketenteraman sosial

ANTARA hak dan tanggungjawab, manakah lebih penting atau kedua-duanya sama penting? Mungkin ada yang menganggap persoalan ini klise dan tidak perlu dibincangkan. Namun, dalam konteks pemerintahan, undang-undang dan hak asasi, ia kekal menjadi isu sehingga hubung kait dan kepentingan kedua-duanya dapat difahami sepenuhnya.

Tiada sistem undang-undang yang sempurna jika tidak mengiktiraf hak dan tidak lengkap undang-undang sekiranya tidak meletakkan tanggungjawab. Oleh itu, sebarang sistem yang mempunyai prinsip kebebasan dan autonomi individu mutlak tidak akan berjaya menjaga kepentingan ramai kerana kebebasan mutlak yang diasaskan atas dasar individualism tidak dapat melaksanakan kedua-duanya (autonomi individu dan kepentingan umum) sekali gus.

Keseimbangan antaranya sukar dibentuk. Sistem yang sempurna harus menyeimbangkan antara tanggungjawab dan hak, sama ada tanggungjawab atau hak individu atau masyarakat.

Segala hak dan tanggungjawab perlu dilaksana secara bergandingan dan sentiasa berkait rapat dalam setiap bidang kehidupan. Individu yang menjalankan kewajipannya sudah menjalankan tanggungjawab dan seterusnya memberikan hak kepada individu. Memenuhi tanggungjawab adalah prasyarat kepada hak yang lain. Fungsi hak secara umumnya ialah menegakkan kebebasan, manakala tanggungjawab untuk merealisasikan kehormatan seseorang. Oleh itu, kedua-dua (hak dan tanggungjawab) sama penting dan tuntutan hak adalah tuntutan ke atas pihak lain untuk menjalankan tanggungjawabnya. Kebanyakan dokumen antarabangsa berkaitan hak asasi tidak menyenaraikan tanggungjawab individu secara harfiah. Apa yang wujud dalam dokumen berkenaan kebanyakannya hak yang dikumpulkan sebagai hak asasi atau kebebasan.

Saya tertarik dengan American Declaration of the Rights and Duties of Men yang meletakkan peruntukan mengenai tanggungjawab secara jelas dalam bab tersendiri. Deklarasi ini yang diterima pada 1948 mempunyai dua bab. Pertama mengiktiraf hak tertentu dan kedua meletakkan tanggungjawab individu terhadap negaranya. Antaranya termasuk tanggungjawab individu terhadap masyarakat, anak dan ibu bapa, menuntut ilmu, menghormati undang-undang dan mencari kehidupan baik serta tanggungjawab tidak terbabit dalam aktiviti politik di negara lain.

Walau apa pun amalannya di Amerika Syarikat atau sejarah dan kedudukan deklarasi ini, saya melihat kebaikannya iaitu sesuatu hak sentiasa disertai tanggungjawab. Antara kebaikan disumbang deklarasi ini ialah mengingatkan individu hak dan tanggungjawab tidak dapat dipisahkan.

Namun, deklarasi ini tidak menjelaskan tanggungjawab negara terhadap rakyatnya. Mungkin ia boleh difahami dengan melihat hak individu yang disenaraikan. Amat jelas, setiap rakyat boleh menuntut haknya daripada pemerintah atau pihak yang diberikan tanggungjawab. Namun, pada masa sama rakyat juga mempunyai tanggungjawab tertentu terhadap negara. Kedua-duanya saling bersangkutan dan berkait rapat.

Teori hak dan tanggungjawab amat berbeza antara prinsip hak asasi dalam Islam dan Barat. Islam memperkenalkan timbang tara antara hak dan tanggungjawab dengan sistem Islam ialah kombinasi kedua-duanya. Sistem ini tidak memberi tumpuan kepada hak mutlak seseorang, tetapi hak terikat.

Ia untuk mengelak pertembungan hak antara individu. Sebagai contoh, seseorang mempunyai kebebasan bersuara, tetapi hak itu tidak membenarkannya menghina agama lain kerana hak kebebasan bersuara sudah bertembung dengan kebebasan beragama.

Ini meletakkan tanggungjawab kepada orang yang mempunyai hak kebebasan bersuara untuk menghormati orang lain yang mempunyai hak kebebasan beragama.

Sistem yang mementingkan individualisme tidak mengambil peduli terhadap kebebasan orang lain. Keadaan ini tidak menyumbang ke arah kebaikan masyarakat. Hak yang terikat dengan tanggungjawab menjadi mekanisme utama dalam membentuk masyarakat sempurna dari segi moral dan siviknya.

Hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap manusia mempunyai kewajipan dan setiap seseorang bertanggungjawab atas kewajipannya,” sesuai dijadikan panduan. Setiap individu mempunyai tanggungjawab yang menjadi hak orang lain dan individu yang menggalas tanggungjawab berkenaan perlu melaksanakannya sebaik mungkin.

Kita tidak dapat lari daripada hak dan tanggungjawab. Namun, kedua-duanya bergantung kepada status sosial diri. Semakin banyak kuasa seseorang, semakin banyak dan luas tanggungjawabnya. Secara lumrahnya, ramai pula yang berada di bawah pengawasannya. Dari segi teori, tuntutan hak terhadap orang yang berkuasa semakin meningkat jika tanggungjawab itu tidak dilaksanakan dengan baik.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia